Cari tenggiri ikan dijeruk,
dengan cempedak campurkan kerang,
ketam diagak tanpa timbangnya;
diri sendiri berkelakuan buruk,
jangan hendak salahkan orang,
hitam gagak tak siapa mencelupnya.
Jerat memintas landak tertusuk ,
galau sang sewah hendak mendarat,
terjengah-jengah menggorek terbang;
ibarat ke atas tidak berpucuk,
kalau ke bawah tidak berurat,
di tengah-tengah digerek kumbang.
Mengelau biar hasilan ganda,
halau kumpulan ikan yang mahu,
pulau serata apungan landai;
kalau belayar dengan nakhoda,
kalau berjalan dengan yang tahu,
kalau berkata dengan yang pandai.
Pasar Serendah kunjungan ramai,
jarang ke situ belek barangan,
tapau beluru keseringan;
tidak mudah menggelamai,
kurang haru cik kambingan,
terlampau haru berlantingan.
Meresah sasau melembing kancil,
tersentak budak menggetus pasli,
batuk tersedak lambung alami;
usah dirisau si kambing kecil,
merentak tidak memutus tali,
berantuk tidak melambung bumi.
Galah dirikan usah jatuhkan,
belah dilarik lalu ukirkan,
setelah rekah lurut sekali;
salah makan memuntahkan,
salah tarik mengembalikan,
salah langkah surut kembali.
menarik betul perbidalan akak ni
ReplyDeleteTKSH DANA PERBIDALAN LAMA
ReplyDeleteKak PI, saya kagum dgn keindahan bahasa yg dinukilkan, walaupun byk perkataan yg saya tak faham. Indah sungguh bahasa melayu klasik ni kan, menegur pun dlm halus tapi yg ditegur pasti mengerti.
ReplyDeletePuitis dan mendalam.
ReplyDelete