Bab11.
Kepangkuan keluarga
“Mak! Tengok orang
jauh dah sampai...” Laung Sazali meneriakan emaknya yang sedang bersibuk
mengurusi dapurnya yang berselerak. Sebentar tadi ahli keluarganya bersarapan
di situ. Keadaannya yang tidak tersusun dan menyakitkan matanya memandang.
Emaknya bergerak
pantas dari ruang dapurnya untuk menjengah ke luar rumah. Meninggalkan
sementara apa yang terniat hendak dilakukannya.
Benar sekali apa
yang dikatakan anaknya itu. Matanya menyapa sesuatu yang amat diharapkan akan
kehadirannya. Se buah kereta biru tua berada di laman rumahnya membawakan
pesanan istimewa kirimannya. Anak perempuan kesayangannya.
“Baru sampai ko?,”
sapanya kalut kepada lelaki yang membuka pintu kereta untuk menuruninya.
“Iya kak, baru
saja sampai. Lepas turunkan anak isteri saya di rumah terus saya bawakan anak kak
ke sini…”
“Bagaimana dengan
Ani? Dia sihat ko?” Bertambah lagi pertanyaannya yang ramah berbahasa.
“Nampaknya macam
tulah kak. Dia pun dah habis pantangnya. Tapi nampak masih lemah lagi…” Balas
lelaki itu memberitahu daripada pemerhatian mata kasarnya.
“Tak apalah Harun.
Bersabar sajalah. Orang yang melahirkan anak memang begitu. Apa lagi anak
sulung. Lambat sikit nak pulih sihat macam biasa. Mu jagalah dia baik-baik.
Jangan biarkan dia buat kerja berat. Takut peranakannya lambat pulih, mu juga
yang susah,” tutur Hanisah diiringi senyum bermaksud. Harun membalas senyum
itu.
“Iyalah kak…”
Harun berpaling kepada Aisyah pula. Aisyah berada di sisi emaknya. Dan Hanif
bergantung di tangannya. Seolah tidak mahu lagi dilepaskan tangan kakaknya itu.
“Aisyah dah keluarkan
semua barang-barang Aisyah?” Tanya Harun ingin memastikannya. Aisyah angguk.
“Terimakasih
banyak-banyak Run sebab tolong bawa anak kak ni ya. Petang nanti kakak akan gi
rumahmu melawat Ani…”
Harun memasuki
keretanya semula tetapi berpaling mengadap wajah Hanisah yang tiba-tiba
tercegat di sebelah pintu kereta yang hendak di tutupnya.
“Ini abangmu beri
duit untuk tambang Aisyah, ambillah. Tadi abangmu pesan kalaumu hantar Aisyah
dia suruh beri duit ni ko mu.”
“Tak payahlah kak.
Saya tolong ja. Tak payah duit-duitlah. Saya balik ke sana sebab nak ambil anak
isteri saya. Kebetulan kereta agak kosong bolehlah saya bawakan Aisyah sekali.
Tak payahlah kak. Simpan ja duit tu...”
“Tak boleh Run. Mu
kena ambil juga. Tak apalah kalaumu tak nak ambil tambang Aisyah. Tapi anggap
saja pemberian kak dan abang untuk anakmu yang baru lahir tu...”
“Kalau kak dah
kata gitu terpaksalah saya ambil. Terima kasih banyak…” Demikian peranan budi
bahasa yang dimainkan sebaiknya di antara kedua-duanya mencapai maksud dengan sebaiknya.
Yang
kurik itu kendi
Yang merah itu saga.
Yang
cantik itu budi
Yang indah itu bahasa.
“Sama-sama. Kirim
salam ko Ani ya!”
“Insya-Allah.”
Harun menekan pedal minyak agar keretanya segera bergerak ke destinasinya yang
menjadi niatnya. Hatinya yang ingin segera hendak bersama dengan isteri
kesayangannya yang telah melahirkan cahaya mata permata kepadanya.
“Baik sungguh
abang Harun dengan kak Ani tu terhadap saya mak...”
“Memanglah. Mereka
berdua suami isteri tu memang baik dengan semua orang. Lagipun hidup di tengah
masyarakat yang datang dari segenap cerok rantau ini, kita perlulah
berbaik-baik dengan semua orang. Tak guna menyombong diri buat orang bencikan
kita. Sudahnya kita di sisihkan tak berkawan…” Sahut ibunya dengan komen yang
positif tentang jirannya itu meski mereka tidak tinggal berdekatan.
“Nenekmu apa
khabar?”
“Nek sihat ja, dia
sibuk dengan jualannya di gerai. Nek kirim salam pada mak dan ayah. Mak cik
Salina pun kirim salam pada mak dan ayah...”
“Waalaikummussalam.
Jom bawa barang-barangmu masuk ke rumah...”
“Hai Hanif
nampaknya tak nak berenggang dengan kak long ya. Asyik berkepit saja. Mari
tolong abang bawakan beg dan barang-barang kak long ni,” ujar Sazali berserta
perintah yang mengacah.
Hanif mencebek.
Semakin dikuatkan pergantungannya di lengan kanan kakaknya.
“Tak sir kita.
Abanglah buat. Beg tu berat…”
“Wah! Bukan main
berlagak dia bila dah jumpa dengan kak long ya. Kalau tidakmu itu mengekor
dengan abang ja. Lepas ni abang nak pergi mancing belakang rumah pak Pin. Sebab
mu berlagak sangat abang tak sir (hendak) bawamu gi sekali...”
“Kita pun tak sir
gi. Gi lah abang sorang. Mak kata di sungai belakang rumah pak Pin tu ada hantu
air. Iih tak berani kita...” Sazali tersengih mendengarkan ocehan adiknya yang
spontan itu.
Adiknya itu pasti
mengulangi pesanan emak kepadanya demi menakutkannya agar tidak berpergian ke
sungai di tepi hutan itu. Emaknya tentu bimbangkannya akan ke situ sendirian
tanpa di sedarinya. Jikalau sesuatu terjadi ke atas diri anaknya itu tentulah
tidak berguna lagi disesali.
Aisyah, Hanisah
dan Sazali saling pandang memandang seraya tersenyum.
“Pandailahmu nak
menakutkan abang ya. Abang mancing nanti dapat ikan, bila mak masakmu jangan
makan. Tapi betul apa yang mak kata tu. Mu jangan berani gi mancing sorang diri
di situ. Kalau kena tangkap dek hantu air kan susah. Abang tak apa, sebab abang
dah besar…”
“Iyalah dapat ikan
banyak konon. Sebenarnya dapat ikan sadin yang mak suruh beli di kedaikan
heh…heh…cakap besar tak takut sorok dek hantu. Tapi orang besar pun kena sorok
dek hantu kan mak. Macam abang Lim. Puas orang cari baru jumpa…”
Sazali menyengguh
lembut kepala adik kecilnya kerana telah mempermainkan kewibawaan dirinya. Itu
yang dirasakannya. Namun apa yang dikatakan adiknya itu ada kebenarannya.
Baru-baru ini
Salim yang sebaya dengannya membawa bersama dua orang rakannya untuk memancing
di lubuk di pinggir ladang sawit peringkat tiga . Peringkat tiga adalah kawasan
tanah yang baru diteroka untuk perluasan ladang sawit. Kedudukannya berhampiran
dengan hutan simpan yang diwartakan.
Dan di situ
terujud sebuah tempat yang sangat indah dengan pelbagai unsur alam semula jadi
dengan air terjunnya yang seolah tersusun molek berperingkat dan bertingkat di
laluan air yang mengalir dingin lagi tenang. Di bahagian tengahnya terdapat
sebuah lubuk yang kelihatan airnya seakan berpusar. Orang-orang di sini
mengenalinya sebagai Lubuk Yu. Ramai yang akan mengunjunginya sekiranya bekalan
air paip terputus dalam jangka masa yang agak lama untuk mandi manda atau
membersih pakaian
Salim dan
kawan-kawannya yang memang gemar merayau ke segenap pelosok ladang di tanah
rancangan ini mencari tempat memancing ikan yang disukai akhirnya menuju ke
sini di bawa kaki.
Mereka semua
terkesima melihat ikan-ikannya sangat banyak berlompatan di pinggiran lubuk
yang amat mengujakan Salim dan teman-temannya untuk menangkapnya. Keseronokan
yang terlalu kerana memperolehi tangkapan ikan yang banyak menyebabkan mereka
alpa dengan perubahan warna alam.
Setelah senja mereka yang dinanti
kepulangannya tidak juga menjelma.
Risau sungguh hati
kedua-dua ibu-bapa mereka kerana bimbangkan akan keselamatannya. Manakan
bimbangkan anak-anak itu di serang binatang buas. Harimau sememangnya
kadangkala ternampak bayangnya dari se balik barisan pokok sawit yang baru
meninggi dan segera menghilang ke dalam hutan berhampiran.
Gajah juga dibimbangi mencederakan anak-anak
itu kerana kehadirannya tidak pernah diduga akan meranapkan apa saja yang
dipijaknya.
Itu adalah antara
senarai bahaya yang nyata dan perlu di ambil kira risikonya terhadap anak-anak
itu. Tetapi kemungkinan bahaya yang tidak zahir di mata juga merisaukan. Mana
tahu anak-anak itu disembunyikan makhluk halus dan disesatkan dari dunia nyata.
Kebanyakan mereka
yang menghuni di situ fikirannya menjurus ke arah itu. Sepakat kata mengatakan
Salim dan kawan-kawannya disembunyikan orang bunian. Walau selama ini mereka
semua tidak nampak akan kewujudan orang bunian itu selama menghuni di sini.
Pihak pengurusan
rancangan mengumpul semua penduduk yang lelaki juga terdiri daripada kalangan
yang ada sedikit ilmunya tentang alam nyata dan yang terlindung untuk mencari
anak-anak yang hilang itu.
Bermula dari awal
senja hingga menjelang tengah malam, operasi mencari digerakan. Azan
dikemundangkan berterusan dari segenap penjuru ladang untuk menghalang
gangguan-gangguan ghaib. Dengan pertolongan Allah jua..
Usaha yang tidak
kenal lelah itu akhirnya di berkati Allah. Anak-anak yang bertiga itu di temui
sedang tidur berpelukan di bawah pohon tembusu yang rimbun tanpa menyedari riuh
dan hingar di sekeliling mereka yang berulang kali melaungkan nama mereka.
Pak imam
membacakan ayat-ayat suci pada kantung air yang dibawanya lalu direnjiskan ke
muka anak-anak itu. Barulah anak-anak itu terkapa-kapa sedarkan diri. Kata
Salim mereka sudah puas berkeliling mencari jalan pulang setelah meninggalkan
lubuk itu tetapi tidak berjumpa. Mereka hanya berpusing-pusing di tempat yang
sama.
Akhirnya mereka
keletihan dan mengambil keputusan bermalam di perdu tembusu itu kerana hari
sudah malam dan tidak kelihatan lagi arah jalan yang patut dituju.
Imam itu bercerita
kepada anak isterinya pula tentang apa yang dikisahkan Salim kepadanya. Justeru
itu isterinya sentiasa mengingatkan anak-anaknya perihal ancaman makhluk-makhluk
halus yang suka mengganggu kesejahteraan manusia jikalau terleka..
Dan berwaspada serta membenteng diri dengan
bacaan surah-surah ayat suci al-quran sentiasa. Terutama ayat kursi. Sazali
tidak pernah lupa tentang pesanan emak dan ayahnya itu setiap kali berada di
tempat yang agak asing dan pertama kali dijejakinya.
Setakat ini dia
berjaya menghindari sebarang musibah angkara gangguan-gangguan yang ditakuti
kebanyakan orang itu..
“Eh! Tak baik buat
lagu tu Zali. Jangan main-main kepala.” Tingkah emaknya menegur perilaku Zali
terhadap adiknya.
“Kita sentuh sikit
ja mak. Bukan kita pukul...” Balas Zali selamba.
“Mu pun Hanif
sejak dah pandai kecek (bercakap), bukan main lagi mulutmu. Macam murai
tercabut ekor. Suka kecek bukan-bukan
buat abang sakit hati. Tak baik gitu. Mu kan tau abangmu tu perungus
sikit. Nanti tak pasal-pasal mu kena sepak. Abangmu tu bukankah kaki sepak
bola. Asyik johan saja di sekolahnya...”
Sazali tersengih
mendegarkan pujian daripada emaknya sekalipun berbaur sinis lantaran sikapnya
terhadap adiknya yang tidak disenangi emaknya itu.
“Wah mu juara
sepak bola ya Zali? Selalu wakili sekolah ko?,” sahut Aisyah. Teruja pula ia
mendengar kehebatan adiknya itu.
“Taklah. Main-main
saja. Selalu juga wakili sekolah. Hingga ke peringkat daerah. Tapi sampai
setakat tu ja. Tak ke mana lagi…” Zali bersuara merendah diri. Tidak mahu lemas
tenggelam di bawah ombak riak yang mula melanda rasa kerana puji-pujian.
“Baguslah sebabmu
kuat bersukan. Kak long cuma main bola jaring ja. Selalu juga wakili sekolah.
Macammu juga hanya sampai setakat daerah saja.”
“Kak long kuat
main bola jaring ya! Di sini bolehlah kak long join persatuan belia dan main
bola jaring di padang…”
“Iyakah? Ada
persatuan belia pula?” Tanya Aisyah keterujaan. Bertambah lagi info yang
pertama kali menjengah mindanya. Selama ini dia tidak tahu bahawa belia pun ada
persatuannya.
“Iya kak long.
Persatuan belia di sini aktif dengan pelbagai aktiviti sukan dan kebudayaan.
Nampak saja tempatnya terpencil tapi suasananya meriah. Pasti kak long tak akan
jemu duduk di sini…”
“Gitu ko. Kalau
berpersatuan belia itu menyeronokan, kak long terfikir juga nak join. Tapi
biarlah kak long fikir dulu...”
“Fikirlah kak
long. Supaya kak long tidak bosan saja duduk di rumah sepanjang tinggal di
sini…”
Hanisah sedari
tadi hanya membiarkan anak-anaknya berbicara mulai mengukir kata justeru
tikanya yang sesuai telah tiba untuknya
mencelah..
“Mu letak beg kak
longmu tu dalam bilik tu Zali. Bilik tu mak dah siapkan untukmu. Mu isilah
pakaianmu ke dalam gobok (almari) di dalam tu. Lepas tu mu turun gi mandi dan datang tolong mak di dapur. Haripun dah
tengah hari. Sekejap lagi ayahmu dan adikmu Sani balik balik dari kebun nak
makan.”
Sazali menjengah
wajah emaknya dengan rasa terkilan di hatinya yang diluahkan segera.
“Eih mak ni tak
patut betul. Kak long tu baru sampai. Penat duduk dalam kereta pun tak hilang
lagi. Dah mak nak suruh tolong mak masak di dapur. Kasi can lah kak long
berehat semetar(sebentar)…”
Tersenyum simpul
emaknya mendengarkan keperihatinan Sazali terhadap kemasyhlahatan kakaknya yang
baru tiba dan berada di kalangan mereka itu.
“Kalaumu kata gitu
tak apa. Mak pun penat juga seharian buat kerja di dapur. Mu mari tolong mak di
dapur. Tolong mak siang ikan ruan yang ayah tangkap di paya semalam.”
“Boleh ja. Tak ada
masalah. Banyakkah ayah dapat tangkap ikan semalam mak?”
“Banyaklah juga.
Bolehlah di simpan seminggu untuk lauk kita. Nak harap ikanmu memancing nak
buat lauk, tak merasa…”
Hanif mengekeh
gelaknya. Menambahkan kejengkelan abangnya kerana kata-kata sinis yang
dilemparkan emaknya kepadanya.
“Tak silap apa
yang adik kata kan!...”
“Pandailahmu…”
Sazali pantas saja mengangkat tangannya hendak menyekeh kepala adiknya itu
tetapi adik kecilnya itu lebih pantas berlari jauh untuk mengelakan dirinya
daripada disakiti.
“Biar saya gi
mandi dulu. Lepas tu saya mari tolong mak… deh. Bila mandi badanpun rasa lebih
segar. Hilang semua rasa letih dan pening.”
Aisyah
meninggalkan emaknya dan Sazali yang mulai membuka pasu di luar rumah untuk
mengeluarkan ikan haruan, sepat, puyu, belida yang dikurung di dalamnya. Masih
hidup dan menggeletik ke sana sini apabila di letakan di dalam besen kecil.
Hanif mendekati
abangnya. Hujung jarinya menguis-nguis kepala ikan haruan sebesar penumbuk
abangnya itu yang mengodek-ngodek cuba menggelunsur di atas tanah berpasir
setelah abangnya meletakannya di atas papan untuk di siang..
“Mu jangan
main-main. Nanti ikan tu gigit nanti putus jarimu...” Ujar Sazali menegah
perbuatan adiknya sekali gus menakutkannya. Sebenarnya dia mahu menjauhkan
adiknya daripada lokasi kerjanya kerana dia merasa terganggu tika melakukan
kerja-kerja penyembelihan ikan-ikan itu.
“Mu pun belum
mandi lagi. Ikut kak longmu gi mandi sekali. Tak payah mu ganggu abangmu nak
buat kija (kerja),”tingkah emaknya pula.
“Iyalah mak. Kita
gi mandi dengan kak long.”
Hanif berlalu dari
sisi abang dan emaknya dan cergas berlari ke dalam rumah mendapatkan kak
longnya. Aisyah terkejut sejurus dengan kehadiran adiknya secara tiba-tiba itu.
“Kenapa pula Nif?
Abang Zali hambatmu lagi?”
“Tak! Mak suruh
kak long mandikan kita sekali...”
“Iyalah. Jom kita
ke perigi. Di mana periginya?”
“Di sini tak ada
perigi macam rumah nenek di kampung. Orang sini mandi air paip dalam bilik
mandi. Bilik mandi di belakang rumah...” Balas adiknya dengan sengihnya yang
menyeringai. Tandanya ia sedang menyatakan kemajuan kehidupannya di sini
berbanding cara hidup kakaknya yang terkebelakang di kampung.
“Ooh gitu ko. Kak
long tak tau pun. Di kampung nenek ramai yang guna perigi ja. Ada juga yang
masuk air paip ke dalam rumah mereka tapi tak ramai. Semua suka guna perigi.
Nak jimat belanja. Baguslah gitu. Senang sikit. Tak payah nak timba air perigi
kalau nak mandi…”
Rupanya di sini
ada kemudahan air paip yang dimasukan bekalannya ke setiap rumah perserta untuk
keselesaan mereka menjalani penghidupan seadanya. Tidaklah kelak hidupnya yang
perit kerana tersisih dari dunia luar amat terasa buat mereka yang terbiasa
dengan keriuhan bersama sanak dan keluarga di kampung halaman asal yang telah maju.
Aisyah mencongak
pendirian yang begitu. Kemudahan air paip yang amat perlu untuk kegunaan
seharian telah ada. Tapi kala malam? Nampaknya malamnya tetap akan diterangi
dengan nyalaan pelita ayan seperti di rumah neneknya kerana Aisyah tidak nampak
seliratan wayar eletrik yang terpasang di dinding rumah dengan lampu-lampunya
yang bergantungan..
Tetap juga ada
kekurangannya yang boleh dipertikaikan. Mungkin perubahan ke a rah itu akan
datang secara beransur-ansur. Dan mereka yang digelar peneroka pada sebuah
pertempatan baru harus banyak-banyak bersabar. Lagipun Rom tidak dibina dalam
se hari kata Julius ceasar.
gambaran keseharian yg juga sering kita jumpai ya kak :)
ReplyDeletetapi itu gambaran hidup yg telah ditinggalkan beberapa puluh tahun dahulu namun masih ada lagi kehidupan sebegitu...tq Purnomo Jr.
Deleteterima kasih Muhammad Kharuddin Lim...biasa2 saja suka2 menulis.
ReplyDeletePenuh kusyuk saya baca kak ☺
ReplyDeleteyeke..melukis gambaran hidup dulu2 fiza...tq Fiza Rahman sudi ikutinya..
DeleteFelda dulu tak macam felda sekarang. Kakak masuk felda sekarang ni dah maju macam bandar juga. Semuanya lengkap bahkan kalau nak cerita bab makan macam-macam boleh didapati.. tanaman pokok bunga merekalah yg paling kakak suka tengok.. meriah dari satu kawasan ke satu kawasan..
ReplyDeletefelda dulu jauh beza rupanya dgn felda sekarang kakzakie...bab2 menghias rumah dgn pokok2 bunga ni mmg dh jadi kewajipan setiap penghuni felda ada pertandingan tanah rancangan felda yg cantik setiap tahun lagi....tq Kakzakie.
DeleteSelamat siang teman, membaca artikelnya sepertinya sudah terbiasa menulis cerita ya.....
ReplyDeleteselamat siang Dhicomp terima kasih sudi baca cerita sy...cerita biasa2 saja..
ReplyDeleteTerbaek la kak paridah..! :D Akak memang berbakat... :)
ReplyDeleteterima kasih idah...xdelah berbakat sgtpun...
DeleteOh yerr... apa maksud kurik yer kak?
ReplyDeletekurik tu kalau xsilap sejenis batu permata..kak pun xpasti idah.
DeleteBerbakat sekali menulis ceritanya.., salam ziarah..
ReplyDeleteterima kasih banyak Boku no Blog sudi ziarah karyaku...biasa2 saja tulis suka2.
Deletesalam.best dilayan apa lagi jenis suka baca online.
ReplyDeletewsalam...tq rose bunquet sudi singgah karyaku...kalau minat boleh boleh baca novel SELIRATAN CINTA yg diupload sepenuhnya juga..
ReplyDeletesalam kak dah. bila dah terbit novel ini sila bagitahu saya ye?
ReplyDeletewsalam dik Abe Kie...entahlah samaada novel nk publish ke tidak...publish kat sini jer kot...tq Abe Kie.
Deleteninggalin jejak sulu, baru setengah bacannya :D
ReplyDeleteterima kasih Alan Tirta sudi singgah n baca...kalau berminat nak baca bab terdahulu klik pada labels NOVEL SEBUAH VERSI CHINTA...
ReplyDeletemkn seronok membaca ceritanyer kak !
ReplyDeleteyeke...terima kasih banyak...bab seterusnya lbh intresting kot...tq Kesuma Angsana.
ReplyDeleteAkan terus mengikutinya hingga ke bab terakhir ...menarik
ReplyDeleteyeke...terima kasih banyak...tersenyum lebar dipuji nih..tq dik Anak Kuala.
ReplyDelete