ASSALAMUALAIKUM
KEINDAHAN ALAM
Genre: Puisi Tradisi Kanak-kanak
Penulis: Sabariah Nor Salleh
Penerbit: PELITA
ISBN: 978-983-9039-59-7 (Sastera Kanak-kanak)
Bilangan halaman: 32
Harga: RM25.00
Tahun terbitan: 2026
Pengulas: Paridah Ishak
Naskhah
KEINDAHAN ALAM merupakan sebuah koleksi pantun kanak-kanak hasil nukilan
Sabariah Nor Salleh, seorang penulis mapan yang aktif berkarya dalam pelbagai
genre sastera sejak tahun 1980. Selain menghasilkan karya kreatif, beliau juga
pernah berperanan sebagai penyelenggara beberapa antologi. Puisi-puisinya
banyak tersiar dalam penerbitan SPTA serta pelbagai media massa, membuktikan
ketekunan dan kesungguhannya dalam dunia kesusasteraan tanah air.
Melalui
naskhah ini, penulis mengetengahkan pengalaman serta kehidupan harian
kanak-kanak dengan pendekatan yang santai, ceria dan mendidik. Buku yang
diterbitkan dalam bentuk kulit keras ini menggunakan kertas berkualiti tinggi
serta dihiasi ilustrasi berwarna-warni yang menarik perhatian pembaca cilik.
Sebanyak 32 buah judul pantun dimuatkan, menyampaikan mesej dan nilai murni
yang sesuai dijadikan panduan dalam pembentukan sahsiah kanak-kanak.
Pada
bahagian awal buku disediakan senarai kandungan yang memudahkan pembaca memilih
pantun mengikut tajuk. Antara tajuk yang dimuatkan ialah Kucing,
Tolong-menolong, Bermain, Berkebun, Balik Kampung, Adik, Menabung, Bersenam,
Hujan, Berkawan, Membaca, Cuti, Keindahan Alam, Buah-buahan, Bunga, Pesanan,
Adab Sopan, Sekolah, Guru, Masa, Belajar, Ibu, Bapa, Kelapa, Taman Bunga,
Pantai, Rumah, Bersih Rumah, Lukisan, Ayam dan Hadiah. Kepelbagaian
tajuk ini memperlihatkan keluasan pengalaman yang dekat dengan dunia
kanak-kanak.
Setiap
pantun terdiri daripada empat baris yang disusun kemas dengan rima hujung yang
harmonis, mengekalkan keindahan bentuk pantun Melayu tradisional. Penggunaan
diksi yang mudah, segar dan sesuai dengan tahap usia pembaca menjadikan
pantun-pantun ini mudah difahami. Pada masa yang sama, penulis berjaya
mengekalkan unsur estetika bahasa yang menjadi kekuatan puisi tradisional
Melayu.
Puisi
pantun dalam naskhah ini turut menyemai nilai kasih sayang, hormat-menghormati,
kerajinan, semangat bekerjasama, kecintaan terhadap alam sekitar dan pentingnya
menuntut ilmu. Justeru, buku ini amat sesuai dijadikan bahan bacaan dan memupuk
minat kanak-kanak terhadap warisan sastera Melayu sejak usia muda.
Berikut
ialah petikan daripada pantun "Keindahan Alam" yang menjadi
judul naskhah ini:
KEINDAHAN
ALAM
Pecah cawan bersisa,
Hias alatan baharu;
Indah awan di angkasa,
Luas lautan membiru.
Bonda tukar jarum,
Tetas sarung berlubang;
Bunga mekar harum,
Bebas burung terbang.
Pantun
ini memancarkan keindahan alam ciptaan Tuhan melalui gambaran awan, lautan,
bunga dan burung yang hidup dalam suasana damai. Penggunaan imejan yang indah
mampu merangsang imaginasi kanak-kanak agar menghargai alam sekitar serta
mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan. Kesederhanaan bahasa yang dipilih
menjadikan mesejnya mudah difahami, namun tetap meninggalkan kesan yang
mendalam kepada pembaca.

Waalaikumussalam.
ReplyDeleteSemoga pembaca, khususnya kanak-kanak dapat menghayati keindahan alam melalui puisi ini.