Tuesday, 25 March 2014

APPOLLO MELON....KUNING EMAS

ASSALAMUALAIKUM....


Sabri Harun (kiri) dan Yaakob Nuri merupakan pengusaha ladang apollo melon yang terletak di Parit 9, Sekinchan Selangor.
BERBEKALKAN sedikit azam untuk mengubah taraf ekonomi keluarga, seorang petani Mohd. Yaakub Nuri tekad menyahut saranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mencuba tanaman baru iaitu Apollo melon.

Petani dari Sekinchan, Selangor itu berazam mengusahakan tanaman baru tersebut kerana yakin akan mendapat bantuan secara berterusan daripada badan bertanggungjawab tersebut.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam tanaman appollo melon, petani berusia 49 tahun ini memberitahu, projek tanaman buah tersebut diperkenalkan ketika Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2012.

“Ketika menyertai pameran MAHA, saya didatangi oleh seorang pegawai FAMA yang menawarkan tanaman apollo melon bagi diperkenalkan ketika pameran itu berlangsung.

“Ketika itu, pihaknya berjanji untuk membeli hasil tuaian buah dengan harga RM1.80 sekilogram (kg) jika tanaman itu berhasil," katanya.

Pada awalnya, Mohd. Yaakub menolak tawaran tersebut kerana harga yang dijanjikan terlalu rendah dan murah.
Namun berbekalkan prinsip ‘rezeki ada di mana sahaja dengan syarat usaha dan tawakal’, keyakinannya untuk menyahut tawaran FAMA semakin tinggi.

Ujarnya, sebaik sahaja bersetuju untuk membangunkan tanaman apollo melon, pihak FAMA turut memberi jaminan terhadap harga bagi setiap keluaran buah tersebut.

“Mereka bersetuju untuk ‘membayar balik’ hasil sekiranya saya tidak dapat jualan dalam RM2,000.
“Lagi pun apollo melon sememangnya projek khusus sempena MAHA 2012," katanya yang turut ditemani rakan, Sabri Harun.

Di awal pembabitan, dia dibekalkan dengan dua paket biji benih apollo melon oleh FAMA secara percuma.
Dengan ‘bekal’ yang disediakan, Mohd. Yaakub menanam apollo melon atas tanah seluas 0.6 hektar di Parit 9, Sungai Leman, Sekinchan, Kuala Selangor pada September 2012 dan mula menuai dua bulan kemudiannya.

Berkongsi cerita mengenai hasil yang diperoleh semenjak menanam buah tersebut, Mohd. Yaakub memberitahu, dia mendapat hasil tuaian kira-kira dua hingga tiga tan dalam sekali tuaian.

Katanya, apollo melon hanya mengambil masa selama 55 hari sebelum dituai berbanding tembikai susu yang mengambil masa 65 hari dan rock melon iaitu 75 hari.

“Penanaman apollo melon memerlukan tanah lempung berpasir yang mengandungi bahan organik serta pancaran sinar matahari sepanjang tahun.

“Tanah jenis itu berfungsi sebagai pemudah untuk akar berkembang dan menyerap haba dari tanah selain ia turut memerlukan bekalan air yang banyak dan mencukupi," ujarnya.

Mengenai modal dalam mengusahakan tanaman apollo melon, dia memberitahu, setiap biji benih agak mahal sehingga mencecah 40 sen sebiji manakala satu peket berharga RM200 untuk 600 butir benih.

Namun kini dia mampu menjual sehingga RM3.50 sekilo kepada peraih dan harga pasaran mencecah RM5 sekilo.

Apollo melon mempunyai warna kulit yang kuning keemasan dan tidak berjala sekali gus membuatkan isi buahnya renyah, manis dan tebal selain saiznya mampu mencapai sehingga dua kilogram berat.

Tidak menolak andaian bahawa tumbuhan tersebut turut berhadapan dengan ancaman makhluk perosak seperti lalat buah, semburan racun serangga akan dilakukan sebanyak dua kali seminggu.
Katanya, apollo melon yang telah busuk dapat dikenal pasti apabila buah ini digoncang dan ia berair seperti buah kelapa dan di dalamnya berair. - NOOR DIANA AZI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my
© Utusan Melayu (M) Bhd 

8 comments:

  1. Belum pernah coba melon jenis ini, tak pernah jumpa pun :)

    ReplyDelete
  2. sedap ni tika, makan dgn santan terutama makan bulan puasa masa berbuka....tq Etika Maria.

    ReplyDelete
  3. Tapi kalau sebiji-sebiji hari itu ada expo di Plaza Angsana di JB sini sebiji dijualnya RM6/-. Tak beli pun kakak sebab kakak beli yang dijadikan jus segelas RM2/-. Mahal! tapi rasanya sama macam honey-dew tau PI. Sedap..

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau jus segelas 2RM oklah tu...sedap rasanya seakan honey dew ya...tapi lebih manis kot. Kata seorang pegawai FAMA susah juga nak menjaga tanaman tembikai jenis ni...patutlah harganya mahal sedikit....tq Kakzakie.

      Delete
  4. usaha tangga kejayaan, siapa yang berusaha pasti Allah akan bagi rezekinya.. rasanya aiza belum pernah lagi mencuba makan apollo melon kuning emas ni kak..

    ReplyDelete
  5. betul tu...rajin usha tangga kejayaan...bukan senang nak jadi petani berjaya...samalah dgn kak xpernah rasa lagi kata seorang kawan sedap dimakan dgn santan nanti kita cuba ya...tq Mizz Aiza.

    ReplyDelete
  6. dimakan di siang hari ketika cuaca sangat panas terasa segar buah ini

    ReplyDelete
  7. begitu ya..pernah mencubanya nih...tq Joe Ismail.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist