Friday, 3 April 2026

ADI ZAMAN

 ASSALAMUALAIKUM


 

.

Adi  Zaman lalu denai hidup

pancaroba hadap silih ganti

bahang panasnya cuaca redup

pahit getirnya menyulam erti

.

Allah  kurnia nikmat usia

berkat rezeki doa ibadat

wujud ternyata sarat rahsia

merungkai padu terlalu padat

.

Lari  masa tinggal jauh kenang

tulis puisi riwayat langkah

selak membaca tangis berlinang

binaan cinta semakin rekah

.

Masih  berdiri jua di sini

berjejak tapak meskipun runsing

gemala minda jiwa kersani

terbiar lesu kian terasing

.

Tokoh  nusa itu hanya satu

menghela nafas meniti saat

hadir suatu Allah penentu

dengan makrifat raih manfaat

 

MANTERA SIHIR

.

Jampi  mantera pawana sihir

hembus ruangan dunia fana

luasa fitnah curiga zahir

nawaitu hitam panah laksana

.

Berdendang  lagu lunak suara

perdaya makna hasrat terlukis

sembunyi balik susun aksara

tafsiran benar kian terhakis

.

Mengocak  damai cipta akibah

menyisih pandang arah utama

cetus sengketa derita gubah

terkedu kata gejolak atma

.

Kekejamannya normalisasi

mendera wujud nafas bernyawa

mencemar aman memagar sisi

lakar derita korbankan jiwa 

 

HAKIKAT SEBENAR

.

Jelas  hakikat wajib percaya

kebenarannya nyata terserlah

patung bergerak berbagai gaya

pemain pakar ligat mengolah

.

Di  mana-mana telah berada

jarah selamba jajah fikiran

menguasainya lingkar persada

menuju tentu pasti sasaran

.

Bebas  merdeka nusa berdaulat

semata-mata sekadar nama

tafsirkan erti terkulat-kulat

kusut simpulan selama-lama

.

Masih  merasa terlalu kerdil

dipergunakan biar sahaja

padam sinaran cahaya kandil

gelap gelita susah mengeja

.

Diulit  harta mewah segala

hindar sengsara daif membelit

ikut mahunya arus sehala

hendak menongkah teramat sulit



No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist