ASSALAMUALAIKUM
Cerpen
Oleh
Paridah Ishak
SEAWAL TIGA PAGI
Surah Al-Kafirun sudah kubaca. seusai membaca doa
penerang hati.
Robbisyrohlii Sodrii. Wayasirlii Amrii. Wahlul
Ukdatammillisaanii. Yafkohuu Koulii.
"Wahai
Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, tugasku. Dan
lepaskanlah simpulan dari lidahku. Supaya mereka faham perkataanku"
(Surah Taha : 25,26,27,28)
Insyaa-Allah
doa yang berulang kali kubaca ini mampu menyinari gelap gelemat kalbuku.
Akan melancarkan lisanku tanpa aral gangguan. Memang kuakui, mindaku agak
lembam dan sukar untuk menghafaz walau ayat lazim yang pendek surahnya. Namun
tetap kuusahakan semampu dayaku. Persis kata pepatah titisan air setiap hari
menimpa batu mampu juga melekukkannya.
Fahaman
mudah yang tidak menyusahkanku amat kusenangi. Tidak memaksa jiwaku lakukannya
segera dan drastik untuk meraih
pencapaian yang diimpikan. Bersederhana dalam segenap perkara itulah
diriku. Menjadi diriku adalah pilihan
kemahuanku..
Amalan
membaca surah-surah pendek yang kuhafaz seawal tiga pagi menjadi rutinku kini
dalam ibadah solat sunat yang diakhiri solat sunat witir. Bersama-sama
rakan-rakanku di sini melakukannya langsung tidak bosan, malah amat menenangkan
jiwaku yang rusuh selama ni.
Setelah
itu menyambung tidur seketika sebelum bangun menunaikan solat subuh berjemaah.
Berterusan pula dengan aktiviti yang dtentukan pengurusan sekolah tahfiz di
pinggir bandaraya gunung ini. Tidur selepas solat subuh perbuatan yang jelek dan
tidak digalakan. Jadilah seperti burung burung yang terbang bertebaran segenap
pelosok alam mengutip butir rezeki yang bertaburan di awal pagi
Amir,
rakan sepengajianku sedang menyusun kitab-kitab rujukan yang telah digunakan
dalam kuliah pengajian bersama ustaz
Bahari sebentar tadi. Pengupasan tentang surah Kafirun ini begitu jelas
laksana mentari bersinar pagi. Menekuni
dengan sabar setiap ajaran ustaz Bahari. Setelah itu tugasan yang ustaz beri
adalah menghafaznya mengikut tertibnya tidak lari daripada tajuid Al-Quran
sebenar menurut sebutan makhraj terbitan huruf disebut..
Aku
turut menyusun kitab-kitab yang telah digunakan di raknya. Menolong Amir
mempercepatkan kerjanya. Bolehlah setelah itu bersaing dengannya ke kebun
jagung di belakang pusat tahfiz ini pula. Pohon-pohon jagung yang telah kutanam
bersama Amir dan rakan-rakan sepengajianku beberapa bulan lalu. Meninjau
perkembangannya samaada segar subur atau sebaliknya.
Telah
tumbuh tegak berpucuk hijau pekat setinggi berdiri. Dan ada yang telah
menghulur sunaknya di celah dedaunannya yang leweh melempai. Projek tani
anjuran pihak sekolah tahfiz ini untuk menambah sumber kewangan disamping
mengisi masa kami agar tidak tersia. Dan membuang masa tanpa apa-apa kegiatan.
Pusat tahfiz yang dirikan untuk mentarbiah murid-murid tua yang bermasalah rohaninya.
“Mir
kau balik ke mana raya ni?” sunyi terkoyak sebaik terlantun suaraku lirih.
Amir
tidak membalas pertanyaanku. Fokus sangat dengan kerja yang sedang dibuatnya
mungkin. Leka sekali mencabut rumput dan mengumpulnya setempat. Aku pun malas
hendak mengulang tanya lagi. Bersabar saja..Sebentar lagi kawanku itu kukira
akan teringat untuk membalas jawapanku. Biarkanlah dulu.. Tiba-tiba Amir
mendongak menentang mataku.
“Aku
sambut raya di sini je Di. Setiap tahun di sini. Seronok juga.Sambut raya
bagiku sama saja walau di mana pun.” Selamba saja jawapannya tanpa sebarang
emosi beriak.
“Sejak
kau masuk belajar di sini kau tak pernah balik kampung? Kau tak rindu pada
keluarga kau di kampung?” banyak pula soalan yang kutanyakan.
“Mestilah
rindu. Rindu sangat.Siapalah yang tak rindu apatah lagi kalau berpisah lama. “
“Habis
kenapa kau tak balik beraya dengan keluarga kau?”
“Dah
tak ada siapa di kampung Di. Mak ayah aku dah lama meninggal.”
“Oh!
Tapi adik beradik kau tentu masih ada?”
“Adalah
juga. Tapi adik beradik aku tak sukakan aku. Buat apa aku nak beraya dengan
mereka. Aku hanya menyusahkan mereka pada anggapan mereka. Mereka malu kalau berlaku kehilangan harta benda,
orang kampung tentu menuduh aku, adik mereka. Orang kampung kenal aku sebagai
penjahat, penagih dadah yang akan jahat selama hidupnya. Aku tak salahkan
anggapan mereka. Hak merekalah tu
Aku
hanya manusia biasa, sentiasa tak sudah berbuat silap. Tapi Allah sedarkan aku
untuk berubah. Macam kau juga kan. Kita berada di sini sebab kita nak berubah
menjadi orang baik sebelum kita mati kan? Lagipun di sini kita dapat
memperbaiki diri, bertaubat dan menambah ilmu yang kurang.”
Syahdu
anak matanya bulat merenungku redup..Apa yang berladung dalam fikirannya tidak
kuketahui. Aku terdiam di sisinya.
Amir
menepuk bahuku.
“Jom
kita ke hujung sana. Kita bersihkan rumput yang menjalar tinggi kat bawah
pokok-pokok jagung situ.” Aku mengikuti langkahnya yang diatur cepat.
Kisah
Amir terhenti di situ. Tidak bersambung walau aku masih sedia mendengar setiap
periwayatan pengalaman hidupnya. Bukan asing kepadaku kisah-kisah sebegini.
Sentiasa ditulis dan disebarkan di media massa. Juga tular di media sosial.
Kisah klise era lalu hingga kini namun menuntut pengamatan matang.
“Kau
balik kot raya ni?”
“Mungkin!” Kemungkinan segalanya. Antara ya dan tidak.
Kemungkinan besarnya tentulah tidak. Hatiku menggelupur ingin pulang menemui
ayahku, . Memeluknya. Menciumi sepasang tangannya yang pernah mendokongku
dengan segenap kasih sayangnya yang tulus tika aku kecil.
Menatap
wajahnya yang semakin diselirati garis kerutan lantaran berusia. Ingin menolong
kerjanya menguruskan perniagaannya kerana aku tahu dirinya tidak lagi berdaya
seperti dahulu. Sesungguhnya sebenarnya aku teramat rindu untuk berada di sisi
ayahku.
Memohon
ampun maaf akan kesilapanku yang terlanjur, tidak sengaja atau tersengaja. Tapi
ayahku telah membuangku jauh dari hatinya. Tidak mahu lagi menerima kehadiranku
di sisinya. Kenapalah jadi begitu. Tidak aku mengerti. Dulu aku sangat pasti
ayahku amat sayangi aku.
Apa
salahku sebenar tidaklah aku tahu. Mindaku simpang perenang memikirkannya.
Belum kutemui jawapan pasti. Rasanya aku
tidak pernah membantah setiap arahan ayahku. Seawal 3.00 pagi aku sudah bangun
membantu ayahku menguruskan perniagaannya di tapak pasar borong berdekatan
pertempatan kami. Usiaku tika itu baru 10 tahun.
Setiap
awal pagi rutinku memang begitu tanpa membantah. Tidak pernah merungut walau
amat kepenatan. Setelah itu lekas pula bergegas bersiap untuk ke sekolah.
Ayahku menghantarku dengan lori kecilnya.
Di
dalam kelas pula aku sering tersengguk-sengguk lantaran mengantuk.
Kawan-kawanku dan guru kelasku memahami situasiku dan kondisiku yang kelelahan
kerana membantu ayahku berniaga mencari rezeki. Guru kelasku amat prihatin akan
masalahku. Membiarkan saja diriku tersengguk lalu tertidur di meja tika beliau
sedang mengajar.
“Awak
ni cikgu tenguk letih sangat. Selalu tertidur saja dalam kelas.”
“Saya
bangun awal pagi cikgu dan menolong ayah saya berniaga.” Jawabku kelam-kabut
sambil menggenyeh-genyeh mata. Aku tersedar setelah terlelap sebaik disapa guru
di sisiku.
“Cikgu
tahu tu. Tapi ayah awak tak sepatutnya minta awak menolongnya pada awal pagi.
Awak sepatutnya tidur masa tu. Awak pun perlukan cukup tidur untuk ke sekolah.
Di sekolah boleh awak belajar dengan selesa dan cergas beraktiviti dengan
kawan-kawan awak..Ini kat sekolah awak asyik tidur saja..Awak ni cikgu tenguk
memang ada potensi untuk berjaya. Sebab cikgu tenguk walau awak sering tertidur
kat kelas tapi awak lulus semua subjek
peperiksaan dengan baik. Rugilah kalau potensi awak tak digilap sedang
awak masih muda..”
“Cikgu
cakaplah dengan ayah saya. Mungkin cakap cikgu ayah nak dengar. Selamat saya
tak payah nak bangun pukul tiga pagi, tolong ayah kat pasar borong. Bolehlah
saya tumpu kepada pelajaran saya saja..” Aku amat mengharapkan itu
berlaku. Tapi cikgu Norfaizah tidak
berani juga berdepan dengan ayahku yang sentiasa mencuka wajahnya itu untuk
menyatakan bahawa ayahku telah melakukan
penderaan ke atas diriku justeru mengeksploitasi tenagaku walau usiaku masih
rendah. Tidak sepatutnya aku bangun seawal pukul tiga pagi untuk membantu
ayahku berniaga.
Tiada
perubahannya rutin hidupku. Lestari berlaku sehingga tamat persekolahan
tingkatan lima. Aku merasa mendapat kebebasan sebenar setelah ayahku melepaskan
aku keluar daripada belenggunya dengan alasanku hendak hidup sendiri berdikari.
Sekolah pun telah tamat dengan keputusan SPM mendukacitakan. Gagal. Lulus semua
subjek yang kuambil tapi tidak layak mendapat sijil.
Ayahku
langsung tidak menyetujuinya kerana katanya aku yang bakal mewarisi
perniagaannya yang semakin berkembang maju. Namun aku bertegas dengan maksudku.
Ayahku mengalah. Namun melafazkan kata dua sekiranya aku melangkah keluar
daripada ruang hidupnya, aku tidak akan diterimanya kembali lagi. Fikiranku
tidak panjang. Apa yang dimaksudkan ayahku lewa kuanggap. Lagipun aku sudah
jemu bangun seawal tiga pagi untuk bekerja di pasar borong membantu ayah.
Ayahku
memberiku wang simpanan yang disimpan untukku atas namanya. Banyak juga
jumlahnya hasil penat lelahku berkerja membantu ayahku selama ini. Bertambah
riak hatiku untuk meniggalkan ayahku kerana.dalam usia semuda ini telah miliki wang belasan ribu RM. Mengujakan aku untuk meneroka dunia baru.
Dunia yang lebih saujana luas selain berada di seputar premis niaga ayahku
Aku
terbang bebas laksana unggas dan higggap di mana saja terasa. Kawan-kawanku
sekelilig pinggang. Mengerumuniku lagak
semut bertemu gula. Sungguh seronok aku miliki kawan yang ramai. Sikapku yang
tidak lokek berbelanja apa sahaja diminta mereka membuat diriku sangat disenangi.
Selama ini aku tidak berkawan. Usai sekolah
aku pulang ke rumah untuk tidur. .Jika aku tidak tidur tentu aku mengantuk kala
dikejutkan ayahku untuk bangun bekerja di awal pagi. Sepanjang usia kanak-kanak
banyak masaku habis untuk tidur di siang hari saja.
Kini
aku mahu menebus saat indah zaman kanak-kanakku yang langsung tidak kunikmati
dulu. Hanya berkawan dengan adik-adikku Amri dan Azri sahaja. Mereka pula tidak
disuruh ayahku membantunya berniaga. Membuat hatiku tersinggit pedih. Apa
bezanya aku dengan mereka? Mereka juga anak-anak ayahku. Hampir sebaya mereka
denganku.
Oh! aku lupa bahawa mereka adalah anak-anak
kesayangan mamaku! Aku mesti maklumi itu.
Mama yang dikahwini ayahku setelah umiku meninggal dunia tika melahirkan
adikku yang turut juga bersama umi menemui Ilahi. Aku kehilangan umi yang sangat
menyayangiku juga adik kecilku yang sangat comel wajahnya itu. Tidak sempat
untuk berkawan dan berkasih-sayang dengan adik kecilku itu.
Kini
siapa saja yang mahu berkawan denganku akan kuterima tanpa mempersoalkan
niatnya waima baik atau sebaliknya. Tidak penting untukku ambil tahu semua itu.
Utamanya menggembirakan hatiku apahal pun.
Wang
yang diberi ayahku semakin nipis dibelanjakan untuk hidup dan
kawan-kawanku. Rokok, ganja, syabu,
ekstassi, pil kuda adaalah kegemaranku dan kawan-kawanku. Mereka yang mengenalkan aku dengan semua itu.
Kononnya untuk menggembirakan hatiku.
Aku pun tidak pernah menolak. Terbuai dalam
keseronokan yang baru ku rasai. Akibatnya tidak kufikirkan. Akhirnya wang simpananku habis. Untuk menyara
kehidupan aku mula bekerja merata tempat. Kerja kasar yang sesuai dengan
keupayaan dan kelulusanku.
Ketagihanku
terhadap dadah yang berjenis-jenis itu meresapiku. Hendak membelinya tidak
berwang. Pilihan mudah yang murah dan mampuku dapatkan cuma gam. Gam dibeli di
bengkel motorsikal kuhidu. Aroma gam mengosongkan mindda celaruku.
Akhirnya
adikku menemuiku merayau di pekan tempat ayahku berniaga dalam keadaan
compang-camping sambil bercakap sendiri mengutau-utau tangan kanan
kiri.Kadangkala ketawa terbahak-bahak. .Azri membawaku ke hospital. Sahlah aku
diserang skizofrenia akibat dadah terlarang kuambil.
Kini
adikku itulah berusaha memulihkan sakit mentalku dengan menghantarku ke sekolah
tahfiz merangkap pusat rawatan rohani
ini untuk memulih sakit jiwa ragaku. Ayahku tidak lagi mempedulikan aku.
Mengotakan janjinya. Mungkin juga tiada maafnya lagi atas kesilapanku. Total
aku kehilangan ukhuwah kasihnya juga umiku.
Di
malam terakhir Ramadan syahdu,seawal tiga pagi aku menangis tersedu dalam tahajjudku.
TAMAT