Thursday, 8 January 2026

DARA PINGITAN

 ASSALAMUALAIKUM


DARA PINGITAN

 


pic google images (c)

Bukan kali pertama dia ke sini. Sudah berulang kali. Sehingga tidak terkira jumlahnya. Namun tidak pernah dia merasa jemu mengulanginya. Pantang ada kesempatan dia pasti berada di sini.

Dia duduk di birai titi. Alur sungai di bawahnya. Air mengalir tenang melepasi batu kecil dan besar yang tidak sekata bentuknya juga pelbagai halangannya.

Jiwanya  terasa damai.


Duduk di sini, berselesa, bersenang-senang, memang kesukaannya. Sewaktu dirinya masih kecil dahulu, dia  bersama rakan sebaya akan duduk sebaris di titi.

Sepasang kakinya  dijatuhkan ke dalam air, mengocaknya riang sambil bercerita apa saja yang terlintas di komputer minda.


Di sebelahnya kadang-kadang ada Latipah yang menemani. Suria juga sering bersamanya. Hanya dua gadis sunti itu bersilih ganti menemaninya. Jarang sekali mereka kelihatan bertiga.

 

          Dia tersenyum sendiri. Nostalgia era itu telah lama berlepas. Meninggalkannya. Di sinilah, tempat dia sedang duduk ini, mata kail yang diikat pada tali tangsi di hujung bok batang buluh kuning yang panjang, lurus dan runcing sentiasa mengait ikan puyu, keli, haruan, sebarau, baung. Pancingan yang tidak mengecewakannya. Ada saja rezeki untuknya.


Kala sudah jemu memancing, berdebur pula terjun ke sungai. Mandi-manda dengan hilai tawa menggema. Gembira sungguh. Bukan berpanjangan rasa gembiranya.    

Pabila sampai di rumah dengan pakaiannya basah melencun, melekap di badan, tengking herdik akan riuh bergemuruh, laksana bertih digoreng berhamburan keluar daripada mulut Neneknya.


“Anak dara tidak tahu malu. Kata nak pergi memancing ikan. Ini pula yang dibuatnya. Tak tau malukah mandi di sungai? Di situ tempat orang lalu lalang. Awak tu sudah besar. Anak dara sunti. Tidak manis dipandang orang,” leter Neneknya bertemali tidak putus. Dahinya  berkerut. Wajahnya mencuka.


Perit telinganya mendengar Neneknya mengomel tidak habis-habis. Malu menyerkup wajah. Lebih terhiris hatinya kala sepupu-sepupunya mengerling sinis dengan ekor mata. Tapi tidak berkata apa-apa untuk menyanggah  bahasa tajam neneknya bak pedang memancung kalbunya. Selain dari turut mengunyah bersamanya. Berusaha pula menghadamkan frasa bermaksud baik tetapi disulami dengan semburan hempedu menyalut rasa pahitnya.


Sikap Neneknya menjengkelkannya. Garangnya umpama singa beranak kecil. Pantang diganggu. Begitu menurut firasat Sita yang dipengaruhi emosi marahnya kerana kesilapannya ditegur.

‘Aku bukan dara pingitan. Hanya terperuk sudut dapur.’ Dia mendengus geram dalam diam.


Selama hidupnya, dia tidak pernah mendengar emaknya berkata begitu kasar padanya. Sentiasa berlemah lembut menyenangkan jiwanya. Hatinya menolak keras bahasa Neneknya itu.

Dia ke sini semata hendak menghabiskan cuti persekolahannya. Bukannya hendak mendengar leteran Neneknya. Sekalipun ternyata benar dia bersalah namun hatinya  perih terluka.


Setahun dua lalu, dia langsung tidak kisah walau dimarahi sekeras mana sekalipun oleh Neneknya. Apatah lagi kerana mandi-manda di sungai. Kegiatan kegemarannya, tetap juga diteruskan. Degilnya dia. Ketegar sungguh kata Neneknya.


Entah kenapa pula mutakhir ini jiwanya mudah tersentuh pabila dicuit ungkapan kasar walau sepatah. Mungkin kerana usianya  menginjak awal remaja mempengaruhinya. Zaman  yang membenarkannya bermain-main semata telah meninggalkannya.


Pagi itu sedang Neneknya menoreh di kebun getah, dia sudah berkemas hendak pulang ke rumahnya. Angah, emak saudaranya dan sepupu-sepupunya mengikut Neneknya ke kebun getah. Mengais sedikit rezeki untuk hari ini dan akan diteruskan  keesokannya demi kelangsungan hidup.


Keberadaannya di situ seolah tidak dipedulikan. Dia terasa disisihkan. Apalagi setelah dimarahi Neneknya semalam. Tegar  keputusan diambilnya. Tiada  kompromi lagi. Mungkin anggapannya, Nenek tidak sayang padanya lagi.

Lapang rasa dadanya kala sudah berada dalam bas menuju destinasinya.


          “Tak boleh tengok orang senang sikit!” getus hati kecilnya  menggumam geram.

          “Tak ingin aku nak ke sini lagi.” Dia menunaikan niatnya. Setiap kali cuti sekolah menjelang, dia tidak akan menjenguk Neneknya. Walaupun diajak Emaknya berkali-kali.

“Nenek, Angah dan sepupu-sepupu Adik selalu tanyakan Adik.”


          “Pergilah Mak. Adik banyak kerja sekolah nak kena buat.” Alasannya selalu begitulah. Dia membahasakan dirinya adik kerana emak, ayah, abangnya memanggilnya adik justeru dia anak emak dan ayahnya yang bongsu.


Namun jauh di sudut hatinya, dia terkenang-kenang keseronokan memancing ikan di sungai yang jernih dan kelihatan hampir semua isi yang ada di dasarnya. Dia rindukan Neneknya, Angah, sepupu-sepupu dan kawan-kawannya. ‘ Apakah khabar Latipah? Tertunaikah hajatnya hendak bersekolah pilihannya di bandar setelah tamat tahun enam?


Comel Suria itu ke mana pula agaknya? Angan-angannya hendak ke sekolah tahfiz kerana ramai saudara-maranya berpendidikan begitu. Dan ramai yang telah bergelar ustaz atau ustazah.Tercapaikah hasrat Comel Suria itu? Dia tertanya-tanya khabar kawan-kawan sepermainannya sudah lama tidak ditemuinya.


‘Bagaimana pula dengan aku?’ Dia bertanya dirinya. Dia tidak  mencapai apa-apa keputusan lagi. Sita bukan Latipah atau Comel Suria. Sita hanya akan bersekolah menengah di pekan. Dekat. Rumah keluanganya pun terletak di pinggir pekan itu. Ke situlah dia nanti, menimba ilmu, bekalan dunia menuju akhirat.


Emaknya tidak pernah bertanya tentang persekolahannya. Pandaikah? Tololkah? Hanya dia menilainya. Abang-abangnya pun tidak pernah bertanya. Sekian tahun bersekolah, begitulah situasinya. Dia menguruskan dirinya sendiri sebagai seorang pelajar.


Akan ke sekolah setiap hari menurut jadualnya. Mengikuti pembelajaran dan program anjuran sekolahnya dengan taat.

Walaupun emaknya hanya tahu membaca jawi dan ayahnya buta huruf tetapi dia berjaya ke tingkatan enam dan boleh meneruskan pengajian ke universiti jika dia mahu.


Dia memperolehi empat prinsipal dalam peperiksaan STPM. Keputusan itu melayakkan dirinya menyambung pengajian di mana-mana universiti. Tapi dia tidak mohon pun.  

Kata bijak bestari ‘belajarlah setinggi mana, di mana saja ilmu itu boleh dicapai’. Dia pula tidak mahu begitu. Barangkali sudah lelah mengusung nota yang diberi guru. Cukuplah setakat itu.


          Mudahnyalah dia berpuas-hati. Katanya, tak payahlah masuk universiti, lepasan universiti pun ramai  menganggur. Itu pula alasannya. Lebih baiklah tak usah. Mak dan ayahnya pun bukannya dalam kalangan orang senang benar. Sekadar hidup cukup makan dan tidak menyusahkan sesiapa saja.


Dia harus bertimbang rasa juga dan tidak hanya mementingkan kemahuanya semata. Tapi menyusahkan emak ayahnya telah sekian lama berkorban untuknya dan membebankan kedua-duanya pula dengan cita-citanya.


Lagipun dia sudah berjaya mendapat tawaran sebagai jururawat pelatih di sebuah hospital universiti di bandar. Elaunnya mencukupi untuk menampung kehidupannya seorang. Bagi Sita, elaun yang tertera dalam surat tawaran itu sudah memadai untuk hidupnya kini.


Buat masa ini biarlah setakat itu saja pencapaiannya. Pada masa hadapan belum terfikir lagi. Keputusan yang menjadi pilihannya mungkin berubah pula.

Sita ambil mudah saja.  Hari  ini biarlah cerita untuk hari ini. Sudah tentu hari ini adalah miliknya sepenuhnya. Sedangkan esok belum tentu lagi dan lain pula kisahnya.


          “Masih di sini lagi dia. Ingatkan datang awal tentu dah sampai rumah Nenek,” gumam Emaknya. Sapaan Emaknya mencemperakan lamunannya. Berserakan merata.  Simpang perenang.

“Mak dan Ayah pergilah dulu. Sita nak duduk di sini sekejap.”


“Kamu tu yang patut cepat ke rumah Nenek. Hari dah nak senja ni.”

Motorsikal kapcai yang ditunggangi Emak dan Ayahnya bergerak semula setelah berhenti sejenak di sisinya.                    

‘Jangan hendak cari bala.  


Aku  ke rumah Nenek, hendak menolong Nenek, Angah, sepupu-sepupuku, Lina, Ati, Ima menyediakan segala untuk kenduri doa selamat yang akan diadakan keesokannya.  Emak dan Ayahku turut menyumbangkan seekor kambing untuk disembelih sebagai tambahan lauk kenduri.


Tapi aku masih di sini mengimbau nostalgia. Terleka hingga suasana alam berubah rona.

Kala senja begini, ular bisa biasanya menjalar celahan daun kering tanpa disedari. Nasib tak baik aku pula  terkorban dipagut ular.’ Lamunannya bermonolog.


Sita melangkah pantas menurut bijak bicara hatinya. Dia sudah terlupa pada keindahan panorama sungai kecil  dikaguminya sebentar tadi. Semakin suram kehilangan cahaya nuansanya. Lintasan firasatnya mengatakan dia perlu segera sampai ke rumah Neneknya.


Dia menapak kalut. Tergesa-gesa amat. Mengejar masa siang yang akan meninggalkannya sebentar lagi.

“Baru sampai Sita? Bukan main lama kami tunggu kau.”

“Eh kau Comel! Tipah pun ada. Rindunya aku pada kau berdua.” Sita mendakap erat kedua-dua sahabatnya itu. Ada air mata yang bergenang dalam kelopak matanya.


“Kau berdua jangan balik lagi ya. Aku nak jumpa Nenek aku sekejap. Tunggu di sini ya. Tak puas lagi nak bersembang dengan kau berdua.”

Sita melangkah menemui Neneknya yang sedang bersembang dengan Emak dan Angahnya. Dia menghulurkan tangan menyalami Neneknya dan semua berada di situ.


“Sampai Nek terpaksa buat kenduri baru Sita nak datang rumah Nek ya! Nek bangga Sita dapat masuk universiti. Sebab tu Nek buat kenduri ni.” Sita tersengih cuma. Bangga hatinya. Namun terselt rasa bersalah justeru agak lama tidak menziarahi Neneknya.

“Bukan universiti Nek. Hospital universiti.” Sita tertawa menjelaskannya.


“Samalah tu. Universiti juga.” Balas Neneknya.

Tiga dara pingitan Angahnya menyalaminya seorang demi seorang.

 

Tamat

10 comments:

  1. cerpen yang menarik dibaca.. rasanya berlatarbelakangkan dekad 80an.. zaman itu anak-anak perempuan sangat dijaga.. tulisan sangat dekat dengan jiwa saya sehingga cuba membayangkan suasananya

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh ustaz pandai ustaz teka tahun latar suasananya

      Delete
  2. Gigih sekali berkarya..alhamdulillah masih berbisa..

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh cikgu kak bukan gigih kalau ada yg minta baru kak tulis

      Delete
  3. cerpen yg menarik kerana mengimbau zaman sy remaja dulu.

    ReplyDelete
  4. Terimbau zaman 90an, kadang nenek kita membebel sebab mereka sayang cuma kita ni kadang ego sikit... hehehe tulisan dan karya yang best kak. Terasa macam kita di bawa sekali main kat tepi sungai

    ReplyDelete
    Replies
    1. tksh Dana ya masih merasai pengalamannya ya indah dlm kenangan

      Delete
  5. Waalaikumussalam.
    Tahniah Kak PI menang teka negara yang saya lawati. Emelkan nama penuh, alamat dan no HP ke salamiez@gmail.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah tksh amie rezeki awal tahun

      Delete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist