Thursday, 19 March 2020

SURAH 56: AL WAQIAH. Ayat 63 - 74 -.75 - 82.

ASSALAMUALAIKUM
PERKONGSIAN ILMU: SAMBUNGAN TAFSIR SURAH 56: AL WAQIAH (KIAMAT) Ayat : 75 - 82.


Syukur Alhamdulillah dalam keadaan perintah menghadkan pergerakan. Aku masih dapat meneruskan perkongsian ilmu tafsir di rumah.
Rutin cuti sekolah, ramai anak2, menantu2 dan cucu2 balik ke rumah. Full house! Mereka balik sebelum keluar arahan menghadkan pergerakan.
Sejak maghrib, kami telah berkumpul di ruang solat. Suamiku mengimami solat kami. Sejak arahan larangan solat berjemaah di surau dan masjid, suamiku tidak ke masjid.
Selesai solat maghrib, Afyan anak sulungku memimpin bacaan surah al Waqiah secara bertalaqqi.
"Ayat 75: Allah SWT bersumpah dengan tempat beredarnya bintang2." Aku memulakan tafsir.
"Apabila Allah SWT bersumpah, menunjukkan selepas itu ada perkara penting yang hendak disampaikan. Dengan bersumpah akan menarik perhatian pembaca dan pendengar Al Quran."
"Ayat 76: Sumpah itu sangat besar ertinya kerana kebesaran Allah yang mengucapkan sumpah."
"Objek sumpah ialah bintang2 di langit tinggi yang indah dan hebat. Manusia di bumi, rendah dan kerdil."
"Ayat 77: Perkara penting yang Allah SWT hendak sampaikan adalah al Quran yang mulia."
"Al Quran tetap menyampaikan kebenaran dan petunjuk jalan yang lurus. Sebagaimana bintang2 menjadi panduan kepada musafir dalam kegelapan malam."
"Al Quran bukan sekadar belajar membacanya sahaja, tetapi perlu difahami maksudnya. Seperti kita belajar tafsir malam ini."
"Alhamdulillah." Fazli suami Amla bersuara.
"Ayat 78: Al Quran terpelihara di Lauh Mahfuz di langit ketujuh. Allah turunkan al Quran ke langit dunia pada malam Qadr."
"Kemudian dari langit dunia, al Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw sedikit demi sedikit."
"Siapa yang sampaikan Al Quran kepada Rasulullah?"
"Malaikat Jibril." Anak2 dan menantu2ku serentak menjawab.
"Berapa tahun Al Quran atau Wahyu turun kepada Nabi Muhammad saw?"
Senyap. Tiada siapa yang menjawab. Sehingga aku mengulangi soalan.
"23 tahun..!" Balqis anak sulung Afyan menjawab penuh yakin.
"Ya betul..!" Aku membenarkan.
Beberapa orang bertepuk tangan.
"Wah...Hebat Balqis!" Beberapa suara memuji.
"Nabi Muhammad saw menerima wahyu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah." Aku menjelaskan.
"Ayat 79: Ketika berada di langit, al Quran tidak disentuh kecuali oleh makhluk yang suci, iaitu para malaikat."
"Ayat 80: Allah SWT menegaskan; al Quran diturunkan daripada Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Ayat ini menafikan tuduhan2 orang2 kafir yang menyatakan ayat2 al Quran adalah syair dan ayat2 sihir serta perdukunan yang direka oleh Nabi Muhammad saw.".
"Ayat 81: Allah SWT tegur golongan yang ingkar, meremehkan al Quran."
"Ayat 82: Allah meneruskan teguran kepada manusia; Kamu telah menggantikan rezeki yang Allah SWT beri iaitu al Quran dengan mendustakannya. Sepatutnya kalian bersyukur."
Syukur Alhamdulillah, kita dikurniakan rezeki terindah daripada Allah SWT, iaitu al Quran.

PERKONGSIAN ILMU. SAMBUNGAN SURAH 56: AL WAQIAH. Ayat 63 - 74.
"Ayat 63: Allah SWT tanya tentang rezeki pula. Tidakkah kamu wahai hamba, melihat apa yang kamu tanam?" Aku menyambung tafsir.
"Contoh, Hanna, Kak Dah, Kak Non rajin tanam pokok bunga. Bijih benih memang kita yang letak dalam tanah. Tapi lepas tu bagaimana?"
"Ayat 64: Allah SWT tanya; Kamukah yang menumbuhkan pokok itu, atau KAMI yang menumbuh kan?"
"Siapa yang menumbuh kan pokok2 bunga yang kita tanam?"
"Allah..!" Mereka menjawab serentak.
"Jadi Allah SWT yang beri kesuburan kepada tanaman itu. Petani2 tanam padi, dari padi jadi beras. Kita makan nasi untuk kelangsungan hidup."
"Oleh itu kita sembah dan seru hanya kepada Allah SWT sahaja. Inilah tauhid."
"Ayat ini juga memberi isyarat, tentang kehidupan semula. Sebagaimana benih yang ditanam akan keluar sebagai tumbuhan. Manusia yang mati, ditanam dalam tanah akan keluar hidup semula di akhirat nanti."
"Ayat 65:Kesuburan tanah bergantung kepada Allah SWT. Jika Allah kehendaki, pokok2 yang kita tanam rosak."
"Contoh tanaman padi diserang tikus atau belalang. Padi rosak, tiada hasil. Petani2 hairan, mereka lupa itu adalah ujian. Banyakkan berdoa supaya Allah SWT beri rezeki kepada kita."
"Ayat 66: Petani2 mengeluh menanggung kerugian kerana tanaman rosak."
"Ayat 67: Para petani pasti hampa, kecewa kerana tidak dapat hasil."
"Betul tak kita sedih kalau tanaman kita rosak?"
"Ya, Cikngah. Kalau padi kita tanam rosak, kurang hasil memang sedih. Tapi redha jer." Puan Nurliha, yang mencari rezeki bersawah di kampung kami menjawab soalanku.
"Ayat 68: Dalil ketiga. Allah SWT bertanya lagi. Tidakkah kamu lihat air yang kamu minum?"
"Ayat 69: Allah tanya lagi tentang air ini. Kamukah wahai manusia yang menurunkan hujan, atau KAMI yang menurunkan?"
Aku bertanya sambil memegang botol mineral yang mengandungi air. "Siapa yang beri air ini kepada kita?"
"Allah..!" Jawab mereka.
"Ayat 70: Allah SWT menjelaskan, jika KAMI kehendaki, nescaya KAMI jadikan air hujan itu masin. Allah SWT menggunakan perkataan KAMI untuk menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya."
"Kalaulah air masin, kita tak boleh minum. Cuba bayangkan kita masak air laut yang masin, kemudian buat air kopi, teh tarik ke..."
"Ha...ha...!" Mereka ketawa.
Aku sengaja bergurau kerana ada yang mengantuk. Biasalahkan petang2 begini. He..he..
"Di Mina, air laut disuling untuk menghasilkan air tawar. Untuk kegunaan jemaah haji." Puan Ruzie Hanna melontarkan pandangan.
"Ya betul. Teknologi moden, penyulingan air yang memerlukan kos yang tinggi. Mahal belanja." Aku menjelaskan.
"Dalam ayat ini Allah SWT memberi peringatan supaya kita bersyukur. Jadi kita bersyukur, di negara kita air hujan banyak."
"Bersyukur bukan sekadar menyebut Alhamdulillah kerana dapat rezeki, tetapi mestilah taat kepada-NYA. Kita datang majlis ilmu inipun tanda kita bersyukur."
"Alhamdulillah..." Beberapa suara mengucap syukur.
"Ayat 71: Dalil keempat: Allah SWT tanya lagi; Tidakkah kamu melihat api yang kamu nyalakan?"
"Orang2 zaman dahulu untuk nyalakan api, mereka gesek dua kayu. Sekarang ada mancis diperbuat daripada pokok kayu yang telah mati. Allah mudahkan untuk kita nyalakan api."
"Ayat 72: Allah SWT terus bertanya; Kamukah yang menumbuhkan pokok atau KAMIkah yang menumbuhkannya?"
"Nak jawab apa, pertanyaan Allah ni?" Aku melontar soalan.
"Allah yang menumbuhkan pokok." Jawab Puan Maimunah.
"Ayat 73: Allah SWT menjelaskan, api itu sebagai peringatan tentang adanya api yang lebih besar di akhirat nanti. Iaitu api neraka."
"Ayat ini juga menjelaskan, api sangat berguna kepada musafir."
"Orang2 Arab biasanya bermusafir di padang pasir waktu malam kerana siang panas. Mereka membawa barang dagangan. Api sangat penting dalam perjalanan malam. Selain untuk memasak, api untuk memanaskan badan dan menghalau serangga atau binatang buas."
"Ayat 74: Merupakan DAKWA SURAH, iaitu tema atau isi penting. Setelah kita mengetahui Allah SWT yang berkuasa, maka Allah kata; Bertasbihlah kamu, dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar."
"Bertasbih ini, membawa maksud kita hendaklah mengerjakan solat, membaca al Quran dan lidah kita sentiasa berzikir."
Ini merupakan kelas terakhir sebelum pihak kerajaan mengeluarkan arahan tunda semua program di masjid dan surau. Sebagai langkah membendung penyebaran virus corona.




You and 30 others

3 Comments

6 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist