ASSALAMUALAIKUM
Paridah
Ishak
No. 7, Jalan 7F Melor
Desa Melor, Serendah, Selangor
Coretan ADILA – Radio Klasik
KENANGAN
SAMBUTAN PUASA DAN HARI RAYA
Mengenang
pengalaman berpuasa dan berhari raya pada zaman kanak-kanak sering membuatkan
aku tersengih memanjang. Memori mengimbau ceritera indah menggamit kenangan
persis tagline Radio Klasik. Paling mengesankan tentulah kenangan berbaju raya
sedondon yang dipakai aku dan adik-adikku. Kami tiga beradik perempuan yang
hampir sebaya, berbaju kurung hasil jahitan tangan emak sempena hari yang
mulia.
Akhir
60-an ketika itu aku berusia tujuh tahun dan mula belajar berpuasa pada awal
Ramadan. Terasa perit juga menahan lapar dan dahaga, namun aku tetap bersabar
menunggu waktu berbuka sambil membantu emak menyediakan juadah di dapur.
Emakku
rajin memasak kuih talam, pulut sekaya dan pelbagai juadah lain secara
berselang hari. Nasi ulam bersama pelbagai jenis ulaman tradisi dan perlu
dicari di dusun serta masak asam keladi pula hanya disediakan sekali sahaja
sepanjang Ramadan sebagai menu istimewa.
Betapa
nikmatnya berbuka puasa dengan hidangan enak, ditambah pula air minuman sirap
selasih yang disejukkan dengan ketulan ais. Pada waktu petang, aku akan ke
kedai Pak Saad yang terletak tidak jauh dari rumah untuk membeli ais dengan
harga sekupang. Ketul ais itu diletakkan dalam serbuk kayu untuk mengelakkannya
cair sebelum tiba masa menggunakannya. Maklum waktu itu belum ada lagi peti
ais.
Ketika
itu kami sekeluarga tinggal di sebuah rumah kecil beratap nipah. Rumah
jiran-jiran lain pula jauh lebih besar dan dibina bertiang tinggi. Kedudukannya
berdekatan antara satu sama lain. Penghuninya ialah pesawah padi. Justeru,
apabila tiba hari raya kalau hajat, berziarah dari rumah ke rumah memang mudah.
Setelah hampir sebulan berpuasa, hati tidak sabar menantikan tibanya
Aidilfitri.
Aidilfitri
menjelang apabila anak bulan Syawal disahkan melalui pemasyhuran Penyimpan
Mohor Besar Raja-Raja. Berita tersebut pula disampaikan secara lisan dari mulut
ke mulut kerana pada waktu itu, sumber berita hanyalah radio RTM dan hanya
segelintir yang memilikinya.
Pagi
raya, aku dan adik-adik bangun awal lalu berlari ke perigi untuk mandi sunat
hari raya. Air yang ditimba terasa amat dingin menyirami tubuh kecil kami
hingga bibir menggeletar, namun mandi sunat Aidilfitri tetap dilakukan. Selepas
itu, kami pun bersiap mengenakan baju dan kasut baharu.
Selesai
berpakaian, kami bersarapan dengan ketupat pulut dicicah gulai daging serta
kuih-kuih tradisi seperti baulu, kuih Loyang, karas, putu kacang, putu beras,
wajik yang disediakan emak. Kemudian, kami bersalaman dengan emak dan ayah
memohon ampun dan maaf segala kesilapan yang pernah dilakukan sama ada sengaja
atau tidak.
Selepas
itu, kami ke masjid dan seterusnya ke tanah perkuburan. Kedua-dua tempat ini
menjadi tumpuan kanak-kanak pada hari raya kerana ada insan pemurah yang sudi
menghulurkan sedekah.
Alangkah
seronoknya dapat mengumpul duit raya walau hanya lima duit/lima sen atau
sekupang.
Beraya ke rumah
jiran-jiran pula biasanya hanya dijamu ketupat dan kuih-muih. Jika mengharapkan
duit raya, memang hampa kerana duit raya hanya diberi oleh emak dan ayah
sendiri. Berbeza benar suasana raya anak-anak dahulu dengan anak-anak hari ini
yang mudah mengumpul duit raya dalam jumlah yang besar. Begitulah masa yang mengubah
suasana.
Pada zaman aku
beraya dahulu, dapat mengumpul seringgit pun sudah terasa terlalu banyak. Kaya
sungguh rasanya, heh…heh….
Ketika
usiaku sembilan tahun, keluargaku berpindah menyertai skim tanah rancangan
FELDA di Ulu Jempol, Pahang, meninggalkan kampung halaman di Kedah, membina
kehidupan baru. Berpuasa dan hari raya seterusnya kami sambut di bumi baharu
ini.
Jiranku
di sebelah kanan berasal dari Selangor. Imah dan keluarganya gemarkan pecal dan
pelbagai makanan tradisi Jawa. Menjadi antara menunya untuk berbuka puasa. Dapatlah
aku merasa keenakannya kala dia menghantarnya semangkok ke rumahku. Idah dan
keluarganya jiranku di sebelah kanan rumahku berasal dari Kelantan. Keluarganya
sukakan juadah manis. Antaranya kuih lompat tikam, bunga tanjung, tahi itik,
puteri mandi dll. Dia rajin sekali menghantar juadah ke rumahku menjelang buka
puasa.
Abang
Din dan Kak Fauziah jiranku di sebelah hadapan sering menghantar ke rumahku
pelbagai juadah berbuka puasa yang disediakan di masjid kerana Abang Din ialah
tukang masak di masjid untuk makmum berbuka puasa sebelum solat maghrib.
Rokiah
dan keluarganya berasal dari Pulau Pinang juga sering menghantarkan juadah
disediakannya walaupun jarak rumahnya dengan rumahku agak jauh. Begitu juga
dengan Zai anak negeri Pahang dan keluarganya, ada saja juadah berbuka puasa
pemberiannya untukku dan keluarga. Alhamdulillah rezeki saling memberi dan
menerima di bulan puasa dinikmati bersama.
Ramadan
semakin berakhir. Menjelang lagi Aidilfitri.
Suasananya
terasa agak suram. Ramai penghuni tanah rancangan pulang ke kampung asal
masing-masing untuk berhari raya. Jiran-jiranku juga beransur pulang ke kampung
asal mereka. Hanya beberapa buah rumah kelihatan bercahaya, diterangi barisan
pelita panjut di sekeliling rumah.
Anak-anak kecil berlarian bermain bunga api dalam malam yang
hening kerana ibu bapa mereka tidak mampu membiayai kos pulang ke kampung asal
yang jauh di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan
negeri-negeri lain. Aku dan keluargaku juga berhari raya di sini.
Di kejauhan
gema meriam buluh memecah sunyi. Aku dan adik-adikku bermain bunga api dan
mercun lada saja. Sudah jemu bermain-main di laman rumah, aku bersama adik-adik
dan rakan-rakanku mula melangkah kaki berjalan beramai-ramai ke hujung kampung,
menikmati keindahan malam yang diterangi cahaya pelita panjut yang dipasang
sepanjang jalan. Ada pelita diperbuat daripada buluh, dan ada juga pelita ayan.
Emakku
pula sibuk di dapur menyediakan kuih dan hidangan hari raya. Itulah gambaran
suasana awal tahun 1970-an. Beraya secara ala kadar namun tetap sarat dengan
kenangan.
Kini, tiada
lagi cerita generasi pertama atau kedua yang berbondong-bondong pulang ke
negeri asal masing-masing. Sebaliknya, merekalah yang menjadi penunggu setia anak-anak
dan cucu pulang beraya bersama setelah berpuluh tahun bermastautin di tanah
FELDA. Aku pula sudah berusia emas dan masih di sini sebagai peneroka generasi
kedua.
Suasana
ketika berpuasa Ramadan dan menyambut hari raya tidak lagi sunyi dan hening.
Perkarangan rumah dipenuhi kereta anak-anak yang pulang. Malam tujuh likur pula
tidak lagi disambut dengan jajaran pelita ayan, sebaliknya digantikan sinaran
kelip-kelip lampu elektrik.
Surau-surau
blok dipenuhi ahli blok dan keluarga masing-masing yang menunaikan solat sunat
tarawih setiap malam. Terasa amat rugi jika tidak berkesempatan menunaikannya
walaupun berdepan kekangan tertentu.
Terasa
kemeriahan kala bersembahyang hari raya di masjid yang melimpah makmumnya
hingga ke ruang laman. Ramai anak-anak peneroka yang merantau ke mana-mana
kerana tugas dan kerjaya masing-masing, pulang menyambut Aidilfitri bersama
keluarga di tanah FELDA.
Hidangan
yang tersedia pula amat beraneka kerana masyarakat FELDA terdiri daripada
gabungan pelbagai negeri. Masing-masing membawa tradisi budaya beraya yang
akhirnya bercampur dan saling melengkapi.
Peneroka dari
Perak dan Negeri Sembilan tidak pernah melupakan lemang dan rendang. Orang
Kedah, Pulau Pinang dan Perlis pula setia dengan ketupat pulut dan gulai
daging. Peneroka dari Selangor dan Johor hadir dengan lontong, lodeh, ketupat
nasi serta kuah kacang.
Mereka
berasal dari Terengganu dan Kelantan pula membanggakan nasi impit dan nasi
dagang sebagai hidangan istimewa pagi raya.
Penduduk asal
Pahang pula berbangga dengan aneka kuih tradisi yang jarang ditemui, di samping
lemang dan ketupat sebagai sajian utama. Kini, tidak perlu lagi berkunjung ke
rumah peneroka tertentu untuk menikmati hidangan negeri tertentu kerana
semuanya telah dikongsi bersama.
Tidak
hairanlah jika makanan tradisi dari pelbagai negeri tersaji di mana-mana rumah
peneroka tanpa mengira asal usul. Semuanya menyatu, membentuk sebuah masyarakat
yang toleran, harmoni dan saling bekerjasama.
Kuih-muih
dan pelbagai menu masakan istimewa memenuhi meja pada hari raya di rumahku
kerana jiran-jiranku dari dahulu hingga kini mengekalkan cara saling berkongsi
rezeki. Bak kata perbidalan, banyak sama dilapah, sikit sama dicicah. Selamat
beribadah puasa Ramadan dan menyambut Aidilfitri peminat ADILA Radio Klasik,
mohon maaf zahir batin.
Lagu
pilihan;
1. Bisikan Hati Di Pagi Raya – Hail Amir- Sharifah Aini
2. Doa Di Hari Mulia – Uji Rashid
3. Kepulangan Yang Dinanti - Aman
Shah

