Monday, 20 July 2026

PUISI DAN PEMUISI: SATU PENGENALAN (EDISI KEDUA)

 ASSALAMUALAIKUM




PUISI DAN PEMUISI: SATU PENGENALAN (EDISI KEDUA)

Genre: Sastera Rujukan
Penulis: Tabir Alam (Abdullah Abd. Rahman)
Penerbit: Siri Penerbitan Tabir Alam (SPTA)
ISBN: 978-967-2994-65-7
Bilangan halaman: 149
Harga: RM25.00
Tahun terbit: 2026
Pengulas: Paridah Ishak

Puisi dan Pemuisi: Satu Pengenalan (Edisi Kedua) merupakan buku rujukan sastera terbitan Siri Penerbitan Tabir Alam (SPTA). Edisi pertama diterbitkan pada tahun 2019, manakala edisi kedua ini tampil dengan penambahbaikan kandungan yang lebih lengkap dan tersusun bagi memenuhi keperluan pencinta sastera, khususnya peminat puisi.

Buku ini menghimpunkan penerangan tentang 48 genre puisi tradisional dan moden berserta definisi, ciri-ciri serta contoh karya. Disusun oleh Abdullah Abd. Rahman yang menggunakan nama pena Tabir Alam, buku ini memperkenalkan kepelbagaian bentuk puisi Melayu, Nusantara dan dunia dengan bahasa yang mudah difahami. Perbezaan bentuk, gaya dan disiplin setiap genre dihuraikan secara ringkas tetapi padat, menjadikannya sesuai sebagai bahan rujukan untuk pelajar, guru, penulis dan masyarakat umum.

Kandungan buku dibahagikan kepada dua bahagian utama. Bahagian A memuatkan penerangan tentang pelbagai genre puisi seperti akrostik, diamante, dikir, dukotu, endui, ghazal, gita puja, gurindam, haibun, haiga, haiku, ikatan berima, karmina, konkrit, kuatrin, limerick, madah, mantera, masnawi, monolog, nazam, palindrome, pancalarik, pantun, pantun berkait, pantun kanak-kanak, prosa, puisi 517, puisi berima, puisi grid, qit'ah, rejang, rondel, rubai, saduka, sajadah, sajak, sanqu, seloka, senryu, soneta, sonian, sonigraf, Sudoku Puisi, syair, talibun, tanbo, tanka, tautogram, teka-teki, teromba, terset, terza rima, tipografi, trikata dan vilanel.

Sebagai penerbit SPTA dan pentadbir kumpulan penulisan Graha Karya di Facebook, Tabir Alam turut memperkayakan buku ini dengan contoh-contoh puisi daripada penulis lain yang pernah disiarkan dalam beberapa antologi. Antaranya karya Adziah Abd. Aziz (palindrome), Nazim Mohd. Subari (nazam dan gurindam), Noorlaila Ghafar (pancalarik), Norgadis Labuan (ekarima), Jamal A. Majid (puisi berima), Salmah Amir (rondel), Masriyah Misni dan Seti Zaleha (seloka), Russ Asan (sonata), Kamarsinah Sarkam (sonigraf), Gabriel Kim Juan (tautogram), Sri Mawar (tanka), Mahani Mustaffa dan Tadzrin (teka-teki), Syidah Ida (tipografi), Zuraida Dewi (trikata), Iqbal Halim (dukotu), Faiziah Shamsudin (diamante), Raonah Md. Sam (haiga), Bayu Pagi (ikatan berima), Yahti Hayati (karmina), Rina Chundau (kuatrin), CT Nurza (madah) serta Paridah Ishak (haibun). Penyertaan karya-karya ini memberikan gambaran yang lebih jelas tentang aplikasi sebenar setiap genre.

Bahagian B pula memperkenalkan istilah-istilah berkaitan dunia puisi seperti deklamator, pelipur lara, pemantun, pemuisi, pengadi, penyair, penyajak, pujangga, tukang karang dan tukang karut. Pada bahagian akhir buku disediakan bibliografi, senarai rujukan dan singkatan yang memudahkan pembaca membuat rujukan lanjut.

Merujuk Glosari Istilah Kesusasteraan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1988), puisi ditakrifkan sebagai pelbagai bentuk pengucapan berirama yang lahir daripada daya imaginasi dan kepekaan seseorang penulis atau penyair. Selaras dengan itu, Tabir Alam memberikan takrifannya sendiri:

"Puisi ialah pengucapan daripada seorang insan dalam menyampaikan hasrat, perasaan dan pengalaman melalui pilihan genre yang disenangi sebagai medium perhubungan dengan khalayak."

Reka bentuk kulit hadapan dan belakang buku yang didominasi warna hitam melambangkan misteri, seolah-olah menggambarkan bahawa masih ramai pembaca belum mengenali kepelbagaian genre puisi tradisional Melayu, Nusantara dan dunia. Persembahan yang sederhana tetapi kemas menjadikan buku ini menarik untuk dimiliki sebagai bahan rujukan.

Secara keseluruhannya, Puisi dan Pemuisi: Satu Pengenalan (Edisi Kedua) merupakan sebuah buku yang amat bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang ingin mengenali dunia puisi dengan lebih mendalam. Buku ini bukan sahaja memperkenalkan pelbagai genre puisi, malah menjelaskan bentuk, ciri dan contoh penggunaannya secara sistematik. Diharapkan penerbitan ini dapat menjadi rujukan penting dalam bidang kesusasteraan Melayu, di samping mencetuskan inspirasi kepada para penulis untuk terus berkarya dan bereksperimen dengan pelbagai genre puisi tanpa jemu mencari ilham.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist