ASSALAMUALAIKUM
CORETAN ADILA: Russilawati
Nama Pena: Russ Assan
Alamat: 5B, Rumah Awam Sungai Selisek
44020 Kuala Kubu Baharu, Selangor
No. Tel:
AIDILFITRI DULU
DAN KINI
Aku menggenggam
enam butir ubat selepas makan malam, merenungnya tajam. Seolah renunganku
menembusi meja hingga ke bawahnya. Lalu menelannya satu persatu dengan penuh
tertib. Begitulah setiaku pada ubat-ubatan demi kesinambungan hayat. Namun,
kesetiaan itu seakan tidak berbalas, daripada kolesterol tinggi, bertambah pula
darah tinggi, dan kini kencing manis. Terpaksalah mengawalnya agar tidak
membawa mudarat. Dan menyusahkan kehidupanku.
Orang kata,
jangan terlalu membiarkan diri dibelenggu stres kerana ia mengundang pelbagai
penyakit. Entahlah. Tiada siapa yang menginginkan sakit. Setiap kali selepas
solat, aku pasti berdoa, berbicara dengan Allah agar dikurniakan kehidupan yang
baik, diangkat segala penyakit, dijauhkan daripada pelbagai masalah, bukan
hanya untuk diriku, malah untuk anak-anakku, suamiku, adik-beradik, jiran
tetangga, sahabat handai, saudara mara, serta seluruh umat Islam di dunia ini.
Aku akhiri doa dengan penuh harap, Aamin ya Rabbal ‘Alamin.
Meniti
kehidupan dengan rutin yang tidak pernah berpenghujung, kadangkala aku terlupa bahawa
Ramadan kian menghampiri. Bulan mulia
penuh keberkatan. Rugi jika kehadirannya diabaikan. Seboleh-bolehnya akan
beribadah sebanyak-banyaknya. Menjadi bekalan dibawa menghada-Nya kelak.
Rasa
sayu menyelinap dalam ingatan; lebaran tiba bersilih ganti, dan aku bersyukur
Allah masih mengizinkanku bertemu Ramadan yang seterusnya kerana Dia telah
memanjangkan usiaku. Alhamdulillah. Rahmat-Nya tiada satu mampu kunafikan.
Jam di dinding
menunjukkan pukul empat pagi. Nasi semalam masih berbaki, gulai tempoyak patin
tinggal seketul, cukup untuk kami bersahur bertiga. Nanti ditambah telur dadar,
bisik hatiku. Begitulah gambaran yang terbayang, ragam berpuasa tahun-tahun
lalu. Akulah yang menyediakan sahur, mengejutkan anak-anak kecil dengan penuh
kasih.
Masih jelas
keletah mereka di ingatan. Anak lelakiku, Arshad, ketika itu berusia tujuh
tahun, mula berkeluh kesah,
“Mak… kuih dalam peti ais tadi ada empat ketul, kenapa tinggal dua?” Aku hanya
tersenyum. Anakku itu meluahkan kemusykilannya.
Dia memang suka bertanya. Sebagai ibu, aku menjawab seadanya agar tidak
menimbulkan keraguan. Kini, Arshad sudah kembali ke rahmatullah pada usia 24
tahun. Kenangan itu mengusik jiwa, meruntun hati, apatah lagi saat Ramadan
menjelang. Air mata bergenang dan menitis di pipi, itulah kenangan yang harus
kuhadapi jua.
Kini, anak-anak
sudah dewasa. Bab bersahur mereka ambil mudah. Cukup sekadar minum air kosong. Sangat berbeza
dengan dahulu, dan usiaku juga sudah melangkah ke alam warga emas. Dulu, hari
pertama puasa kami sekeluarga pasti berada di kampung ibuku untuk bersahur dan
berbuka puasa bersama-sama. Kini tidak lagi. Ibu tinggal bersama anak-anaknya
secara bergilir. Ibu tidak lagi tinggal di rumah pusaka. Semua adik-beradik
mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan ibu tercinta.
Menjelang
Syawal, kami tetap pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama ibu.
Membakar lemang, menyediakan ketupat dan merendang ayam kampung sekawah dengan
dapur kayu, itulah kenangan paling bahagia. Sehari sebelum Aidilfitri, kami
bergotong-royong, riuh dengan suara anak-anak, adik-beradik, sepupu sepapat.
Namun zaman berubah; yang tinggal kini hanyalah kenangan. Tenaga tidak lagi
sekuat dahulu. Anak-anak pula sibuk dengan urusan dan keluarga masing-masing.
Hujan lebat di
luar seolah-olah turut berkongsi duka di hatiku. Segalanya terimbau dalam layar
kenangan. Antaranya tentang juadah menu hari raya. Juadah raya zaman kini sudah
moden. Semuanya di hujung jari, kata
orang kuih “tunjuk-tunjuk”. Alangkah berbezanya dengan zaman dahulu. Lima puluh
tahun lalu, setiap kali menjelang Syawal, ibu pasti membuat kuih bahulu,
dibakar dengan api kayu, tempurung dan sabut kelapa. Jika tidak menangis,
bukanlah membuat bahulu. Asap sabut
membuat mata pedih dan hidung berair. Bahulu dibuat berkilogram, disimpan dalam
tin atau tong biskut.
Aku turut
membantu membakar bahulu. Yang hangus itulah upahku, manakala yang elok
disimpan untuk tetamu. Rempeyek kacang dan tumpi buatan ibu paling sedap.
Ayahku, Apak, sering memuji,
“Terasa ketumbar, jintan manis, santan dan garamnya cukup,”
ibu tersenyum lebar mendengarnya. Hati ibu pasti amat gembira, aku mengagaknya.
Entah mengapa,
segala kepandaian ibu tidak turun kepadaku, sebaliknya kepada kakak-kakakku.
Kata mereka, aku ini pandai makan sahaja. Aku hanya tersenyum dan bersabar. Aku
sekadar pandai membuat kerepek pisang. Mudah bahannya, pisang tua, minyak dan pisau hiris.
Mahu masin, ditambah air garam; mahu manis, air gula ketika menggoreng. Siap
sudah kerjaku.
Mengacau dodol
dan membakar lemang ialah tugas anak-anak lelaki. Menangkap ayam pula tugas
Apak bersama anak-anak lelaki, riuh rendah suasananya. Kami yang perempuan
membantu membersihkan ayam; selepas disembelih, bulu dicabut dan dibakar untuk
membuang bulu halus sebelum dipotong kecil. Setelah itu dimasak rending dan
pelbagai menu hari raya.
Ibu pula ligat
menganyam sarung ketupat daripada daun kelapa untuk ketupat nasi dan ketupat
pulut. Ibu serba boleh; baju raya kami dijahitnya sendiri, ada yang dijahit
tangan, ada dengan mesin kayuh kaki. Langsir rumah juga ibu jahit, dan kamilah
yang memasangnya. Selagi belum siap, selagi itulah tidak boleh tidur awal.
Malam tujuh likur,
kanak-kanak bermain meriam buluh; semakin banyak belerang, semakin kuat
dentumannya. Tidak ketinggalan juga anak-anak kecil bermain bunga api. Pelita
minyak tanah diganti pelita buluh, menerangi desa sepanjang jalan. Jemaah
masjid pulang dari tarawih saling bersalaman dan memberi salam. Sapa-menyapa
antaranya dengan mesra.
Anak-anak
bermain hingga ke hujung kampung. Riang sungguh mereka.
“Balik semua… malam dah larut!” jerit tok imam. Suara Tok Imam mengejutkan
keasyikan mereka. Anak-anak itu pun segera berlari pulang ke rumah
masing-masing.
Keesokan pagi, para ibu bergosip di pasar, “Cuaca hari ini panas tapi sepoi,
mungkin malam tadi Lailatulqadar.” Masing-masing tentu mendoakan beroleh rahmat
ganjaran pahala berganda telah beribadah pada malam itu. Akupun mengharapkan
telah menemui malam Lailatulqadar selama aku berpuasa Ramadan semasa hidupku.
Ibuku seorang
yang cantik dan gigih bekerja. Menjelang puasa dan raya tiasa ligat sediakan
itu ini. Kini beliau semakin uzur. Baru-baru ini, ibu dijangkiti kuman di
paru-paru. Walau nampak sihat, pergerakannya terbatas. Ibu cepat penat dan
semakin pelupa. Penglihatannya kabur, namun beliau tetap membaca al-Quran dan
mengkhatamkannya setiap bulan. Puasa sunat Isnin dan Khamis tidak pernah
ditinggalkan, begitu juga solat malam. Ibu sentiasa tersenyum; aku pun
tersenyum. Bila ibu menangis, aku turut menangis.
Ibu gemar
bercerita tentang zaman kecil dan gadisnya ketika perang Jepun. Aku berada di
samping ibu, mendengarnya dengan asyik.
Kata ibu, jika tentera Jepun datang, orang perempuan semua lari masuk
rumah kerana takut ditangkap. Mereka sukakan gadis-gadis Melayu ketika itu.
Terpaksa ibuku dan kawan-kawannya berlarian menyelamatkan diri. Dan
bersembunyi.
Sambutan
Aidilfitri tahun ini mungkin berbeza. Ibu semakin uzur. Ketika terlantar di
wad, ibu menyuarakan hasrat untuk berhari raya di homestay agar anak-anak dan
cucu dapat berkumpul. Kami cuba menyatukan sembilan orang anak ibu, walau
terasa berat kerana masing-masing ada tanggungjawab. Dan mungkin juga sudah ada
perancangan sendiri bersama keluarga masing-masing.
Aku pula
seperti tahun lalu akan menziarahi pusara Apak dan anakku, Arshad. Dan mereka
yang telah pergi mendahuluiku. Aku terpempan, menangis teresak-esak sambil
membaca surah Yasin kerana terlalu rindu. Kini aku reda dan berdamai dengan
takdir. Pergi yang tidak akan kembali.
Al-Fatihah.
Lagu Pilihan:
- Mawar Putih Untuk Mama – Dato’ Sharifah Aini
- Hati Rindu – Sudirman
- Kepulangan Yang Dinanti – Aman Shah

sostalgia raya dulu tu kuat sgt… buat kita hargai apa yg masih ada skrg...
ReplyDelete*nostalgia
Delete