Sunday, 21 September 2025

SELENDANG CINDAI WALINONG SARI

 ASSALAMUALAIKUM



Drama

SELENDANG CINDAI WALINONG SARI

PARIDAH ISHAK

 

WATAK-WATAK UTAMA

Bendahara Wan Ahmad

Walinong Sari

Inang

Dayang

Bendahara Tun Ali

Mambang Segara

Dahlia

Kenanga.

 

BABAK 1

 

WALINONG SARI berada di dalam kamarnya diterangi cahaya lantera asyik

berbual dengan KENANGA dan DAHLIA sahabat sepermainan dan seperguruan

dalam gelanggang persilatan  negeri Inderapura. Negeri ini amat luas dan hasil mahsul

kekayaannya terlalu banyak. BENDAHARA WAN AHMAD mentadbir Inderapura

dengan amat bijak.

Tapi BENDAHARA WAN AHMAD  merasa gundah gulana kerana anakandanya yang.

bakal mewarisi negeri Inderapura setelah ketiadaannya masih belum berkahwin.

Maka BENDAHARA WAN AHMAD ingin mengusulkan hasrat meminta WALINONG

SARI agar segera berkahwin.

BENDAHARA WAN AHMAD berlegar-legar dalam ruangan istana sambil memicit-micit

kepalanya. INANG membawa hidangan di dalam talam sambil menunduk

tika melewati BENDAHARA WAN AHMAD untuk memasuki kamar WALINONG SARI.

Juadah aneka jenis yang dibawanya telah dsediakan tukang masak dan DAYANG

turut membantunya di dapur istana.

BENDAHARA WAN AHMAD masih mundar-mandir dalam ruangan istana.

INANG baru keluar dari bilik WALINONG SARI.

BENDAHARA WAN AHMAD (menghampiri INANG. Seketika INANG terpana.

Langkahnya terhenti): Siapa yang bersama anakanda WALINONG SARI di dalam

kamarnya?

Nampaknya lama sungguh mereka berbicara. Hari pun semakin senja.

Tidak jemukah berbual begitu saja tanpa membuat sebarang kerja berfaedah?

INANG (Dengan suara lirih Inang mulai berkata): Tuan Puteri WALINONG SARI

bersama sahabat seperguruan silat, KENANGA dan DAHLIA paduka bendahara.

BENDAHARA WAN AHMAD (Bersuara dengan tegas selaku memberi perintah.):

INANG! Segera kamu beritahu WALINONG SARI dan kawan-kawannya keluar

menemui kita.

INANG mengangguk dan berjalan menuju ke kamar WALINONG SARI.

INANG (Bersuara perlahan dengan sopan memanggil WALINONG SARI):

Ayahanda Tuan Puteri meminta keluar ke ruangan tengah istana menemui paduka.

WALINONG SARI (Keluar dari kamar kehairanan. KENANGA dan DAHLIA turut

bersama): Yakah? Baiklah!

Kita akan ke ruangan istana menemui ayahanda kita. Ayuh KENANGA, DAHLIA ikut

kita!

BENDAHARA WAN AHMAD (Duduk di tempatnya bersemayam melihat WALINONG

SARI,  KENANGA dan DAHLIA mengatur langkah): Silakan ke mari anakanda

WALINONG SARI, KENANGA, DAHLIA.

INANG (Menunduk memohon izin): Hamba beredar ke dapur dulu, paduka, tuan puteri.

INANG segera berlalu dari situ membawa talam berisi bekas juadah yang telah kosong.

DAHLIA (Menunduk mengerling KENANGA yang turut menunduk bersamanya.

DAHLIA memegang tangan KENANGA.): Hamba dan KENANGA sudah lama  di sini.

KENANGA (Sambil tersenyum memandang WALINONG SARI, DAHLIA, BENDAHARA

WAN AHMAD):Terima kasih layanan yang diberi pada hamba berdua.

Nampaknya hari pun sudah beransur senja. Hamba berdua mohon diri pulang ke

teratak kami.

BENDAHARA WAN AHMAD (Duduk atas petarakna dengan tenang berhadapan

WALINONG SARI, KENANGA, DAHLIA: Duduklah sebentar! Ada sesuatu kita

hendak berbicara dengan kamu berdua juga,

DAHLIA (tidak menyahut kata. Tapi memandang KENANGA yang terangguk-angguk):

 Baiklah paduka, hamba berdua menurut perintah.

WALINONG SARI (Dengan suara lirih menyusun kata) : Apakah maksud ayahanda

meminta anakanda DAHLIA dan KENANGA menghadap ayahanda?

Apakah perkara itu amat penting berkenaan anakanda? Apa yang ayahanda titahkan,

anakanda menjunjung perintah!

BENDAHARA WAN AHMAD: Sebenarnya ayahanda hendak memberitahu, ramai

putera raja nusantara telah datang melamar anakanda untuk dijadikan permaisuri

negeri.

Anakanda boleh pilih salah seorang dari mereka sebagai suami. Anakanda perlu

ada pendamping untuk mentadbir negeri Inderapura ini.

Anak-anak raja itu nampaknya sangat perkasa. Ada yang datang dari Aceh,

Langka, Mataram, Pasai, Gangga Negara, Champa, Inderagiri, Temasik

Dan banyak lagi negeri lain di nusantara. Ayahanda tidak ingat semuanya.

Salah seorang dari mereka mungkin teman hidup yang sesuai bersama anakanda.

WALINONG SARI (Termangu, merenung wajah BENDAHARA WAN AHMAD.

Kemudian memandang DAHLIA, KENANGA silih ganti. Mereka bertiga bersimpuh

santun): Baik ayahanda! Tapi

tentu tidak adil kalau anakanda memilih begitu saja. Sebab mereka semua

berhasrat memperisterikan anakanda. Seeloknya kita uji dahulu kesungguhan

mereka. Anak-anak raja itu berlawan silat mengalahkan DAHLIA, KENANGA

lebih dahulu. Setelah itu berlawan silat dengan anakanda pula. Jika

ada yang mampu kalahkan KENANGA, DAHLIA, bolehlah berlawan dengan anakanda

pula. Jika mampu kalahkan anakanda itulah calon suami anakanda.

BENDAHARA WAN AHMAD: Mengapa anakanda perlu bersusah-payah

berlawan silat dengan anak-anak raja itu dan melibatkan KENANGA, DAHLIA?

Mungkin anak-anak raja itu tidak mahu berlawan silat dengan KENANGA, DAHLIA.

WALINONG SARI: (Mengangkat sembah) Ampun ayahanda Ya! Memang perlu

berpayah sedikit untuk memilih suami yang akan bersama anakanda mentadbir

Inderapura yang luas saujana ini.

Kaya pula dengan khazanah berharga, rimba belantara, emas mutiara.

Keperwiraan, ketangkasan, kebijaksanaannya perlu jua diketahui setakat mana.

Tentang masalah perlawanan itu biarlah anakanda, KENANGA, DAHLIA

menguruskannya sebaiknya. Ayahanda tidak usah risaukan soal itu.

BENDAHARA WAN AHMAD: Baiklah! Ayahanda bersetuju dengan permintaan

anakanda. Tapi kenapa perlu melibatkan DAHLIA dan KENANGA?  

WALINONG SARI (tersenyum sedikit memandang KENANGA, DAHLIA): Itu

rahsia seni persilatan ayahanda. Nanti ayahanda tahu juga.

BENDAHARA WAN AHMAD: Terpulanglah pada kebijaksanaan anakanda. Bersedialah

untuk berlawan dengan semua anak-anak raja itu.

WALINONG SARI: (Berdiri mengangkat sembah dituruti KENANGA, DAHLIA): Terima

kasih ayahanda. Anakanda, KENANGA DAHLIA, beredar dulu. Ada sesuatu hendak

dibincangkan berkenaan rencana hendak dilaksanakan ini.

BENDAHARA WAN AHMAD (Bangun dari petarakna): Baiklah anakanda. Silakanlah.

Ayahanda pun hendak pergi bersiram menunggu maghrib.

WALINONG SARI (Mengatur langkah bergandingan

dengan KENANGA dan DAHLIA): Ayuh ikut kita ke serambi di hujung anjung,

berbincang bagaimana hendak berlawan dengan anak-anak raja yang berhajatkan

kita. Ketika petang begini angin berhembus nyaman dan dingin. Selesa di sana.

DAYANG (Tiba-tiba muncul bersama INANG, meletakkan raga yang dibawanya): Kami

 berdua melihat Tuan Puteri bersama KENANGA dan DAHLIA

berada di sini. Kebetulan kami berdua hendak menghilir sungai ke pesara.

Mungkin Tuan Puteri hendak berpesan sesuatu. Bolehlah kami belikan di sana.

WALINONG SARI: Oh begitukah? Belilah apa saja keperluan dapur dan

tiga helai selendang cindai yang sama warna dan coraknya. Perbelanjaannya  

INANG dan DAYANG beritahu semuanya pada bendahari, Inderapura.

DAYANG (Mengangguk. Memandang INANG): Baik Tuan Puteri. Hamba dan INANG

beredar dulu ke pesara.

DAYANG mencapai raga yang diletakkan di sudut serambi mengikuti INANG menuruni

tangga istana. WALINONG SARI, KENANGA, DAHLA memerhatinya.

WALINONG SARI: (Bertanya) Tuan hamba berdua menaiki apa ke sana?

INANG: Hamba berdua berdayung perahu saja ke pesara di muara.

WALINONG SARI: Baiklah! Berhati-hati tuan hamba berdua ke sana berdayung perahu.

DAHLIA (Merenung wajah WALINONG SARI): Kenapa Tuan Puteri meminta INANG,

DAYANG membeli selendang cindai yang sama corak dan warnanya?

WALINONG SARI (Tersenyum memandang wajah KENANGA, DAHLIA silih ganti:

Selendang cindai itu akan kita gunakan ketika berlawan dengan anak-anak raja itu.

KENANGA (Mengerutkan dahinya): Hamba masih tidak memahaminya.

DAHLIA (Mengangguk): Hamba pun begitu.

WALINONG SARI (Tertawa kecil, melirik KENANGA, DAHLIA): Itu rahsia.

Nanti kita ceritakan pabila tiba ketika. Malam ini kita akan

memberitahu perkara ini pada tuk guru silat seraya kita berlatih silat.

DAHLIA:  (Memandang KENANGA): Benar kata Tuan Puteri itu. Malam ini ada latihan

silat, Ayuh KENANGA! hamba berdua mohon diri beransur dulu. Kami juga akan 

berlatih silat gayong sendeng gunung sakti bersama tuk guru.

WALINONG SARI (Berdiri menghulurkan tangan untuk bersalam dengan KENANGA

dan DAHLIA): Baik! Kita akan bertemu di gelanggang silat malam ini. Kita akan

bersama INANG dan DAYANG untuk menemani kita.

DAHLIA, KENANGA menuruni tangga istana perlahan-lahan. WALINONG SARI

memasuki ruang tengah istana. Tabir dijatuhkan.

 

BAB 2

Gelanggang silat dibuka dengan irama paluan gong, gendang dan tiupan nafiri 

berselang bunyi seruling padi. Anak-anak raja berada di dalam gelanggang menanti

giliran masing-masing untuk berlawan silat dengan WALINONG SARI. BENDAHARA

WAN AHMAD, BENDAHARA TUN ALI dan para pembesar Inderapura. DAYANG,

INANG berada di situ kerana ditugaskan menghidangkan makanan dan minuman pada

tetamu yang hadir.Sepasang pesilat mempersembahkan silat tari buka gelanggang.

BENDAHARA WAN AHMAD (Memberi arahan kepada INANG): Kamu panggilkan

anakanda WALINONG SARI segera turun ke gelanggang silat. Anak-anak raja ini

sudah tidak sabar lagi hendak berlawan silat dengannya.

INANG: Baik paduka (Menunduk kemudian berjalan menghampiri DAYANG):

Ayuh DAYANG ke dalam istana memanggil Tuan Puteri WALINONG SARI.

DAYANG: Baik INANG

 INANG, DAYANG melangkah meninggalkan gelanggang silat memasuki ruang istana

Dan berhenti di pintu kamar WALINONG SARI. Mereka berjeda seketika kerana

mendengar WALINONG SARI sedang berbicara dengan seseorang.

WALINONG SARI: Ingat pesanan tuk guru agar pasang kuda-kuda dengan kuat.

Bermula dengan basmalah berserta selawat Nabi berulang kali. Resapkan asa waja.

Yakin pada upaya diri. Tawakal takdir Ilahi. Bergantung kuat dengan tali-Nya.

Gerak langkah berhati-hati membuka jurus. Menendang dengan tepat pada kelemahan.

Mengunci pukulan tangan  musuh mengilasnya lalu menumbangkannya.

Menghela nafas dengan tenang. Dan melambung pantas menyerang lawan

hingga tewas. Semua anak-anak raja mesti ditewaskan. Kita tidak mahu berkahwin

dengan mereka. Kita akan beri mereka buah silat.

INANG (Memberi isyarat agar DAYANG mengetuk pintu kamar WALINONG SARI):

Tuan Puteri, paduka menyuruh segera turun ke gelanggang.

WALINONG SARI: Baik kita akan segera ke sana.

pintu kamar dibuka sedikit. WALINONG SARI keluar berpakaian lengkap sebagai

pesilat. Rambutnya yang panjang bak mayang mengurai telah dilindungi selendang

cindai seluruhnya.

Wajahnya dibalut rapi seluruhnya. Hanya sepasang matanya kelihatan bersinar.

DAYANG, INANG mengiringi WALINONG SARI menuju gelanggang silat.

WALINONG SARI mengangkat sembah.

BENDAHARA WAN AHMAD: Silakan anakanda WALINONG SARI berlawan silat

dengan anak raja Inderagiri ini. Ikuti aturan adab persilatan dengan hanya guna tenaga

tanpa senjata.

Anak raja Inderagiri berdatang sembah. WALINONG SARI berhadapan dengan anak

raja Inderagiri. WALINONG SARI menunduk pada lawannya. Langkah tapak silat

bermula pantas setelah gerak tari bunga. WALINONG SARI menghela nafas

menghembus mentera melekakan lawan lalu membantingnya ke tanah. Kesakitan yang

dialaminya menyebabkannya tidak berdaya bangun untuk melawan WALINONG SARI.

BENDAHARA WAN AHMAD tersenyum memandang WALINONG SARI dan

BENDAHARA  TUN ALI: Anakanda WALINONG SARI memenangi perlawanan ini.

Bersedia pula untuk berlawan silat dengan anak raja dari Langka.

BENDAHARA TUN ALI: Hebat sungguh anakanda paduka dengan pantas kalahkan

lawannya.

BENDAHARA WAN AHMAD: Anakanda WALINONG SARI memang belajar silat

berguru. Ilmu silat bela diri warisan kita kesukaannya. Kanda hanya menurut

kemahuannya.

BENDAHARA TUN ALI (Terkejut): Tengok itu! Sedang kita sibuk berbicara

WALINONG SARI telah mengalahkan anak raja Langka dengan mudah.

Sanya  WALINONG SARI mewarisi kepahlawanan paduka dan keturunan kita.

Paduka dahulu bermati-matian berperang dengan tentera pura Gajah Putih

yang ingin menawan Inderapura.

BENDAHARA WAN AHMAD  (Tertawa sedikit): Oh itu! Adinda masih ingat ya. Adinda

juga turut berjuang bersama kekanda sebelum adinda berkahwin dengan anak sultan

Melaka dan menjadi bendahara di sana. Adinda juga sangat tangkas bersilat. Kanda

masih ingat jasa dinda menumpaskan hulubalang pura Gajah Putih cuba menikam curi

kanda tika sedang berlawan dengan raja pura Gajah Putih itu. Besar jasa dinda itu.

Kanda amat terhutang budi.

BENDAHARA TUN ALI: Usahlah perkirakan soal itu paduka. Sudah menjadi

tanggungjawab dinda menjaga keselamatan paduka bendahara Inderapura.

WALINONG SARI telah mengalahkan anak raja Champa lawannya yang ke lima.

Dia mengangkat sembah menghadap BENDAHARA WAN AHMAD.

WALINONG SARI:  Ayahanda! Anakanda mohon berehat seketika di kamar sebelum

berlawan dengan sepuluh orang anak raja lagi.

BENDAHARA WAN AHMAD: Baik anakanda silakanlah (Memanggil INANG dan

DAYANG)

Tuan hamba berdua pastikan makanan santapan untuk anak-anak raja dan semua

tetamu Inderapura mencukupi. Jika berkurangan, beritahu tukang masak untuk

menambah masakannya.

(INANG dan DAYANG mengangguk segera beredar untuk menjalankan tugasan.

BENDAHARA WAN AHMAD: Ayuh adinda kita santap di balai santapan bersama

anak-anak raja itu seraya meraikan mereka.

BENDAHARA TUN ALI: (Bangun, menunduk): Baik. Silakan paduka.

Setelah selesai bersantapan BENDAHARA WAN AHMAD dan BENDAHARA TUN ALI .

berjeda seketika sebelum kembali ke gelanggang silat. Paluan gong, gendang bergema

mengiringi irama  tiupan seruling dan nafiri.

WALINONG SARI telah berada di situ menanti lawannya bersedia untuk bersilat

dengannya.

Seorang demi seorang anak raja yang bersilat dengannya ditumpaskan.

BENDAHARA TUN ALI (Terpegun memerhati): Anakanda paduka seorang srikandi

yang hebat. Sudah tiga belas anak raja telah dikalahkannya.

BENDAHARA WAN AHMAD (Tersenyum hambar): Berkat ilmu silat yang dipelajarinya

daripada tuk guru silat Inderapura diterapkan dengan baik menewaskan lawannya.

BENDAHARA TUN ALI: Nampak ada juga anak raja bersilat menyalahi peraturannya.

BENDAHARA WAN AHMAD (Mengangguk): Benarlah begitu. Kanda juga perasan

muslihat tipu daya mereka  yang berkenaan. Tapi anakanda WALINONG SARI

menyedarinya. Dan mampu mengatasinya. Jurus tempur dimanfaatkannya.

BENDAHARA TUN ALI (BERTANYA): Masih adakah lagi anak raja yang akan

melawan anakanda paduka?

BENDAHARA WAN AHMAD (Menarik nafas): Hmm…ada seorang lagi.

Iaitu anak raja dari Temasek. (BENDAHARA WAN AHMAD menunjuk pada anak raja

itu dengan ibu jarinya)

Anak raja Temasik berdatang sembah diikuti WALINONG SARI menghadap

BENDAHARA WAN AHMAD memohon izin memulakan persilatan. 

BENDAHARA WAN AHMAD: Silakan mula silat anakanda.

Anak raja Temasek memulakan langkah silat sendeng menerjang dada WALINONG

SARI. Pantas WALINONG SARI menangkap kakinya, memulasnya. Dan menolaknya

hingga tersungkur. Anak raja itu bingkas bangun merapati WALINONG SARI hendak

merangkulnya. Tapi WALINONG SARI mengelaknya menyerong lalu melepaskan

tendangan padu sehingga anak raja Temasek tidak terdaya lagi hendak bangun.

Selesai sudah acara pertandingan silat antara lima belas orang anak raja yang

datang dari pelbagai negeri dengan niat mengalahkan WALINONG SARI sebagai

syarat menjadikannya isteri. Anak-anak raja itu tidak berjaya mengalahkannya.

Syair dilagukan.

 

 


Tersebut kisah hikayat lama,

Walinong Sari termahsyur nama,

puteri cantik menggetar atma,

syair dilagu dengan irama.

 

Wajah jelita amat rupawan,

siapa pandang pasti tertawan,

pandai bersilat lagak pahlawan,

hatinya lembut sifat dermawan.

 

Anaknya raja Inderapura,

tanah jajahan  kaya ketara,

waris puteri yang masih dara,

ayahnya  cari jodoh segera.

 

Puteri akur kata ayahnya,

namun diberi tahu syaratnya,

mesti berlawan dengan dirinya,

mampu bersilat mengalahkannya.

 

Berduyun datang anaknya raja,

,menyimpan akan rasa teruja,

bertarung pagi sehingga senja,

hasrat kalahkan dara remaja.

 

Tirai dijatuhkan.

 

Bab 3

WALINONG SARI, DAHLIA, KENANGA berada di dalam kamar.

WALINONG SARI: Alhamdulillah kita berjaya menewaskan semua anak raja itu.

Jadi sudah terlepas dugaan berat untuk berkahwin dengan salah seorang anak raja itu.

KENANGA (Bertanya): Kenapa pula Tuan Puteri kelihatan gundah?

DAHLIA (Menyampuk): Hamba juga perasan. Nampak seperti Tuan Puteri sedang

bermuram durja. Sepatutnya Tuan Puteri tidak begitu. Hasrat Tuan Puteri telah pun

terlaksana seperti yang direncana.

WALINONG SARI (Menunduk, meramas jemarinya): Kita sedih kerana merasa

sia-sia saja daya usaha kita itu. Bagaikan terlepas dari mulut naga, termasuk pula

dalam mulut naga.

DAHLIA KENANGA saling berpandangan kehairanan.

DAHLIA (Bertanya): Kenapa pula begitu Tuan Puteri? Terangkanlah pada hamba

berdua agar memahaminya.

WALINONG SARI (Berkisar duduk. Berkata dengan lirih.): Ayahanda kita telah

buat keputusan hendak jodohkan kita dengan sepupu kita, Tun Mutahir anakanda

BENDAHARA TUN ALI, bendahara Melaka. Ikatan pertunangan telah dipersetujui.

DAHLIA (Memujuk): Bertabahlah Tuan Puteri. Mungkin jodoh telah tersurat antara

Tuan Puteri dan anakanda mamanda bendahara Melaka itu.

WALINONG SARI (Tersenyum hambar): Kita tidak berhak membantah. Tapi kita

amat berdukacita. Kita ingin belayar mengubat lara menaiki gambang ke laut

Chini menghibur hati. Di sana kita boleh bermain dengan unggas, kijang, rusa

kancil dan aneka isi loka rimba tepian laut Chini.

DAHLIA (Bertanya): Bolehkah hamba  menemani Tuan Puteri?

KENANGA (Menyampuk); Hamba juga ingin ikut sama jika dibenarkan.

WALINONG SARI (Kegembiraan): Kita amat bersukacita andai tuan hamba

berdua sudi menemani kita dalam pelayaran itu. Tidaklah kita kesunyian

tanpa teman bicara. INANG dan DAYANG turut juga mengikuti kita.

Tapi mereka tiasa sibuk dengan tugasan hakiki. Nanti kita beritahu pada

paduka ayahanda.

INANG mengetuk pintu kamar. DAHLIA membuka pintu: Paduka meminta Tuan Puteri

Ke balai hadapan kerana mamanda BENDAHARA TUN ALI akan pulang ke

Melaka bersama juak-juak pengiringnya.

WALINONG SARI: Baiklah INANG. Kita akan segera ke sana.

(Mengajak), mari KENANGA, DAHLIA temankan kita ke balai hadapan.

WALINONG SARI melangkah diikuti DAHLIA, KENANGA dan INANG

Mereka tiba di balai hadapan menghadap BENDAHARA WAN AHMAD.

BENDAHARA WAN AHMAD (Bertanya): DAHLIA, KENANGA pun ada di sini?

DAHLIA, KENANGA mengangguk serentak.

WALINONG SARI: DAHLIA, KENANGA menemani anakanda di kamar, ayahanda.

BENDAHARA WAN AHMAD (Mengangguk): Tuan hamba berdua memang

sahabat sejati anakanda kita.

BENDAHARA TUN ALI (Mencelah): Dinda minta diri berangkat pulang ke

Melaka paduka kekanda, anakanda WALINONG SARI.

WALINONG SARI (Berbahasa lunak): Kenapa tergesa-gesa hendak pulang

ayahanda bendahara? Berlama-lamalah di Inderapura. Ayahanda bendahara hanya

sibuk dengan urusan mentadbir Melaka sahaja.

BENDAHARA TUN ALI (Tersenyum): Terima kasih anakanda WALINONG SARI.

Ayahanda terpaksa berangkat pulang segera kerana hendak membuat persediaan

persiapan pertunangan seterusnya acara perkahwinan anakanda dan

Tun Mutahir.

WALINONG SARI terdiam, tertunduk malu. BENDAHARA TUN ALI bersalaman

dengan BENDAHARA WAN AHMAD. Setelah itu memasuki rengga di atas gajah

kenderaan diraja dengan juru demang berada di hadapan. Gajah mengatur langkahnya.

BENDAHARA TUN ALI melambai tangan tanda salam selamat tinggal.

BENDAHARA WAN AHMAD, WALINONG SARI DAHLIA, KENANGA membalas

Lambaian tangan BENDAHARA TUN ALI.

WALINONG SARI (Memohon izin): Ayahanda! Anakanda mohon izin belayar menaiki

gambang belayar di laut Chini dan bermain di loka rimba tepiannya. Setelah anakanda

bernikah, tentu anakanda tidak dapat lagi bersuka-suka ke mana-mana.

BENDAHARA WAN AHMAD (Bertanya): Anakanda hendak ke sana dengan siapa?

WALINONG SARI (Menjawab): Anakanda akan ditemani, DAYANG, INANG, DAHLIA,

KENANGA.

BENDAHARA WAN AHMAD: Baiklah ayahanda izinkan. Nanti ayahanda arahkan

juragan dan para jurumudi gambang membawa anakanda dan peneman    

anakanda berserta biti perwira Inderapura. Mereka akan menjaga keselamatan

anakanda sepanjang perjalanan sehingga pulang..

WALINONG SARI: Baiklah ayahanda. Terima kasih kerana sudi memberi

perkenan. Anakanda mohon diri untuk membuat persiapan. Sebab anakanda

bercadang akan belayar keesokannya.

BENDAHARA WAN AHMAD: Baiklah anakanda (Berpesan) pandai-pandailah

menjaga diri.  Kita amanahkan pada DAHLIA dan KENANGA juga sebagai penjaga.

 

Bab 4

Gambang yang dinaiki WALINONG SARI, DAHLIA, KENANGA, INANG, DAYANG

berlabuh di pengkalan rimba loka persisiran laut Chini. Seekor burung tiba-tiba

hinggap di bahu WALINONG SARI (Terkejut): Cantiknya burung ini. Jinak pula.

(Bertanya) Burung apakah ini? Bulunya berwarna pelangi. Sinarnya berkilauan.

DAHLIA, KENANGA, DAYANG tidak memberikan jawapannya.

INANG: Ini jentayu Tuan Puteri. Jentayu ini tinggal di inderaloka.

WALINONG SARI (Terkejut): Oh burung dari kayangan rupanya!

Tiba-tiba jentayu terbang menghala rimba. WALINONG SARI terpana memandangnya.

DAYANG cuba hendak menangkapnya. Di dalam rimba loka, jentayu mengubah

Dirinya yang sebenar iaitu MAMBANG SEGARA anak raja kayangan.

Tiba-tiba dia muncul dalam gambang.

DAYANG (Bertanya): Siapakah tuan hamba? Tiba-tiba berada di sini apa hajatnya?

MAMBANG SEGARA: Hamba SEGARA. Hamba tersesat dalam rimba loka.

Sudah beberapa hari hamba tidak makan. Bolehkah berikan hamba sedikit makanan?

WALINONG SARI mendekati mereka. DAYANG menceritakan permintaan MAMBANG

SEGARA.

WALINONG SARI (Mengarah): DAYANG berilah makanan pada pemuda ini.

MAMBANG SEGARA: Hamba hanya ada batil suasa ini sebagai tukarannya.

Hamba harap Tuan Puteri sudi terima. Hamba amat terhutang budi pada Tuan Puteri

sudi membantu kesusahan hamba yang melarat di rimba loka ini.

WALINONG SARI: Tidak mengapa itu pertolongan kecil sahaja. Tidak perlu

menukarnya dengan batil suasa yang sangat indah ini. (Sejenak terhenti, merenung

MAMBANG SEGARA) Kita perhati tuan hamba ini amat sasa. Tentu banyak ilmu di dada.

Mahukah tuan hamba bersilat dengan kita? Kalau tidak mahu, tidaklah mengapa.

Kita tidak memaksa.

MAMBANG SEGARA (Menunduk): Baiklah Tuan Puteri. Hamba menurut perintah.

Di atas pasir pantai laut Chini, pertarungan persilatan antara WALINONG SARI

MAMBANG SEGARA disaksikan INANG, DAYANG, KENANGA, juragan, jurumudi, biti

perwira pengiring.

MAMBANG SEGARA melambung tinggi, WALINONG SARI melayang ranggi.

Cindai  yang menutupi wajahnya terbuka MAMBANG SEGARA terkesima

terpesona kecantikan WALINONG SARI.

MAMBANG SEGARA termangu-mangu,

WALINONG SARI mengambil kesempatan menjatuhkan lawannya.

Sepantas kilat MAMBANG SEGARA menghilangkan dirinya.

WALINONG SARI tanpa berlengah kembali ke dalam gambang.

Hatinya merasa tidak keruan.

 

 Tirai Di Tutup Perlahan.

Bacaan syair didendangkan

SYAIR WALINONG SARI

 

Dewa nan sakti menghilang diri,

entah ke mana puas dicari,

menyesal pula rasa puteri,

mungkin hatinya telah dicuri.

 

Siang dan malam terkenang-kenang,

air matanya jatuh berlinang,

terlupa diri telah bertunang,

lautan kasih mula direnang.

 

Tidur tak lena malam bermimpi,

rindunya rasa tidak menepi,

alamat datang bagai diimpi,

di gunung Tahan dewa menyepi.

 

Walinong Sari terbang melayang,

tinggalkan inang dan dayang-dayang,

bertemu dewa amat disayang,

tiada lagi jejak dan bayang,

 

Syair dilagu berakhir sudah,

dugaan cinta tidaklah mudah,

segala aral sanggup diredah,

sulaman cinta teranyam indah,

 

TAMAT


2 comments:

  1. Waalaikumussalam.
    Ni drama/teater dengan stairs sekali ye Kak PI.

    ReplyDelete
  2. kiranya walinongsari ni belajar melalui keadaan di sekelilingnya kan?

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist