Thursday 7 May 2020

BUBUR LAMBUK...

ASSALAMUALAIKUM




                                                  BUBUR LAMBUK

Jelang Ramadan setiap tahun dia akan ke rumahku. Meninjau-ninjau sekeliling persekitaran laman rumahku. Melangut pohon nyiur yang  tinggi menjulang. Namun kelihatan buahnya berkeruntoi lebat di mayangnya. Aku tahulah maksudnya itu.
            “Lebat juga nyiur pokok kau ni. Cukup ni untuk dibuat bubur lambuk di masjid selama sebulan Ramadan ni. Nanti aku datang kait ya.”
            “Datanglah kait bang Din”, sahutku kesukaan. Suka benar hatiku dapat menyumbang buah nyiur kepada masjid kampungku sempena Ramadan pada setiap kali Ramadan mutakhir ini. Pokok nyiur banyakku tanam di sekeliling rumahku memberiku rezeki-Nya tidak terhingga. Kadangku jual kepada mereka yang menjalankan perniagaan makanan.
Tapi untuk jiran-jiranku yang mengambilnya buat menyayur, menggulai atau berkeduri-kendara kuberi sahaja. Begitu juga sekiranya bang Din jiranku meminta untuk kegunaan masjid.
            Tidak perlu berkira untuk menambah bekal amalku ke akhirat sana menurutku yang  sedikit amat pengetahuan tentang agama Islam yang syumul ini.

            Lagipun tidak akan papa kedana lantaran rajin bersedekah. Rezeki-Nya maha luas Fahamanku begitulah. Rasanya tidak salah.
            Pemberianku itu dibalas bang Din sebagai komiti masjid yang menguruskan moreh masjid di kampungku dengan bubur lambuk atau lauk-pauk yang dimasak di masjid kala hendak berbuka.
            Bubur lambuk memang masakan istimewa bang Din. Secukup rasa.lemak manis, masinnya. Lengkap.keenakannya. setanding dengan kelazatan bubur lambuk masjid Jamek Kampung Baru kot. Aku mengagak saja. Sebab tidak pernah juga merasa bubur lambuk yang diuar-uarkan sangat sedap itu. Tular di media sosial. Gah sungguh.
            Bubur lambuk bang Din mengandungi tujuh jenis rempah herbanya iaitu ketumbar, jintan, halba, lada hitam, buah keras, buah pelaga, kayu manis, cengkih,  bunga lawang bersatu menerbit rasa tersendiri.    Di samping itu, bahan asas lain terdiri daripada daging tetel, udang kering, bawang besar yang dihiris, bawang putih, santan, minyak sapi, minyak kelapa dan garam secukup rasa. Untuk menambah aroma pula, daun pandan, daun sup dan daun bawang turut dicampur, selain ditabur dengan bawang goreng,
            Setiap kali usai dikacau pada sebelah petang sebelum Asar, sudah ramai yang menunggu dengan bekas di tangan untuk menadah bubur lambuk yang masih beruap di kawah.
            Walau keletihan mengacau bubur lambuk ditambah sedang berpuasa bang Din tetap tersenyum sambil menceduk bubur lambuk dan mengisinya ke dalam bekas pemintanya.
            
            Dia gembira dan selesa melakukannya dengan reda walau tanpa imbalan apa-apa.kecuali sebekas bubur lambuk dan gulai apa sahaja yang dimasaknya, dibawa pulang untuk bersahur nanti.
            Ramadan semakin berlalu. Tidak kelihatan kelibat bang Din melingas persekitaran laman rumahku meninjau buah nyiur yang melebat di pohon. Hatiku tertanya-tanya juga.
            Mungkin bang Din tidak perlukan nyiur daripada pohon-pohon sekitar rumahku lagi kerana masjid kampungku sudah mendapat bekalan daripada sumber lain. Lagipun bukan aku seorang yang miliki pohon nyiur yang. Ramai juga menanamnya dengan nyiur jenis yang lebat berbuah walau masih rendah iaitu nyiur mataq.
Dan nyiur yang kutanam lama dahulu adalah  jenis mawa yang dibeli benihnya di tapak semaian Bagan Datoh. Tidak ada rezeki untukku meraih pahala melalui sumbangan buah nyiur kepada masjid kampungku seperti Ramadan lalu.
            Bang Din kembali dari masjid seusai solat Asar. Aku berada di bawah pohon nyiur pandan di tubir jalan menyapanya.
            “Cepat balik bang Din?”
            “Dah selesai solat baliklah. Nak buat apa lagi. Iktikafpun dah buat sekejap.”
            “Biasa tu bang Din selalunya lepas solat Asar di bulan puasa ni lambat baliknya. Masak moreh dulu, kacau bubur lambuk dan macam-macam lagi kerja dibuat kat masjid tu.”
            “Aku ni dah tua Idah. Tak larat dah. Biarlah orang muda pula buat semua tu. Biarlah aku gi masjid untuk solat bila sampai waktunya.” Padaku jawapan klise begitu bukan kebenarannya. Aku malas pula hendak  bertanya.
            “Kenapa kau tanya? Kau nak makan bubur lambuk ke?” Memangpun teringin juga nak merasa bubur lambuk air tangan bang Din  pada Ramadan ini. Selalunya sentiasa dapat menjamu selera dengan juadah itu kala berbuka puasa diberi bang Din.
            “Nanti aku tolong ambilkan. Tapi bukan ambil bubur lambuk kat masjid tu. Aku ambil kat surau hujung kampung kita ni. Aku kadang gi juga tolong dia orang kacau bubur lambuk. Jadi diberi juga sebungkus dua.”
            Isterinya kebetulan berada di serambi melambaiku.
            
            Sedang aku mempersiapkan juadah berbuka puasa, kak Salmah muncul di muka pintu dapurku. Sebungkus bubur lambuk dihulurkan isteri bang Din itu kepadaku. Aku mengucapkan berbanyak terima kasih. Semangkuk kuih lompat tikam kuberikan kepadanya.
            “Rajinnya kau buat kuih lompat tikam Idah”
            “Terasa nak makan itu yang dibuat kak Sal.”
            “Wah sedap ni. harum bau pandannya. Hijau warna tepungnya yang putih berlemak. Elok jadinya. Lompat tikam berenang dalam kuah gula kabung,.tak sabar nak merasanya.”
            “Sekejap lagi dapatlah kak Sal merasanya. Duduklah dulu kak Sal, kita bersembang sekejap.” Usulku.
            “Apahalnya?”
“Saja saya nak tanya juga ni kak Sal…kenapa abang Din tidak lagi masak bubur lambuk di masjid? Bukankah setiap kali bulan puasa,  bang Din yang buat semua tu?”
            “Kau tak tahu ke?” Kak Salmah menyoalku pula.
            “Masjid sekarang ni ada pengurusan baru yang mentadbirnya. Jadi mereka ambil geng yang mereka setuju saja. Bang Din tu suka menegur kalau dia rasa silap  itu yang buat jawatan kuasa masjid yang baru dilantik tak setuju dengan dia.
            Bang Din tak kisah semua tu. Dia ikhlas saja menolong. Fikiran orang lama macam bang Din tak serasi dengan pentadbir baru masjid kampung kita ni. Masjid kita sekarang ni untuk mereka yang satu fahaman politik saja. Yang lain jangan berani nak celah pendapatnya. Jangan nak berani sanggah.
            Pendapat mereka saja benar, orang lain salah belaka. Kata bang Din, masjid adalah rumah Allah. Semua hamba-Nya yang Islam berhak berada di dalamnya. Mesti dimakmurkan masjid tu dengan kehadiran umat Islam tanpa kira apa fahaman mereka.
            La ni seolah mereka jadikan rumah Allah sebagai rumah mereka saja. Itulah yang bang Din tak setuju sangat.”
            “Oh itu masalahnya. patutlah mereka singkirkan bang Din.”kataku
            “Secara kasarnya mereka tu tak singkirkan bang Din. Tapi bagi yang faham maksud halusnya, mestilah sedar diri kan. Lagipun bang Din tu orang tua.” 
            Kemelut politik berpolemik di mana sahaja tanpa sudahnya. Islam kan agama mudah. Tapi tidak boleh sangat mempermudahkannya. Mengapa perlu menyempitkan ilmunya. Mangsa ideologi mengeruhkan harmoni. Pendapat peribadiku, tiada kena mengena dengan sesiapa waima hidup atau telah meninggal dunia.

15 comments:

  1. Dah tak merasa saya bubur lambuk Di masjid negeri Shah Alam ni kak paridah.. sejak PKP ni Kan.. semua rumah ibadah ditutupšŸ˜¢
    Yg saya hendak sangat ilmu dimasjid Tu..

    Mana2 masjid Dan surau pun menghadapi masalah yg Sama kak paridah.. tempat saya pun mcm Tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH YATI YALA TI TAHUN NI XDPT RASA SEMUA TU ..SEKADAR CITRA KENANGAN SAJA

      Delete
  2. Alhamdulillah, baru sekali mkn bubur lambuk bulan puasa ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH NOHAS ALHAMDULILLAH DAPAT JUGA MERASA

      Delete
  3. Bubur lambuk masjid atau surau mmg sedap kan, berkat agaknya sbb di masak di madjid tu.
    Saya pandai buat bubur lambuk terengganu stail je.

    ReplyDelete
  4. menarik skali sis
    carpen, mendalam maksudnya
    terima kasih atas pengkongsian penulisan yg indah

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH SOBRI CERPEN TU DISIAR DLM UTUSAN MALAYSIA LAMA DULU

      Delete
  5. Teringat masa di sekolah..masa tu bulan puasa tahun lalu..kami sepakat buat bubur lambuk sedap lembut ja

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH CIKGU KISAH DULU YG XBOLEH DIULANG TAHUN NI SEDIH JUGA KAN

      Delete
  6. Belum jumpa bubur lambuk lagi sepanjang puasa ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH WP YALA BUBUR LAMBUK KALAU XDIMASAK DI MASJID RASA KURANG NIKMATNYA KAN

      Delete
  7. tahun nih tak sempat nak merasa bubur lambuk masa bulan Ramadan

    ReplyDelete
  8. Kesiannya watak Pakcik Din. Sabar la ye. Mana2 surau and masjid ada masalah ni. Sabar jelah

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist