Monday, 6 April 2026

KONFLIK KASIH

 ASSALAMUALAIKUM


Salam Senayan hari Cemuras,
moga rezeki mengalir deras.
Alhamdulillillah terima kasih banyak Tn Editor Suara Sarawak ...sudi terbitkan certot KONFLIK KASIH karya PI pada Ahad 5 April 2026.
Tahniah Editor, dik Rozeline Vitalis n semua penulis disiar karyanya.
Pic grup TINTA KARYA (c)


KONFLIK KASIH

 

"Tak malukah kerja di situ?" Tutur suaminya sinis. Dia terkedu. Memang dia memahami maksud kata-kata sinis suaminya.  Benarlah kakitangan di pejabat sebuah agensi kerajaan itu semuanya lelaki. Cuma dia  seorang perempuan sebagai pembantu tadbir. Namun niatnya ikhlas sekadar mencari rezeki yang halal untuk menambah pendapatan menyara kehidupan mereka berdua. Lagipun mereka baharu saja mendirikan rumah-tangga. Masih lagi dalam proses mengenali hati budi masing-masing sebagai pasangan suami-isteri. .

          Justeru  dia seorang perempuan berwajah jelita bak sekuntum mawar yang menyeri ruang pejabat tentulah dia dilayan sebaiknya. Lantaran dia baru saja bertugas di situ tiada siapa mengetahui sesuatu tentang dirinya. Dia bergaul mesra sambil menjaga batasnya. Sopan  santun, berbudi bahasa dengan siapa sahaja di situ yang menyapanya. Sehingga  seorang pegawai dalam jabatan itu berkira-kira hendak menjodohkannya dengan seorang pegawai luar di situ yang pendiam dan berperawakan sederhana.


          "Betul ke awak mahu kalau saya kirakan dengan Sani?" Tanya Darwis. Mereka bersembang berdua berhadapan ketika sedang berjeda. Dia terkejut mendengarnya. Termangu-mangu. Memandang tajam wajah Darwis.

‘Kau tak tahukah aku sudah berkahwin Darwis?” Juita bermonolog. Terkedu seketika. Dia merenung skrin computer. Terbayang wajah Sani di matanya. Pada firasatnya lelaki itu berperibadi mulia. Amat baik tingkah lakunya. Tapi selama ini mereka tidak pernah pula saling menyapa.

          "Boleh saja," balasnya selamba. Tanpa ada rasa bersalah kerana telah menyimpan rahsia tentang status dirinya. Dia sekadar melayan borak Darwis sahaja mengisi luang waktu. Tanpa merasa perlu mengambil berat berkenaan itu.
          'Kesian kau Darwis, kau tak tahu aku dah nikah.' Monolognya bersambung. Dia tidak berniat menipu Darwis yang nyata polos dan tulus.
Memang tidak ada di antara rakan-rakan sepejabatnya yang tahu dia telah bernikah.
          'Jodohku boleh jadi sudah sedemikian suratannya.' Desis suara atmanya dalam diam. Dia menikah dengan suaminya secara tergesa-gesa kerana suaminya hendak mengikat hubungan jodoh sebelum membenarkannya bertugas di tempat baharu. Monolognya  lemah bersandar kepada takdir hidup. Namun langsung dia tidak menyesalinya. Mengakhiri tempoh bertunang dengan perkahwinan, itulah matlamatnya.

          ‘Agaknya apa perasaan Sani terhadapku sekiranya dia tahu status diriku. Mungkin juga marah terlalu kerana telah tertipu dengan penampilanku sebagai gadis. Tentu merasa malu kerana secara tidak sengaja telah menyimpan perasaan terhadap isteri orang.' Dia termenung memikirkan kesalahannya dan akibahnya.

          'Ah!Tak perlu aku nak fikir semua itu. Lagipun aku dah tak ke sini lagi. Selamat tinggal Sani, Darwis dan semua di sini. Lupakanlah aku Sani. Kau lelaki baik, sempurna. Jodohmu bukan denganku.' Juita berfikir mudah.
          Begitulah perancangannya. Esok dia tidak akan ke sini lagi kerana telahpun menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada pengurus sumber manusia bahagian perjawatan  sebagaimana yang diarahkan suaminya. Sebagai isteri setia dan amat cinta pada suaminya dia akur akan apa saja kemahuannya.

Dia reda saja sendirian di rumah melayani sunyi menunggu suaminya kembali setelah selesai tugasnya di pejabat.

“Rupanya kau dah kahwin ya? Kenapalah kau tak cerita pada aku? Maafkan aku kerana ingin jodohkan kau dengan Sani. Aku tengok kau baik budi bahasanya. Dan aku rasa kau sangat sesuai dengan Sani. Lagipun aku tahu Sani amat sukakan kau.” Darwis menyatakan kekesalannya lantaran kesilapan yang tidak di sengajakannya tika bertemu dalam satu majlis rumah terbuka hari raya turut dihadiri Juita dan suaminya.

“Sani sudah berkahwinkah?” Tanya Juita lirih.

“Belum lagi. Tapi aku melihat potret wajahmu masih tersimpan menghias meja kerjanya.” Juita sebak. Hatinya terharu, bercampur rasa bersalah yang sukar ditafsirkan.

 

 



1 comment:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist