ASSALAMUALAIKUM...
Tinggal impian.
PIC GOOGLE UNTUK HIASAN.
‘Aku harap sangat
hari ni si buaya tu tak datang kacau aku. Senang aku nak menaip skrip drama
radio ni sampai habis. Tapi… tak baik aku gelar dia buaya. Dia kan manusia. Ah!
Perangai dia memang macam buaya pun. Pantang lepa akan dilibasnya. Menakutkan
sungguh.
Dah dua hari kerja
aku ni asyik terbengkalai sebab terpaksa melayan muka dia yang tercongok je kat
depan meja aku ni. Tak dilayan kang dikatanya aku tak sedar diri pula.
Menyusahkan betul.
Aku ni kerja
dengan bini dia bukannya kerja dengan dia. Bininya yang bayar gaji aku. Tak ada
kena mengena langsung dengan dia. Tapi kenapa dia asyik nak ganggu kerja aku
saja. Tak faham betul aku. Kalau ikutkan hati aku, mahu saja aku berhenti
kerja. Tapi kesian pula aku pada kak Wan Sinar. Dia baik sangat dengan aku.
Aku pun kagum
dengan bakat penulisannya yang sangat menyerlah itu. Skrip drama tulisannya
sering disiar di RTM mutakhir ini. Dan aku turut tumpang berbangga kerana skrip
drama yang disiar di radio itu hasil dari taipanku. Maknanya ada sumbanganku
juga disitu.
Dan aku juga harus
berterima kasih kepada lelaki yang menjadi suami kepada penulis itu kerana
mengenalkan aku sebagai pembantu kepada isterinya di atas permintaan abang Z.
Abang Z memang mengenalinya kerana beliau adalah seorang kontraktor pembinaan
yang sering berurusan dengan bank tempatnya berkerja demi mendapatkan tambahan
modal pada setiap projek pembinaan yang akan dilaksanakannya.
Tindakan abang Z
mendapatkan perkerjaan yang ringan dan bersesuaian dengan upayaku ini memang
sudah betul. Aku pun sangat menyukainya. Tapi aku benci sangat dengan lelaki
itu yang sering datang merayuku dengan pelbagai ungkapan manisnya. Kasihan pula
aku kepada kak Wan Sinar yang langsung tidak mengetahui akan tabiat buruk
suaminya yang mulai sukakan perempuan lain selain dirinya itu.
Aku lihat kak Wan
itu biasa saja setiap kali melihat suaminya sedang berdua-duaan denganku. Masih
boleh tersenyum kepadaku sambil menuturkan sesuatu kemahuannya dengan lunak.
Wajahmya seolah tidak beriak. Hairan sungguh. Tidak cemburukah dia melihat
suaminya galak bertutur membuat jenaka yang menyukakan hatinya sendiri. Aku
buat selamba ja. Buat muka sadin. Malas nak layan orang yang perasan lebih ni.
Mungkin juga kak
Wan tidak pedulikan sikap nakal suaminya itu lantaran dia seorang isteri yang
sangat memahami perilaku suaminya yang disayangi itu. Jikalau seseorang itu
saling menyayangi dan memahami tabiat pasangannya tentulah tidak timbul salah
faham yang bakal menerbitkan sengketa rumah tangga. Aku rasa begitulah kot. Aku
pun tak kahwin lagi. Tapi mahukah aku berkahwin? Sedangkan jodohnya sudah pun
di sediakan untuk ku…Ah! Entahlah …malas aku nak fikirkannya.
Untuk mengelak
dari sebarang gangguan yang tidak diingini daripada kalangan lelaki-lelaki di
kawasan perniagaan di sini yang kelihatannya menaruh minat kepadaku, sengajaku
sebarkan cerita bahawa aku sudah bertunangan dengan seseorang. Dan tidak lama
lagi akan berkahwin. Hakikatnya walau benar begitu namun ternyata hatiku
mengilasnya. Apa yangku lakukan itu berbaloi juga nampaknya.
Aku tidak lagi
menerima gangguan dari peminat-peminat yang ingin berkenalan dan menjalin
hubungan yang tidakku tahu maksudnya. (Ceh! Macam artis terkenal pula aku ni!
Ada peminatnya…)Mereka ini memahami keadaanku sebagai gadis yang sudah dimiliki
dan menghormatinya. Lega sedikit aku daripada bahasa manis bermadu dengan
maksud umpanan jerat sang pemikat-pemikat di sekelilingku.
Kecuali nampaknya
tidak mempan kepada lelaki yang satu ini. Dia tetap terhegeh-hegeh mahu
merapatiku dengan pelbagai alasan yang diada-adakannya. Entah dari mana dikutipnya
cerita bahawa aku tidak langsung menyukai tunanganku itu. Justeru aku lari
meninggalkannya ke sini. Aku tetap keras menafikannya. Hmm…!
Baru aku teringat
bahawa aku terlepas cakap sewaktu seronok bersembang dengan kak Wan Sinar aku
telah tercerita berkenaan itu kepadanya. Boleh jadi cerita yang amat kukesali
terluncur dari bibirku itu diketahuinya daripada isterinya. Maklum saja mereka
kan suami isteri yang sering bersama. Si isteri pastinya suka menceritakan
sesuatu yang diketahuinya kepada suaminya untuk saling bertukar komen.
Lain kali aku
harus beringat agar tidak lancang menceritakan persoalan permasalahan
peribadiku kepada sesiapa walaupun kepada seseorang yangku rasa bolehku
percayai kejujuran hatinya. Hati budi seseorang itu rupanya sukar ditelah
warnanya walau luarannya kelihatan putih dan telus.
Menyesal pun sudah
tidak berguna lagi apabila perkara yang tidak kuingini kini telah berlaku dan
menyusahkan aku. Salah aku juga. Sudahnya aku yang kalut terpaksa mereka-reka cerita tentang tunang
yang sangat kukasihi namun tidak kuingini itu.
Yang peliknya
walau banyak kali penafian tentang itu kubuat dia tetap tidak kisah pun.
Sikapnya yang suka hendak menarik perhatianku tidak jeran diperlihatkan.
“Hai sibuk
nampakmu…”
‘Datang lagi
malaun ni nak ganggu kerja aku.’
“Kija macam selalu
ja. Menaip skrip drama Impian Kasih kak Wan ni…tak siap-siap lagi.”
“Tinggal gak kija
tu semetar (sebentar) kita gi minum kat restoran tepi pantai PCB tu…”
“Tak sir kita.
Lagipun kita nak siapkan taipan skrip drama ni. Kak Wan suruh kita siapkan juga
hari ni sebab dia nak pos ke RTM petang ni…”
“Ada saja alase
(alasan) mu mek. Kalau tak bagi apa-apa alase tak boleh ko…?”
“Dah memang tak
boleh, nak kato (kata) gapo (apa) lagi
banyak kija ni…”
“Mumemang gitu.
Kalau aku ajak tak sir ja…”
‘Kalau dah orang
tak nak, tak payahlah nak paksa. Bukan setakat satu alasan saja yang boleh
diberi banyak lagi yang boleh dicari. Buang masa saja nak mengayat aku weh!.’
Monolog Aisyah menuturkan kesebalan hatinya.
“Sebenarnya aku
nak kecek (cakap) sesuatu yang penting ko mu ni. Jom lah ikut aku ke PCB
semetar…”
“Saya kata tak
boleh! memang tak boleh . Kecek ja di sini.”
“Rasanya tak molek
nak kecek hal penting ko mu kat sini…”
“Kalau dah rasa
tak molek, tak payahlah kecek…simpan ja dalam kocek cik Zul tu…” balas Aisyah
mudah. Sepasang matanya meliar ke persekitaran toko itu. barangkali hatinya
bimbangkan akan kehadiran Wan Sinar yang tiba-tiba tercegat di sampingnya dan
memarahinya kerana belum lagi menyiapkan taipannya.
“Orang tu apa pula
mahunya, tercangak-cangak ke sana sini. Apa yang dicarinya?” ujarnya sambil
pandangannya mengarah hala muka pintu toko itu. Fokus retina Aisyah turut
mengikuti arah yang sama.
“Agaknya orang tu
nak beli alat tulis atau kertas taip kot. Kan toko ni jual alat-alat tulis dan
bahan-bahan untuk penulisan. Biar saya gi tanya semetar ye…” Aisyah tersenyum
kesukaan kepada dirinya kerana peluang untuknya meloloskan diri daripada
gangguan lelaki yang merejam jiwanya terbuka kesempatannya leluasa.
Lagipun sudah memang
kerjanya sebagai jurutaip kepada isteri kontraktor itu merangkap pembantu
jualan juga. Tugas yang telah diberi kepadanya itu masakan boleh diabaikan
dengan mudah. Pastinya lelaki ini memahami kewajarannya.
Dia akan berusaha
melayani pelanggan itu dengan mesra dan mengambil masa yang lama agar suami
kepada Wan Sinar ini jemu menantinya kembali ke mejanya. Jikalau kebosanan
sudah bertamu di segenap ruang minda kecilnya tentu dirinya tidak betah dan
akan segera menghindar dari situ. Begitulah strategi perancangannya.
Mudah-mudahan akan berhasil.
“Ya nak apa?”
Lelaki berjaket kulit tebal itu tidak membalas sapaannya. Dia masih
terbongkok-bongkok seolah sedang mencari barangan yang ingin dibelinya.
“Rasanya nak beli
cik adik ni kot!”
Aisyah terkesima.
Suara yang melantun ke deria dengarnya menerbangkan seluruh kehampaan yang
mengapung di dalam dadanya. Aura kegembiraan mendominasi wajahnya dengan
kecerian. Mahu saja lelaki yang memiliki suara garau serak itu dirangkulnya
erat sebaik saja mereka berhadapan dan mata bertentangan. Senyumannya terorak
lebar dan air mata bergenangan di kelopaknya lantaran terharu amat dengan
pertemuan yang tidak dijangka akan berlaku itu.
‘Akhirnya kau
kembali kepadaku. Tapi …’
“Kenapa tak
beritahu saya abang nak ke sini?”
“Saja-saja nak
buat surprised pada buah hati
pengarang jantung abang ni…”
“Surprised abang tu memang mengejutkan
saya sungguh. Hampir jantung ni berhenti berdegup…” Suara yang ketara ke deria
dengarnya membuatnya terpana. Direnungi seluruh wajah manis itu seolah sedang
meraup dengan tangannya yang membelai lembut untuk menenangkan keterkejutan
yang disengajakannya.
“Jangan kata
begitu. Kalau jantung dah berhenti berdegup, maknanya ajalnya sudah tiba. Abang
tak mahu ajal memisahkan abang dengan orang yang sangat abang sayang dan cinta
ni…”
‘Walaupun ajal itu
belum lagi memisahkan kita ke alam kekal yang hakiki, namun sebenarnya
sememangnya kita telah terpisah aduhai kekasih hatiku! Namun hakikat itu belum
mahu kuterima. Walau tidak wajar tapi….Ah pedulikanlah. Itu hak hatiku. Hatiku
berhak menentukan apa pun kemahuannya.’
“Wah rancak
berborak, sampai tak pedulikan kita yang penat dok tunggu dia. Siapa dia ni?
Nampaknya mace (macam) muberdua dah kenal lama…”
‘Bila masa pulak
aku suruh dia tunggu aku?’ gerutu hati Aisyah.
“Maaf cik Zul lupa
nak kenalkan pada cik Zul tadi, sebenarnya inilah tunangan saya. Dia ni baru ja
sampai dari Amerika…” Lancar saja sebutan Aisyah spontan. Aisyah memanah tepat
pandangannya pada bola mata lelaki yang disampingnya itu dengan tajam. Mengharapkan
maksud bahasanya difahami sebaiknya dan dipersetujui. Lelaki itu tersenyum
polos meski keliru sambil menghulur tangan untuk berkenalan dengan majikan
Aisyah itu.
Barangkali
diserang tanda tanya; mengapakah agaknya Aisyah menuturkan begitu tentang
dirinya. Meski hatinya diserbu kegembiraan yang tidak terkata. Berbahagia
sungguh. Kenyataan sebegitu memanglah keinginannya yang tidak mungkin
dipertikai lagi.
Zulkifli pula yang
merasa tidak selesa berada di antara gadis impiannya dan lelaki yang dikenalkan
kepadanya sebagai tunangannya itu. Hatinya mendengus kecewa. Ternyata kepadanya
bahawa omongan yang didengarinya mengatakan Aisyah bencikan tunangannya, tidak
benar sama sekali. Hanya dusta. Sedangkan jelas terpancar aura kebahgiaan di
wajah kedua-duanya meraikan pertemuan mereka.
Musykil pula
apabila difikirkan tentang pengetahuannya yang kononnya Aisyah bertunangan
dengan seorang pemuda se kampung dengannya. Pada congakannya orang kampung
tentulah biasa-biasa saja dan agak selekeh.
‘Nampak gayanya orang kampung pun well educated juga. Hinggakan mampu
belajar ke luar negara. Setanding dengan mereka yang berpendidikan di bandar.
Boleh tahan juga ‘mek’ ni memilih pasangannya.
Aku baru saja
berkira-kira nak melamarnya menjadi isteri keduaku lantaran hubunganku dengan
isteriku sedingin salju. Entah kenapa semenjak namanya menjulang sebagai
penulis skrip drama yang dikenali ramai, dia seolah mengabaikan aku. Terlalu
taksub menulis hingga larut malam dan membiarkan aku membenamkan hasratku
belayar ke pulau idaman bersamanya menikmati keindahan cinta.
Ah! Sangat
menjemukan pabila terpaksa mengisi malamku sendirian tanpa isteri tersayang
itu. Sekian lama insiden yang sama berulang dan berulang. Maka aku haruslah
menerima hakikat bahawa aku telah kehilangan isteri yang kuanggap hanya sebuah
‘bantal golek’ saja.
Setelah dia
berjaya menjelmakan dirinya ke persada seni penulisan tanah air, aku pula yang
kebingungan. Terkontang-kanting kehampaan. Tiada lagi ‘bantal golek’ yang
menemani tidurku di malam hari. Salah aku juga.
Aku pun selalu
mengabaikannya tatkala kesibukanku memuncak kala menguruskan beberapa projek
pembinaan yang perlukan pemerhatianku secara khusus. Katanya dia menulis kerana
mengisi kesendiriannya lantaran aku sering meninggalkannya.
Dan kini dia pula
mengabaikan aku kerana terlalu kusyuk berkarya yang pastinya setiap karya yang
hendak dihasilkan perlu memerah otak menggilap idea dengan sangat teliti. Bukan
main tulis sesedap rasa. Ironis sekali.
Itukah
kebenarannya? Atau isteri kesayanganku itu sedang membalas dendam terhadapku
secara halus dan berhemah? Kehadiran Aisyah ke tengah kehidupanku kini
membahagiakan aku sungguh. Membuatkan aku terlupa akan kesunyianku kerana
terabai tanpa belaian yang tersayang. Wajah ayunya yang cantik tidak jemu dipandang
mata. Setiap kali memandangnya hati kecilku menyuruh aku mendekatinya.
Suruhan hatiku kah
atau bisikan syaitan? Tapi itulah yangku lakukan. Kerana aku gembira berada
disampingnya. Akhirnya niat asalnya sekadar hendak berbeka dan mengusik seorang
gadis manis untuk menghapuskan kesunyianku bertukar menjadi rasa misteri.
Rupa-rupanya dalam diam-diam aku telah jatuh cinta kepada pembantu isteriku
itu.
Perasaan cintaku
terhadapnya tidak terbendung lagi. Hinggakan aku tidak kisah duduk berhadapan
dengannya walau setiap hari. Walau isteriku melirik mata dengan santun kononnya
tidak kisah dengan kejelekan fiilku yang ditontonnya.
Maka hari ini aku
bertekad meluahkan rasa cinta yang melimpah ruah di dalam dadaku, tidak
terempang lagi itu kepada Aisyah. Hanya Aisyah segala-galanya buatku kini.
Bukan lagi Wan Sinar yang kudambakan.
Impianku ternyata
kecundang tika masih dalam perancangan lagi. Hancur musnah bak kaca yang pecah
berderai lantaran kehadiran makhluk lelaki yang tiba-tiba muncul tidak
terjangka ini. Malangnya nasib aku. Hasrat menjadi tumpul. Terpaksalah aku
berfikir keras bagaimana mahu mendapatkan ‘bantal golek’ku itu semula.’
“Saya nak ke tapak
projek pembinaan sekolah menengah di Bachok semetar. Kalau kak Wan cari,
beritahu saya ke sana ya. Ajaklah tunangmu ni duduk di meja kat dalam sana.
Takkan nak berdiri tercacang di sini ja…,” ujar Zulkifli berbahasa lunak.
‘Wah! bukan main
molek lagi bahasa tuan aku tu hari ni. Selalu tu tak pernah pun nak pesan
apa-apa pada kak Wan. Suka hati dia ja nak berambus ke mana-mana. Lain pesen
pulak hari ni. Jangan-jangan dah buang tebiat kot…