Sunday 21 December 2014

Seliratan cinta bab 6


                                          

Malam sedang berangsur pelan-pelan meninggalkan tetamu-tetamunya yang leka.
Datuk Shaari sedang santai di lounge sebuah hotel dengan ditemani Amin dan Rozana. Mereka baru sahaja selesai menikmati hidangan makan malam yang menyelerakan.
“Maaf Datuk, saya nak ke bilik air sebentar.” Rozana bangun dari duduknya. Tas tangan mahal hadiah dari Datuk Shaari diberikan pada Amin tentulah dengan niat ‘kau tolong jaga ya.’ Meski tidak dizahirkannya menjadi sebutan. Amin memang memahami maksudnya. Dia bersedia mempertahankan kepercayaan orang kepadanya. Apa lagi Rozana.
“Eh berani ke pergi sendiri ni? Nak saya temankan?” ujar Shaari lunak.
Its okay. I pergi sorang pun boleh.”
Rozana tersenyum mendengar itu. Dia segera berlalu dengan diiringi pandangan Datuk Shaari dan Amin. Datuk Shaari mengangkat jari telunjuknya menunjukan maksud ‘bagus’. Hanya dia yang memahami maksud ‘bagus’ itu. Amin tidak ambil peduli apapun tanggapan datuk itu.
Ketiadaan Rozana membebaskan matanya melilau merata. Dia menghalakan pandangan ke arah satu sudut. Tiba-tiba dia ternampak sekumpulan model jelita keluar dari lif. Matanya terpaku memandang. Terpesona amat. Cantik-cantik.
Kesemuanya laksana sekumpulan rerama yang berwarna-warni coraknya sedang mengepak sayap kecilnya. Sungguh teruja memandangnya. Amat mempesonakan mata.
Seorang waiter lalu di sisinya menuju ke arah  pelanggan yang sedang menunggu khidmatnya. Datuk Shaari memegang tangan lelaki itu dengan sopan.
Tidak terlalu keras menariknya kerana bimbang apa yang ingin diketahuinya tidak dilayani sekiranya bersikap terlalu kasar. Sesaorang itu sentiasa memiliki perasaan halus di jiwanya dan harus dijaga agar tidak tercalar. Firasat hatinya mengatakannya. Dia masih ada sifat sopan dan tahu menghormati perasaan orang lain.
“Siapa tu?” Pemuda waiter yang memiliki raut wajah yang tampan itu menoleh ke arah yang ditunjukan lelaki yang belum melepaskan pegangannya pada tangan kirinya.
“Oh itu. Nadia. Dia model. Di atas tu ada ‘fesyen show.’ Dah habislah agaknya.”
“Ye ke? Terima kasih.” Waiter itu meninggalkan pelanggan yang bertanya dan mengganggu perjalanannya untuk melakukan tugasan seterusnya. Pelanggan itu menghadiahkannya segaris senyuman manis yang menenangkan perasaannya. Memberi sedikit kekuatan pada jiwanya untuk meneruskan tugasnya seterusnya yang ternyata sangat memenatkan. Dan menuntut terlalu banyak kesabaran untuk berhadapan dengan pelanggan-pelanggan yang beragam kerenahnya.
Datuk Shaari memandang Amin yang terpana menanti buah ucapan yang bakal terhambur menjadi beban kepadanya. Dia yakin akan jadi begitu.
“Nadia... sedap nama dia. Seayu wajahnya kan Amin.” Pandangannya tepat menujah anak mata yang terkedip-kedip merenungnya di hadapannya.
“Saya faham Datuk. Tersangat faham. Bila?” Tersengih Amin sambil menutur kalimat itu.
Anytime. Lagi cepat lagi bagus.” Shaari terpandangkan Rozana yang mengatur langkah laksana model di pentas peragaan menghampirinya. ‘Dia datang!’ Lagu ghazal Ahmad Fadzil dari Johor itu yang malar hijau itu terdendang di telinganya.”
“Dia dah datang tu, jaga mulut.” Katanya kepada Amin. Rozana menempati semula kerusi yang ditinggalkannya. Dia menarik kerusinya hampir bersebelahan dengan Datuk Shaari. Rapat di sisinya.
“Amboi wanginya.” Aroma tubuhnya singgah lunak ke deria bau orang yang dekat dengannya. Bibirnya mengorak senyum ceria kerana merasa dirinya diberi perhatian. Juga penghargaan yang berbaur menurut pertimbangannya.
“Tak kenal ke bau ni?”
“Hah… bau apa hah..” hidungnya terkemut-kemut seakan kucing sedang menghidu bau ikan segar. Aksi yang melucukan itu menyebabkan Amin tersengih sinis. ‘Pandainyalah datukni melawak.’
“Ala Datuk ni. Ini kan bau perfume yang Datuk hadiahkan pada saya siang tadi. Baunya sangat harum dan lembut. Sesuai sekali dengan citarasa saya.”
“Ye ke? Maaf tak perasan tadi. Hidung saya ni pun pelupa juga ye.” Datuk Shaari tersengih dan tersenyum bodoh dengan lawak yang sengaja dibuatnya.
Fikiran Shaari melayang-layang hinggap pada meja Nadia dan rakan-rakannya yang sibuk bercerita tentang kejayaan persembahan sebentar tadi. Kehadiran Rozana di sisinya seakan tidak dipedulikannya. Dilupakannya.
Dia sudah terpikat pula dengan kecantikan Nadia. Dan asyik menatapnya tidak berkejip. Pada pandangannya sungguh tiada tolok bandingannya. Dia teruja. Perasaannya sudah menetap di situ.
“Datuk . ..hujung minggu ni ada parti di rumah kawan saya. Sudi tak Datuk temankan saya?” Suara Rozana yang lembut manja seperti tidak masuk ke dalam deria dengarnya. Hanya lalu saja dan melepasi cuping telinganya yang lebar dan tegak itu. Bebola matanya asyik mengerling kearah Nadia dan teman-temannya yang sedang riang bergelak-tawa.
“Eh Datuk ni dengar tak?” Dia masih alpa. Rozana merasa dirinya semakin dipinggirkan. Hatinya sebu dan layu.
“Datuk…” sergah Amin di sebelahnya.
“Hah…apa dia?” balas Datuk Shaari kalut dan terpinga-pinga. Dia kembali membawa pandangannya berhadapan dengan kedua-dua jasad yang tercongok di sisinya.
Rozana rusuh. Kehadirannya langsung tidak dipedulikan. Dirinya tidak dihargai lagi. Dan dia amat jauh hati. Datuk Shaari sibuk memberi perhatiannya terhadap Nadia, model cantik itu. Dia perasan itu.
Tas tangannya dicapai dan segera bergegas keluar dari ruang itu dengan deras dan kalut. ‘Datuk ni memang hidung belang. Pantang nampak perempuan ada rupa sikit, menggelitik macam cacing kepanasan. Aku tak rugi apa-apa kalau hilang dia pun. Ramai lagi Datuk yang lain sedang tunggu aku.’ Dengus hati Rozana.
“Eh...nak kemana tu?” Rozana tidak menjawab pertanyaan Amin itu. Langkahnya semakin jauh. Amin bangun cuba untuk menahannya. Tetapi Datuk Shaari memegang tangannya. Maknanya mencegahnya dari melakukan begitu. Dia duduk semula di kerusinya dengan rona rasa yang bercampur baur.
“Biarkan dia. Dia yang hendak balik. Bukan kita yang halau dia.” Shaari langsung tidak kisah dengan apa yang berlaku. Baginya sesiapa saja boleh duduk di sisinya sebagai seorang tetamu yang diundang.
Jikalau tetamu itu merasa tidak selesa bersamanya, dia tidak akan menahannya berlama di sisinya. Bolehlah kalau hendak angkat kaki ke mana saja. Sesuai dengan kemahuannya. Menurutnya kehendak dan kemahuan seseorang itu tidak boleh dipaksa-paksa. Wujudnya dengan sendiri sebagai naluri halus yang sukar dikekang.
“Susahlah macam ni Datuk. Dia tu kawan saya. Saya yang berusaha kenalkan dia pada Datuk. Apa pula kata dia pada saya nanti.” Amin merasa bersalah pula terhadap Rozana kerana Datuk yang diceritakan baik-budi dan perilakunya itu telah bersikap sebaliknya dalam sekelip mata. Memberi intepratasi diri yang melencong dari gambarannya.
“Biarkanlah…” sahut Datuk Shaari lembut cuba menenangkan hati pembantunya yang rusuh bersimpang-siur. Amin cuba melupakan kegundahan hatinya dan menumpukan perhatian pada reaksi baru yang bakal diwujudkan tuannya.
“Kau kenal model tu?” mulutnya dimuncungkan ke arah model yang dimaksudkannya.
“Kenal. Tapi gitu-gitu sajalah, tak kenal rapat. Kenal jugalah.”
“Kenapa kau tak bagitau aku?” Dia menggumam geram dengan sorotan mata yang tajam merenung Amin tidak berkejip.
“Ish Datuk ni. Takkan semua benda saya hendak bagi tau Datuk. Lagipun dia tu model tahap antara bangsa. Selalu ke luar negara. Jarang ada di sini.” Datuk Shaari sudah bangun dari duduknya. Tidak dipedulikannya omongan Amin tentang Nadia. Wajahnya serius lagi tegang.
Amin memandangnya sedikit hairan. Apa pula yang dimahukan Datuk itu kali ini? Dia menduga-duga kalut. Mencari-cari bohol rungkainya hendak dibuka. Belum terjumpa. Mindanya kusut dan berserabut memikirkannya.
“Aku nak balik. Kau tolong dapatkan nombor telefon dia.” Datuk Shaari sudah membawa dirinya yang tegap dan sedikit berisi menuju pintu keluar. Wajahnya yang serius meresahkan hati Amin.
Amin terpinga-pinga. Pandangannya dilontarkan ke arah  Nadia. Air di dalam gelas tinggi yang masih bersisa diteguknya pantas. ‘Kerja aku ni melayan kerenah Datuk ni nampaknya tidak akan habis-habis,’ getus hatinya. Dia segera bergerak pantas hendak menyaingi Datuk Shaari yang sudah jauh melangkah meninggalkannya.

                                                      

6 comments:

  1. seronok membacanya :)
    teruskan ye kak

    ReplyDelete
  2. tq irfa menggembirakan hati kak...

    ReplyDelete
  3. Datuk beli perfume tu untuk Rozana rupanya... Ingat untuk Datin...

    ReplyDelete
  4. YELAH ZUMAL..BUKAN PERFUM UNTUK DATIN...TQ.

    ReplyDelete
  5. penulis rupanya admin blog ni. Etuza jadi segan..sebab penulisan Etuza kat blog barantakan tu..patutlah halus ja ayat2 ..lancar clear lah..tahniah ya

    ReplyDelete
  6. HAHAHA...TERGELAK KAK CIKGU, PENULIS PICISAN JER PUN...TERIMA KASIH BANYAK PUJIANNYA CIKGU...WAH TERLAMBUNG TINGGI..

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist