“Tidak untuk
ketika ini. Tetapi di masa depan jika awak masih yakin berpegang dengan janji
Melayu itu nampaknya terlepaslah peluang untuk meraih keuntungan bersama
syarikat ini yang berpegang pada motto ‘cepat dan tepat pasti jaya’.”
‘Seakan motto PDRM pula (Polis
Diraja Malaysia)’ getus hati Sarina.
Dirasakannya
khutbah yang diberi produser drama yang masih muda dan baru berkahwin itu
laksana seorang motivator yang memberi ceramah motivasi kepadanya.
Membosankan. Memeningkan kepalanya yang malas untuk mentafsir dan
menghazam maksud baiknya. Tetapi demi menjaga periuk nasinya terpaksa
ditebalkan juga cupingnya untuk menerima ocehan yang tidak memenuhi seleranya
itu.
“Mana dokumen kontrak tawaran
berlakon drama untuk kedua-dua artis ni? Sarina dan Anita ni ada appointment dengan wartawan majalah
hiburan pula selepas ni.” Rosli menerjah tanya kepada gadis pembantunya.
Seorang PRO (Pegawai Perhubungan Awam) syarikat yang tugasnya khusus
kepada tanggung-jawabnya menjaga kepentingan dramatis-dramatis yang telah
diberi kontrak tawaran berlakon.
Orangnya tampak elegan dan sofistikated perawakannya. Haslinda. Dia
meninjau pandang ke mana-mana. Mencari-cari sesaorang lagaknya.
“Kemana pula si Lela ni?” gadis itu
tercari-cari sekretari Encik. Rosli.
“Lela…”jeritnya. Tiada sahutan
balasnya. Sepi.
“Biar saya tengok samaada dia ada di
luar,” Anita menawarkan jasa baiknya untuk meninjau keberadaan Lela. Barangkali
Lela sedang menyiapkan sesuatu yang belum beres tentang dokumen perjanjian itu.
Kerana di dalam perjalanannya memasuki bilik Encik Rosli sebentar tadi, dia
melihat Lela sedang tekun mengadap skrin komputer.
Sebenarnya Anita tidak
gemarkan cara Haslinda yang meninggikan suaranya memanggil sesaorang dan
berharap orang itu akan membalas panggilan dengan cepat tetapi malas bergerak
dengan pantas untuk mencari dan mengambil tahu sebab-musabab akan
kelambatannnya. Apalah guna membuang masa setakat memeritkan tekak
terjerit-jerit begitu.
Benar sekali dugaan Anita, Nurlaila
ditemuinya sedang mencetak terma perjanjian di kertas terakhir yang sudah
disusun rapi di dalam beberapa buah fail. Tertera nama Sarina pada fail yang
sedang dipegangnya di bahagian atas. Fail yang di bawahnya tentulah tertera
namanya. Dia mengagak saja.
Nurlaila sudah bangun dari duduknya yang lama. Menegakan tubuhnya
dan mengibas-ngibas ponggongnya. Merapikan semula susun-letak pakaian di
tubuhnya.
“Cepat sikit Lela, Encik Rosli dah
sibuk cari kau tu.” Nurlaila terkocoh-kocoh mengemasi dokumen yang akan
dibawanya masuk ke bilik pejabat ketuanya.
“Gitulah Nita, Encik Rosli tu semua
kerja dia nak cepat menepati masa tetapi masa yang cukup tidak diberi untuk aku
siapkan kerja ni. Apapun beritahulah awal-awal, ni tidak, hari ni nak sain
perjanjian, pagi tadi bila aku masuk opis dia suruh aku siapkan semua
dokumennya. Kelam-kabut aku nak buat. Mujur juga dokumennya memang tersimpan
dalam folder computer dan tidak banyak yang perlu diubah, tapi penatlah juga.”
Anita turut kasihan menatap wajah layu yang keletihan kerana mindanya terdera itu.
Kadang-kadang kita inginkan orang
lain memenuhi nilai-nilai norma yang kita amalkan tetapi kita lupa di satu sisi
orang lain itu tidak berupaya hendak mengikut rentaknya. Di sini telah berlaku
salah tanggapan penerimaan, menurut Anita.
“Awak ke mana ni Lela?” Tanya
Haslinda gusar. Lela melepaskan senyuman yang dipaksa bermain di bibirnya.
‘Lebih sudu dari kuah lah pulak dia ni…bos tak berbunyi pun. Dia pula yang
sibuk.’ Getus hatinya mengeram haba.
“Tak ke mana. Di luar tu saja.
Siapkan semua dokumen yang perlu ni.” Balasnya hambar. Di letakannya timbunan
surat-surat yang perlu di tandangani kedua-dua artis drama itu untuk
mengesahkan kedua-duanya menerima tawarannya dan tertakluk pula kepada beberapa
syarat tertentu yang mesti dipatuhi.
“Sarina dan Anita boleh turunkan
tanda tangan pada ruangannya.” Tukas Encik Rosli. Johan menghulurkan pen yang
di ambil dari kocek bajunya kepada Anita. Dokumen itu telah disemak terlebih
dahulu sebelum dia menurunkan tanda tangannya. Dia meneliti setiap syarat yang terkandung
di dalamnya. Setelah berpuas hati baru dia menandatanganinya.
Giliran Sarina pula untuk tugasan
yang serupa. Cepat dan pantas. Yakin amat. Gurisan tanda tangan terus tercoret
tanpa sebarang kerja kaji yang sepatutnya.
Selesailah acara itu. Bersalaman
pula secara formalnya. Menurut kebiasaan yang dilakukan setelah sesuatu urusan
itu dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Tidak ada sebarang
bantahan yang berbangkit.