Monday 24 June 2024

MELAYU SEJATI

 ASSALAMUALAIKUM



MELAYU SEJATI

Tanah Melayu pusaka moyang
harta bernilai jejak bertapak
mendakap cinta berulit sayang
pertahan nusa dari dirompak
.
Sanggup berjuang bertumpah darah
melawan musuh luar dan dalam
bersatu wangsa hambat penjarah
“Perang Bisik” peristiwa silam

.
Berdetik saat beredar waktu
semangat juang kekal sejati
langkah Komunis cuba menentu
rela terkorban berganti-ganti
.
Di Sungai Manik, di Bukit Kepong
tragedi Bekor ulang cerita
terkoyak damai luka ditampung
nyawa melayang tinggal derita
.
Melayu tegar jiwa kersani
tiada mudah menyerah kalah
dari dahulu sehingga kini
andai tercabar sifat terserlah

Sunday 23 June 2024

ESEI PUISI SYAIR

 ASSALAMUALAIKUM



ESEI PUISI SYAIR
.
Syair antara puisi tradisi kesukaanku. Sesekali aku akan menulis puisi itu di Graha SPTA di Facebook. Ilmu menulis syair secara sempurna kuperolehi hasil bimbingan Sifu Tabir Alam setelah menyertai beberapa projek antologi syair. Terima kasih banyak Sifu Tabir Alam akan baik budinya. Tiba-tiba sasterawan Nurimas sn meminta aku membantunya menyediakan esei mengenai syair. Aku bukanlah arif sangat puisi itu. Selalu tika projek antologi syair berlangsung, aku terkial-kial menyiapkannya. Jika tiada bimbingan Sifu dan rakan-rakan turut membantu akan hanyut ke laut selalu. Bagaimanalah aku hendak bersama penulis itu mengendalikan kelas puisi syair anjurannya? Aku merasakan kepercayaan penulis itu padaku sebagai penghargaan tidak bernilai lantaran aku bukan sesiapa. Terpaksalah aku merujuk buku Puisi & Pemuisi karya Sifu Tabir Alam. Sehingga lunyai buku itu kubelek selalu. Selain itu kusemak juga sumber syair klasik Burung Pungguk, syair Duka Nestapa dll di Google. Beberapa irama dendangan puisi syair turut kutulis. Biasanya aku menulis pada siang hari saja. Petang beransur malam aku akan berehat. Risau juga kalau tugasan itu tidak dapat kusiapkan.

mentari kelam -
esei puisi syair
upaya daya

Saturday 22 June 2024

PENULIS

 

ASSALAMUALAIKUM

 


PENULIS

 

Hendak menulis tergoda malas

tiada ilham sudahlah jelas

membaca akhbar

telusur khabar

terlalu jengkel sibuk mengulas

.

Media massa berita papar

isu semasa sering menggempar

pening kepala

menentu hala

terbaring lesu diri terkapar

.

Melayan malas masa terbuang

bersepah-sepah serata ruang

tidak berkemas

terasa rimas

alasan mudah masih berjuang

.

Sebaris frasa akhir ditulis

tak ingin lagi jadi penulis

penat  sahaja

singkirkan uja

asa sedikit ranap tergilis

Friday 21 June 2024

BAHASA

 ASSALAMUALAIKUM



BAHASA

 

Biar  berbahasa

bersantun budi

berpekerti baik

bangsa berbudaya

bertamadun

.

Berwacana  bijaksana

berilmu berbagai bidang

berkomunikasi  bantu

bukan belit bicara

bersilang
.

Berduka  bila bahasa bercampur baur

bak badai  berputar

bermakna berisi beza beragam        

bergulung bandingan benar

berkecamuk berantakan

bingung berfikir

buntu

.


Thursday 20 June 2024

BUANA TUA

 ASSALAMUALAIKUM


BUANA TUA

 


 

Israk Mikraj

Nabi Muhammad   bertemu perempuan bongkok

.

bicara Jibril

alam buana usianya lanjut begitu

.

tika kini

kenyataan jelas ketara kebenaran tersirat

.

tanah usang

flora sukar tumbuh merimbun subur

.

fenomena el-Nino

kepanasan hawa perubahan iklim drastik

.

kemarau panjang

tunas benih terkulai lesi layu

.

landaan bah

hanyut segala sumber sekelip mata

.

keterjaminan makanan

daya usaha diri sedia menghadapi

.


Wednesday 19 June 2024

WANITA MISTERI

 ASSALAMUALAIKUM



WANITA MISTERI

 

Aku pulang dari sekolah berjalan kaki sendirian. Jarak antara sekolah dan rumah atukku agak jauh juga. Tapi kugagahi juga melangkah pulang tanpa berlengah. Waktu tengah hari panasnya berbahang bagai membakar diriku. Peluh membasahi wajah dan tubuh. Dalam perjalanan pulang aku akan melintasi masjid yang bersebelahan dengan kawasan tanah perkuburan. Tiba-tiba aku terpandang wanita berambut panjang mengurai bertenggek di atas benteng masjid. Hatiku tertanya-tanya siapakah dia. Aku mempercepatkan langkahku untuk segera meninggalkan kawasan itu. Aku ketakutan sebenarnya memikirkan wanita itu mungkin jelmaan makhluk ghaib. Aku teringat bahawa semalam seorang wanita di kampungku telah membunuh diri. Dan jenazahnya dimandikan di masjid itu. Aku pula turut berada di situ bersama kawan-kawanku untuk melihatnya. Tapi aku tidak nampak apa pun.    

 

panas membakar –

wanita rambut panjang

misteri alam


Tuesday 18 June 2024

AIDILADHA

 ASSALAMUALAIKUM



AIDILADHA

.

Sepuluh Zulhijah tarikh tetap

sambut hari indah Aidiladha

takbir bergema jantung berdetap

.

Kenang jemaah daya usaha

sahut seruan ibadah haji

serah diri antara fuqaha

.

Hari Arafah kusyuk mengaji

diam berwukuf bibir berzikir

cekal bersabar reda teruji

.

Melontar jamrah lafaz terukir

bermula dengan Jamratul Ula

mengira jumlah tenang berfikir

.

Usailah sudah akan segala

haiwan ternakan lakukan korban

kerana Allah Azzawajalla

.

Aidiladha  aura kemenangan

melalui denai perjuangan


Monday 17 June 2024

SALAM AIDILADHA

 ASSALAMUALAIKUM


BAHAGIA

(Palindrom)

 

Senyum

wajah ceria

pagi Aidiladha

salam hulur tangan

bermaaf-maafan tulus

saling berkunjung-kunjungan

erat ukhuwah tautan mesra kasih

bahagia bertakhta ruang kalbu meriah

bahagia bertakhta ruang kalbu meriah

erat ukhuwah tautan mesra kasih

saling berkunjung-kunjungan

bermaaf-maafan tulus

salam hulur tangan

pagi Aidiladha

wajah ceria

senyum

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

17/6/024

 

 



Sunday 16 June 2024

LEMBU

 ASSALAMUALAIKUM


LEMBU

 


PIC GOOGLE IMAGES (C)


Sudah sedia hendak berkorban

lembu ditambat belakang reban

tuan menanti

hari yang pasti

asyik perhati berulang saban

.

Hairanlah lembu sikap tuannya

kenapa pula gitu jadinya

mula menanduk

tuan terduduk

tali tambatan belit kakinya

.

Lembu terlepas dapat ditangkap

elok sempurna semua lengkap

terasa lega

masih berjaga

hilang bicara terkedu cakap

.

Selepas bersolat Aidiladha

lembu diberi meragut jaha

gara tersalah

cara mengolah

berlari lagi gagal usaha

 


Saturday 15 June 2024

BERKHALWAT

 ASSALAMUALAIKUM

 

 


BERKHALWAT

 

Sendiri

sunyi ruang

seni perasaan

gangguan pinggir

kalbu kelabu keliru

berkhalwat iman damai

sujud syukur tawaduk

pasrah doa keredaan-Nya semata

pasrah doa keredaan-Nya semata

sujud syukur tawaduk

berkhalwat iman damai

kalbu kelabu keliru

gangguan pinggir

seni perasaan

sunyi ruang

sendiri

 

 

 

KAABAH

 

Tawaf

ibadah haji

niat hati suci

ulang-alik tujuh kali

lafaz takbir, tahmid, tahlil

kekal teguh iltizam semangat

jiwa raga serah ketentuan-Nya

pesona kaabah sujud tawaduk ibadah

pesona kaabah sujud tawaduk ibadah

jiwa raga serah ketentuan-Nya

kekal teguh iltizam semangat

lafaz takbir, tahmid, tahlil

ulang-alik tujuh kali

niat hati suci

ibadah haji

tawaf 


Friday 14 June 2024

MEMBADAI BURUNG ATAS LANGIT

 ASSALAMUALAIKUM



PERBIDALAN
Serkap di pangkal sawa terleta,
nenda ambilkan letakkan tempat;
cakap sejengkal bawa sehasta,
tiada kebaikan yang akan dapat.
.
Lengat selangat mengulum kana,
bercermat amat menjelum kobis;
beringat-ingat sebelum kena,
berjimat-jimat sebelum habis.
.
Menujah pakma menerjah ruang,
senduduk pasti lengah dijengah;
gajah bersama gajah berjuang,
pelanduk mati di tengah-tengah.
.
Merandai lorong memintas rengit,
memindah hoya, tarap selingan;
membadai burung atas langit,
merendah dia diharap jangan.
.
Terlupa golok menanda nyatuh,
golok bergala tunggal mencantas;
apa dijolok tiada jatuh,
penjolok pula tinggal di atas.
All reactions:

MyBloglist