ASSALAMUALAIKUM
Malam semakin
larut. Tetapi kotaraya itu masih bercahaya. Mengisi pelbagai ragam manusia yang
menghuninya. Sepasang mata Rizal semakin berat kelopaknya hendak di angkat.
Terlalu mengantuk. Mamanya masih tercokoh mengadap TV. Dia menonton siri
kegemarannya, CSI.
Sebuah drama
penyiasatan yang sangat rumit dan mendapat rating tertinggi di kalangan
penonton stesyen TV berbayar itu. Kebiasaannya memang begitu kerana dia amat
susah hendak melelapkan mata sekiranya tidak terlalu jauh malam. Perlu terlebih
dahulu melayani kehendak mata melayari setiap yang terpapar di skrin TV.
Terpaksa menonton
apa saja siaran dari saluran TV yang boleh ditukar sesuka hatinya sehingga
matanya letih dan mengantuk. Malam ini dia tidak membaca atau menulis diari.
Masa sunyinya telah diisi dengan melayani anak kesayangannya. Anak
kesayangannya yang tiba-tiba telah berada di sampingnya.
Menulis dan
membaca dilakukan dengan asyik sekiranya bersendirian. Jikalau ada sesaorang
yang menemaninya dia akan mengkesampingkan minat itu sementara. Apatah lagi
disisinya kini ada seorang anak yang sangat dirindui dan dikasihinya.
“Jom lah tidur
mama.” Rizal memegang bahu mamanya. Menggugahnya sedikit.
“Ish… cerita
tengah sedap ni. Mama belum mengantuk lagi. Kalau Rizal dah mengantuk…pergilah
masuk tidur dulu.” Rizal tidak berganjak dari sisi mamanya.
“Mama tunggu ayah
ke ni?” Anak itu merenung bebola mata mamanya dalam-dalam. Malam yang kelam
hanya di sepuh cahaya TV masih tidak melunturkan sinar kejora mata mamanya.
“Tidaklah. Mama
memang setiap malam begini. Bertemankan TV. Kadang-kadang sewaktu ayah Rizal
pulang pun mama tidak sedar. Tertidur lebih dahulu di hadapan TV.”
“Kesian mama. Tak
apalah biar Rizal temankan mama.” Rizal meletakan kepalanya di riba mamanya.
Majmin mengusap rambut anaknya. Gugur air matanya, mengalir panas di pipinya
kerana merasa amat terharu dengan tindakan anak bujangnya itu. Meskipun telah
dewasa tetapi masih mengharapkan belaian kasih mesra mamanya. Bertuah sungguh
dirinya melahirkan anak sebaik Rizal. Itu yang dirasakannya.
“Ya Rasullullah, sesungguhnya anakku ini
telah menganggap perutku sebagai tempatnya, susuku sebagai sumber minumannya
dan pangkuanku sebagai pembaringannya.” Riwayat hadis Abu Dawud. Tiba-tiba
menjajah skrin mindanya. Perihal seorang ibu yang membuat pengakuan kepada
Rasullullah SAW tentang betapa kasihnya ia kepada anaknya. Begitu juga dengan
dirinya. Terlalu kasihnya terhadap anak kesayangannya.
“Manjanyalah anak
mama ni.” Pipi anaknya yang licin itu di olesnya dengan jemarinya.
Mengelus-ngelus pula rambut hitamnya yang lurus. ‘Mama rindu sekali hendak
mendakap, mendokong dan mencium wajahmu serta tubuh harummu seperti sewaktu kau
kecil dulu. Sementelah pula ketika kau masih bayi. Betapa bahagianya hati mama
ini mengendongmu sebagai harta yang metah bernilai.
Tetapi masa yang
mendewasakanmu telah membataskan apa yang boleh dibuat. Alangkah bahagianya
mama sekiranya kau masih kecil seperti bayi hingga kini.’ Majmin
melayang-layang bersama anganannya yang tidak mungkin akan berlaku.
Kitaran hidup
sentiasa beransur berubah mengikut masa yang beredar. Mulanya janin, segumpal
darah yang ditiupkan roh ke dalamnya. Membesar menjadi bayi, kanak-kanak,
remaja, dewasa, tua dan kembali ke sisinya bila habis usia. Demikian putaran
kehidupan.
Derap langkah
kedengaran diatur satu persatu. Dan berhenti di situ. Terkaku.
Berdegup kencang
dadanya. Apakah musibah yang sedang berlaku ini? Dia bertanya pada dirinya.
Kemarahannya melihat isterinya membelai rambut seorang lelaki yang sedang
diribanya memuncak. Kesuraman malam membataskan pandangannya. Otak di kepalanya
semakin hilang kewarasannya.
“Ini kerja awak ya
Min! Bawa jantan masuk ke rumah bila saya tak ada. Dah lama buat kerja ni?”
suaranya keras melengking membelah sunyi malam.
Majmin tergamam
mendengar suara pekikan itu. Terkesima. Rizal terkejut. Bingkas kepalanya
terangkat dari riba mamanya. Terkapa-kapa. Terpanggung mencari-cari suara yang
lantang mengherdik itu. Shaari tersentak
melihat wajah polos anaknya yang menatap mata ayahnya dengan galak dan jengkel.
“Kau ke Rizal.
Ayah ingat siapalah tadi. Kau dah balik? Lain kali beritahulah bila hendak
balik. Mujur ayah tidak ada sakit jantung. Kalau tidak…” suaranya mendatar
perlahan.
Alasan yang
diberikan sangat bertepatan dengan relasi kehidupan orang orang korporat yang
kaya-raya sepertinya. Ramai yang diserang sakit jantung kerana berlebihan
kolesterol yang menyumbat salur jantung disebabkan terlebih makan, kurang
riadah dan menyusahkannya menyedut oksigen yang menafaskan nyawa.
“Abang ni mengaruk
tidak tentu pasal. Ingatkan Allah. Abang tidak percayakan saya ke? Saya ni tidak
akan tergamak melakukan perkara terkutuk tu. Mintalah dijauhi ujian Allah yang
berat tu.” Majmin mengurut dadanya yang sesak kerana terkejut sungguh mendengar
suara nyaring suaminya laksana petir berdentum memecah sunyi malam itu.
“Maaflah Min..
abang tidak sengaja. Betul-betul abang minta maaf. Abang bukan sengaja nak
mengangap Min yang tidak-tidak. Letakan diri Min di tempat abang tentu Min
dapat rasakan apa yang abang rasa.” Datuk Shaari berusaha membebaskan dirinya
dari rasa bersalahnya dengan rekayasa alasan yang logik pada
pertimbangannya.
“Memang ayah tidak
salah mama. Sebenarnya Rizal yang silap. Rizal terlupa yang Rizal sudah dewasa
tapi masih hendak tidur di riba mama. Patut ayah cemburu kerana dia tidak mahu
isteri kesayangannya terlepas ke tangan orang lain. Gitukan ayah?” Rizal
tersengih riang. Hatinya cepat saja melupakan anggapannya yang bukan-bukan
tentang hubungan mama dan ayahnya.
Hatinya bersorak
riang pula melihat kebahagian kedua-dua ibu bapanya.
“Ye lah tu.” Balas
ayahnya bersahaja.
“Ini..kenapa balik
tidak bagi tau ni? Tiba-tiba saja dah muncul, mengejutkan betul.” Tanya ayahnya
berbaur gusar.
Datuk Shaari
menghenyakan ponggongnya di atas sofa. Keletihannya kerana melayani kerenah
Rozana dan pelbagai aktiviti kesukaannya terlupa seketika kerana teruja dengan
pertemuan dengan anak kesayangannya nan seorang itu.
“Maafkan Rizal.
Memang tidak ada rancangan hendak balik lebih awal. Ingatkan hendak makan angin
ke Eropah. Tapi sekarang ni musim sejuk. Jadi Rizal dan kawan-kawan buat keputusan
balik terus.” Rizal bangun dari sisi
mamanya dan duduk pula di sebelah ayahnya.
Tangan ayahnya
diciumnya. Ayahnya memeluknya mesra. Aliran listrik kasih sayang yang abadi
terus mengalir ke dalam jiwa-jiwa yang sedang berpelukan intim itu. Rindu ayah
terhadap anak kesayangan terlerai menjadi gumpalan kasih yang jitu yang
mengikat hubungan antara ayah dan anak.
“Kata nak sambung
belajar, ambil sarjana,” mamanya mencelah bertanyakan perihalnya setelah
suasana yang meruncing dan gawat itu kembali natural. Situasi yang tenang yang
melegakan jantung dari berombak deras. Normal.
“Niat tu memang
ada mama. Tapi tidak mahu lagi belajar di US ( Amerika Syarikat ). Mungkin di
UK ( United Kingdom ) pula mama. Tapi Rizal belum pasti bila.” Jelas Rizal
masih rajin bercerita tentang dirinya.
“Tidak mengapalah
Rizal. Esok saja kita sambung bersembang lagi. Rizal pun tentu penat seharian
terbang dari New York,
eloklah Rizal masuk tidur dan berihat. Ayah pun dah terasa letih dan mengantuk
sangat pula. Maklumlah seharian di opis berkerja. Penat.” Dia tersenyum sedikit
memberi rekayasa yang terlintas di mindanya. Tangannya menahan sangap yang
tidak berhenti-henti pula.
“Mama pergilah
masuk tidur dengan ayah tu.”
“Mama kamu tu
jangan dipedulikan sangat. Selagi tidak tamat siri TV kesukaannya, selama itu
jugalah dia mengadapnya.” Dia mengulas perilaku isterinya yang acapkali
dilakukannya sepanjang pengetahuannya.
“Mama jom tidur.”
Rizal berusaha untuk merapatkan hubungan kedua-dua ibu bapanya yang ternyata
sudah hilang kemesraan yang sepatutnya. Pada anggapannya. Datin Majmin bangun
meninggalkan temannya yang setia memberi hiburan dan informasi terkini,
berbentuk empat persegi yang terlekat di dinding itu.
Dia memaut tangan
suaminya yang agak tersentak dengan perbuatannya. Tapi pandangan yang tajam
menerjah ke dalam anak mata suaminya membayangkan maksudnya. Kedua-dua
tersenyum dalam keterpaksaan. Seorang suami terpaksa senyum dalam keletihan dan
sementara seorang isteri tersenyum kerana naluri keibuan demi anak tersayang.
Dia tidak ingin
anaknya itu terhidu sesuatu dan memberi prasangka yang tidak diingininya
lantaran hubungan dingin diantara kedua-dua ibu-bapanya mutakhir ini sedang
dirasainya.
Walaupun baginya itu hanyalah proses normal
yang sering berlaku dalam kehidupan bersuami-isteri, mungkin tidak pada
pandangan anaknya. Langit pun tidak selalu cerah.
Kadang-kadang ada
juga mendung yang menabirinya. Dia menerima hakikat bahawa kehidupan itu ibarat
roda yang senantiasa berputar. Ada ketikanya di atas, ada waktunya di bawah
pula. Mungkin ketika ini roda hidupnya sedang berada di bawah dan diterjah
kerikil batu-batu tajam yang menyakitkan. Dia redha.
Kedua-duanya yang
tersenyum manis bergandingan ke kamar tidur, meleraikan semua sangkaan anaknya
yang mengatakan ada gejolak yang menggelodak sedang mengganggu keharmonian
kasih sayang di antara ibu-bapanya yang sangat di kasihinya.
“Selamat malam
ayah, mama.” Rizal melangkah gontai ke biliknya setelah menutup suis eleterik
TV.
Malam bertambah
larut. Di jalan raya masih banyak kereta bertali arus, hilir dan mudik. Wajah
malam sangat sepi di desa. Tidak di kotaraya ini. Malam menjanjikan kemeriahan
yang berpanjangan sehingga bertemu siang keesokannya. Terpulang kepada
kebijaksanaan penghuninya bagaimana hendak bergelut di dalamnya.