Tuesday, 11 March 2025

MELODI RAMADAN

 ASSALAMUALAIKUM



MELODI RAMADAN



.
Hening malam.Selimut dingin ulit tubuh. Berbuai melambung sekujur diri di atas buaian dini hari sebelum fajar tasdiq merona lembayung siang. Ritma atma berlagu melodi sendu mengalun diksi puitis karya seni, ayat cinta Ilahi. Syahdu menghimpun sendu mengait pilu membuak duka mengaji risalah suci. Sebak meranum merejam kalbu; renyai gerimis hiba.
Diatas buaian gelita, ralit berayun masih.
Mengharap susun doa diraup sepasang tangan kurus mohon ampun dosa, reda Ilahi rahmat Ramadan mulia. Denyut nadi mengisi hayat berayunan membuai perasaan. Tahajud kusyuk. Mengusir lelah merusuh resah gelisah gentayang lamun. Lelap lena. Tugu tawakal sangga mata luyu. Istiqamah beriman
Dia penentu segala. Janji-Nya pasti. Esok mungkin tiada untuk mengutip mutiara ganjar amal mengisi rantang bekal akhirat.

Sunday, 9 March 2025

KECURIAN SAWIT

 ASSALAMUALAIKUM



KECURIAN SAWIT

 

Pegawai ladang skim FELDA  kampungku mengirim penyata hasil pendapatan dan kos pengurusan penuaiannya. Beliau memberitahu anakku, buah sawit di kebunku mutakhir ini sangat sedikit kerana ada yang mencurinya. Pendapatan untuk bulan Januari dan Februari cuma 800 RM. Agaknya hanya beberapa kilogram saja yang sampai di kilang proses sawit sedangkan keluasan kebun sawit melebihi 10 ekar. Aku mengagak tentu pihak pengurusan FELDA Wilayah Pahang Tengah mempersoalkan tentang itu. Dan terpaksalah pegawai FELDA di kampungku mencari solusinya. Mereka bercadang menyerahkan kontrak penuaian sawit kubunku pada pihak lain. Sejak dari dahulu lagi aku hanya menerima hasilan sangat sedikit berbanding peneroka lain yang menerima hasil jualan sawit 3K hingga 10K setiap kali tuaian. Aku berpada saja dengan rezekiku perolehi. Dan berdiam diri tanpa mempersoalkannya.

 

bil pengurusan

hasilan kebun sawit -

gangguan durja


Saturday, 8 March 2025

SENSITIF

 ASSALAMUALAIKUM


PIC SIFU TA (C)


 

 

SENSITIF

 

Isu

Malaysia

bahang bagai api

semarak membakar hangus

akal

.

Akta

adab tertib

dibentang segera

justeru gaya menghina

nista

.

Gara

usik cuma

terasa sensitif

sombong diri nyata

terlupa mana berjejak

kaki

.

langit

awan biru

berkongsi semua

harmoni singkir sengketa

dingin


Friday, 7 March 2025

ANEKDOT ABU NAWAS

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAT MULIA RAMADAN MINGGU KEDUA


PROKLAMASI KELAHIRAN...
HUU.. PANAS! PANAS! BARU KELUAR DARI KETUHAR!
Salah sebuah buku daripada Siri Kisah Teladan Kanak-kanak ASN telah lahir memeriahkan lagi dunia perbukuan negara. Karya penulis istimewa, Puan Paridah Ishak yang sememangnya kaya dengan cerita-cerita klasik, pengajaran dan pengetahuan untuk kanak-kanak.
Kisah berbentuk anekdot menceritakan perihal kebijaksanaan Abu Nawas dalam menyelesaikan masalah. 20 buah kisah anekdot yang nyata memberi banyak pengajaran dan pendidikan kepada kanak-kanak, wajar dibaca untuk pembugaran sahsiah dan minda mereka. Bahaan bacaan mendidik jiwa dan memberi sumber idea ditulis dengan bahasa santai yang menyeronokan.
Dapatkan sekarang daripada Unit Pemasaran Sanggar Nurimas Enterprise atau penulisnya sendiri dan admin ASN. Bantulah produk mandiri kerana kami guna dana sendiri. Dunia buku tidak akan mati!
CNP/NURIMAS







Alhamdulillah terima kasih along sudi terbitkan karya olahan bebas kisah klasik Abu Nawas seorang ilmuan sufi bijaksana pada zamannya....beliau watak istimewa tiasa dapat selesaikan masalah di lingkungannya secara bersahaja dan lucu....naskhah sesuai dibaca semua demi peroleh ilmu dan ibrah....jom segera jadikan sebagai khazanah sastera bermanfaat daripada penerbitnya NURIMAS SN. Harganya 20RM ja...

Thursday, 6 March 2025

TERKUNCI GAPURA HATI

 ASSALAMUALAIKUM



TERKUNCI GAPURA HATI

Genre : Kumpulan Cerpen

Penulis : NURIMAS SN

Penerbit : DBP

Nombor ISBN : 978-983-49 -  4668-5 ( Sastera Kehidupan)

Bilangan mukasurat : 237

Harga: 25 RM

Pengulas : Paridah Ishak

 

TERKUNCI GAPURA HATI terbitan DBP merupakan naskhah kompilasi dua puluh cerpen pelbagai tajuk karya NURIMAS SN,  penulis mapan yang sering menerima anugerah sastera peringkat negeri dan kebangsaan. Beberapa cerpen dalam naskhah ini pernah disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, Tamadun Islam, Dewan Budaya. Jendela Timur dan cerpen baru belum pernah diterbitkan.

SURAU LAMA TEPI LADANG, KAK NGAH, WARUNG PUTERI MENANGIS, LANGKISAU DAN PAKSINA, AIR MATA DAKSINA, TERKUNCI GAPURA HATI, MIMPI UNTUK DIJUAL, MENGULIT KENANGAN, WALA SUJI DI RUMAH JEMBAR, DOLLAH MASIH HIDUP, MITOS KECUBUNG DAN LELAKI BERSUMBI GIGI, GMIP, ANGKARA RM 500, PERANTI APA PADA TALI PUSATNYA, DOLLAH GENIUS, NERACA RAYYAN, SEORANG WANITA YANG TERLUCUT BAJU SENYAWA KUNINGNYA, BALONG, BALADA SEORANG WARDEN TUA, SECANGKIR ROBUSTA SEPINGGAN TAPIOCA ialah tajuk menarik pilihan penulisnya.

Temanya nilai murni kehidupan dan sosio budaya masyarakat. Isu berbeza dikemukakan pada setiap cerpen mampu pembaca menafsirkan maksudnya dengan mudah kerana naratifnya tidak terlalu rumit untuk difahami. Penggunaan laras bahasa sederhana dan teknik garapan penceritaan bersesuaian dengan citra paparan sesuatu judul cerpen.


Wednesday, 5 March 2025

BERAS PERANG

 ASSALAMUALAIKUM




BERAS PERANG
.
Beras perang memiliki kualiti yang tinggi, kaya dengan khasiat berbanding beras putih. Kandungan serat dan antioksidan juga lapisan bran yang masih menyelimutinya, menjadikannya pilihan utama bagi penghidap diabetes sebagai makanan harian. Namun, tidak ramai yang menggemarinya.
Di kampungku, pengguna beras perang sering dipandang sinis, dianggap sebagai golongan yang serba kekurangan. Rasanya yang sedikit kasar selepas dimasak membuatkan ia kurang digemari. Kini, harga beras tempatan telah menyamai harga beras import, hanya kerana pembungkusnya melabelkannya sebagai beras luar negara.
Ketika aku pulang ke kampung hujung tahun lalu, aku mendapati ibu saudaraku memasak nasi menggunakan beras perang. Apakah beliau kini menyedari khasiatnya, atau sekadar tidak mampu lagi membeli beras tempatan yang telah "bertukar wajah" menjadi beras import dengan harga yang lebih mahal?
beras tempatan
citra label bungkusan –
soalan nilai

Tuesday, 4 March 2025

PAHANG DARUL MAKMUR

 ASSALAMUALAIKUM 






PAHANG DARUL MAKMUR

.

Negeri luas saujana indah

Inderapura nama asalnya

dalam sejarah termaktub sudah

.

Laut, sungai, jeram mengairinya

rimba menghijau liputi lembah

bukit dan gunung menunjanginya

.

Pusaka sultan tidak berubah

warisan sejak bersilih zaman

limpah rezeki kian bertambah

.

Kota dan desa lestari aman

rakyat jelata bersukacita

daulat tuanku sultan budiman

.

Sanggup berkongsi limpahan harta

marhaen miskin diberi tanah

boleh bertani sesuai cita

.

Warga tempatan santun berbudi

berteman baru tetaplah sudi

Sunday, 2 March 2025

RAMADAN MUBARAK

 ASSALAMUALAIKUM


PANTUN SIFU TA 
(C)



RAMADAN MUBARAK


Syaaban berlalu Ramadan jelma

menanti tiba musim piama

siap sedia amal ibadah

ganjaran ganda rahmat wahadah

.

Selepas imsak mula puasa

menahan lapar berlalu masa

hari pertama Allah janjikan

durja pendosa reda ampunkan

.

Usus nan kecil rehat sebentar

telah sekian lama berputar

rasa prihatin menusuk kalbu

kenang yang daif hidup berdebu

.

Baca al-Quran khatamkan surah

tafsiran erti panduan arah

solat tarawih amalan malam

cahaya iman sinari kelam

.

Saling memberi hulur sedekah

ukhuwah erat lupa telingkah

lailatulqadar damba hadirnya

beroleh limpah akan rahmat-Nya

Saturday, 1 March 2025

TETAMU MULIA

 ASSALAMUALAIKUM






TETAMU MULIA

(Pancalarik)

.

Esok

hari baru

purnama Ramadan

cahaya gemilang indah

serlah

.

Syukur

hadir lagi

tetamu mulia

bawa rahmat Allah

ganjaran berganda janji

pasti

.

Amal

teguh iman

ujian merintang

sabar hati tegar waja

cekal

,

Niat

tulus ikhlas

puasa Ramadan 

bersungguh-sungguh ibadah

takwa



PARIDAH ISHAK

Desaa Melor Serendah

1/3/2025


MyBloglist