Tuesday 21 April 2020

MENANAM PADI

ASSALAMUALAIKUM


MENANAM PADI



Menanam padi cara dahulu agak rumit sedikit pada pandangan dan pengalamanku. Tukwanku memiliki beberapa relung tanah bendang yang akan ditanam dengan pokok padi pabila tiba musimnya. Tukwanku akan membersihkan bendang terlebih dahulu daripada rumput liar pelbagai jenis yang tumbuh selepas beberapa bulan saja terbiar. Jerami padi hasil tuaian lalu dibakar atau diletak saja di atas batas yang memisahkan antara petak bendang.
            Setelah kelihatan bersih dan lapang tukwan akan membajak tanah bendang pula, pembajak tanah yang tajam berkilat itu akan ditarik sang kerbau balar peliharaan tukwanku. Bapa saudaraku turut membantu. Beberapa petak kecil disediakan untuk menyemai benih padi yang direndam selama beberapa hari sehingga bertunas kecil. Taburan benih menumbuhkan pokok padi muda yang menghijau.
            Kerja mencabut anak benih dan diikat seberkas kecil dilakukan emak-emak saudaraku. Aku turut membantu dan bersedia sekiranya betis dijengkal lintah. Uih takut juga! Puas hendak menanggalkannya. Kelihatan berdarah betis bekas digigit lintah. Tapi sakitnya tidak terasa.
            Anak padi muda itu akan diletakkan di atas batas yang mana petaknya akan dtanam dengannya. Tika ini jiran sekampung akan turut membantu ‘berderau’. Amalan berderau akan mempercepatkan selesainya kerja menanam padi. Tuk selalunya akan menyediakan pulut yang dimakan dengan nyiur kukur dan ikan kering goreng sebagai sarapan pagi mereka yang datang berderau.
Dan menarilah kuku kambing ke kiri ke kanan menikam akar padi muda ke dalam tanah ditarikan penanam padi. Panas yang memancar bahang membakar diri dilindungi dengan terendak mengkuang yang dibawa.
            Akhirnya siap semua petak bendang ditanami padi. Siapa yang datang berderau tuk atau emak saudaraku akan berderau pula di bendang mereka. Menghijau subur padi sambil tukwan membaja dan menjaga gangguan serangga perosak. Hari berganti dan pokok pokok padi mulai berisi. Padi pulut tuk tanam sedikit saja untuk kegunaan keluarga.  Setelah padi pulut kelihatan agak kekuningan tuk akan mengetamnya sedikit. Padi pulut yang hijau tapi sudah berisi diketam juga. Padi pulut yang kuning  akan dijadikan   emping sementara yang masih hijau dijadikan ringi.
            Pada malam bulan mengambang penuh diterangi cahaya pelita ayan menyuluh kelam, saling bertingkah alu turun ke lesung menumbuk padi pulut yang digoreng untuk dijadikan emping. Keluarga dan jiran yang turut serta nikmatinya dengan menggaul kelapa muda juga sedikit nisan nipah. Sedapnya tak terkata. Sementara ringi yang hijau lagi harum dimakan begitu saja. Untuk minuman pembasah tekak biasanya air nira nipah dan air kopi pekat.
            Kalau musim mengemping bertandang maknanya padi yang ditanam di bendang semakin menguning emas dan boleh dituai bila-bila saja. Orang-orang dipacak di tengah bendang untuk menakutkan burung ciak yang berkawan menghurungnya. Jika dibiarkan tentu berkurang rezeki yang diperolehi heh..heh..
            Jiran sekampung akan datang berderau memotong padi pula. Sebelum itu tuk akan mengajak mereka makan sirih pinang dulu disamping menambah tenaga dengan hidangan pulut tanak dengan nyiur kukur dan ikan kering yang digoreng.
            Memotong padi memang suka kulakukan. Mudah saja. Cuma cekak serumpun padi dan dipotong dengan pemotong padi. Kemudian letakkannya di atas batang padi yang telah dipotong. Tukwan akan mengambilnya dan membawa ke bekas tong padi untuk memukulnya. Untuk memisahkan padi daripada rumpunnya perlu memukulnya beberapa kali di dalam tong yang diletakkan tangga kecil.
            Suasana itu hanya indah dalam kenanganku. Tidak kelihatan lagi kini. Menanam padi tidak lagi melalui cara begitu. Bendang tidak dibajak sang kerbau tapi traktor. Para ibu dan gadis tidak terbongkok-bongkok di bendang menanam padi dengan kuku kambing. Traktor juga digunakan untuk menabur benih. Tiada lagi acara berderau memotong padi di bendang dan mengunyah sepiak sirih pinang. Mesin padi kini memudahkan urusan penuaian.   

14 comments:

  1. Dapat bayangkan semangat gotong-royong berderau..sekrg pakai tabur benih padi, menuai pula guna mesin..

    sedapnya emping, ringi tak pernah makan..

    ReplyDelete
  2. TKSH NOHAS SEMUANYA TINGGAL KENANGAN...RINGI MMG SEDAP LEMBUT DAN HARUM HIJAU WARNANYA

    ReplyDelete
  3. Hai Kak PI, lama tak singgah sini. Akak sihat?

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH WAWA SUDI HADIR TANYA KHABAR KAK..ALHAMDULILLAH HARAP WAWA JUGA SIHAT

      Delete
  4. Kerja wak masa kecik2 dulu.
    Sekarang sawah padi dah kering jadi kebun kelapa sawit.

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH WP..YEKE..RAMAI YG TUKARKAN SAWAH JADI KELAPA SAWIT LA NI...TAPI SEBELAH KEDAH SAWAHNYA LUAS TERBENTANG

      Delete
  5. rindu pada alam dan keindahan nya sejak PKP ni, kalau balik Teluk Intan, rumah sepupu di Sg Manik di tengah sawah padi, entahlah macam tak berpeluang je nak raya ziarah menziarahi tahun ni kan :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH ANA YA KWSN SG MANIK SAWAHNYA LUAS..LEPAS PKP BOLEHLA BALIK SANA TU

      Delete
  6. Teringat zaman dulu mak bawa ke sawah..sekarang ni beli beras tak ada sawah ..asal orang kampung..perubahan keadaan punca air tak ada dah, sawah jadi kebun getah

    ReplyDelete
    Replies
    1. TKSH CIKGU ETUZA..WAH ADA JUGA PENGALAN BERSAWAH YA..XPALAH TAHU DAN RASAI KENANGANNYA

      Delete
  7. Assalamualaikum kak, moga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
    Saya salah seorang yang sangat teruja dengan sawah bendang. sangat teruja. saya tidak sempat menikmati aktiviti bersawah bendang di kg kelahiran saya, saat saya membesar aktiviti tersebut telah dihentikan. akhirnya sawah bendang menjadi paya yang dinaiki belukar rimbas. Untunglah kak paridah sempat merasai zaman itu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. WSALAM USTAZ MOGA USTAZ N FAMILI JUGA SIHAT SEJAHTERA...YA BANYAK SAWAH DI PAHANG DULU TAPI TIDAK LAGI DIUSAHAKAN.. NAMPAK DI ROMPIN PADI GIAT DITANAM

      Delete
  8. Tenang jiwa melihat kehijauan sawah padi.. subhanallah. Allahuakbar.

    ReplyDelete
  9. Masa kecik2 dulu, saya nak sangat ada rumah dekat sawah padi...cantik

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist