Meriah sekali acara yang diatur di dalam
majlis anjuran seorang tokoh korporat IT(Informasi Teknologi), Datuk Shamsudin
yang selalu disebut Pak Din saja bagi yang rapat mengenalinya. Ramai rakan
tolannya yang hadir turut sama meraikan kejayaannya menguasai dunia IT yang
globalisasi yang beribu pejabat di MSC (Multimedia Super Coridor) Sepang,
Putrajaya.
Antara rakannya yang turut hadir adalah Datuk Shaari dan seorang
anak muda yang sentiasa resah kerana tidak selesa berada di tengah kelompok
manusia pelbagai wajah menurut ras itu.
“Kenalkan anak saya Rizalsyah. Dia ni baru balik dari US.
Baru saja tamat pengajiannya.” Datuk Shamsudin menggores senyuman di bibirnya
menyambut salaman anak muda yang memaksa diri memaniskan senyumannya itu.
“Wah…sudah besar anak kau ye Shaari, sudah ada yang boleh kau
harapkan untuk menerajui syarikat perkapalan kau kelak.” Datuk Shamsudin hanya
menyatakan impian seorang ayah terhadap anaknya apabila semakin dewasa menurut
kebiasaannya. Dia merenung Rizal dari ubun-ubun di kepala hingga ke hujung
tumit kasutnya.
“Harapannya begitulah.” Anak yang serba-salah di sisinya dijelingnya
sekilas.
“Ish…kau ni datang berdua saja ke, Amin mana? Selalunya kau kemana
saja mesti dengan pembantu yang sangat setia itu.” Datuk Shaari tertoleh-toleh
mengimbas kelibat Amin yang dijangkanya sudah tiba seperti yang di janjikannya.
“Dia pun akan datang juga ke majlis kau ni katanya. Tidak tahulah
kemana pula sesatnya. Sekejap lagi sampailah kut.” Datuk Shaari berandaian saja
pada kalimat akhirnya.
Datuk Shamsudin melihat ramai tetamu-tetamunya sedang memasuki ruang
majlisnya. Dia mengangkat tangan ke arah mereka dengan melontarkan senyuman
cerianya.
Kawan-kawannya ramai yang hadir ke majlisnya tentu ingin turut sama
mengongsi kejayaannya kerana berjaya menembusi pasaran maya IT di Australia dan
beberapa negara lagi. Begitu menurut gerak hatinya.
“Shaari bawalah anak kau menjamu selera di meja sana. Aku hendak berjumpa dengan kawan-kawan
kita yang lain pula.”
“Baik Datuk. Terima kasih.” Datuk Shamsudin membawa dirinya
menghampiri tetamunya berjabat tangan seorang lepas seorang dengan senyuman
yang menguntum di bibir tanda keceriaan meraikan tetamu yang hadir.
“Jom kita ke sana.” Datuk
Shaari menudingkan jarinya kearah sebuah meja yang dialas cantik dengan kain
brocade kuning yang berkilat. Beropol-ropol di sekelilingnya. Siap dengan
gubahan lipatan bunga ros di empat penjuru meja.
“Rizal duduk di sini sekejap, ayah hendak bertemu dengan rakan
bisnis ayah di meja sana.” Rizal memandang kearah jari telunjuk yang dituding
ayahnya. Seorang wanita seusianya mungkin, menggamit ayahnya. ‘Tunggu sekejap
Nadia,’ getus hatinya
Apa yang jelas di matanya hanya seorang gadis berbusana anggun
bergaya seperti model dengan wajah yang mempesona sedang melambai ayahnya. Hatinya
diterpa pelbagai persoalan. Merangka prasangka yang tidak enak pada jangkaan.
‘Biar betul ayah aku ni. Rakan bisnis ke girl friend? Masakan semuda itu sudah menjadi korporat yang
berjaya. Tetapi tidak mustahil juga.’ Hati Rizal keliru sekali membuat
penafsiran. Tapi tetap menenangkan jiwa kalutnya dengan anggapan yang positif.
Tidak menyukarkan benaknya.
Dia memang tahu Bill Gate belum lagi berusia 40-an sudah pun menjadi
billionare kerana siswa yang tidak sempat graduat di Havard itu berjaya mempraktikan
kemahiran IT dan mengembangkan perniagaan Microsoftnya ke seantero dunia.
‘Boleh jadi gadis berambut perang itu suku-sakat Bill Gate kut’,
lucu pula gurau hatinya. Hilanglah kerusuhan hatinya memandang perilaku ayah
yang tidak di senanginya sementara. Bercempera laksana awan ditiup angin.
Dia bersaorangan di meja itu. Sedangkan ayahnya begitu leka berbual
mesra dengan temannya. Dia terasa ayahnya sengaja melupakannya. Membiarkannya
termangu-mangu seperti kera sumbang. Dirinya seakan sendirian walaupun
dikelilingi ramai orang.
Segera dicapai segelas minuman jus yang tersedia di meja. Ingin
menghapus kerusuhan yang menyesak dada dengan air yang bakal diteguk itu. Tugas
air yang sangat ajaib bermukjizat walau apa bentuk, rasa dan warnanya.
Samaada H2O jernih tulen waima bercampur rupa. Sentiasa
menyenangkan. Kecuali bah besar, tsunami.
“Hai Rizal.” Dia terhenti dari meneguk air yang mula membasahi
tekaknya apabila mendengar suara sapaan yang sangat biasa pada pendengarannya.
Gelas di tangannya diletakan di atas meja dengan cermat.
“Eh…uncle Sham. Uncle pun di sini juga? Auntie Mun tidak ikut
sekali?” terasa terisi sedikit ruang kosong kesunyian yang menyerkupinya di tengah-tengah kemeriahan
majlis yang serba mewah ini dengan kehadiran sesaorang yang dikenalinya.
Sahabat mama dan ayahnya yang dikenalinya sejak lama.
“Auntie kamu tu tidak ikut. Katanya dia ada janji dengan mama kamu
hendak ke kuliah agama di masjid Kota.”
Rizal angguk mengakuinya. Mamanya berkata begitu kepadanya.
“Tapi majlis Datuk Shamsudin ni khusus untuk rakan-rakan bisnis yang
lelaki saja. Dia tidak jemput orang perempuan.” Rizal terkeliru. Sukar hendak
dipercayainya. Wajah Datuk Shamsi di jengah dengan pertanyaan. ‘Iyakah begitu?’
“Saya tengok ramai je orang perempuan di dalam majlis hotel ni. Tapi
Uncle kata orang perempuan tidak dijemput?”
“Itu kamu jangan silap faham. Kebanyakan perempuan yang ada tu
hanyalah urusetia yang menguruskan kelancaran majlis ni.” Datuk Shamsi
mengucapkan fakta rekayasanya.
‘Masakan gadis urusetia berlagak seperti tetamu. Uncle ni memang
penipu. Dia ingat aku ni baru sekolah tahun satu.’ Rizal menggumam dalam diam.
Bibirnya mencebik sedikit.
“Eh…uncle duduklah dengan saya di sini. Ayah tu sedang bersembang
dengan seorang gadis urusetia gamaknya.” Rizal mempelawa Datuk Shamsi duduk di
sampingnya.
Sempat pula melepaskan bola
smash sinis yang mengena tepat ke sasarannya. Datuk Shamsi tahu itu. Dia
tersenyum sedikit melindungkan wajah dari raut rasa serba tidak kena.
“Tidak mengapalah Rizal, uncle hendak bertemu dengan ayah kamu
sekejap. Uncle pergi dulu ye.” Datuk Shamsi yang berusia awal 50-an sebaya
dengan ayahnya meninggalkan Rizal kembali sendirian. Tetapi tidak lama. Datang
lagi sesaorang menyapanya. Dia melepaskan semula gelas yang di pegangnya
setelah sekali reguk.
“Eh...Rizal.” Sekali lagi Rizal melafaz selawat ke atas Nabi S.A.W
dengan perlahan. Kali ini kerana bersalaman dengan Amin pula. Teman di sebelah
Amin seorang gadis dengan kelopak matanya berwarna hijau+biru yang gemerlap
sementara alis keningnya urna coklat ditulis persis garis melengkong halus.
Rerambut keningnya yang tulen tidak kelihatan lagi. Namun gadis itu
memiliki raut wajah yang cantik. Memang tidak ternafikan keindahan wajah wanita
ciptaan-Nya.
“Rizal, abang hendak ke tandas ni. Boleh abang tumpangkan sepupu
abang ni di sini sekejap. Abang risaukan keselamatannya. Maklumlah sepupu abang
ni baru datang dari kampung. Takut hilang pula nanti jika dibiarkan seorang
diri tidak berteman. Tak apalah abang pergi dululah.” Amin tergesa-gesa
meninggalkannya tanpa mempedulikan apakah kata-kata Rizal selanjutnya. Adakah
sanggup menerima amanahnya atau tidak. Rizal mengangapnya bebanan yang terpaksa
dipikulnya. Dia mengetap bibirnya.
Dia membalas senyuman gadis itu dengan air muka yang tidak jernih.
Tetapi berusaha dijernihkannya dengan senyuman tawar yang dimaniskan. Sekujur
tubuh itu diintai dengan lirikan matanya.
‘Begini punya dressing, ye
ke orang kampung? Ah...orang kampung alaf baru, era glokal seperti disarankan
Timbalan PM perlu setanding dengan modenisasi yang dikecap masyarakat bandar.
Berminda kreatif lagi inovatif. Hidup berkualiti. Tapi bukan setakat berubah
kepada cara berpakaian dan cara bersolek saja kut.’ Sinis sekali protesnya
dalam diam. Gadis itu juga sedang menilai seorang anak muda di hadapannya
menerusi pandangan matanya.
‘Kacak sungguh anak Datuk ni, andai katalah dia ni berkenan pada aku
seumur hidup aku dan keturunan aku akan senang-lenang menumpang kemewahan Datuk
yang kaya-raya tu.’
“Duduklah. Abang Amin tu sekejap lagi baliklah.” Gadis itu
dipersilakan mengambil tempat duduk di sebuah kerusi yang disedia.
“Terima kasih. Saya Liza.” Gadis itu tersenyum manja menghulurkan
jejarinya untuk disambut jejaka di hadapannya.
Rizal tidak berhasrat hendak bersalaman dengan gadis itu. Tetapi dia
tidak mahu memalukan gadis itu kerana huluran tangannya tidak bersambut. Dia
menggenggamnya longgar dan segera melepaskannya.
Aroma minyak wangi yang dikenakan gadis itu menyengat deria baunya
tatkala dia mendekatkan dirinya pada Rizal. Sangat memeningkan kepalanya. Rizal
memang alahan dengan wangian yang terlalu.
“Abang Amin bercerita pada saya, Rizal ni baru balik dari belajar
dari US.
Ye ke?” Rizal terkedu. ‘Hai berkenalan pun baru beberapa minit sudah buat
soal-selidik tentang biodata diri aku. Pelik ni. Macam ada sesuatu yang tidak
kena pula.’
Dia menjengah
mencari kelibat Amin yang tidak muncul-muncul. ‘Lama betul abang Amin ni. Apa
dibuatnya?’ mindanya mengukir tanda tanya.
“Ambil kursus apa di sana?”
pertanyaan yang muncul tiba-tiba dari gadis itu menerjah mindanya yang lepa.
“Degree in Applied Electrodynamics.” Jawabnya hambar. Dia sengaja
menyebut apa yang terlintas di mindanya saja. Dia mengambil jurusan lain di
universiti Rhode Island USA.
Ocean Engineering sebenarnya bidang khusus yang dipelajarinya.
Ijazah tentang kejuruteraan samudera yang merangkumi semua dari asas mengenal
lautan, arah tiupan angin, cuaca, kelajuan arus, ombak sehinggalah apa yang ada
di dalam perut kapal sebelum memulakan pelayaran merentasi lautan. Setiap
sabjek yang wujud berkaitan maritim mesti diambil tahu. Ilmu yang wajar
dipelajari seluas lautannya. Tetapi pengetahuan yang diberi-Nya hanya
setitis.
“Digri apa tu? Nak sebut pun berbelit-belit lidah.” Pertanyaan yang
menerjah ruang mindanya yang telah melayang jauh ke Rhodes Island. ‘Itu pun tak
tau! Hai lorat-lorat.’ Rizal tersenyum simpul. Malas pula dirinya hendak
memberi penjelasan setepatnya. Dibiarkan gadis itu terkapa-kapa, teraba-raba
maksud yang sebenarnya.
“Kenapalah ambil kursus yang susah-susah. Habis tu balik sini boleh
dapat kerja apa?” Banyak pula pertanyaan gadis itu yang mengasaknya meminta
jawapan daripada Rizal sehingga dia merasa bosan dan rimas hendak menjawabnya.
“Apa-apa pun boleh, jadi cikgu, jadi pegawai, jadi kerani, jadi
peniaga warong. Pendek kata apa saja asalkan berminat dan ada kemahuan.” ‘Ramah
sangat pula minah seorang ni. Cepatlah datang Amin oii. Ambil balik harta kau
yang memeningkan kepala aku ni.’ Suara sinisnya itu terperangkap di dalam peti
kalbunya. Matanya melilau mengintai kelibat Amin. Tidak kelihatan di mana-mana.
“Laa…kalau sudah macam tu,
buat apalah pergi belajar jauh-jauh. Kata bang Amin, Rizal ni anak orang kaya.
Tidak payah susah payah belajar tinggi-tinggi. Harta ayah pun tidak habis
dimakan.”
‘Mudahnyalah penerimaan sepupu Amin ni tentang hidup. Sekarang ni
orang berlumba-lumba mencari ilmu pengetahuan terkini tetapi awak masih
berangan-angan hendak hidup senang dengan menghabiskan harta warisan emak-ayah.
Sungguh tidak glokal (globalisasi lokal). Tetapi lokal yang teruk. Sifat buruk
yang tidak harus diikut.’
“Liza awak tunggulah Amin di sini. Jangan kemana-mana. Di sini
keadaannya bukan macam di kampung. Apa lagi orang cantik macam Liza. Mesti
ramai yang berkenan. Silap gaya
dibawa lari. Saya nak keluar sekejap.” Rizal bergerak tanpa menoleh ke belakang
lagi. Laju langkah yang diaturnya. Sesiapa saja yang dilewatinya tidak
disapanya. Hayunan langkah menuju ke tempat yang ditetapkan hatinya.
Liza tersengih melihat gelagat Rizal yang mengingatkannya tentang
itu semua. Dan dia tidak berupaya hendak menahannya dari tidak meninggalkannya.
‘Dia fikir aku ni baru semalam agaknya tiba di KL. Aku ni anak KL
jati beb. Lahir dan besar di KL ni. Memanglah dari kampungpun. Kampung Baru KL.
Nampaknya orang bandar yang ijazahnya hebatpun mudah ditipu.’
“Tengok tu, Liza sendirian saja. Anak Datuk tu ke mana?” Tersentak
lelaki itu bila lengannya dicuit. Lehernya terkilas memandang kearah meja yang
ditempati anaknya sebentar tadi. Benarlah apa yang dikatakan Nadia, anaknya
sudah tidak ada bersama Liza.
“Ish…masalah ni. Kawan pilihan si Amin ni langsung tidak boleh
diharap.’ Telefon di tangannya berbunyi. Datuk Shaari segera menjawabnya.
“Ayah, Rizal terasa kurang sihat. Rizal dah balik dengan teksi ke
rumah.” Tiada lagi suaranya yang kedengaran. Taliannya sudah diputuskan. Datuk
Shaari terpempan. Termangu memandang Nadia.
“Ish budak ni. Sudah balik dia. Cepatnya. Amin ni memang nak kena.”
Dengus kerasnya dilepaskan. Nadia memandangnya terkulat-kulat. Barangkali tidak
memahami apa yang dimaksudkan Datuk itu.
Ketika itu Rizal sedang berada di luar entrance hotel. Belum lagi berada di dalam perut mana mana teksi.
Dia hanya berkata begitu agar ayahnya tidak keluar mencarinya di luar. Helahnya
memang berkesan. Datuk Shaari mempercayai kelentong anaknya itu.
Rizal memetik nombor handset
mamanya pula. Mamanya perlu diberitahu tentang keperluan mendesaknya pada saat
ini. Kalau boleh dia berharap mamanya itu akan terpacak di sisinya ketika itu
juga. Mengongsi segala yang dirasai dan dialaminya. Suatu pengalaman yang
menjengkelkannya dan tidak ingin diteruskan sehingga kesudahannya..