Azmi sedang memperkenal Fareez sebagai Rizal anak Datuk Shaari yang
akan mengambil tugasnya sebagai Pengurus Resort Sri Jelapang, menggantikannya.
Dan Rizal akan dibantu Fareez temannya. Fareez berbisik begitu kepada Azmi.
Azmi memandang Rizal dan Fareez silih berganti dan akhirnya dia
terangguk-angguk.
Fareez berdebar dan kekok dilayani sebagai seorang terhormat. Rizal
memandangnya selamba. Ada desas-desus yang berbisik di kalangan gadis-gadis
petugas yang membandingkan kedua-dua lelaki muda yang berada di hadapan mereka.
Kedua-duanya memang sama tampan bergaya dan berpesonaliti yang
menawan. Seorangnya nampak sangat berkarisma sebagai seorang ketua sementara
seorang lagi hanya selamba bersahaja namun kelihatan berwibawa..
‘Kalaulah si jejaka tampan itu jatuh hati kepadaku alangkah
bertuahnya badan, seorang gadis yang bertugas sebagai penyambut tetamu itu
memasang angan-angan. Dimatanya terbayangkan di saat-saat melewati waktu indah
bersama jejaka idaman yang menjadi pujaan.
‘Hoi...jangan beranganlah. Sergah mindanya sedarnya. Dia kembali ke
dunia fana dengan sabar menunggu gilirannya untuk di perkenalkan kepada
kedua-dua jejaka itu. Matanya bersinar memberi fokus kepada keadaan yang
melengkunginya.
Membuang masa sahaja membayangkan perkara yang bukan-bukan dan sukar
hendak dijadikan kenyataan kata hatinya.
23.
Anita dan Sarina sedang mempersiap diri untuk ke lokasi
penggambaran. Sarina memasukan telefon tangannya ke dalam beg galasnya. Telefon
itu berdengut tiba-tiba. Melihat catatan
nombor yang tertera di skrin kecil itu dia sudah tahu siapa pemanggilnya.
Sarina bergegas ke biliknya untuk menjawab panggilan itu.
“Siapa panggil tu?” Tanya Anita.
“Ala budak production…suruh
kita datang cepat.” Balasnya pantas mengilas hakikat, menyembunyikan
kebenarannya.
“Betul ke tu?” Anita tetap sangsi dengan kenyataan yang didengarnya.
“Kenapa?... kau tidak percaya aku?” Sarina berlagak jujur untuk
menarik kepercayaan Anita. Aksi klise.
“Kalau budak production
yang call...selalunya kau jawab siap
terpekik terlolong lagi. Ini tidak. Masuk ke bilik pula, macam rahsianya besar
sangat hendak di sembunyi.”
“Apalah kau ni. Ada je salahnya aku ni di mata kau. Ok lah pasal
semalam tu aku minta maaf. Untuk
menunjukan keikhlasan aku…tengahari nanti aku belanja kau bila break shooting. Lagi pun kita tidak
terbabit dalam tiga scene selepas break tengahari.” tutur Sarina dengan
agendanya.
“Tidak payahlah kau hendak belanja aku makan. Lagi pun aku rasa aku
hendak bincang dengan abang Johan tentang
scene di pulau nanti.” Sarina mulai kalut apabila Anita menolak ajakannya.
Sesuatu yang terencana disebalik pelawaan itu akan rosak tergendala tanpa
kehadiran Anita kelak. Dia mesti segera melakukan sesuatu.
Sarina menghampiri Anita, memaut tubuhnya dengan mesra.
Memicit-micit bahunya.
“Ala kau tu merajuk lagilah tu. Kau kan suka makan tomyam. Di pulau
tu nanti mana ada tomyam. Jadi kau makanlah puas-puas di sini hari ni sebelum
kita bertolak esok.” Ujar Sarina dengan lembut memujuk.
Anita menepis tangan Sarina. Dia merasakan mutakhir ini tingkah laku
Sarina terhadapnya sentiasa menyembunyikan maksud di sebaliknya.
Dia tidak mahu peristiwa Sarina sengaja membawanya hendak
mengenalkannya pada seorang Datuk yang kini mengganggu kelancaran kehidupan
normalnya berulang kembali.
“Boleh. Aku boleh ikut kau pergi makan tomyam tapi kau ajaklah
sekali pengarah kita tu supaya hotnya
pada kau kembali stabil. Macam mana?”
“Untuk kali ini aku rasa tidak boleh sebab bajet yang aku ada
cukup-cukup untuk kita berdua saja.” Sarina memberi alasan. Dia yakin Anita
akan menerima bohongnya itu kerana dia seorang sentiasa prihatin dengan masalah
kawannya.
“Kalau macam tu tak payahlah belanja aku. Kau simpan sajalah bajet
kau tu untuk diri kau sendiri. Aku tak ralat jikalau tempat yang kita pergi
tidak ada tomyam, tapi aku rasa memang ada. Malah rasanya tentu lebih sedap
sebab diperbuat dari makanan laut yang segar. Bukankah tempat yang kita nak
pergi tu sebuah pulau di tengah laut. Tentulah mewah dengan makanan laut. ”
Anita meninggalkan Sarina yang terkapa-kapa kerana tidak berjaya memenuhi
keinginannya sebagaimana direncana.
Langkahnya menuju ke arah Johan yang sedang membuat revisi skrip
drama tulisan Fuziah Samad itu.
* * *
Shaari baru saja
menyelesaikan tugasnya menyemak data-data operasi syarikatnya yang berada di
dalam dan di luar negara. Kira-kira kewangan yang ditutup yang disediakan
akauntannya menunjukan peningkatan keuntungan sekali ganda kerana keaktifan
kapal-kapalnya mengangkut minyak sawit ke China dan Negara-negara Asia Tengah.
Dia menarik nafas lega.
Ditolaknya ke tepi dokumen-dokumen yang usai ditelitinya.
Menyandarkan tubuhnya yang separa gempal itu dengan santai di kerusi. Dia
memejamkan matanya. Mulai mengalamun membina istana impian. Tiba-tiba saja
dahinya berkerut. Berkecai impiannya laksana bunga-bunga kristal yang dihempas
ke lantai simen.
Amin meluru ke dalam biliknya. Dia tersentak. Menggenyeh-genyehkan
matanya.
“Baru...baru…baru…panas…panas…panas!”
“Apa kau memekak ni? Sudah hendak letak jawatan? Hendak jual goreng
pisang panas pulak?” Sergahnya keras. Ketenangannya yang terganggu dengan olah
khadamnya itu.
“Aikk...lain macam aje bunyinya. Kenapa perniagaan rugi banyak ke?
Pagi-pagi ni tidak baik buat muka monyok, nanti rezeki lari Datuk.” Datuk
Shaari menerjah pandangannya ke dalam anak mata Amin.
“Mulut tu jaga sikit ya. Bercakap jangan sebarangan. Bab rugi…rugi
jangan sebut. Untung, untung, ong
boleh sebut. Kau boleh tolong aku tak?”
“No problem. Mana pernah
saya cakap ‘tidak’ bila Datuk minta tolong.” Balas Amin menunggu-nunggu butiran
pertolongan yang dimahukan.
“Boleh tak kau tolong diam…”
“Ala lawak Senario le pulak. Datuk ni memang pandai buat lawak.”
Amin terkekeh tertawa. Bulat mata Datuk Shaari memandangnya dengan tajam.
“Maaflah Datuk..apahalnya ni ...monyok je. Ceritalah kepada saya.
Mungkin pembantu Datuk yang amat setia ni boleh menolongnya.”
“Aku tidak dapat pergi ke resort tu dengan Anita!” Datuk Shaari
bersuara keras melepaskan tekanan yang menghempap benaknya.
“Ish… apa ni Datuk. Jangan meraung. Malu didengar staff lain nanti.
Banyakkan bersabar.” Ucap Amin cuba menenangkan perasaan gundah-gulana Datuk
Shaari. Belakang tuannya itu diurutnya lembut.
“Kenapa Datuk? Apa masalahnya? Datin sudah tahu ke rancangan Datuk?”
Bertalu-talu pertanyaan yang terlontar dari bibirnya, terlalu ingin menjejaki
permasalahan bosnya yang ketara amat tertekan perasaannya itu kini.
“Bukan Datinlah. Tapi anak aku. Rizal sudah jadikan resort tu territory dia!!” Amin tercengang-cengang. Berat masalahnya ni,
getus hatinya.
“Territory tu, amende
Datuk”Tanya Amin jujur. Pertanyaan Amin membuatkan Datuk Shaari tersenyum
sekilas. Lagak Amin yang lughu tapi tidak lurus bendol itu menawarkan sedikit
kegeraman hatinya.
“Datuk kan tahu bahasa Inggeris saya ni lemah sikit.” Sambungnya
tanpa rasa malu mengakui kelemahannya.
“Dia sudah duduk di sana menggantikan tempat Azmi menjadi pengurus
resort tu.” Masalah yang membungkal di dadanya terluah juga, meski payah.
“Apa susah Datuk panggil saja dia balik ke sini. Habis cerita. Pulau
tu bukan ke Datuk yang punya.” Ujar Amin dengan saranan yang bernas pada
firasatnya. ‘Apalah Datuk ni benda mudah macam tupun tak boleh nak fikir.’
“Kau ingat senang hendak suruh dia balik. Dia pun macam aku juga,
kalau dia kata dia hendak buat sesuatu, dia akan buat. Jangan hendak dipaksa
dia buat apa yang dia tidak mahu.” Amin melongo. ‘Oh anak bapaklah ni… tapi
nampaknya perangai bapaknya sikit je yang diambilnya. Bagus…bagus…ambil yang
baik-baik saja. Perangai bapak yang teruk tu kau tolak tepi.’
“Lagi pun pulau tu bukan aku yang punya. Tapi hak Datin. Warisan
keturunannya.”
“Begitu pulak ya…” Amin terangguk-angguk menyedari simpang perenang
duduk perkara dan hala tuju yang sukar ditentukan puncanya..
“Ala… sebulan je Nita di sana. Dalam masa tu saya cari spare tyre
satu untuk Datuk. Biar saya call Sarina ajak dia makan tengah hari ni. Dapat
juga jumpa Anita sebelum dia pergi” Harapannya kegusaran hati Datuk Shaari
segera mereda dengan bantuan yang ingin dihulurkannya.
“Tidak payah. Aku lagi cekap dari kau. Malam tadi aku call dia. Dia kata pukul lapan pagi kena
pergi shooting. Jadi lepas subuh tadi
aku call Sarina. Tengahari nanti aku ada lunch
dengan dia orang.”
“Wah Datuk sudah buat kerja saya ni. Nampaknya susahlah saya hendak
cari makan lepas ni...”
“Hidup ni mesti Up to date.
Tidak boleh lembab sangat. Nanti kita ketinggalan.”
‘Up to date cara Datuk tu
merugikan’ bidasnya dalam diam dengan sengihnya yang ketara.
“Kenapa kau tersengih-sengih macam kerang busuk ni. Mesti dengan
niat nak mengata akuni.” Bebola matanya bulat terjegil memandang Amin.
“Tak adalah. Datuk ni pandai saja nak serkap jarang. Takkanlah saya
nak mengata bos sendiri.” Amin berusaha menangkis telahan yang sememangnya
mengena. Senyumnya semakin lebar.