LANGKAH YANG MENDAHULUI
Keluargaku berpindah ke
Pahang untuk menyertai skim tanah LKTP pada awal 1967. Tika itu usiaku 9 tahun.
Ada beberapa keluarga turut bersama kami menaiki bas kerajaan negeri Kedah
menuju destinasi. Sebelum tiba ke destinasi bas yang dipandu seorang lelaki
Singh berhenti beberapa kali untuk berehat, makan dan melunaskan hajat. Terkejut
aku memperhati pemandu bas itu membuka serban di kepalanya. Maka terjuntailah
rambutnya yang panjang sehingga melepasi kaki. Rambut itu dijalin dengan rapi dan
dimasukan ke dalam serbannya.
Bas melaju lagi melawati negeri Pulau Pinang. Kemudian memasuki
negeri Perak dan Selangor. Jalan yang sempit dan berliku dilalui sehingga
menyebabkan penumpang-penumpangnya termuntah lantaran mabuk darat dan amat
keletihan.
Sebab bas yang membawa kami
bertolak pada sebelah malam, maka tibalah kami semmua ke pejabat LKTP UJ pada
awal pagi. Setiap keluarga diberi nombor rumah yang disediakan pihak LKTP untuk
dihuni. Kawasan sekitarnya penuh semak samun. Rumah yang disediakan di sebelah
kiri dan kanan kelihatan masih kosong.
Selang beberapa lama aku melihat landrover LKTP
menurunkan seorang lelaki dan perempuan sebaya emak bapaku bersama seorang anak
kecil menghala langkah ke rumah kosong
itu. Kini mereka adalah jiran sekaligus saudaraku. Pasangan suami isteri dan
anaknya Zurina berasal dari Pulau Pinang. Aku mengenalinya sebagai kak Som dan
abang Musa.
Mereka berdua sangat rapat dengan keluargaku. Dan saling
berkongsi susah dan senang. Rajin membantu kala aku dan keluarga saat perlukan
pertolongan. Aku amat terhutang budi dengan kebaikan mereka berdua. Beberapa tahun
dulu abang Musa telah meninggal dunia di dalam lot kebun sawitnya tika sedang
membersihkannya.
Sempat aku menziarahi jenazah Allahyarham bang Musa
menzahirkan kedukaan yang tidak terucap. Tika itu aku baru saja boleh berjalan
jatuh setelah pulih sedikit daripada eksiden yang dialami. Aku tetap berusaha
membawa diriku yang lemah menziarahi jiranku buat kali terakhir. Doaku semoga
Allah mencucuri rahmat-Nya dan menempatkan Allahyarham bang Musa di kalangan
para solehin kekasih-kekasih-Nya
Aku baru hendak membaringkan
diri melepaskan lelah di katil setelah lama mengadap pc. Sudah berkira-kira
hendak menutupnya. Sekali muncul mesej daripada anak kak Som, cikgu Lina bahawa
ibunya telah meninggal dunia pada 4 April lalu. Astaghfirullah! Innalillah! Dalam
tempoh PKP? Kedukaan menggelut kalbu. Aku
kehilangan lagi seorang sahabat baik yang tidak berdaya kujengahi dan mengiringnya
ke persemadian abadi.
Hanya doa yang mampu dilafaz
hati menyulam senandung pilu….Al Fatihah….langkah mendahului pasti disusuli
kala dijemput pergi Ilahi Rabbi pasti.
Al-Fatihah buat arwah Kak Som dan suaminya.
ReplyDeleteSemoga roh mereka dicucuri rahmat
AMIIN TKSH WP
ReplyDeleteInnalillahiwainnailaihirojiun.. salam takziah. Al Fatihah.
ReplyDelete