Tuesday 7 April 2020

KAK SOM

ASSALAMUALAIKUM


LANGKAH YANG MENDAHULUI

Keluargaku berpindah ke Pahang untuk menyertai skim tanah LKTP pada awal 1967. Tika itu usiaku 9 tahun. Ada beberapa keluarga turut bersama kami menaiki bas kerajaan negeri Kedah menuju destinasi. Sebelum tiba ke destinasi bas yang dipandu seorang lelaki Singh berhenti beberapa kali untuk berehat, makan dan melunaskan hajat. Terkejut aku memperhati pemandu bas itu membuka serban di kepalanya. Maka terjuntailah rambutnya yang panjang sehingga melepasi kaki. Rambut itu dijalin dengan rapi dan dimasukan ke dalam serbannya.
            Bas melaju lagi melawati negeri Pulau Pinang. Kemudian memasuki negeri Perak dan Selangor. Jalan yang sempit dan berliku dilalui sehingga menyebabkan penumpang-penumpangnya termuntah lantaran mabuk darat dan amat keletihan.
Sebab bas yang membawa kami bertolak pada sebelah malam, maka tibalah kami semmua ke pejabat LKTP UJ pada awal pagi. Setiap keluarga diberi nombor rumah yang disediakan pihak LKTP untuk dihuni. Kawasan sekitarnya penuh semak samun. Rumah yang disediakan di sebelah kiri dan kanan kelihatan masih kosong.
            Selang beberapa lama aku melihat landrover LKTP menurunkan seorang lelaki dan perempuan sebaya emak bapaku bersama seorang anak kecil menghala langkah  ke rumah kosong itu. Kini mereka adalah jiran sekaligus saudaraku. Pasangan suami isteri dan anaknya Zurina berasal dari Pulau Pinang. Aku mengenalinya sebagai kak Som dan abang Musa.
            Mereka berdua sangat rapat dengan keluargaku. Dan saling berkongsi susah dan senang. Rajin membantu kala aku dan keluarga saat perlukan pertolongan. Aku amat terhutang budi dengan kebaikan mereka berdua. Beberapa tahun dulu abang Musa telah meninggal dunia di dalam lot kebun sawitnya tika sedang membersihkannya.
            Sempat aku menziarahi jenazah Allahyarham bang Musa menzahirkan kedukaan yang tidak terucap. Tika itu aku baru saja boleh berjalan jatuh setelah pulih sedikit daripada eksiden yang dialami. Aku tetap berusaha membawa diriku yang lemah menziarahi jiranku buat kali terakhir. Doaku semoga Allah mencucuri rahmat-Nya dan menempatkan Allahyarham bang Musa di kalangan para solehin kekasih-kekasih-Nya
Aku baru hendak membaringkan diri melepaskan lelah di katil setelah lama mengadap pc. Sudah berkira-kira hendak menutupnya. Sekali muncul mesej daripada anak kak Som, cikgu Lina bahawa ibunya telah meninggal dunia pada 4 April lalu. Astaghfirullah! Innalillah! Dalam tempoh PKP?  Kedukaan menggelut kalbu. Aku kehilangan lagi seorang sahabat baik yang tidak berdaya kujengahi dan mengiringnya ke persemadian abadi.
Hanya doa yang mampu dilafaz hati menyulam senandung pilu….Al Fatihah….langkah mendahului pasti disusuli kala dijemput pergi Ilahi Rabbi pasti.  

3 comments:

  1. Al-Fatihah buat arwah Kak Som dan suaminya.
    Semoga roh mereka dicucuri rahmat

    ReplyDelete
  2. Innalillahiwainnailaihirojiun.. salam takziah. Al Fatihah.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist