Friday, 13 March 2026

ADILA RKLASIK SALMAH AMIR

 ASSALAMUALAIKUM



Prof Dr Salmah Amir

262 , Jalan Cengal 6, Bandar Putra , Kulai 83000 Johor

No.tel. 

Coretan ADILA;

IFTAR 1 RAMADAN

 

Kupilih untuk menyambut iftar pertama Ramadan kali ini di Beruas, Perak. Bukan di hotel yang bercahaya gemerlapan, bukan juga di restoran mewah yang penuh dengan juadah beraneka rasa, tetapi di sebuah rumah sederhana di Kampung Kota, Beruas. Di situlah anak angkatku dan anak saudaraku membina kehidupan bersama isteri dan anak-anak mereka. Di situlah aku dan suami ingin menyemai makna Ramadan yang sebenar.

Mereka bukan orang senang. Hidup mereka serba kekurangan, namun tidak pernah kurang maruah dan kesungguhan. Ayah kepada cucuku bekerja sebagai buruh ladang sawit. Pekerjaan yang menuntut kudrat, berpanas berhujan, berpeluh demi rezeki yang tidak seberapa. Isterinya pula seorang kerani di pejabat kecil. Gajinya sederhana, cukup-cukup untuk menampung keperluan asas keluarga. Tiada kereta mewah di halaman, tiada perabot mahal menghiasi ruang tamu. Rumah yang mereka diami adalah rumah peninggalan arwah ayah dan bondaku — atok kepada ayah anak angkatku. Rumah lama itu menjadi saksi perjalanan generasi demi generasi, menjadi payung teduh buat keturunan kami. Lestari kehidupan menyambung nyawa.

Di situlah aku melihat kesinambungan nasab, zuriat dan doa yang panjang. Ayahku, almarhum Haji Amir Hamzah Nasution bin Haji Ahmad Nasution, berasal dari Bagan Serai, Perak. Darah keturunan itu mengalir dalam tubuh anak-anak dan cucu-cucuku. Untungnya ayahku, Allah panjangkan zuriatnya hingga kini. Setiap kali melihat wajah cucu-cucu yang semuanya lelaki, “hero” belaka, hatiku berbunga bangga. Namun bangga itu segera tunduk menjadi doa — semoga keturunan ayahku sentiasa berada dalam rahmat dan berkat-Nya.

Dalam kehidupan yang sederhana itu, mereka banyak bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta sokongan saudara-mara dan jiran tetangga. Bantuan itu bukanlah untuk bermewah, tetapi sekadar menampung makan minum dan persekolahan anak-anak. Setiap ringgit diatur dengan cermat. Setiap pembelian difikirkan dua tiga kali. Namun dalam keterbatasan itu, aku melihat kekuatan ada  iaitu kekuatan sabar dan reda dalam kesederhanaan.

Semalam, aku dan suami memutuskan untuk berbuka puasa bersama mereka. Kami ingin memberi kegembiraan, walau sedikit. Kami tidak membawa kemewahan, hanya sekadar buah tangan dan kasih sayang. Kami ingin mereka rasa dihargai. Kami ingin mereka tahu, susah senang hidup ini bukan ditanggung sendirian. Tapi saudara dekat memandang dan ambil peduli kemasylahatannya.

Juadah berbuka yang disediakan amat sederhana. Isterinya memasak kari ayam dan ayam goreng garing. Ada sambal belacan dan sayur sebagai pelengkap. Bau kari yang meresap di dapur kecil itu mengingatkanku kepada zaman muda dahulu. Bau itulah yang selalu mengundang selera ketika azan maghrib berkumandang. Aku pula membawa kentang goreng resepi bonda satu resepi lama yang menjadi kegemaran anak saudaraku, Shaufik, sejak kecil.

Setiap Ramadan, kentang goreng itulah yang tidak pernah tertinggal di meja berbuka. Tradisi kecil yang membawa kenangan besar.

Aku juga membawa puding roti dan masak lemak sayur kobis. Tidaklah istimewa pada pandangan orang lain, tetapi cukup untuk memeriahkan meja. Ibu mereka menyediakan sirap susu. Katanya itulah air bandung. Bagiku, air bandung yang asli ada campuran ais krim soda, berbuih dan sedikit berkilau. Namun bagi mereka, itulah versi terbaik yang mampu disediakan. Dan aku tersenyum. Kerana yang penting bukanlah namanya, tetapi keikhlasan di dalamnya.

          Sambal belacan yang dihidangkan pula dibuat sendiri oleh Shaufik. Katanya bahan kurang sedikit, namun rasanya tetap menggugah selera. Aku makan bukan untuk menilai, tetapi untuk meraikan. Setiap suapan nasi dan lauk itu bukan sekadar makanan — ia adalah lambang usaha, lambang penghargaan dan lambang kasih yang mereka hulurkan kepada kami.

          Ketika aku menyuap nasi ke mulut, pelbagai rasa menyelinap dalam dada. Rasa nikmat yang sukar digambarkan. Rasa syukur kerana masih diberi kesempatan menikmati Ramadan bersama keluarga. Rasa bahagia melihat mereka tersenyum. Rasa sedih mengenang kepayahan hidup yang mereka tempuhi. Rasa tersentuh melihat kesungguhan mereka menyediakan juadah, walaupun perbelanjaan itu mungkin mengikat kewangan mereka untuk beberapa hari. Aku tahu mahu meraikan momen itu bersama aku dan suamiku dengan sempurna.

          Hampir lima belas tahun usia perkahwinan mereka. Namun inilah kali pertama kami berbuka bersama sebagai tetamu di rumah mereka setelah mereka berumah tangga. Dalam ketiadaan dan kekurangan, mereka tetap berusaha menyediakan yang terbaik untuk meraikan kami. Itu yang membuatkan hatiku benar-benar terharu.

          Ramadan mengajar kita erti sabar. Ramadan juga mengajar kita bahawa rezeki bukan semata-mata pada banyaknya wang, tetapi pada lapangnya hati. Aku melihat kekayaan itu di rumah kecil mereka. Kekayaan dalam bentuk kasih sayang antara suami dan isteri. Kekayaan dalam bentuk tawa anak-anak yang riang menunggu waktu berbuka. Kekayaan dalam bentuk doa yang terangkat ke langit menjelang azan maghrib. Wajah-wajah comel cucu-cucu saudara mengelus atmaku.

          Aku teringat pesan orang tua-tua, bahawa keberkatan itu hadir apabila kita menghargai apa yang ada. Aku melihat keberkatan itu jelas di hadapan mata. Walaupun hidup mereka sederhana, rumah itu terasa hangat. Anak-anak mereka menghormati ibu bapa. Dan saling membantu kesusahan antaranya.

          Suara azan dari surau berdekatan bergema lembut, menandakan waktu berbuka telah tiba. Kami menadah tangan bersama-sama, memohon kepada Allah Yang Maha Perancang, Maha Pemberi dan Maha Segalanya. Dan bersyukur dengan limpahan rezeki yang dinikmati.

          Dalam doaku, aku titipkan kesejahteraan untuk ayahku di alam baqa. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Semoga amal baiknya menjadi cahaya yang menerangi kuburnya. Aku juga berdoa agar cucu-cucuku dan cicit-cicit ayahku kelak membesar dalam keadaan sempurna dan bahagia. Biarpun hidup bermula dalam serba kekurangan, semoga akhirnya mereka dipenuhi kecukupan dan ketenangan.

Setiap kali Ramadan tiba, aku semakin mengerti bahawa usia bukan semakin panjang, tetapi semakin berkurang. Kesempatan berbuka bersama keluarga adalah nikmat yang tidak ternilai. Kita tidak tahu apakah Ramadan tahun hadapan masih milik kita. Justeru, setiap pertemuan harus dihargai.

Iftar hari pertama Ramadan di Beruas itu mungkin kelihatan biasa pada mata orang lain. Tiada lauk bertingkat-tingkat memenuhi meja. Tiada pencuci mulut yang mewah. Tiada dekorasi istimewa. Namun bagi diriku, ia antara iftar paling bermakna sepanjang hidup. Kerana di situlah aku belajar kembali erti syukur.

          Aku belajar bahawa bahagia bukan pada limpahan harta, tetapi pada kebersamaan keluarga berkasih sayang. Aku belajar bahawa sedekah bukan hanya pada wang ringgit, tetapi pada kehadiran dan perhatian. Aku belajar bahawa doa seorang ibu dan nenek tidak pernah putus, walau anak cucunya diuji kehidupan.

          Sebelum pulang, aku memandang wajah-wajah kecil yang sedang mengunyah sisa makanan dengan riang. Mereka ketawa, tidak memikirkan esok hari. Mereka percaya, selama ada ibu dan ayah, segalanya akan baik-baik sahaja. Dan aku percaya, selama ada doa, Allah tidak akan mensia-siakan harapan.

          Dalam perjalanan pulang, aku memegang tangan suamiku erat-erat. Kami tidak banyak berbicara. Hati kami sama-sama penuh. Penuh dengan rasa syukur. Penuh dengan doa. Penuh dengan harapan.

Ramadan pertama itu bukan sekadar tentang makanan. Ia tentang kasih yang tidak ternilai. Tentang keluarga yang saling menyokong dalam kekurangan. Tentang generasi yang mewarisi bukan sahaja darah keturunan, tetapi juga nilai sabar dan reda.

          Aku bersyukur kerana Allah masih meminjamkan waktu untukku menikmati detik itu. Aku bersyukur kerana dapat menyaksikan sendiri kesinambungan doa ayahku dalam wajah-wajah cucu yang membesar. Aku bersyukur kerana dalam kekurangan mereka, Allah hadirkan kekayaan jiwa yang luar biasa.

Semoga Ramadan ini menjadi titik perubahan. Semoga rezeki mereka dilapangkan. Semoga setiap peluh yang menitis di ladang sawit menjadi pahala. Semoga setiap kertas yang ditaip di pejabat menjadi saksi usaha yang diberkati. Semoga rumah kecil di Kampung Kota itu terus menjadi rumah yang dirahmati.

Dan aku akan terus berdoa selagi nyawa masih ada, selagi Ramadan masih menyapa.

Alhamdulillah. Aamiin.

 

Lagu pilihan;

1.    Ramadan 2 zaman – INTEAM, NAZREY JOHANY

2.    1234 – Aris Ariwatan

Doa - Siti Nurhaliza

1 comment:

  1. saya juga pernah menjadi B40 pd zaman kanak2 n merasa kehidupan spt yg akak tuliskan ini. Cuma skrg dah menjadi M40 atas yg hampir2 nak masuk T20. I can feel it...

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist