ASSALAMUALAIKUM...
Angin malam berhembus lembut. Mengusik pipi mulusnya dan menjatuhkan anak rambut yang terjurai di pipinya. Dia menyekanya beberapa kali ke sipi telinga. Setiap kali mengusirnya ia datang lagi ke wajahnya bila angin meniupnya. Namun dia tidak pernah merasa terganggu. Dia leka, tenang dan aman meneruskan pembacaan skrip drama di bawah sinaran lampu jalan yang beraspal, diulit malam sepi dengan ditemani deburan suara ombak mencecah pantai.
Angin malam berhembus lembut. Mengusik pipi mulusnya dan menjatuhkan anak rambut yang terjurai di pipinya. Dia menyekanya beberapa kali ke sipi telinga. Setiap kali mengusirnya ia datang lagi ke wajahnya bila angin meniupnya. Namun dia tidak pernah merasa terganggu. Dia leka, tenang dan aman meneruskan pembacaan skrip drama di bawah sinaran lampu jalan yang beraspal, diulit malam sepi dengan ditemani deburan suara ombak mencecah pantai.
Dia mencapai
sehelai kertas yang melayang-layang jatuh di kakinya dibawa hembusan angin yang
menderu entah dari mana. Ada bait-bait puisi indah yang tertulis di dadanya.
Dia menatapinya baris demi baris.
Sebelum kita berangkat pulang
Atur langkah kita sudah jauh.
Sudah banyak keringat yang jatuh.
Sudah penat menyeka peluh.
Jauhnya perjalanan kita kemana lagi halanya.
Belum puaskah meredah ranjau sedang kaki
sudah luka tertusuk duri.
Meski semangat menongkat dada
pelbagai
memeta minda lagu perjuangan mesti terus
dinyanyi.
Tetapi sebelum kita berangkat pulang
laluilah lorong ini.
Lorong kehidupan roh kita.
Hidulah harum bebunga aneka warna.
Lihatlah wajah langit sudah semakin senja.
Angkatlah kedua-dua tangan menadah doa.
Bersyukur atas nikmat dan kurnia.
Kita ini hanya hamba.
‘Benar katamu hai
penyair bahawa kita ini hanya hamba dan tidak harus terlalu leka dengan nikmat
yang dianugerahkanNya. Tiba masanya kita akan berangkat pulang menemuinya.’
Anita menghurai sedikit prosa tentang puisi itu. Dia menyelak manuskrip drama
yang ada di tangannya dan meletakan kertas bersajak itu ke celahnya.
* * *
Fareez sedang
terbaring menonton TV. Tangannya berada di dahinya. Rizal baru saja keluar dari
bilik air mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat isyak yang terlambat
hendak dilaksanakannya. Cuma kali ini dia tersasar dari kebiasaannya.
Barangkali badannya menanggung keletihan yang amat sangat kerana melakukan
berbagai tugasan di resort.
“Kau sudah solat
Fareez?” teman itu bertanya seakan hendak mengingatkan.
“Sudah! Di surau
resort ni. Jangan kau tak tahu, aku yang jadi imam tau.”
“Baguslah tu.
Mudah-mudahan kau akan terus menjadi imam di surau tu setelah latihan percubaan
kau sebagai pengurus di sini tamat dengan jayanya.”
“Insyaallah.”
Balas Fareez dengan sengihnya. Dia terpaksa berfikir banyak kali dahulu sebelum
ingin memutuskan pekerjaan ini sebagai kerjaya tetapnya.
Hatinya berat
hendak kembali ke kampung menguruskan kebun sawit dan lembu ternak ayahnya
kerana ayahnya juga adalah warga emas yang punya upaya yang sedikit. Dan dia
sebagai anak bujang yang bongsu mesti tahu membantu. Tidak boleh memandang dan
berlepas tangan sahaja. Dia mesti ada rasa tanggung-jawab sebagai seorang anak.
“Kau ni lewat sangat
hendak solat isyak kenapa? Tadi aku ajak ke surau tak mahu, penat konon.”
“Memang aku penat
sungguh. Apa hendak dikata lagi. Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Dia
tidak memaksa hambanya semahuNya saja. Masa solat untuk isyak itu panjang waktunya.
Jadi bolehlah berehat sekejap kalau keletihan. Dahlah aku masuk solat dulu.
Asyik melayan kau tidak selesai solat aku ni.”
“Pergilah…jangan
lama sangat berwirid tu aku ada hal hendak dibincang dengan kau.” Fareez
menatap siaran TV saluran 50 yang memaparkan tentang pembinaan struktur mega
diseluruh dunia.
Dia kagum sekali
dengan keupayaan manusia ciptaanNya yang bertubuh kerdil tetapi punya iltizam
dan ide hebat untuk mendirikan bangunan tinggi sesayup mata memandang.
Jikalau Rizal yang
membuat pilihan saluran TV dia hanya akan tekan remot untuk saluran 51 yang
memaparkan keindahan flora dan fauna di alam maya yang indah di serata pelosok
dunia. Bersesuaian sekali dengan jiwanya yang lembut dan mencintai keindahan
alam sekitar.
Berbeza pula
dengan Fareez yang mengambil Kejuruteraan Alam Sekitar sebagai ijazah
pengajiannya tetapi lebih meminati senibina. Tetapi menurutnya senibina apa
sekalipun tetap ada kait-mengaitnya dengan alam sekitar. Tidak boleh lari jauh.
“Hai asyik-mahsyuk
nampak. Sampai tidak sedar aku datang. Aku dah siap solat, tadi kata ada
sesuatu yang penting hendak dibincangkan.” Fareez memanggung kepalanya mengadap
Rizal yang tercokoh di sisinya. Merasa tidak selesa pula berbuat begitu kerana
urat lehernya seakan terseliuh dan lenguh. Akhirnya dia duduk bersila mengadap
wajah temannya.
“Aku ada idea ni
Rizal. Kau nak dengar tak?”
Sepasang matanya
berkaca merenung temannya. Rizal tidak sabar lagi hendak mengetahui buah
fikiran temannya itu. mungkin boleh diterimanya dan diadaptasikan di dalam
kehidupan rencam yang dilakuinya kini.
“Cakaplah… apa
dia. Aku dengar ni.”
“ Kenapa kau tidak
tanya saja kepada Anita.” Rizal melongo. Tidak disangkanya ide bernas sebegitu
yang diberikan temannya itu.
“Ah itu bukan
urusan aku! Buat menyakitkan hati aku lagi adalah…” Rizal menolak usulan yang
tidak diketahui dengan jelas maksud penganjurnya.
“Maksud aku bukanlah aku hendak kau pergi
serang Anita. Cuba jalinkan hubungan yang baik dengan dia. Kemudian bolehlah
bertanya atau korek rahsia.” Fareez mereka strategi yang bermain-main di
komputer mindanya dan mengharapkan Rizal menyetujuinya. Tidak salahnya mencuba
sesuatu ide. Belum cuba tentulah belum tahu hasilnya. Demikian maksud
pandangannya.
“Kenapa kau saja
yang tidak buat. Aku pula yang kena.” Sanggahan itu melengkapi maksud
penolakannya.
“Kalau boleh
memang aku hendak buat. Aku ni memang suka tolong kawan. Apa lagi kawan aku
yang bermasalah berat macam kau ni. Mentelah pula aku sekarang ni berkerja di
bawah kau. Tapi kau tahu sajalah, dia nampak macam anti sangat dengan aku sejak
kali pertama dia jumpa aku. Aku rasa dia biasa saja dengan kau. Kau pun memang
ada bakat semula jadi untuk memujuk dan menenangkan hati orang. Tengoklah macam
mana kau boleh pujuk aku datang ke seberang laut ni. Tak kena gaya PRnya, tidak
ada siapa yang sanggup bertunggu-tangga di pulau ni. Baiklah aku balik kampung
relek dan tidur baring saja di rumah.” Rizal terkedu. Sejenak berfikir.
“Hendak mula macam
mana?” Rizal terpengaruh juga dengan apa yang dikatakan Fareez. Dia bertanyakan
pendapat temannya itu kerana baginya hendak memulakan sesuatu tindakan itu
memang sangat sukar.
Tiba-tiba suara Sarina yang gemersik manja itu
kedengaran memanggil Rizal berkali-kali.
“Alamak…Sarinalah…Aku
pergi menyorok dulu, kau tanya apa dia hendak.”
Rizal hilang dari
sebalik pintu yang dibuka di bahagian belakang.
Fareez membuka
pintu hadapan.
“Hai Sarina...”
sapa Fareez dengan se garis senyuman manis terlorek di bibir.
“Tak nak ajak saya
masuk ke?” Fareez menggelabah. Reputasi dan maruah diri perlu dijaga. Dia tidak
mahu mencemarkannya. Apa lagi sekarang ini dia sedang membawa nama Rizal
sebagai pengurus RSJ ke mana-mana. Sebarang tindakan yang silap hanya akan
menyusahkannya. Bukan itu yang dimahukannya berlaku.
“Maaflah. Sekarang
ni saya seorang diri saja. Tidak manis kalau saya berdua-duaan dengan gadis
cantik seperti Sarina.” Dia lunak beralasan wajar agar tidak ketara dia tidak
menyenangi perlakuan sebegitu. Imannya memperteguhkan jati diri lelaki muslim
yang solih.
“Ala Rizal
bukankah bos dan pemilik pulau ni?”
“Iya...ya...ya
memang gitu. Tapi orang-orang di pulau ni lain pesen sikit. Maklumlah pulau ni
kecik je, orang-orangnya pun tidak ramai jadi gerak-geri penduduknya sentiasa
diperhati. Saya tidak berani melanggar adat budaya orang sini yang tidak
membenarkan gadis bersama bukan muhrimnya di bilik. Beginilah jom kita pergi
ambil angin di tepi pantai.”
“Tepi pantai? Tak
naklah..Anita ada di sana. Dia sedang baca dan hafal skrip. Lagi pun kalau dia
tengok kita berdua-duaan nanti dia cemburu. Maklumlah buah hati dia kan jauh…”
Sarina langsung tidak berminat dengan pelawaan Fareez itu.
“Baiklah saya bawa
Sarina ke tempat lain. Sarina tunggu di luar sekejap, saya hendak salin
pakaian.” Fareez menutup pintu dan membiarkan Sarina duduk di serambi luar.
Rizal muncul dari sebalik pintu belakang.
“Aku keluar
sekejap ya.” Beritahunya kepada temannya yang asyik memperhatikannya menukar
pakaian. Dia termangu memikirkan samaada akan menemui Anita di pantai. Sebagai
mengikuti ide temannya itu. Sekarang dia sudah tahu lokasi di mana Anita berada
melalui perbualan Fareez dan Sarina sebentar lalu.
***
Malam
beransur lewat. Matanya mulai terasa mengantuk dan berat hendak diangkat kelopaknya.
Dia mengemas skrip drama yang dibawanya dan bangun dari duduknya yang lama di
atas bangku batu.. Mengibas-ngibas ponggongnya dan membetulkan pakaian yang
melekat di tubuhnya.
Dari jauh dia
melihat sesaorang berjalan ke arahnya. Barangkali Johan? Fikirnya. Dia ingin
memastikannya dan menunggu sehingga ‘Johan’ yang disangkanya itu mendekatinya.
“Apa
yang Encik Fareez buat di sini?” sapanya dengan tona yang berbaur kehairanan.
Ternyata anggapan Anita meleset. Dia terkejut sedikit dengan kehadiran Rizal di
situ.
“Sepatutnya
saya yang tanyakan Cik Anita soalan tu.” Anita tersenyum. Manis dan ayu sekali
pada pandangan Rizal. ‘Tidaklah sesombong mana seperti yang digambarkan Sarina
dan Fareez. Mahu juga dia bertegur sapa denganku.’ Desis hatinya menyimpulkan
kenyataan.
“Saya
sedang hafal skrip ni…supaya tidaklah pengarahnya
terjerit-jerit...cut..cut…bila saya terlupa dialog. Suasana yang aman dan
tenang begitu mendamaikan sehingga skrip yang dihafal mudah melekat di kepala.
” Ujarnya lirih memberitahu lelaki yang berada di hadapannya. Sehinggakan Rizal
terkedu menghayati setiap patah-patah katanya.
“Begitu.
Susah juga hendak berlakon ya. Terpaksa menghafal skrip lagi. Tapi rasanya dah
lewat ni, tidak elok malam hari seorang diri di sini. Bimbang juga kan berlaku
sesuatu yang tidak diingini terhadap orang cantik macam cik Anita ni.”
“Saya
tahu. Terima kasih kerana mengingatkan. Saya pun sudah hendak balik ni. Tapi
Encik Fareez buat apa di sini? Malam, tidak ada tugasan ke?” Wajah polos lelaki
yang hanya dikenalinya sambil lewa itu ditatapinya.
“Nak
ikutkan kerja memang tidak pernah habis. Saja-saja. Keluar sekejap dari tempat
kerja, jalan-jalan sambil sedut udara malam yang segar. Cik Anita sudah makan?”
Rizal tidak tahu lagi apa yang hendak disebutkannya. Hanya pertanyaan klise itu
yang terpacul dari bibirnya.
“Sudah.
Tidak usahlah bercik-cik dengan saya. Panggil Anita saja. Tidak perlu terlalu
formal dengan tetamu biasa macam saya ni.”
‘Baiknya budi
bahasa buah hati ayah aku ini. Mungkin sebab itulah ayah aku mabuk kepayang
terhadapnya kut.’ Rizal memberi nilai yang sepadan dengan keperibadian Anita.
Namun prasangka
negatifnya terhadap gadis itu masih membulat padu. Belum lagi dapat menerima
bahawa gadis di hadapannya itu seorang yang baik kerana menurutnya hendak
menilai seseorang tidak hanya dengan pandangan pertama. Perlu ditelusuri hati
budinya dalam jangka masa yang lama.
Anita ini tentu
tidak sama nilai baik budinya dengan Fareez, hatinya berkata begitu. Sekali
pandang saja dia sudah kenal Fareez seorang yang inosen dan berbudi luhur,
bagai ‘sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.’
“Kalau
begitu sama juga dengan saya. Panggil Fareez saja. Saya pun bukan siapa-siapa.
Hanya perkerja biasa di sini. Oh ya. Terlupa pulak. Tadi saya ada terima
panggilan dari Datuk Shaari. Dia suruh Anita telefon dia balik. Segera
katanya.” Anita panik. Merenung sepasang mata bundar yang layu di hadapannya
dengan tajam. Dia tidak menggemari berita yang sampai kepadanya itu.
Wajahnya murung
serta-merta. Dia tunduk. Dadanya turun naik berombak-ombak Tiada lagi
ketenangan yang dirasakan. Hilang terbang berpuing-puing bersama pesanan yang
disampaikan Rizal kepadanya.
“Masyaallah.
Oh tidak. Dia buat panggilan ke sini? Ada dia kata dia hendak datang ke sini?”
Rizal terkeliru dengan kenyataan yang terbentang di hadapan matanya. Dia tidak
tahu hendak menafsirnya bagaimana. Dia tidak melihat kegembiraan tertera di
wajah Anita sepertimana seseorang menerima kabar dari orang yang tersayang.
“Tidak
pulak. Kenapa dia kata dia hendak datang ke sini ke?” Pertanyaan Rizal tambah
mengeruhkan urna rona wajahnya.
“Ya
Allah…minta-mintalah dia jangan datang ke sini. Hilanglah mood saya nanti.”
Bertambah-tambah besar bentuk pertanyaan yang menggeluti kotak fikirnya.
Rizal kehairanan.
“Kenapa
pula mesti hilang mood? Bukankah dia itu buah hati Anita?” Anita semakin
bengang dan terpana. Ikutkan hatinya mahu ditonyoh saja mulut celupar yang
berkata begitu kepadanya. Tapi hatinya segera meredap api marahnya yang hendak
membara bila perasaannya semakin terkawal.
Masakan hendak
ditonyohnya mulut Rizal yang tidak tahu menahu apa-apa perkara yang disebutnya
itu. Dia hanya seorang pembawa pesanan yang menjalankan amanah yang diberi
kepadanya. Kemarahannya yang meluap-luap itu tidak tahu kepada siapa hendak
dilepaskan. Dia mendengus geram. Beristigfar berkali-kali buat menyabarkan hati
gundahnya.
“Ini
mesti mulut si Sarina yang ‘macam murai tercabut ekor’ beritahu Fareezkan.
Kalau macam ni saya sudah nekad, this is
really gonna be my last drama.” Rizal pula yang kebingungan.
Terkulat-kulat
matanya merenungi anak mata yang bening berkaca memohon penjelasan yang
melegakan. ‘Apa pula masalahnya ni?’ Dia meneka-neka jawapannya. Hatinya
direnggut sayu melihatkan kemurungan yang menggeluti Anita.
“Saya
langsung tidak faham.” Rizal terkesima. Anak mata Anita yang bersinar
direnungnya polos. Bertambah-tambah keliru fikirannya.
“Fareez…Datuk
Shaari tu bukan buah hati saya. Bukan! Bukan! Bukan! Saya langsung tidak kenal
dia secara peribadi. Tidak ada kena mengena dan sangkut-paut sikit pun. Dia
yang terkejar-kejarkan saya. Semuanya gara-gara Sarina.” Anita berpaling dari
tatapan mata Rizal.
Dia mengadap laut
yang diliputi malam yang kelam. Namun di kejauhan ada cahaya yang bersinar di
tengah samudera. Seolahnya dia mahu ombak laut yang sentiasa berulang-alik
mencecah pantai membawa pergi semua kerunsingan hatinya.
“Jadi..?”
hatinya melonjak-lonjak teruja hendak mengetahui perihal sebenarnya. Anita
kembali berpaling mendepani pemuda yang setia di sisinya yang mengharapkan buah
kata Anita yang sangat berharga buatnya pada tafsiran nubarinya. Bagai ubat
mujarab yang akan mengubati rusuh, resah dan runsing yang teradun menyarati
benaknya selama ini.
“Apa
yang dikatakan Sarina itu semuanya beda’ah. Bohong. Karut. Saya sikit pun tidak
menyangka Sarina sanggup lakukan begini kepada saya. Dia memang tahu saya
memang bencikan Datuk tu. Sarina ni memang tidak boleh dibuat kawan. Nanti kau
Sarina...” Anita menggumam geram. Bibirnya dikulum dalam. Barisan giginya
diketap kejap. Barisan gigi atas dan bawahnya yang berlaga berkeriut bunyinya.
Rizal termangu.
Terkedu. Samasekali tidak menduga bahawa begitu pula riaksi Anita yang akan
dihadapnya. Dia kalut dan serba salah pula. Namun dia amat bersyukur kepadaNya.
Nampaknya keadaan memang memihak kepadanya. Dia tidak perlu khuatir apa-apa
lagi. ‘Hebat sungguh idemu Fareez. Brilliant.’
“Tenang Anita.
Relek. Maafkan saya. Saya tidak mahu Sarina dan Anita bergaduh kerana apa yang
saya katakan tadi.” Tukasnya. Mula berperanan sebagai lelaki budiman yang
bertanggung-jawab terhadap kerumitan yang dicetuskannya.
“She’s just too much Fareez. Saya jadi
pelakon bukan kerana hendak kahwin dengan orang kaya. Tidak adapun niat saya
yang begitu. Sebenarnya sudah enam bulan saya menganggur selepas graduat. Kalau
balik kampung hanya menyusahkan keluarga saja. Sarina syorkan saya jadi pelakon
macam dia.
Saya fikir
daripada duduk saja membuang masa, apa salahnya kalau saya mencuba. Lagipun
bakat berlakon tu adalah sikit sebab selalu ambil bahagian dalam pementasan
drama di sekolah dulu. Tapi tak sangka begini pula yang jadi. Menyesal sungguh
saya dengarkan cakap Sarina tu.”
“Begitu
rupanya. Sudah berapa lama Anita berlakon?”
“Baru
dua drama. Sarina tu se kampung dengan saya. Sama-sama bersekolah dulu. Hanya
nasib saya baik sikit dapat sambung belajar di universiti. Dia pula memang
sudah cita-citanya hendak jadi artis, ada pula rezekinya. Dia pun jadi
pelakon.”
Sudah terentang
dengan jelas fakta sebenar yang teringin diketahuinya selama ini. Rizal rasa
dia tidak perlu mengoreknya lebih dalam lagi. Dan dia telah tertipu dengan
fakta auta yang diperolehi dari sumber yang diyakini kebenarannya. Berdosa pula
dirasakannya kerana mengutuk gadis itu dengan prasangka dan tuduhan yang membuta-tuli.
“Berat
ni!” Desisnya perlahan. Rizal menimbang-nimbang perkiraannya tentang fakta yang
menyimpang dari realiti pengetahuannya. Benarlah kata pepatah tidak bertanya
sesat jalan. Malas berkayuh perahu hanyut. Tidak pasal-pasal menambun dosa yang
hendak di elak. Seluruh hatinya didera rasa bersalah.
“Astagfirullahhalazim…ha
ka natauwaba.” ‘Ampuni hambamu ya Allah, hanya kau yang menerima taubat.’ Rizal
beristigfar pula perlahan.
“Apa
dia?” Anita meneliti raut wajah tampan yang berkerut-merut itu.
“Tidak
ada apa-apa. Patutlah saya perhatikan perangai Anita berbeza dengan Sarina.”
Balasnya kalut. Dia berusaha menuturkan jawapan yang relevan. Tidak mahu Anita
menyedari keserbasalahannya.
“Tolong
Fareez. Jangan samakan saya dengan Sarina. Kali ini saya sudah nekad. Saya
tidak sanggup lagi hendak rosakan masa depan saya dengan perkara mengarut macam
ni. Saya sanggup cari apa saja kerja selepas ni. Asalkan tiada gangguan lagi
dan yang penting halal. Nampaknya bidang ni bukan dikhususkan buat saya. Saya perlu
cepat undur diri. Jika tidak tentu lintang-pukang hidup saya.”
“Ya…saya
faham.” Balas Rizal kagum metah dengan pendirian gadis cantik itu. Bukan
setakat prinsip gadis itu yang dikagumi. Malah sekaligus seluruh dirinya mulai
mencuri-curi perasaan halus yang berdetak sejak lama nun jauh disimpan kemas di
lubuk kalbunya. Apakah perasaan aneh itu? Dia yang merasainya tentu dia lebih
arif mengenainya.
“Fareez…
saya takut sangat Datuk tu datang ke sini.” Rizal tersenyum sedikit merenung
wajah ayu yang kemuraman itu. Kejelitaannya terserlah dibawah sinaran cahaya
lampu di pinggir pantai itu.
Hati Anita sangat
rusuh kerana memikirkan akan berhadapan dengan Datuk Shaari yang akan
memporak-perandakan situasi jiwanya yang tenang. Tetapi hati Rizal yang menemaninya
berjalan pulang ke chalet bukan kepalang gembiranya.
Deburan ombak yang
memukul pantai seakan rima indah yang membelah sunyi malam. Amat
membahagiakannya. Dia membayang wajah mamanya yang berseri tersenyum manis
kepadanya.
‘Oh ibu kau umpama bayu pagi…’ hanya lirik
lagu nyanyian kumpulan Exist yang bergaung di benaknya. Sayup dan syahdu.
Dia melihat sekeping kertas yang berada di
dalam skrip yang berada di genggaman Anita luruh ke bawah. Dia mengutipnya.
Mengimbas tulisannya dan tersenyum. Menghulurkan pula kepada Anita tanpa
bertanya apa-apa.
“Saya terjumpa
sajak ini di pantai tadi. Datang melayang-layang dibawa angin kepada saya entah
dari mana. Saya ambil dan simpan. Sayang kalau dibiarkan sajak indah itu hanyut
dibawa ombak laut. Entah siapa pemiliknya. Mungkin penyair ini sangat halus
jiwanya dan boleh dibuat kawan teman bicara. Ingin pula hendak menemuinya.”
“Saya ni tidak
berapa pandai hendak komen tentang sajak orang lain. Tapi kalau Nita rasa ianya
bernilai dan perlu disimpan, simpanlah. Mungkin hajat Nita hendak bertemu
dengan penyairnya akan termakbul kelak. Siapa tahu.” Balas Rizal bersahaja.
* * *
Hati Rizal amat
lega dan tenang. Setenang laut China Selatan dibawah sinar bulan mengambang
sewaktu cuaca tiada catatan skala ribut taufan dan ombak menggelora dari
Jabatan meteorologi.