Sunday, 9 August 2026

KEINDAHAN ALAM

 ASSALAMUALAIKUM

PIC SIFU TA (C) 


KEINDAHAN ALAM

Genre: Puisi Tradisi Kanak-kanak
Penulis: Sabariah Nor Salleh
Penerbit: PELITA
ISBN: 978-983-9039-59-7 (Sastera Kanak-kanak)
Bilangan halaman: 32
Harga: RM25.00
Tahun terbitan: 2026
Pengulas: Paridah Ishak

Naskhah KEINDAHAN ALAM merupakan sebuah koleksi pantun kanak-kanak hasil nukilan Sabariah Nor Salleh, seorang penulis mapan yang aktif berkarya dalam pelbagai genre sastera sejak tahun 1980. Selain menghasilkan karya kreatif, beliau juga pernah berperanan sebagai penyelenggara beberapa antologi. Puisi-puisinya banyak tersiar dalam penerbitan SPTA serta pelbagai media massa, membuktikan ketekunan dan kesungguhannya dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Melalui naskhah ini, penulis mengetengahkan pengalaman serta kehidupan harian kanak-kanak dengan pendekatan yang santai, ceria dan mendidik. Buku yang diterbitkan dalam bentuk kulit keras ini menggunakan kertas berkualiti tinggi serta dihiasi ilustrasi berwarna-warni yang menarik perhatian pembaca cilik. Sebanyak 32 buah judul pantun dimuatkan, menyampaikan mesej dan nilai murni yang sesuai dijadikan panduan dalam pembentukan sahsiah kanak-kanak.

Pada bahagian awal buku disediakan senarai kandungan yang memudahkan pembaca memilih pantun mengikut tajuk. Antara tajuk yang dimuatkan ialah Kucing, Tolong-menolong, Bermain, Berkebun, Balik Kampung, Adik, Menabung, Bersenam, Hujan, Berkawan, Membaca, Cuti, Keindahan Alam, Buah-buahan, Bunga, Pesanan, Adab Sopan, Sekolah, Guru, Masa, Belajar, Ibu, Bapa, Kelapa, Taman Bunga, Pantai, Rumah, Bersih Rumah, Lukisan, Ayam dan Hadiah. Kepelbagaian tajuk ini memperlihatkan keluasan pengalaman yang dekat dengan dunia kanak-kanak.

Setiap pantun terdiri daripada empat baris yang disusun kemas dengan rima hujung yang harmonis, mengekalkan keindahan bentuk pantun Melayu tradisional. Penggunaan diksi yang mudah, segar dan sesuai dengan tahap usia pembaca menjadikan pantun-pantun ini mudah difahami. Pada masa yang sama, penulis berjaya mengekalkan unsur estetika bahasa yang menjadi kekuatan puisi tradisional Melayu.

Puisi pantun dalam naskhah ini turut menyemai nilai kasih sayang, hormat-menghormati, kerajinan, semangat bekerjasama, kecintaan terhadap alam sekitar dan pentingnya menuntut ilmu. Justeru, buku ini amat sesuai dijadikan bahan bacaan dan memupuk minat kanak-kanak terhadap warisan sastera Melayu sejak usia muda.

Berikut ialah petikan daripada pantun "Keindahan Alam" yang menjadi judul naskhah ini:

 

KEINDAHAN ALAM

Pecah cawan bersisa,
Hias alatan baharu;
Indah awan di angkasa,
Luas lautan membiru.

Bonda tukar jarum,
Tetas sarung berlubang;
Bunga mekar harum,
Bebas burung terbang.

Pantun ini memancarkan keindahan alam ciptaan Tuhan melalui gambaran awan, lautan, bunga dan burung yang hidup dalam suasana damai. Penggunaan imejan yang indah mampu merangsang imaginasi kanak-kanak agar menghargai alam sekitar serta mensyukuri segala nikmat yang dikurniakan. Kesederhanaan bahasa yang dipilih menjadikan mesejnya mudah difahami, namun tetap meninggalkan kesan yang mendalam kepada pembaca.

 

 


2 comments:

  1. Waalaikumussalam.
    Semoga pembaca, khususnya kanak-kanak dapat menghayati keindahan alam melalui puisi ini.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”