Thursday, 2 July 2026

ULAR MUKJIZAT

 ASSALAMUALAIKUM


ULAR MUKJIZAT


Dalam gambar tersebut, menggambarkan seekor ular besar di tengah dewan istana. Firaun dan para pembesarnya kelihatan terkejut dan ketakutan.
Gambaran ini seolah merujuk kepada mukjizat Nabi Musa a.s. apabila baginda melemparkan tongkatnya lalu dengan izin Allah SWT tongkat itu bertukar menjadi ular yang sebenar dan menelan semua ular tukang sihir. Mukjizat ini berlaku ketika baginda diperintahkan Allah untuk berdakwah kepada firaun yang mengaku dirinya tuhan.
Peristiwa berlaku ketika Nabi Musa a.s dan saudaranya Nabi Harun a.s menemui firaun untuk untuk meyakinkan firaun kekuasaan-Nya dan membebaskan bani Israel daripada perhambaan dan kezalimannya. Mukjizat Nabi Musa a.s membuktikan kekuasaan Allah SWT.
Menurut al-Quran, firaun kemudian mengumpulkan ahli-ahli sihir terbaik untuk menentang Nabi Musa a.s. Mereka melemparkan tali yang disihir seperti ular. Namun apabila Nabi Musa a.s. melemparkan tongkatnya, ular yang terhasil daripada mukjizat Allah itu menelan ular mereka. Setelah menyaksikan mukjizat tersebut, ahli-ahli sihir firaun beriman kepada Allah walaupun diancam hukuman berat.
Secara simboliknya, gambar ini menggambarkan kemenangan kebenaran Allah SWT mengatasi kesombongan, penipuan dan kezaliman manusia. Kisah Nabi Musa a.s. dan firaun merupakan antara kisah yang paling banyak diceritakan dalam al-Quran kerana mengandungi pelbagai pengajaran tentang akidah, keberanian, kesabaran dan keyakinan hanya pada pertolongan Allah SWT.
Kisah ini disebut dalam beberapa surah, antaranya surah al-A'raf, surah Taha, surah asy-Syu'araa’.
Pengajaran daripada kisah ini, kebenaran pasti mengatasi kebatilan. Mukjizat daripada Allah tidak dapat dikalahkan oleh sihir atau tipu daya manusia. Nabi Musa a.s. cekal berdakwah walaupun berhadapan dengan firaun yang zalim dan berkuasa.
Firaun tetap enggan menerima kebenaran kerana keangkuhannya, akhirnya dia dan tenteranya ditenggelamkan di Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa dan pengikutnya.
Apabila kebenaran datang daripada Allah, kebatilan berasas kekuatan kuasa yang hebat sekalipun akhirnya tewas.
Firman Allah SWT dalam surah al-Isra', ayat 81,
"Dan katakanlah: Telah datang kebenaran dan lenyaplah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan itu pasti lenyap."


No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist