Cerita rakyat
Olahan
Paridah Ishak
PERSIDANGAN POKOK
semua pic google images (c)
Pada suatu masa dahulu di
dalam hutan di kaki gunung, terdapat pelbagai jenis pokok buah-buahan yang
tumbuh dan hidup subur di situ. Apabila tiba musim buah-buahan semua pokok-pokok
di situ berbuah dengan lebatnya serentak. Berlumba-lumba mereka mengeluarkan
buah-buahan pelbagai jenis sebagai sumber makanan haiwan dan manusia.
Keadaan
begitu menyebabkan buah-buahan yang terlalu banyak itu tidak dapat dimakan oleh
manusia dan haiwan sekali gus. Akhirnya buahan-buahan yang dihasilkan pokok
durian, rambutan, cempedak, langsat, rambai, dan lain-lain, masak ranum dan
gugur bersepah di kaki pohon. Tidak ada
siapa yang peduli. Pokok-pokok itu merasa amat sedih kerana budi mereka kepada
manusia dan haiwan tidak dihargai dan dimenfaatkan dengan sebaiknya.
“Aku merasa amat sedih melihat buahku yang merah dan
manis semakin meranum kehitaman di pohon. Tidak ada manusia atau haiwan yang
mahu memakannya.” Beritahu pokok Rambutan kepada pokok Cempedak jirannya yang
tumbuh di sebelah kanannya akan perasaannya yang jengkel kerana itu.
“Aku juga merasa begitu Rambutan. Kau lihat saja
buah-buah di batang pokokku banyak sekali. Berkeruntoi. Tetapi tidak ada
sesiapa yang mengambilnya. Setelah masak gugur semuanya ke tanah.” Sahut
Cempedak. Aroma buah cempedak yang telah masak ranum mengharumi ruang sekitar
situ.
“Buahku yang kuning dan manis pun tidak dipedulikan
sesiapa lagi,” Langsat pula mencelah melahirkan rasa hatinya. Pokok langsat, jiran Rambutan yang tumbuh di sebelah
kirinya. Pokok langsat tidak begitu besar dan tinggi. Tetapi buahnya yang
bergugus itu amat banyak meliputi dahannya.
“Aku merasa amat hairan, kenapa agaknya buah-buahan yang
kita hasilkan dengan banyaknya, tidak dipergunakan sebaiknya oleh manusia dan
haiwan. Perkara begini tidak seharusnya berlaku.” Tukas Rambai. Pokok rambai
berdaun lebar itu tumbuh di hadapan pokok rambutan. Kelihatan gugusan buah
rambai berjuntai dengan lebat di setiap dahannya. Kebanyakannya telah masak
ranum dan menunggu masa untuk gugur.
“Kalau mereka tidak menghargai usaha kita menghasilkan
buah-buahan setiap musim, bermakna sis-sia sahaja susah-payah kita itu.” Ujar
Manggis menyatakan kekesalannya. Dia turut menyertai perbualan pokok- pokok
sekitar situ. Buah manggis yang berwarna hitam itu kelihatan bertaburan di
bawah pohonnya. Buah yang telah lama gugur akan kematu dan tidak boleh dimakan
lagi.
“Aku juga sudah merasa tawar hati hendak berbuah lagi
setiap musim.” Ujar Cempedak dengan sebal.
“Apa kata kalau kita tidak berbuah lagi musim ini dan
seterusnya. Dengan itu tidaklah kita
merasa susah hati melihat buah-buahan yang kita hasilkan tidak dipergunakan
manusia dan haiwan.” Rambutan memberikan pendapatnya.
“Aku menyokong pendapat kau. Dan sangat setuju. Kalau kita
semua tidak berbuah, barulah manusia dan haiwan menyedari kepentingan buah-buah
kita.” Manggis menyatakan sokongannya akan pendapat Rambutan.
“Eh. Kita tidak boleh buat keputusan sesuka hati kita
sahaja! Nanti kita dimurkai Raja Buah. Kalau Raja Buah bersetuju, bolehlah kita
laksanakan cadangan Rambutan itu. Kita semua tidak usah berbuah lagi.” Ujar
Langsat.
“Mungkin
Durian, Raja Buah akan bersetuju dengan pendapat kita kerana dia juga hadapi
masalah yang sama macam kita. Buahnya yang luruh setiap hari tiada siapa
mengutipnya.” Rambai menambah dengan sedikit ulasan.
“Baiklah!
Kalau begitu kita bawakan pendapat Rambutan kepada Raja Buah. Jika mendapat
persetujuan Raja Buah, tidak perlulah kita berbuah lagi.” Cempedak memberi
cadangannya..
Apabila
Raja Buah menerima cadangan yang dibawakan Rambutan kepadanya maka diaturlah
majlis persidangan pokok-pokok di dusun itu untuk membahaskam usulan itu. Persetujuan kepada cadangan itu hanya akan
diperolehi setelah semua pokok yang tumbuh di dalam dusun itu menyatakan
persetujuannya.
Pada
suatu petang yang redup dan angin berpuput lembut, pokok-pokok di situ
melenturkan ranting masing-masing untuk turut sama mengambil bahagian dalam
persidangan itu.
Mereka
menyatakan pendapat mereka. Ada yang bersetuju dengan usulan yang dibawa
Rambutan. Dan ada pula yang menolaknya. Raja Buah menimbang keputusan yang akan
diambil dengan teliti.
“Beta
telah mendengar semua pendapat kamu yang bijak dan bernas itu. Undian pun telah
dibuat. Jumlah yang menerima dan menolak cadangan yang dibawa Rambutan adalah
sama rata. Jadi keputusannya tidak dapat menyebelahi mana-mana pihak.” Ujar
Raja Buah.
“Nampaknya
keputusan kita untuk tidak berbuah pada musim buah akan datang tidak semua
setuju, Rambutan!” Kata Cempedak kepada Rambutan.
Dia sangat mengharapkan Raja
Buah bersetuju dengan usulan yang dibawa sahabatnya Rambutan. Rambutan juga
merasa sedih.
“Tapi
beta menyedari kemusykilan yang dirasakan Rambutan dan pokok buah-buahan yang
lain.. Buah-buahan yang kita hasilkan dengan banyak tidak diendahkan manusia
dan haiwan. Dan perlulah kita fikirkan bagaimanakah cara untuk mengatasinya.
Lagipun amanah Allah kepada kita sebagai pengeluar sumber makanan kepada
manusia dan haiwan tidak boleh kita abaikan. Kita wajib tunaikan amanah
Pencipta itu.”
“Jadi
apa pandangan Raja Buah dalam hal ini? Soal Langsat, ingin tahu
“Pada
pendapat beta, kita semua tidak harus berbuah serentak. Kalau kita berbuah
serentak dengan banyak, keadaan akan jadi seperti sekarang. Buah-buahan kita
yang semuanya manis dan lazat tidak tahu hendak dimakan manusia dan haiwan yang
mana satu. Buah-buahan yang dimakan terlalu banyak dan pelbagai jenisnya akan
menyebabkan mereka sakit perut pula.”
“Ya.
Betul kata Raja Buah itu!” balas Cempedak.
“Jadi beta ambil keputusan ada baiknya kita berbuah
secara bergilir-gilir. Setelah habis pokok yang pertama berbuah, barulah pokok
kedua, ketiga dan seterusnya berbuah pula. Dengan itu buah-buahan pokok kita
tidaklah melambak saja di pohon. Dan sentiasa dinanti kemunculannya.” Keputusan
Raja Buah dipersetujui semua pokok yang bersidang di dusun itu.
“Dan
sekarang kita jalankan undiannya.”
Sebab
Durian ialah Raja Buah maka dia dipilih untuk berbuah dahulu pada setiap musim.
Pokok buah-buahan yang lain dipilih menurut undian yang dibuat.
“Aku
akan berbuah selepas Raja Buah!” beritahu Rambutan kepada Cempedak dengan
girang. Dia amat gembira dapat berbuah selepas Raja Buah.
“Baguslah
begitu! Aku pula akan berbuah selepas kamu.” Balas Cempedak. Dia juga turut
merasa gembira dengan gilirannya.
“Dan
aku pula akan berbuah selepas Cempedak!” sahut Manggis.
“Nampaknya
akulah yang terkemudian berbuah selepas Manggis, Langsat dan pokok-pokok lain
berbuah. Sedih pula rasa hatiku kerana yang terakhir mendapat giliran berbuah.”
Rambai berkata perlahan.
“Kamu
tidak harus bersedih kerana kamu yang terakhir berbuah pada musim buah wahai
Rambai kerana pastinya yang menyukai buah kamu akan tertunggu-tunggu masa kamu
akan berbuah.” Kata Rambutan menghibur kesugulan hati Rambai.
“Beta
harap kamu semua berpuas hati dengan giliran kamu untuk berbuah. Tiba musimnya berbuahlah. Dan jika masih ada
yang terkilan di hati bolehlah kita bersidang lagi.” Raja Buah menutup
persidangan pokok pada hari itu.
TAMAT