ASSALAMUALAIKUM
SUATU SENJA
AQIL HARISS ralit
mengetik papan kekunci komputer. Dia memuat turun permainan kereta
kesukaannya. Mulailah dia menolak cursor
dan mengetik abjad berfungsi dengan permainan perlumbaan kereta itu.
Perhatiannya tertumpu
kepada permainan itu.
“Aqil Hariss!” mamanya
memanggil namanya. Dia tidak menjawab
panggilan mamanya. Terlalu asyik dia memintas kereta dikawal komputer dengan amat laju.
“Aqil Hariss!” Ulang mamanya memanggil namanya.
“Apalah mama tu nak lagi. Kacau aku nak main saja.” Dia merungut
perlahan.
“Apa ma?”
“Tanya pula dia! “ Mamanya menggumam.
“Naik atas cepat. Tolong jaga adik ni. Mama nak solat sekejap.”
“Ariff kan ada. Suruhlah Ariff tu jaga.” Sahutnya pantas membalas.
“Ariff sedang buat kerja sekolah ni. Abang tu main game saja.”
Kedengaran Arif bersuara.
“Naiklah cepat! Mama nak solat ni.” Jerit mamanya justeru dia
menyedari waktu solat asar semakin hendak berakhir.
“Iyalah Aqil naik ni,” sahutnya lemah. Dia berlari menaiki
tangga ke tingkat atas. Rumah yang dihuninya bersama ibu bapa dan adik-adiknya
bertingkat dua jenis semi-D. Di tingkat bawahnya ada ruang tamu, bilik kecil
dan dapur. Sementara di tingkat atasnya ada tiga bilik tidur. Ruang di atas digunakan
dengan keperluan yang ditentukan. Seperti untuk bersolat, belajar dan berehat.
Adiknya Damia Maisara berusia tujuh bulan itu sudah pandai
melonjakkan tubuhya ke mana sahaja untuk mencapai keinginannya. Ariff
sibuk menyiapkan kerja sekolahnya. Aqil Hariss sedang leka mengetik punat
kecil memaparkan permainan
“Pokemon” di telefon tangan kepunyaan mamanya.
Damia Maisara semakin
melonjak jauh. Tangannya sudah diturunkan ke anak tangga. Dia hendak melungsurkan
tubuhnya menuruni tangga yang menghubungkan tingkat atas dengan tingkat bawah.
“Mana adik?” Tanya Ariff menyedari ketiadaan adiknya di situ. Dia
memandang abangnya. Aqil menoleh merata. Tadi dia merasa adiknya itu ada di
sisinya.
“Mana Damia ni?” Dia gelabah, bergegas bangun menuju keluar
bilik. Mungkin dia mengagak adik kecilnya itu sudah melonjak jauh. Dan telah
keluar daripada bilik itu tanpa disedarinya.
Aqil Harris juga mengikutinya. Mereka mulai risaukan keselamatan
Damia. Juga bimbang dimarahi mama jikalau adik mereka ditimpa bahaya.
“Dah sampai sini Damia.”
Ariff segera mendokong
adiknya setelah menemuinya.
“Cepatnya Damia melungsur,” tukas Aqil Hariss.
“Mujur Damia tak jatuh tangga. Kalau Ariff lambat tadi mesti
Damia dah tergolek ke bawah. Abang ni mama suruh jaga adik sekejappun tak
boleh. Kalau adik jatuh tadi, macam mana abang nak jawab dengan mama?” Ariff
memarahi abangnya. Mengecam sikap abangnya
mengambil mudah menjaga adik kecil mereka.
“Adik tak jatuh pun lagi,” tukas Aqil dengan rasa serba
salahnya.
“Eh! Kalau jatuh macam mana? Kalau terlambat sikit mesti dah
jatuh.” Ariff menjawabnya tanpa ragu. Nada suaranya berbaur rasa
marah dengan sikap abangnya yang cuai itu.
“Dahlah! Tak payahlah nak marah abang. Pergilah buat kerja
sekolah kau tu. Damia tak apa-apapun.” Jawab Aqil Hariss sambil lewa seolah
kejadian yang berlaku sebentar tadi tidak perlu dikhuatirkan sangat.
“Habis siapa nak jaga Damia?” Tanya Ariff.
“Abanglah!”
“Boleh percaya ke? Abang tu asyik main game saja.
Kat tingkat bawah main game komputer. Kat tingkat atas main hp
mama atau papa.” Komen Ariff panjang lebar. Ragu pula dia dengan kemampuan
abangnya.
“Habis nak buat apa lagi. Kerja sekolah abang dah buat. Nak main
di luar mama tak bagi. Takut itulah! Takut inilah! ” Aqil Hariss mengatakan
kekesalannya.
“Jagalah adik tu sekejap. Nanti bila petang sikit mama bawalah
kita pergi main di taman. Kan mama cakap rumah kita dalam kawasan bandar banyak
orang jahat. Jadi kita budak kecik ni kenalah hati-hati.”
“Tunggu mama lambatlah. Asyik terkurung saja dalam rumah. Bosan.
Abang nak ikut Aman pergi main bola di taman, mama tak bagi.” Ariff meletakkan
adiknya dalam ribaan abangnya. Dan meneruskan semula kerja sekolah yang perlu
disiapkannya.
“Abang berani ke main di padang tanpa ada orang tua perhati kita? Kan mama cakap kita ni
budak lagi. Orang jahat suka culik untuk ambil organ kita dan
dijual. Tak takut ke? Mesti dengar cakap mama tu.” Ariff mengulangi kata-kata
mamanya kepada mereka selalu.
“Abang tengok Aman tu selalu ke taman main bola tak ada sapa pun
culik dia.” Tegas Aqil Harris. Dia seakan tidak mempercayai kenyataan mamanya
itu.
“Belum kena culik lagi. Harapnya taklah kena culik.” Jawab mamanya.
Mamanya tiba-tiba sudah berada di bilik tempat belajar itu setelah dia menyelesaikan
solatnya.
Sepasang tangan Damia
Maisara sudah mendepa untuk memeluk mamanya. Mamanya segera memautnya dan
mengambilnya daripada ribaan Aqil Hariss.
“Apa yang bising-bising tadi? Sampai mama solat pun tak kusyuk.”
Tanya mamanya. Dia memandang kedua-dua anak lelakinya bersilih ganti.
“Adik tu ma, melungsur nak turun tangga. Mujur Ariff cepat
sampai.” Jawab Ariff.
“Ha! Kamu berdua ni mama harap jaga adik sorang pun tak boleh.”
Puan Sabariah menempelak sikap kedua-dua anak lelakinya itu.
“Bukan salah Ariff ma. Ariff sibuk buat kerja sekolah.”
“Damia tu ma, cepat sangat dia melungsur, sampai Aqil tak sedar
dah jauh perginya.” Beritahu Aqil Hariss pula.
“Ada saja alasannya. Mama bukan tak tahu kamu ralit sangat
main game. Kalau sehari tak main game tak senang duduk kamu.”
Mamanya bersuara dengan nada keras.
Aqil Hariss diam saja
kerana dia menyedari kesilapannya. Mamanya yang garang itu pasti akan bertambah
marah sekiranya dia masih mengatakan apa saja alasannya.
“Dah siap semua kerja sekolahya Ariff?”
“Dah ma.”
“Simpan semua buku dalam beg. Pilih buku ikut jadual pelajaran
sekolah esok. Jangan semua nak bawa, Lepas tu siap. Mama bawa kamu berdua ke taman
permainan. Abang kamu dah tak sabar nak bermain bola. Tadi masa kat sekolah tak
puas lagi agaknya bermain di padang sekolah.”
Puan Sabariah amat memahami kehendak anak-anakya yang masih
dalam peringkat hendak membesar itu. Kegemaran mereka hanya bermain. Seronok sungguh bermain tanpa
memikirkan lain-lain lagi. Beliau cuba untuk memenuhinya semampunya. Di samping
kesibukannya menguruskan keluarganya dan tugasnya sebagai seorang guru.
“Okey ma.”
Aqil Hariss
tersenyum. Amat bersetuju sekali dengan rancangan mamanya.
“Mama nak tukar baju sekejap. Ariff pegang adik ni.” Puan
Sabariah meletakkan anak kecilnya itu ke dalam pangkuan Ariff. Setelah dia
bersiap, segera pula mencapai beg tangan yang dibawanya ke mana-mana sahaja.
“Cepat siap Ariff.”Aqil Hariss mendesak.
“Macamana nak bersiap?
Tak nampak ke Ariff sedang pegang Damia ni. Abang tu dah siap, tolonglah pegang
adik nI kejap. Ariff nak tukar seluar ni dengan seluar trek.”
“Iyalah! Iyalah! Bak sini abang dokong Damia.” Sahut abangnya.
“Abang bawalah Damia turun. Mama dah hidupkan enjin kereta tu.”
Ariff memberi saranan.
“Cepatlah siap. Abang tunggu dalam kereta.” Aqill Hariss
mendokong adiknya menuruni tangga dari tingkat atas. Dia membuka pintu rumah
kemudiannya grill beranda luar.
“Ariff cepatlah!” Laung mamanya.
“Ya Ariff turun ni.”
“Jangan lupa kunci pintu dan semua grill.” Mamanya bersuara
mengingatkan.
Setelah Ariff memasuki
kereta kecil Kancil berwarna biru itu, Puan Sabariah menekan pedal minyak
perlahan dan menggerakkannya ke jalan utama.
Akhirnya sampailah ke destinasi mereka. Kereta itu diberhentikan di pinggir
jalan berhampiran taman permainan itu. Taman diredupi dengan pohon rimbun dilengkapi dengan pelbagai alatan permainan bersesesuaian
untuk kanak-kanak.
“Tengok tu! Aman bukan main leka main bola dengan
kawan-kawannya. Aqill pergi main dengan Aman ya ma. Jom Ariff ikut abang
sekali.”
“Pergilah. Jangan lama sangat main tu. Dah petang sangat ni.
Nanti ajak Aman balik sekali dengan kita.” Kata mama mereka. Aqil
Hariss dan adiknya berlarian mendapatkan Aman dan kawan-kawannya yang sedang
bermain bola. Ariff dan abangnya turut bermain bola bersama mereka.
Puan Sabariah hanya duduk di bangku batu sambil meriba Damia,
memerhati anak-anaknya dan kawan-kawan mereka mengejar bola dan menyepaknya ke
sasarannya.
“Damia jom kita pergi main buaian sambil tengok abang-abang
Damia main bola.” Puan Sabariah mengagah anak kecilnya. Kakinya sedang
melangkah arah buaian yang didirikan berhampiran permainan papan gelongsor.
Beberapa orang budak-budak kecil sedang leka menggelongsor di atasnya.
Kelihatan seorang lelaki
dewasa dan perempuan berada di situ. Puan Sabariah beranggapan mereka adalah
ibu bapa kepada budak-budak itu. Dia sebenarnya tidak mengenali siapa mereka.
Sebab kawasan perumahan sekeling taman permainan itu amat luas dan penghuninya
ramai.
Suasana semakin beransur
senja. Puan Sabariah menggamit anak-anaknya. Ariff dan abang berhenti
bermain setelah menyedari mama mereka mengajak pulang. Kelihatan Aqill Hariss
berkata sesuatu kepada Aman. Setelah itu kedua-dua beradik itu berlarian
mendapatkan mama mereka.
“Kenapa tak ajak Aman balik dengan kita sekali?”
“Dah ajak ma. Katanya nak main lagi.”
“Ariff, Aqil dokong adik ni. Mama nak memandu.” Kereta dipandu Puan Sabariah sudah tiba di hadapan
rumah mereka. Mama Aman menegur Puan Sabariah ramah.
“Tak jumpa Aman di taman permainan tadi?”
“Jumpa. Dah ajak dia balik sekali. Tapi dia tak nak. Katanya nak
main lagi.” Jawab Aqil Harris.
“Hish! Budak tu dah nak senja pun tak balik lagi.”
“Sekejap lagi baliklah tu kot.”
Selesai Puan Sabariah,
suaminya bersolat maghrib, mereka dikejutkan dengan ketukan kuat di pintu.
“Jom temankan saya ke balai polis, buat laporan. Aman hilang.
Puas saya cari di taman tapi tak jumpa. Bila saya tanya kawan-kawannya kata
mereka Aman dah balik menumpang kereta seorang pak cik dan mak cik, mereka pun
tak kenal siapa orang tu. Tapi kata mereka selalu ada di situ masa petang.”
Suami Puan Sabariah
tidak bertanya apa-apa dan terus mengikuti papa Aman menaiki kereta. Puan
Sabariah memandang wajah anak-anaknya seorang demi seorang. Dia mengurut
dadanya dan beristighfar sambil mendoakan anak jirannya itu berjaya ditemui.
Dia terbayangkan wajah seorang lelaki dan perempuan yang berdiri
di tepi tempat permainan papan gelongsor ketika dia berbuai dengan Damia.
Hatinya berombak curiga. Mungkinkah pasangan itu ada kaitan dengan kehilangan
Aman?
Tamat

No comments:
Post a Comment
Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”