Monday, 16 March 2026

DAM DAM DUN

ASSALAMUALAIKUM


BAHANA PERANG

.

 Mudarat perang memang ketara menyusahkan kehidupan yang terlibat atau tidak. Justeru maslahahnya berangkai-rangkai menyangkut semua. Selain kehilangan nyawa yang tewas, kemusnahan harta benda, penularan penyakit juga menyebabkan kos sara hidup meningkat drastic dengan asbab yang relevan atau pihak peniaga mengambil kesempatan daripada situasi semasa. Seperti ketika kini kala Iran sedang melawan serangan USA dan sekutunya dan Selat Hormuz yang menjadi laluan kapal pengangkut minyak di negara Asia Barat terpaksa demi menjaga keselamatannya. Maka harga minyak pun melonjak tinggi kerana permintaan yang banyak tapi bekalannya berkurangan. Kenaikan harga minyak menyebabkan harga barangan runcit dll turut naik berganda kerana kos produk dan penghantaran. Nilai duit semakin hari kian kecil. Aku bukanlah pakar ekonomi. Namun terpaksa memikirkannya kerana kewanganku daif. Tapi tetap perlu membeli segalanya dengan harga yang tidak mampu dibayar. Tidak lama lagi akan menyambut hari raya pula. Walau apapun kesulitan membelit masih tetap bersyukur nikmat-Nya melindungi kehidupan daripada azab yang tidak tertanggung.

.

akhir Ramadan -

barangan keperluan

tambahan angka

 

 

 

 

DAM DAM DUM!

 

Dam  dam dum bunyi mercun
kanak-kanak segera datang berduyun
dam dam dum mercun berdentum
semaraklah hari raya ini tahun.


Itulah senikata stanza lagu raya nyanyian Biduanita Negara, Saloma bahagian akhir sebelum ditiadakan baris-baris itu kini untuk menyesuaikannya dengan situasi era sekarang yang melarang permainan mercun pada musim perayaan atau bila-bila masa. Walau dilarang/diharamkan, penjualannya berleluasa juga.

Tapi kala 60-70an tidak ada larangan itu sebab itu senikata lagu raya Saloma itu kedengaran syahdu dan indah harmoni menggambarkan keriaan suasana hari raya. Tidak pula berita akhbar, radio, TV semasa yang melaporkan tentang  kecederaan, putus tangan/kaki, buta mata dll akibat bermain mercun. Mungkin saja cara pemberitaan dahulu tidak terlalu menyeluruh. Itu  cuma anggapanku saja.

Tika ini tidak boleh lagi begitu. Hak asasi manusia yang tidak mahu terganggu dengan bunyi bingit letusan mercun sentiasa disuarakan.
Sedikit petikan di ambil dalam sembang pagi radio PAHANG FM "Koi tak kira koi nak main mercun bola juga, koi nak baling kat depan rumah te."
"Nape aok marah sangat te? Tanya  DJ
"Mestilah koi marah anak koi nak tidor, anak koi baby lagi, deme lentum lentam main mercun...tak reti base betul...yang main tu bukan budak-budak tapi bapak budak...dah guana?"
Hmm. Aku gelak kecil.

Apalagi media massa cakna dengan cerita kemudaratan akibat bermain mercun. Dada akhbar, media sosial sentiasa ada berita tentang itu setiap kali menjelang raya. Bermain tapi menimbulkan mudarat baiklah tak usah dibuat, menurutku.

Lagipun bermain mercun menyambut puasa dan hari raya bukan budaya Melayu sejati. Boleh jadi kita tidak tahu mengendalikan permainan ini seperti orang Cina. Maslahah mengakibatkan mudarat memang wajib dihindari.

..

Corong radio -

senikata lagu raya

sketsa kelmarin


No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist