Sunday, 31 May 2020

PIPIT DAN ENGGANG

ASSALAMUALAIKUM



PIC GOOGLE (C )

 PIPIT DAN ENGGANG


 Pipit dan enggang syair dikarang,,
 mengepak sayap bukan sebarang,
 dimusnah hapus memang dilarang,
mudah dilihat di tempat terang.

 Pipit tuli namanya diberi,
 pipit uban kaumnya sendiri,
burung nan kecil rendah berdiri,
terbang berkawan tidak berlari.

 Sering bersama ternyata saban,
kadangkala hinggap di reban,
 kutip bijirin di perdu leban,
saling berkongsi tidak meraban.

 Pipit mematuk buah  celagi,
paruhnya kecil tidak bergigi,
musuh petani dihambat pergi,
agar hasilnya tidak merugi.

 Enggang  di pohon di pinggir lagun,
bangun sosoknya ketara anggun,
 hebat rupanya lihat terpegun,
di rimba raya tempat memegun.

 Jarang temui enggang berkawan,
dengan pasangan kadang berlawan,
besar rezeki setinggi awan,
tidak cukupan cuma secawan.

Tidaklah hairan tindak lakunya,
enggang dewasa dengan caranya,
jangan berkurang mewah rasanya,
juang bersungguh akan mahunya.

 Enggang dan pipit hai anologi,
sifat berlawan tolak bahagi,
lestari hayat gaya meranggi,
syair ini puisi elegi.

Saturday, 30 May 2020

DURIAN KURA-KURA

ASSALAMUALAIKUM


PIC CIKGU WAN MOHAMAD (C)
Buahan pelbagai jenisnya telah bermusim di utara. Dimulakan dengan durian sebagai raja buah yang gugur satu persatu. Terpaksalah rajinkan diri menunggu di pondok di dusun tiap ketika. Jika tidak ditunggu alamatnya berputih mata. Gerenti tidak merasa lantaran akan hilang dicuri penggemarmya.
Ada 200 jenis durian atau durio di Malaysia mengikut kajian FAMA. Tapi hanya beberapa saja yang disyorkan kepada petani menanamnya. Antaranya jenis ini.
PIC GOOGLE IMAGES (C)

TAPI DURIAN KURA-KURA INI MENGUJAKAN SEKALI KERANA BUAHNYA BEGITU LEBAT BERKERUNTOI DI PERDU DAN BATANGNYA....POHONNYA BESAR DAN HANYA TERDAPAT DI HUTAN BORNEO....DI DUSUN PENULIS CIKGU WAN MOHAMAD YANG TINGGAL DI BEKENU MIRI SARAWAK JUGA ADA POHONNYA....BELIAU TIDAK MENANAMNYA TAPI MUNGKIN BENIHNYA DIBAWA PELBAGAI UNSUR ALAM....DURIAN INI TIDAK PUNYAI AROMA YANG MENYENGAT TAPI RASANYA TIDAK ENAK....PENDAPAT PI MUNGKKIN PIHAK PERTANIAN BOLEH MENGAHWINKAN DURIAN INI DENGAN DURIAN TEMPATAN TERBAIK...MANA TAU MENJADI HASILNYA DAN MUDAHLAH HENDAK MENGAMBIL BUAHNYA....KATA CIKGU WAN DURIAN INI TERBIAR SAJA DI POHONNYA TIDAK DIPEDULI SESIAPA.

Tumbuh sendiri disebar haiwan.
Tidak ditanam untuk komisel.
Tak laku di jual ,tak dijual di gerai buah
Rasa kurang manis
Berbau hancing spt kencing kura kura.
Tak dimakan binatang spt tupai dan monyet.
Isi warna putih.
Pelawat datang bergambar saja
Tumbuh meluas di kawasan Bekenu Miri ,Brunai ,dan Limbang, Lawas.

- Cikgu Wan Mohamad

Friday, 29 May 2020

PATUH SOP

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA

SELAMAT SAMBUNG PUASA ENAM UNTUK LENGKAPKAN PAHALA PUASA SELAMA SETAHUN INSYAA ALLAH



Pantun D’Klasik



Kebaya sulam lama ditiru,
berapun canggih tersentuh api;
beraya dalam norma baharu,
walaupun sedih patuh SOP.

Hendak  menanam huma dikawal,
bawa segemal padi dan maman;
puasa enam dibulan syawal,
tingkatkan amal teguhkan iman.


Dalam reban berbunyi itik,
keluar pagi berenang di kolam;
hari lebaran berhias cantik,
bergaya ranggi siang dan malam.

Faham takrifan senyuman dara,
sisip di rambut bunga melati
maaf-maafan ditutur mesra,
salam disambut lekat di hati.

Busana jingga DJ Amelin,
wajah berseri suara merdu;
kasih nan mesra erat terjalin,
di Aidilfitri menanggung rindu.

Pohon cemara di pinggir paya,
Rimbun  gaharu lempai sebelah;
rasa  gembira menyambut raya,
norma baharu bukan masalah.


Thursday, 28 May 2020

PERASAN

ASSALAMUALAIKUM


PIC SIFU TABIR ALAM

PERASAN

ANTOLOGI PUISI LIMERIK DINUKIL 24 PENULIS SPTA  BERJAYA DITERBITKAN DALAM TEMPOH PKP YANG BERSAMBUNG PKPB PULA....ALHAMDULILLAH TAHNIAH SIFU TABIR ALAM SELAKU PENYELENGGARA DAN SEMUA PENUKIL TERLIBAT.
LIMERIK PUISI INGGERIS  DENGAN TAJUK PILIHAN DAN LIMA BARIS SERANGKAP...BARIS SATU, DAN DAN LIMA 10 SUKU KATA....BARIS TIGA DAN EMPAT LIMA SUKU KATA.
PUISI INI MEMBAWA MESEJ SINDIRAN

SIFU TABIR ALAM MEMBERI BIMBINGAN SECARA ONLINE @FACEBOOK SEMUA PENULIS TERLIBAT AGAR KARYA YANG DIHASILKAN MENEPATI TEMA DAN BERKUALITI.

PEMANDU PELANCONG
#3
Kerjaya ini sangat dibangga
tukaran asing amat berharga
sepi pelancong
hasil terpancung
demam selsema dedar merongga

SENARAI PENULIS TERLIBAT

  1.  Amatara
  2. Asni Annuar
  3. Citranalis (Ruslina Mat Rakib)
  4. Fadziah Md Zakaria
  5. Faiziah Shamsudin
  6. Has Yusoff
  7.  Idah Die
  8.  Idarasul
  9. Issey Miyaki
  10. Kim's Diwa
  11.  Masdarina Mohd Ani
  12. Masria Maria
  13. Nazim MS
  14. Paridah Ishak
  15.  Raonah Mohd Sam
  16. Russ Asan
  17.  Sabariah Nor Salleh
  18. Sari Pangkor
  19.  Seti Zaleha
  20. Siti Siah
  21.  Syidah Ida
  22.  TabirAlam
  23.  Yahti Hayati
  24.  Zuraida Dewi

Wednesday, 27 May 2020

LEBARAN...

ASSALAAMUALAIKUM


Hari  Lebaran –
senyuman orak gara
salam dilafaz

solat Lebaran –
makmum satu famili
norma baharu

menu Lebaran –
meja hidang juadah
sekadar ada

Tuesday, 26 May 2020

ARIFF BALIK KAMPUNG

ASSALAMUALAIKUM

ARIFF BALIK KAMPUNG




Sepasang burung kulihat bertenggek di pohon manggis berdekatan rumah Atuk. Bentuknya agak besar. Dan matanya yang bulat itu seolah merenungku. Seram pulak aku rasa.
“Burung apa tu Tuk?” Atuk yang hendak melangkah menuruni tangga terhenti, lalu duduk di sisiku.
“Mana?”
“Itu! Di atas dahan pokok manggis. Ada dua ekor di situ!”
“Mata Atuk ni dah kabur tak nampak jelas. Cuba Ariff tunjuk kat mana.”
Aku segera menunjukkan arah yang aku maksudkan kepada Atuk. Atuk tersenyum memandangku. Hairan aku dengan gelagat Atuk.
“Kamu ni antara pokok manggis dan rambai pun tak dapat nak bezakan.”
“Pokok manggis di sebelah pokok rambai.”
“Iakah? Tapi Atuk mesti tahu, burung tu burung apa?” aku masih tetap mahukan penjelasan Atuk walau merasa malu dengan kesilapanku menamakan pokok. Memang terlalu banyak pokok buah-buahan di sekeliling rumah Atuk dan aku tidak dapat mengingati namanya satu persatu.
“Oh itu burung jampuk! Burung jampuk memang suka tidur di celah dahan pokok rambai pada waktu siang. Selalu Atuk nampak jampuk tidur di situ.” Aku mengangguk mendengar penerangan Atuk.
“Tapi matanya bulat merenung kita.”
“Agaknya burung jampuk tu dah bangun tidur dan memandang mangsa yang hendak dijadikan makanannya,” ujar Atuk.
“Mungkin burung jampuk tu hendak menangkap kita kut. Takut juga!”
“Isyh kamu ni ke situ pula yang difikirkan.” Atuk ketawa. Mungkin Atuk merasa lucu mendengar apa kukatakan.
“Burung jampuk tu yang jadi makanannya adalah tikus. Bukannya orang macam kita.” Lega hatiku kala Atuk berkata begitu.
Tiba-tiba aku melihat seekor burung pula hinggap di pohon manggis. Kali ini aku pasti pohon itu ialah pohon manggis kerana Atuk telah memberitahuku sebentar tadi.
“Itu burung apa pula? Cantik dan besar paruhnya.”
“Itu burung enggang! Yang berbunyi riuh itu burung murai, yang di bawah pokok kelapa tu burung mala kebau.”
“Macam duduk dalam zoo pula ya Atuk. Pelbagai jenis burung ada di sini. Burung-burung bebas terbang ke sana sini. Tapi tidak terkurung macam dalam zoo.”
“Ialah tu. Kawasan rumah Atuk ini di kampung dan banyak tumbuh pohon-pohon yang rimbun. Menjadi tempat tinggal burung-burung dan pelbagai jenis binatang yang dipelihara atau hidup liar. Bukannya seperti tempat kediaman Ariff di bandar sana.” Benarlah kata Atuk itu. Aku dapat merasakan perbezaan suasana di kampung dan bandar semenjak aku tiba di sini untuk menghabiskan cuti persekolahanku. Pada mulanya aku berat hati hendak balik ke kampung Atuk kerana aku leka bermain game sama ada di komputer atau gajet di rumahku. Dan aku yakin di sini sunyi. Dan aku tidak mahu hadapi suasana asing begitu.
Ibu memujukku agar aku cuba belajar mengenali alam semula jadi pula. Pengetahuannya berguna juga dalam pelajaran sains di sekolah. Tidaklah aku terkial-kial hendak menjawab soalan cikgu tentang pelbagai hidupan dan tumbuhan yang terdapat di sini. Akhirnya aku bersetuju balik ke kampung dan tinggal bersama Atuk dan Nenek. Dan aku terpaksa lebih lama tinggal dengan Atuk dan Nenek kerana kerajaan isytiharkan PKP bersambung PKPB sebagai langkah mengekang penularan virus corona. Sekolah pun telah ditutup.
“ Atuk ni asyik melayan kau bersembang terlupa pula apa Atuk nak buat.” Atuk cuba mengingatinya.
“Oh Nenek suruh Atuk ambil daun kunyit dan serai kat belakang rumah! Nak suruh kau pergi ambil, nanti lain pula yang kau ambil.”
Aku tersengih saja. Memang aku tidak kenal rupa daun kunyit dan pokok serai bagaimana. Aku perlu belajar mengenalinya.
“Biar saya ikut Atuk mengambil serai dan daun kunyit di belakang rumah. Nanti kalau Nenek minta saya ambilkan serai dan daun kunyit saya sudah tahu” aku segera mengekori Atuk yang melangkah dengan agak cepat. Aku melihat dua ekor burung bersama anak-anaknya memagut sesuatu di atas rumput.
Aku teruja memandangnya. Kalau dapat kutangkap dapatlah aku bermain-main dengannya. Kelihatannya burung-burung itu amat jinak. Tentu mudah saja aku menangkapnya. Aku dekati burung-burung itu perlahan-lahan. Sebaik aku menghulurkan tangan untuk menangkapnya, burung-burung itu dan anak-anaknya melarikan diri pula.
Pantas aku cuba mengejar. Tapi kaki aku tersadung akar pokok. Lantas aku tersungkur. Lututku luka sedikit. Aku mulai merasa kesakitannya. Aku menangis.
“Atuk!” jeritku.
“Eh kenapa kau terduduk di sini? Menangis pula! Apa yang dah jadi? Atuk ingat kau dah balik ke rumah. sebab Atuk tak nampak kau dekat Atuk tadi. Sudah jangan menangis. Orang lelaki mana boleh menangis. Luka skit saja tu. Lepas disapu ubat sembuhlah tu.”
“Sakitlah Atuk!”
“Kau buat apa sampai terluka lutut kau?”
“Saya cuba nak tangkap burung tu,” tiba-tiba burung yang hendak kutangkap tadi kelihatan berada di tepi semak.
“Oh kau nak tangkap burung wak wak ke! Memanglah tak akan kamu dapat menangkapnya. Sudahnya kamu yang terjatuh dan luka lutut kamu.”
“Nampaknya macam jinak saja!”
“Nampak saja macam jinak. Tapi burung ni memang liar.” Atuk mengambil beberapa helai daun yang tumbuh di dalam semak. Daun itu Atuk ramas hingga lumat. Kemudian atuk meletakkannya di lututku yang terluka. Darah merah yang mengalir sudah berhenti.
“ Daun apa ni Atuk?”
“Ini daun kapal terbang. Ubat untuk sembuhkan luka kecil. Tak lama lagi sembuhlah luka kamu tu. Mujarab mengubat luka.”
Atuk menolong aku untuk bangun.
“Kamu masih kuat untuk berjalan kan? Kalau kamu tak kuat biar Atuk dokong kamu macam kamu kecik dulu.”
Aku tertawa sedikit mendengar kata-kata Atuk.
“Jom kita naik ke rumah. Nenek kamu tentu sedang tertunggu-tunggu serai, daun kunyit yang dipesannya untuk dimasak rendang ayam. Esok kan kita nak sambut raya. Kalau kamu nak burung wak wak, nanti Atuk tangkap dengan jaring.”
Keesokan pagi Atuk mengajak aku ke bawah rumah melihat burung wak wak yang telah Atuk tangkap. Teruja aku melihatnya. Ada enam ekor semuanya. Aku memegang seekor burung wak wak dengan kejap agar tidak terlepas.
“Atuk nak sembelih untuk dibuat lauk kita!”
“Janganlah sembelih Atuk! Kasihan kat burung burung tu. Mungkin mereka ada anak-anak kecil seperti saya lihat semalam. Saya hanya hendak bermain-main sekejap. Kemudian Atuk .lepaskanlah semula.”
“Suka hati kamulah Ariff” sahut Atuk sambil mengusap-ngusap kepalaku
TAMAT

Monday, 25 May 2020

KEHIDUPAN INI

ASSALAMUALAIKUM

KEHIDUPAN INI

Allah Allah kami memohon diampun,
akan dosa kami yang banyak terhimpun.
Lafaz bismillah nazam mula berlagu,
suara hati bergema sayu tapi ragu.
Mencitra dugaan menjadi masalah,
fikiran terawang keliru menelah.
Hidup itu tidak berwarna pelangi,
sekadar berharap semuanya wangi.
Kepada Ilahi menggantung harapan,
hamba nan kerdil niatnya disimpan.
Semoga segala dugaan merintang,
mampu dihadapi apa saja terbentang.
Selalu berdoa ke hadzrat Allah,
menyerah segala timbunan masalah.
Selagi bernafas menghirup udara,
bersyukur kerana nikmat-Nya segera.
Walaupun dugaan menguji selalu,
santunan kesabaran bak air lalu.
Karangan nazamku sekian sahaja,
maafkanlah kesalahan tidak sengaja.
Allah Allah kami memohon diampun,
akan dosa kami yang banyak terhimpun.

PARIDAH ISHAK
DMS
26/5020

Sunday, 24 May 2020

ULANG TAHUN KELAHIRAN...

ASSALAMUALAIKUM

SALAM SYAWAL MERAIKAN AIDILFITRI 24 MEI...EH PI TERLUPA HARI NI ULANG TAHUN KELAHIRAN  PI....ALHAMDULILLAH JATUHPADA HARI RAYA PULAKYA...SANAH HELWAH DIRI MOGA SIHAT SEJAHTERA SELALU MENGISI USIA YANG MASIH BERSISA SEADANYA DALAM LINDUNGAN ALLAH MENGHARAP REDA RAHMAT-NYA


Saturday, 23 May 2020

DOA..

ASSALAMUALAIKUM


SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI  MERAIKAN KEMENANGAN BERPUASA SELAMA SEBULAN DAN MENGATASI PERLBAGAI UJIAN YANG MERUMITI KITA MUTAKHIR INI...APAPUN SITUASI YANG MELINGKUNGI KITA AIDILFITRI MESTI DIRAIKAN KEHADIRANNYA DENGAN CERIA DAN BERBAHAGIA....PI BERAYA DI SERENDAH BERSAMA ANAK CUCU DAN JIRAN-JIRAN YANG BARU DISANTUNI...ALHAMDULILLAH...KALAU DULU-DULU TENTUNYA PI SUDAH BERADA DI KAMPUNG PI DI PAHANG SANA MENYAMBUT RAYA BERSAMA BONDA..ADIK-ADIK ...SAUDARA MARA DAN JIRAN-JIRAN TETANGGA SAHABAT LAMA...KINI PKPB MEMBATASKAN LANGKAH KITA DEMI KEMASYLAHAN BERSAMA UNTUK MENCEGAH PENULARAN COVID-19....INSYAA-ALLAH JIKA KITA SEMUA SALING MENJAGA DIRI BERHATI-HATI ANGKARA CORONA VIRUS INI MAMPU DITANGANI.





DOA


Demi Allah Subhanahuwataala,
ampuni segala dosa hamba yang mencela .

Bermula bismillah nazam kukarang,
apa yang tersurat dinyatakan terang.

Hanya kepada-Mu hamba-Mu beriman,
dunia dan akhirat beroleh nyaman.

Harapan semoga tiasa selesa,
sehingga akhirnya harmoni sentosa.

Demi Muhammad rasul junjungan umat,
selawat dan salam lafaz tiada tamat.
Tiada dilupa di dalam kenangan,
siang dan malam tidak berhujungan,

Berdoalah hamba di atas sejadah,
segala urusan agar dipermudah.

AIlahu Rabbi yang maha Mendengar,
walaupun terdetik sembunyikan hingar.

Tiada apapun aral yang menggundah,
berdoa bersungguh tangan nan ditadah.

Hindarkanlah segala bahaya petaka,
yang menyeret hamba ke dalam neraka

Allah hamba mohon doa diperkenan,
semua ujian berupa pesanan.

Berakhirlah sudah karangan nazamku.
sekadar luahan rasa yang terbuku

Demi Allah Subhanahuwataala,
ampuni segala dosa hamba yang mencela .

Friday, 22 May 2020

TAFSIR SURAH 21: AL ANBIYA' (PARA NABI) AYAT 91 -101.

ASSALAMUALAIKUM

PERKONGSIAN ILMU SURAH 21: AL ANBIYA' (PARA NABI) AYAT 91 -101.
Solat Isyak dan terawih malam ini diimami oleh Ahmad, anak ketujuhku yang baru pulang bercuti.
Suamiku memimpin bacaan kami secara bertalaqqi. Majlis ilmu kami malam ini, dua dalam satu. Pertama: Majlis khatam Quran. Syukur Alhamdulillah aku dan suami telah khatam 30 juzuk. Kedua: Kelas tafsir Quran.
"Mama mengapa bersungguh sangat mama buat kelas tafsir?" Tiba-tiba Afyan, anak sulungku bertanya.
"Mama mahu semua anak, menantu dan cucu memahami kandungan 30 juzuk Quran. Memahami wahyu Allah ini." Aku cuba memberi penjelasan.
"Mama terkesan dengan kata-kata guru mama Maulana Abdul Hadi, pondok Darul Uloom. Memahami 30 juzuk Al-Quran bagai kita memiliki segalanya walaupun kita tidak memiliki segalanya." Terasa mataku bagai dimasuki sampah.
"Oh...insaf..!" Afyan bersuara. Anak-anak dan menantu-menantu yang lain senyap.
"Ayat 91: DALIL NAQLI ke-10 kisah Maryam ibu Nabi Musa as." Aku memulakan tafsir.
"Minggu lepas telah disebut kisah Nabi Zakaria dan isteri yang lanjut usia dapat anak Nabi Yahya as. Sekarang kisah kelahiran luar biasa Maryam melahir kan Nabi Isa as tanpa suami."
"Maryam wali Allah menjaga maruahnya. Tidak berkahwin dan tidak berzina . Allah tiupkan roh ciptaan-NYA. Dan lahirlah Nabi Isa as tanpa bapa. Allah mahu tunjukkan kekuasaan- NYA."
Melihat mereka diam aku menyambung tafsir, sambil menunjuk nota di papan putih.
"Ayat 92 merupakan kesimpulan tentang ajaran agama Islam. Setelah Allah sebut kisah para nabi secara ringkas, Allah beritahu, kita semua daripada umat yang satu. Kita sembah hanya Allah sahaja, Tuhan yang satu. Dan berdoa kepada Allah sahaja."
Aku menjelaskan semua nabi-nabi dan rasul-rasul menyampaikan ajaran yang sama. Iaitu tentang akidah, cara hidup dan alam akhirat.
"Ayat 93: Sepatutnya semua umat manusia beribadah kepada Allah sahaja. Bersatu atas satu ajaran tauhid tetapi mereka telah berpecah- belah. Ada yang ikut jejak para nabi dan ada yang tak mahu ikut nabi. Allah menegaskan, semua akan kembali kepada- NYA. Semua akan mati."
"Nabi Isa as belum mati kan..?" Amla, anak keduaku mencelah tanya
"Nabi Isa as ada di langit kan..?" Zulaikha, cucu keduaku pula menyambung pertanyaan.
"Ya... Betul." Aku membenarkan.
"Nabi Isa as akan turun semula ke dunia sebelum kiamat. Baginda akan membunuh Dajjal." Amiru, anak kelimaku menambah info. Yang lain-lain hanya mengangguk tanda faham.
"Ayat 94: Sesiapa yang beramal soleh dan beriman dengan akidah tauhid. Segala usaha akan dibalas. Tiada usahanya tidak dihargai. Semua dicatat segala amalannya."
"Ayat 95: Allah menyebut; Haram mendapat iman kepada penduduk- penduduk yang telah Allah binasakan. Mereka tidak kembali kepada Allah, kecuali dalam keadaan syirik."
"Ayat 96: Apabila tembok yang menyekat Yakjuj dan Makjuj runtuh, mereka turun dari tempat tinggi dengan cepat."
"Yakjud Makjuj ni apa... Manusia ke..?" Denial, adik Zulaikha pula melontar tanya.
"Bukan manusia. Sejenis makhluk yang sangat ganas dan melakukan kerosakan." Jawabku.
"Tembok tu...Tembok Besar Negeri Cinakah?" Farah, isteri Ahmad
bertanya.
"Bukan..." Aku segera menjawab.
Aku menjelaskan dalam surah Al-Kahfi, tidak dijelaskan lokasinya. Allah SWT sebut tembok itu dibina pada zaman Raja Zulkarnain.
Apabila runtuh, Yakjuj dan Makjuj akan keluar. Mereka membunuh orang-orang yang tidak beriman. Orang-orang beriman berlindung dalam masjid-masjid.
"Ayat 97: ANCAMAN AKHIRAT, sebagai penakutan." Aku menyambung tafsir
"Apabila kiamat berlaku terbelalak mata kaum yang ingkar kerana terlalu terkejut. Mereka berkata; Aduha...Celakalah kami sesungguhnya kami dalam keadaan lalai dan zalim."
"Mereka lalai tentang akhirat dan tidak bersedia. Zalim pula bermakna syirik kepada Allah. Mereka sangat menyesal."
"Ayat 98: Allah menjelaskan kepada kaum yang syirik ini. Sembahan- sembahan yang kamu seru menjadi bahan bakar api neraka dan kamu masuk ke dalam neraka kekal
selamanya."
"Semoga Allah lindungi kita." Aku memohon doa.
"Amiin..." Mereka mengaminkan doaku.
"Ayat 99: Allah berkata kepada penghuni neraka. Sembahan- sembahan yang kamu seru itu, jika illah yang benar tentulah tidak masuk neraka. Tetapi sembahan- sembahan itu tidak dapat selamatkan kamu, malah masuk neraka bersama kamu."
"Ayat 100: Di dalam neraka penghuni- penghuni bertempik dan merintih dengan kuat. Mereka semua menjerit tetapi tiada siapa yang mendengar. Semua sibuk dengan hal masing- masing menerima azab dan seksaan. Suasana dalam neraka sangat bising dengan hiruk- pikuk."
"Ayat 101: BERITA GEMBIRA. Nabi-nabi yang kamu seru. Wali-wali yang kamu seru. Seperti Nabi Isa as, Nabi Uzair berada dalam kenikmatan syurga dan kekal di dalamnya. Mereka dijauhkan daripada neraka."
"Semoga kita semua dapat masuk syurga Firdaus."
"Amiin..."

MyBloglist