Aina dalam masa yang sama cuba membuka ikatan tersebut tetapi dihalang oleh Suparman. “Kalau kau buka ikatan tu, dengan engkau sekali aku ikat,” begitu tegas Suparman memberi amaran kepada isterinya itu.
Kedua-dua beranak itu saling menangis dan berpelukan. Aina tidak mampu berbuat apa-apa kerana takutkan suaminya yang panas baran itu. Dia khuatir Suparman akan bertindak lebih kejam ke atas anaknya.

Kejadian seumpama itu bukan sekali dua. Bahkan sudah banyak kali. Cuma Aina tidak mengadu kepada sesiapa pun kerana khuatir membuka aib keluarga. Sebagai isteri yang ‘taat’ kepada suami, Aina ada kalanya membiarkan sahaja perlakuan kejam suaminya ke atas anak hasil daripada perkahwinan mereka itu.
“Idham sayang ayah tak?”

“Sayang.”
“Mak?”
“Sayang.”
“Ayah pernah pukul Idham tak?”
“Pernah. Selalu ayah pukul. Ayah ikat Idham. Ayah pukul Idham dengan tali pinggang. Ayah kata Idham babi. Tapi Idham sayang ayah.”
Petah Idham berbicara tatkala dia ditanya dalam satu sesi kaunseling ekoran aduan yang dibuat oleh guru tadikanya yang melihat kesan pukulan di badan Idham. Secara tulus dan jujur, setiap soalan yang diajukan kepadanya dijawab tenang. Namun ada kalanya riak di wajahnya mempamerkan ketakutan apabila dia mula menceritakan ayahnya juga pernah mengugut untuk memukulnya dengan tukul besi.
“Habis simen rumah pecah. Ayah ketuk banyak kali. Ayah juga cuba buat pada Idham. Tapi mak halang,” lagi Idham bercerita membongkar segala ‘rahsia’ yang selama ini tersimpan kemas daripada diketahui oleh sesiapa pun.
Dalam sesi tersebut, Aina juga turut bercerita perihal ‘penderaan’ yang dilalui oleh mereka berdua. Namun Aina terpaksa ‘reda’ dengan kejadian yang menimpa mereka, kerana tidak mahu berlakunya ‘perpisahan’ dalam perkahwinan yang mereka bina.
Sementelah, Aina pula hanya seorang suri rumah yang sememangnya bergantung harap dengan sumber pendapatan suaminya. Andai dia berpisah, dia khuatir, siapa pula yang akan membela nasib mereka. Lantaran kebimbangannya itu, dia mendiamkan hal tersebut sekalipun kasihan melihat nasib yang menimpa anaknya.
Aina akui caranya salah. Tapi dia tidak tahu kepada siapa harus dia minta pertolongan. Aina akui, Suparman yang dia kahwini bukan rakyat tempatan. Sebaliknya rakyat negara jiran yang datang ke negara ini sebagai buruh kontrak.
Sedih melihat keadaan Idham, adakalanya Aina rela dirinya dipukul oleh suaminya. Apabila ditanya mengapa Suparman bertindak kejam ke atas mereka, Aina menjelaskan segala-galanya berpunca daripada kesempitan hidup yang mereka lalui.
Jelas Aina, duit sering menjadi punca pergaduhan di antara mereka dan akhirnya Idham menjadi mangsanya. Pantang silap sedikit, Idham diperlakukan seperti binatang