Monday, 30 October 2023

UJIAN KHALIFAH

 ASSALAMUALAIKUM



UJIAN KHALIFAH

.

Khalifah Harun Al Rashid berjalan menyusuri segenap lorong Baghdad ditemani Abu Nawas. Hajat baginda memerhati kemasyhlahatan kehidupan rakyatnya. Sekian lama berjalan terasa penat lalu kedua-duanya berhenti di sebuah pondok kecil. Pondok itu dimiliki seorang  pemuda yang miskin. Tapi pemuda itu sangat rajin bekerja.

“Boleh kami duduk sebentar dalam pondokmu ini hai anak muda?”

“Silakan paduka yang mulia.” Khalifah memerhati keadaan sekitar yang amat daif. Baginda merasa kasihan pada pemuda itu. Baginda ingin menolongnya mengubah penghidupannya

“Beta lihat pemuda itu sangat rajin bekerja. Tapi hidupnya miskin. Sepatutnya beta membantu mengubah kehidupannya.”

“Ampun paduka. Benar begitu baginda. Tapi hamba mendengar pemuda ini akhlaknya tidak baik. Dia seorang yang tidak amanah dan mensyukuri nikma Allah.. Jika paduka ingin membantu pemuda itu, hamba rasa elok paduka uji dahulu kejujurannya.” Khalifah terangguk-angguk.

Khalifah menitahkan perajuritnya membawa pemuda itu mengadapnya di istana pada suatu pagi.

Sebaik pemuda itu mengadap Khalifah, dia diberi sepucuk surat.

“Kamu sampaikan surat ini pada seorang saudagar di pinggir Baghdad!”

“Baik paduka.” Sahutnya.

Dalam perjalanan pulang dia bertemu jirannya. Dia memberi surat itu pada jirannya dan memintanya menyampaikannya pada saudagar berkenaan.

Keesokannya pemuda itu dipanggil ke istana.

“Kamu sudah sampaikan surat itu pada saudagar?”

“Sudah paduka.”

“Beta berikan kamu buah tembikai ini.”

Pemuda itu menerimanya. ‘Dipanggil ke istana hanya untuk diberi tembikai.’ Dia bergumam.

Dalam perjalanan pulang dia bertemu seorang pengemis. Lalu diberikan tembikai itu pada pengemis.

Sekali lagi pemuda itu dipanggil ke istana. Dia terkejut mendapati jirannya dan pengemis itu berada di isana. Tapi keadaan kedua-duanya jauh berbeza daripada sebelumnya. Jirannya itu kelihatan bergaya seperti saudagar. Bersamanya seorang wanita jelita. Pengemis itu juga kelihatan berbusana indah.

“Benarlah kata Abu Nawas, bahawa kamu ini tidak amanah dalam melakukan tugasan diberi. Dan tidak bersyukur dengan rezeki dilimpahkan Allah pada kamu. Surat itu beta tujukan pada saudagar yang meminta beta mencari jodoh untuk anak perempuannya. Surat itu mengatakan pembawa surat itu adalah pilihan beta untuk suami anaknya. Tembikai yang beta beri di dalamnya beta masukkan intan permata. Tapi kamu berikannya pada orang lain kerana merasa buah tembikai tidak bernilai pada kamu. Jika kamu berterusan mengamalkan sikap buruk itu, kamu akan terus berada dalam kemiskinan.”


Sunday, 29 October 2023

75 TAHUN

 ASSALAMUALAIKUM



75 TAHUN

.

 

Zionis  meraja Palestin

menjarah hak warga sejati

.

dunia Arab bergolak

perselisihan melumpuhkan kata putus

.

tanah Gaza hilang

tebing barat digemggam israel

,

bahana Yom Kippur

perang berlarut tiada henti

.

warga derita melarat

nyawa insan terkorban bersilih

.

binaan terdiri seketika

mangli sakit berulit tangis

.

jazirah sebangsa jiran

terdiam bicara bijak memutuskan

.

pejuang jiwa kersani

syahid reda pilihan benar

 

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

29/10/023


Friday, 27 October 2023

MENGARANG HIDUP

 ASSALAMUALAIKUM

Alhamdulllah…terima kasih banyak editor Media Permata Brunei Darul Salam sudi siarkan sajak PI seadanya saja




MENGARANG HIDUP

(Puisi berima)

Suara hati mencoret rasa

jauh pilihan hanya selesa

rutin berulang senantiasa

ternyata janggal luar biasa

detik bergulir beredar masa


Hidup tercipta laksana alam
laksana  siang berganti malam

bersinar terang indah pualam

memori lalu melipat silam

jelma bayang nan ilam-ilam

.

 

Penangan pahit ingin dipadam

sukar sekali hendak menghadam

tersudut kalbu jauh terendam

agar terlupa menghapus dendam

durja mendura hai remuk redam

 

PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

5/10/023




Thursday, 26 October 2023

GURU SEJARAH ISLAM

 ASSALAMUALAIKUM

 

 


GURU SEJARAH ISLAM

.

Abu Nawas berpapasan dengan guru sejarah Islam yang pulang dari mengajar di sekolah tika dia ke warung. Dia mengajak guru itu menjamu selera bersamanya di situ. Mereka mula berbual.

Guru sejarah enggan melayani pertanyaan tentang sejarah Islam. Tapi Abu Nawas  membelanja guru itu dengan makanan dan minuman. Terpaksa juga guru itu melayani pertanyaannya,

“Bagaimana penilaian Guru tentang pemerintahan khalifah Islam awal yang empat, Uthmaniah dan Abbasiyah. Apakah kekurangan dan kelebihannya?”

Guru sejarah hanya menerangkan tentang sejarah pemerintahan Abbasiyah. Abu Nawas teranguk-angguk mendengarnya. Tapi dia masih mengulangi pertanyaannya.

“ Sebab sekarang kita berada dalam pemerintahan khalifah Abbasiyah, tentulah hamba lebih tahu tentang sejarahnya. Nampaknya kamu lebih tahu tentang tarikh dan pelbagainya. Kenapa kamu bertanya hamba pula?” Guru bersuara jengkel.

“Bukan mengapa Guru, hamba cuma bimbang pengetahuan Guru yang sedikit tentang sejarah Islam membuatkan ramai murid menganggur kerana tidak lulus ujian. Ilmu sejarah itu terlalu luas. Perlukan pengetahuan yang banyak. Tidak cuma sedikit. Dan Khalifah akan mengkaji apakah pelajaran sejarah masih sesuai di ajar di sekolah atau menghentikannya.”


Wednesday, 25 October 2023

Sunday, 22 October 2023

ASA SILAM

 ASSALAMUALAIKUM



ASA SILAM

.

Tidak  sama dahulu dengan sekarang. Kalau nak dibuat perbandingan bagai langit dengan bumi. Zaman yang sempatku lalui akhir tahun 60-an. Berada di kampung halaman di Kedah Darulaman yang indah permai dikelilingi sawah padi penyejuk jiwa seluas mata memandang. Cara hidup bergantung seluruhnya pada kemampuan diri tanpa ada kemudahan yang menyenangkan.

Kebanyakannya masih mendiami rumah-rumah kecil beratap nipah dan berdinding nipah yang disemat. Ada juga rumah agam yang tersergam di tengah kelompok rumah-rumah kecil, menunjukan kemajuan kehidupan mereka atau telah diwarisi daripada keturunan mereka sejak lama.

 

Aku tinggal dengan Atuk dan Tukwanku  setelah ibubapaku berhijrah ke Pahang menyertai skim FELDA. Rumah Atukku sederhana saja buat menampung keluarga. Semua keperluan untuk kehidupan diadakan sendiri.

Maksudnya kalau hendak makan nasi kenalah tanam pokok padi. Bendang kan ada. Tanamlah padi jawi atau padi pulut. Setelah masak dituai secara berderau. Padi ini dipukul di tong pemukul padi untuk memisahkan padi dari jeraminya, kemudian dijemur, dianginkan, ditampi pula untuk memisahkan padi hampa dengan yang bernas.

Setelah itu ditumbuk pula untuk dapatkan beras yang putih. Ketika menjemur padi kerjaku ialah menghambat ayam daripada makan padi. Kalau dibiarkan alamatnya habis padi dan tak dapat dijadikan beras lagi. Ketika padi sedang ditumbuk kerjanya pula menyapu lesung pula agar padi tidak tumpah dari lesung.

 

Hendak makan sepinggan nasi pun beberapa fasa perlu dilalui. Takkan nak makan nasi putih saja kan. Mestilah seimbang nilai pemakanannya. Lengkap dengan lauk, sayur, buah-buahan yang diperlukan tubuh. Nak makan sayur kenalah rajin menanamnya di sekitar rumah.  Tentang lauk,ikan, sotong, udang, ketam,  kerang, siput tak perlu dibeli untuk dapatkannya. Rajinkan gerak saja mengatur langkah kaki ke tepi laut atau ke laut. Banyak sekali sumber protin itu di sana. Malas nak ke tepi laut boleh pancing saja ikan di bendang. Ikan haruan, keli, puyu cepat saja makan umpan di hujung mata pancing.

 

Sudah dapat ikannya bolehlah digulai atau dimasak asam pedas. Tapi terasa nak menggoreng pula. Mana pula minyaknya? Sebelum berfikir nak menggoreng segala makanan, proses menyediakan minyak masak mulakan lebih awal. Kelapa matang dikoyak kulit dan disagat isinya. Santannya diperah dan dibiarkan semalaman sebelum dikaut santan yang beku lalu dimasakkan dalam kuali atas dapur kayu. Sekian lama diatas api terhasillah minyak daripada santan kelapa.

 

Minyak kelapa buatan sendiri bukan main harum aromanya dan amat sedap digunakan dalam pelbagai jenis makanan. Boleh juga digunakan sebagai minyak rambut dengan terlebih dahulu dicampur bunga melur, tanjung atau cempaka. Selain itu dibuat minyak urut untuk mengurut tubuh yang lenguh membetulkan simpulan urat dengan campuran aneka herba.

 

Untuk memasinkan makanan garamnya tidaklah dibuat. Harganya sekupang saja dan tahan lama penggunaannya jadi beli saja di kedai. Tapi untuk dapatkan rasa manis dalam kuih-muih yang dibuat Atukku akan membuat nisan/manisan daripada buah nipah. Buah nipah ini dibiarkan hingga tua sambil mayangnya dilurut agar elok tunduknya dan senang disadap menggunakan pisau potong padi yang tajam. Daripada mayang nipah akan mengalir nira ke dalam tuke buluh yang digantung di hujungnya.

 

Hasil pengumpulan nira yang hampir seperiuk besar dimasak pula diatas api sehingga kuning keemasan dan likat. Bukan main sedap lagi rasanya dimakan dengan lempeng kelapa, cendol atau apom kukus.

 

Untuk mengalas tidur anyamlah tikar daripada tumbuhan mengkuang dan bantal yang dibuat meletak kepala berisi kekabu putih yang dkutip untuk dijadikan bantal.

 

 

Begitulah cara kehidupan dulu dulu yang  sederhana tetapi amat perlukan kerajinan tahap tinggi dalam mengendalikannya. Jikalau asyik berpangku tangan alamatnya susahlah hidup. Nasib tak baik kebuluran

 

Aku  terkenangkan kata-kata arwah Atukku bahawa hidup orang sekarang terlalu mudah kerana negara kita sudah kaya raya dan maju. Benarkah? Entahlah!


Saturday, 21 October 2023

TANAH PUSAKA

 ASSALAMUALAIKUM


 TANAH PUSAKA

.

 


Datukku sebelah emakku khabarnya berasal dari Jawa. Nenek pula berasal dari kampung Perupok di Kedah. Telah meninggal dunia sebelum aku lahir. Tidak dapatlah aku mengenali wajahnya. Datuk meninggalkan tanah dusun di kaki gunung Jerai. Tempatnya agak tinggi. Juga beberapa relong bendang. Dulu tika kecil pernah juga menolong emakku menanam padi di situ. Tapi kakak emakku menjualkannya tanpa pengetahuan emakku. Hanya tinggal kini tanah dusun saja. Dusun itu ditanam pelbagai pokok buah-buahan seperti durian, remia, cempedak, rambutan, rambai oleh datuk dan nenekku. Pohon jentik pun ada. Kala musim buah suatu ketika dulu aku rajin juga ke sana. Kini  dusun pusaka itu diuruskan sepupuku yang tinggal di sana. Semua emak saudara dan bapa saudara termasuk emakku telah meninggal dunia. Tapi tanah pusaka masih kekal tanpa pembahagian hak pada warisnya. Kalau hendak melakukan pembahagiannya agak sukar juga. Akan terpaksa mengambil masa menulusuri susur galur pewaris yang berhak.

 

 

tanah pusaka –

warisan nenek moyang

konflik bahagi

Friday, 20 October 2023

SOLIDARITI

 Assalamualaikum

Salam Jumaat mulia



Alhamdulillah...terima kasih banyak Puan dj Anisma@radioklasik sudi keudarakan pantun kakpidah di radio klasik
Terima kasih dik Lin tolong rakam pantunnya...memang terbaik


PANTUN D'KLASIK
Radio Klasik RTM
Khamis 19 Okt 2023
Pantun dibacakan DJ Puan Anisma
Bersusun peti dalam cunia,
berjenis-jenis gulungan satin;
solidariti satu dunia,
hukum Zionis, bantu Palestin.


PANTUN D'KLASIK
Radio Klasik RTM
Khamis 25 Mei 2023
Pantun dibacakan DJ Puan Anisma
Mengira tasbih buahnya jarang,
duduk berlama panjang diukur;
ada yang lebih ada yang kurang,
reda terima dengan bersyukur.
PANTUN D'KLASIK
Radio Klasik RTM
Isnin 13 Feb 2023.
Pantun dibacakan Puan dj Anisma


Gamat dicari bawa cunia,
dicampur cuka merampai cermat;
selamat hari radio sedunia,
penghibur duka penyampai maklumat
pic(c)radioklasik

Thursday, 19 October 2023

BUTA

 ASSALAMUALAIKUM 



BUTA

 

“Beta perintahkan kamu untuk mengira berapakah jumlah orang buta di Baghdad ini.” Ujar Khalifah Harun Ar Rashid.

‘Ada saja olah khalifah ini hendak menyusahkan aku,’ gumamnya dalam diam.

“Baik tuanku. Beri hamba tempoh satu minggu.” Balas Abu Nawas.

Setelah genap seminggu, Abu Nawas turun dari rumahnya menuju istana khalifah. Dia membawa bersamanya pelepah kurma.  Sepanjang perjalanannya ramai yang menegurnya.

“Apa yang kau bawa tu Abu Nawas?”

‘Nampaknya ramai yang buta di Baghdad ini. Mereka tidak dapat melihat apa yang aku bawa.’ Abu Nawas bermonolog lagi.

Dia terus mengheret pelepah kurma itu sehingga sampai ke pintu istana.

Dua orang pengawal istana bertanya, apa yang dibawanya sebelum dibenarkan memasuki istana mengadap khalifah.

“Apa yang kau bawa itu hai Abu Nawas?”

“Pelepah kurma tuanku!”

“Sudahkah kira jumlah orang yang buta di Baghdad ini?”

“Sudah tuanku. 58 orang semuanya termasuk tuanku dan dua pengawal istana.” Khalifah terpinga-pinga.

“Kenapa beta dan pengawal istana juga termasuk dalam senarai perkiraan kamu?”

“Tuanku Khalifah dan pengawal tidak tahu apa yang hamba bawa walau telah melihatnya.”


Wednesday, 18 October 2023

BAHASA

 ASSALAMUALAIKUM



BAHASA

.

Cita

capai damai

secara berunding

fasa demi fasa lalu

masa

.

Lunak

tutur kata

telunjuknya lurus

kelingking berkait pendam

maksud

.

Akhir

langkah diri

Palestin  gunakan

bahasa peluru tembak

musuh

.

Demi

tanah tumpah

darahnya anbia

rela pejuangnya mati

syahid


Monday, 16 October 2023

BERBALAH

 ASSALAMUALAIKUM


Tabir Alam
17h ·
**BERGIAT DALAM SENYAP, BIAR KEJAYAAN MENGHEBAHKANNYA **
Projek bimbingan penulisan puisi genre *Tautogram telah diadakan pada bulan Mei 2023. Semua karya daripada 28 orang pemuisi berjaya diterbitkan dalam sebuah antologi bertajuk "Sayang Seribu Sayang" terbitan Akademi SPTA. Tautogram adalah cabang puisi sajak yang ditulis dengan huruf yang sama pada setiap awal perkataan.
Tahniah diucapkan kepada pemuisi sdr Paridah Ishak (Serendah, Selangor) dengan puisi tautogramnya bertajuk "BERBALAH" telah tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini Ahad, 15 Oktober 2023.
Kredit gambar: Mingguan Malaysia
....................................
Terima kasih banyak sifu Tabir Alam @GRAHA KARYA beri bimbingan ilmu berpuisi tanpa jemu dan penghargaannya...terharu kakpidah.
Terima kasih banyak editor Mingguan Malaysia sudi siarkan karya kecil kakpidah seadanya.
Tahniah dik Nizam Wahid sdr ir Ismail Hashim n semua karyawan disiar karyanya



Sunday, 15 October 2023

GALERI BUNGA RAMPAI SASTERA HULU SELANGOR

 ASSALAMUALAIKUM

GALERI BUNGA RAMPAI SASTERA HULU SELANGOR AKAN DIBUKA SECARA RASMI PADA 21 OKT 023...JOM KE SANA DAPATKAN BUKU KARYA SDR KHOLID MOHAMAD PEMILIK GALERI  DLL SAMPING BERAMAL MEMBANTU BIAYA PDK KKB HULU SELANGOR MENGURUSKAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK ISTIMEWA...LUKISAN KARYA ANAK2 ISTIMEWA INI TURUT DIPAMERKAN DAN DIJUAL...JANGAN TERKEJUT SEBUAH LUKISAN PI PUN ADA..HEH HEH PI KAN OKU













[20:42, 14/10/2023] +60 12-271 2906: Galeri Bunga Rampai Sastera Hulu Selangor,

No 230,

Jalan Syed Mashor,

44000 Kuala Kubu Bharu,

[20:43, 14/10/2023] +60 12-271 2906: Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Kuala Kubu Bharu

03-6064 1728

https://maps.app.goo.gl/DY2y837obEeoMi5a8

Saturday, 14 October 2023

JOHAN PING PONG N RENTAS DESA

 ASSALAMUALAIKUM

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU MOGA TIASA AFIAH SEJAHTERA BERBAHAGIA BERAKTIVITI KESUKAAN.

SEMALAM ABQORI MENYERTAI KEJOHANAN PING PONG 1000 LIGA SEMPENA HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT KAWASAN BATU ANJURAN KBS...ALHAMDULILLAH MENANG SEBAGAI JOHAN...TAHNIAH QORI.

HARI INI DAMIA PULA JADI JOHAN RENTAS DESA SEKOLAHNYA, SEK INTAN BAIDURI...TAHNIAH MIA...ABQORI TAK TURUT RENTAS DESA WALAU DIAJAK DAMIA PAPA/MAMANYA BERULANG KALI...PENAT KATANYA HEH..HEH.. 






Thursday, 12 October 2023

LEMBU BERJANGGUT

 ASSALAMUALAIKUM





LEMBU BERJANGGUT

 

Khalifah Harun Al Rashid sentiasa saja ada perintah yang dititahkan pada Abu Nawas untuk dilaksanakan semata-mata hendak menguji kecerdikannya menyelesaikannya.

“Beta hendak kamu bawakan enam ekor lembu berjanggut pada beta.”

“Setahu hamba tidak ada lembu berjanggut, paduka.  Cuma kambing yang berjanggut.” Balas Abu Nawas.

“Beta tidak mahu dengar alasannya. Kamu mesti cari dan bawa pada beta.”

“Baiklah paduka. Hamba menjunjung titah. Tapi berikan hamba tempoh seminggu untuk mencarinya.” Khalifah menangguk tanda bersetuju dengan permintaan itu. Abu Nawas meninggalkan istana Khalifah sebaik menerima perintah Khalifah seraya neraca aklinya ligat memikirkan pencarian enam ekor lembu berjanggut.

“Ada saja olah Khalfah ini hendak mengenakan hamba!” gerutu Abu Nawas dalam diam.

Setelah genap seminggu tempoh yang ditetapkan Khalifah Harun Al Rashid, Abu Nawas pun menuruni tangga rumahnya menuju istana Khalifah. Dalam perjalanannya dia singgah di pasar.

“Hari apakah hari ini?” Abu Nawas bertanya seseorang.

“Ahad!”

“Isnin agaknya.” Jawab seorang yang lain.

“Selasa!” ramai di situ cuba memberi jawapan pada pertanyaan itu. Tapi jawapannya salah.

“Jawapan yang kamu semua beri adalah salah. Kalau kamu tidak percaya ayuh kamu semua mengadap Khalifah untuk memastikan kebenarannya.”

Mereka semua bersetuju mengikuti Abu Nawas mengadap Khalifah.

“Kenapa kamu bawa mereka ke sini Abu Nawas?”

“Inilah lembu berjanggut itu paduka!” Khalifah kehairanan.

“Cuba Khalifah tanyakan pada mereka, hari ini hari apa?” Khalifah segera bertanya pada semua lelaki berjanggut yang dibawa mengadap baginda oleh Abu Nawas. Semuanya memberi jawapan yang salah.

 “Jika jawapan yang diberikan mereka semua salah tentulah mereka itu hanya lembu berjanggut yang boleh berkata-kata. Tapi bukan manusia yang berakal dan patut mengetahui sesuatu yang penting.”


Wednesday, 11 October 2023

PERANG DUNIA PERTAMA

 ASSALAMUALAIKUM

PERANG DUNIA PERTAMA

.

 


pic google images(c)

percaturan peperangan melumpuhkan kebenaran

hilang keseimbangan dunia

.

kemenangan memperdaya menguasai kelemahan

tunduk akur mengikuti

.

perjanjian materi pembahagian wilayah

akibat Balfour terserlah

.

Israel menjejak bumi Palestin

mangsa durjana dendam

.

generasi ini tidak lupa

silam itu sejarah

.

seleweng maksud suhuf anbia

sesuka hati tafsir

.

jumlah warga sedikit cuma

segala dalam genggaman

.

tingkah kejam melontar peluru

pembunuhan insiden biasa

.

pertubuhan bangsa bukan bersatu

dakap tangan membiarkan


MyBloglist