PKP
Damia Maisara baru
berusia lima tahun, seorang anak kecil yang diberi sepenuh kasih sayang tidak berbelah bahagi mama, ayahnya dan
abang-abangnya. Maklum Damia anak bongsu dalam keluaraga. tingkahnya yang
keletah manja dan wajah comelnya sentiasa diberi perhatian.
Setiap kehendaknya
tidak pernah dihampakan. Sekiranya mama dan ayahnya sengaja tidak mahu menuruti
kehendaknya, menangislah dia seharian. Senjata emosi itu memang selalu
digunakan dengan bijak untuk menewaskan
jiwa yang tegar dan degil.
Tangisannya yang mendayu-dayu itu menyentuh rasa dan
ingin segera dihentikan. Bukan susah sangatpun caranya. Cuma dia ingin ke kedai
membeli apa yang dimahukannya. Tapi kerana PKP, Damia tidak menangis kerana
hendak ke kedai lagi. Cepat pula minda kecilnya menyerap info yang disiarkan
TV.
Mama dan ayahnya akan meminta anak-anaknya berkumpul depan TV mendengar
siaran berita terkini berkenaan wabak COVID-19 yang menular dan langkah
pencegahan yang perlu diambil. Tidak boleh lagi hendak keluar kemana-mana sesuka
hati.
Damia rajin mengikuti mama,
ayahnya dan abang-abangnya bersolat jemaah, berdoa selalu, mengaji, melukis apa
saja. Kadangkala mengganggu ayah dan mamanya memasak di dapur.
Ternyata PKP menghentikan
tangisan Damia. Aman suasana. Harapan semua semoga wabak ini segera berakhir. Dan
kegiatan rutin yang benar dapat diteruskan seperti biasa.