Friday, 26 September 2025

ARIF BALIK KAMPUNG

 ASSALAMUALAIKUM


ARIF BALIK KAMPUNG



Sepasang burung kulihat bertenggek di pohon manggis berdekatan rumah Atuk. Bentuknya agak

besar. Dan matanya yang bulat itu seolah merenungku. Seram pulak aku rasa.

“Burung apa tu Tuk?” Atuk yang hendak melangkah menuruni tangga terhenti, lalu

duduk di sisiku.

“Mana?”

“Itu! Di atas dahan pokok manggis. Ada dua ekor di situ!”

“Mata Atuk ni dah kabur tak nampak jelas. Cuba Arif tunjuk kat mana.”

Aku segera menunjukkan arah yang aku maksudkan kepada Atuk. Atuk tersenyum

memandangku. Hairan aku dengan gelagat Atuk.

“Kamu ni antara pokok manggis dan rambai pun tak dapat nak bezakan.”

“Pokok manggis di sebelah pokok rambai.”

“Iakah? Tapi Atuk mesti tahu, burung tu burung apa?” aku masih tetap mahukan

penjelasan Atuk walau merasa malu dengan kesilapanku menamakan pokok. Memang terlalu

banyak pokok buah-buahan di sekeliling rumah Atuk dan aku tidak dapat mengingati namanya

satu persatu.



 

“Oh itu burung jampuk! Burung jampuk memang suka tidur di celah dahan pokok rambai

pada waktu siang. Selalu Atuk nampak jampuk tidur di situ.” Aku mengangguk mendengar

penerangan Atuk.

“Tapi matanya bulat merenung kita.”

“Agaknya burung jampuk tu dah bangun tidur dan memandang mangsa yang hendak

dijadikan makanannya,” ujar Atuk.

“Mungkin burung jampuk tu hendak menangkap kita kut. Takut juga!”

“Isyh kamu ni ke situ pula yang difikirkan!” Atuk ketawa. Mungkin Atuk merasa lucu

mendengar apa kukatakan.

“Burung jampuk tu yang jadi makanannya adalah tikus. Bukannya orang macam kita.”

Lega hatiku kala Atuk berkata begitu.

Tiba-tiba aku melihat seekor burung pula hinggap di pohon manggis. Kali ini aku pasti

pohon itu ialah pohon manggis kerana Atuk telah memberitahuku sebentar tadi.

“Itu burung apa pula? Cantik dan besar paruhnya.”

“Itu burung enggang! Yang berbunyi riuh itu burung murai, yang di bawah pokok kelapa

tu burung mala kebau.”

“Macam duduk dalam zoo pula ya Atuk. Pelbagai jenis burung ada di sini. Burung-

burung bebas terbang ke sana sini. Tapi tidak terkurung macam dalam zoo.”

“Ialah tu. Kawasan rumah Atuk ini di kampung dan banyak tumbuh pohon-pohon yang

rimbun. Menjadi tempat tinggal burung-burung dan pelbagai jenis binatang yang dipelihara atau

hidup liar. Bukannya seperti tempat kediaman Ariff di bandar sana.” Benarlah kata Atuk itu.

Aku dapat merasakan perbezaan suasana di kampung dan bandar semenjak aku tiba di sini untuk

menghabiskan cuti persekolahanku. Pada mulanya aku berat hati hendak balik ke kampung Atuk

kerana aku leka bermain game sama ada di komputer atau gajet di rumahku. Dan aku yakin di

sini sunyi. Dan aku tidak mahu hadapi suasana asing begitu.

Ibu memujukku agar aku cuba belajar mengenali alam semula jadi pula. Pengetahuannya

berguna juga dalam pelajaran sains di sekolah. Tidaklah aku terkial-kial hendak menjawab

soalan cikgu tentang pelbagai hidupan dan tumbuhan yang terdapat di sini. Akhirnya aku

bersetuju balik ke kampung dan tinggal bersama Atuk dan Nenek. Dan aku terpaksa lebih lama

tinggal dengan Atuk dan Nenek kerana kerajaan isytiharkan PKP bersambung PKPB sebagai

langkah mengekang penularan virus corona.

“ Atuk ni asyik melayan kau bersembang saja, terlupa pula apa Atuk nak buat.” Atuk

cuba mengingatinya.

“Oh Nenek suruh Atuk ambil daun kunyit dan serai di belakang rumah! Nak suruh kau

pergi ambil, nanti lain pula yang kau ambil.”

Aku tersengih saja. Memang aku tidak kenal rupa daun kunyit dan pokok serai

bagaimana. Aku perlu belajar mengenalinya.

“Biar saya ikut Atuk mengambil serai dan daun kunyit di belakang rumah. Nanti kalau

Nenek minta saya ambilkan serai dan daun kunyit saya sudah tahu” aku segera mengekori Atuk

yang melangkah dengan agak cepat. Aku melihat dua ekor burung bersama anak-anaknya

memagut sesuatu di atas rumput.

 



Aku teruja memandangnya. Kalau dapat kutangkap dapatlah aku bermain-main

dengannya. Kelihatannya burung-burung itu amat jinak. Tentu mudah saja aku menangkapnya.

Aku dekati burung-burung itu perlahan-lahan. Sebaik aku menghulurkan tangan untuk

menangkapnya, burung-burung itu dan anak-anaknya melarikan diri pula.

Pantas aku cuba mengejar. Tapi kakiku tersadung akar pokok. Lantas aku tersungkur.

Lututku luka sedikit. Aku mulai merasa kesakitannya. Aku menangis.

“Atuk!” jeritku.

“Eh kenapa kamu terduduk di sini? Menangis pula! Apa yang dah jadi? Atuk ingat kamu

dah balik ke rumah. sebab Atuk tak nampak kamu dekat Atuk tadi. Sudah jangan menangis.

Orang lelaki mana boleh menangis. Luka sikit saja tu. Lepas disapu ubat sembuhlah tu.”

“Sakitlah Atuk!”

“Kamu buat apa sampai terluka lutut kamu?”

“Saya cuba nak tangkap burung tu,” tiba-tiba burung yang hendak kutangkap tadi

kelihatan berada di tepi semak.

“Oh kamu nak tangkap burung wak-wak ke! Memanglah tak akan kamu dapat

menangkapnya. Sudahnya kamu yang terjatuh dan luka lutut kamu.”

“Nampaknya macam jinak saja!”

“Nampak saja macam jinak. Tapi burung ni memang liar.” Atuk mengambil beberapa

helai daun yang tumbuh di dalam semak. Daun itu Atuk ramas hingga lumat. Kemudian Atuk

meletakkannya di lututku yang terluka. Darah merah yang mengalir sudah berhenti.

 

“ Daun apa ni Atuk?”

“Ini daun kapal terbang. Ubat untuk sembuhkan luka kecil. Tak lama lagi sembuhlah luka

kamu tu. Mujarab mengubat luka.”

Atuk menolong aku untuk bangun.

“Kamu masih kuat untuk berjalan kan? Kalau kamu tak kuat biar Atuk dokong kamu

macam kamu kecik dulu.”

Aku tertawa sedikit mendengar kata-kata Atuk.

“Jom kita naik ke rumah. Nenek kamu tentu sedang tertunggu-tunggu serai, daun kunyit

yang dipesannya untuk dimasak rendang ayam. Esok kan kita nak sambut raya. Kalau kamu nak

burung wak-wak, nanti Atuk tangkap dengan jaring.”

Keesokan pagi Atuk mengajak aku ke bawah rumah melihat burung wak-wak yang telah

Atuk tangkap. Teruja aku melihatnya. Ada enam ekor semuanya. Aku memegang seekor burung

wak-wak dengan kejap agar tidak terlepas.

“Atuk nak sembelih untuk dibuat lauk kita!”

“Janganlah sembelih Atuk! Kasihan burung-burung tu. Mungkin mereka ada anak-anak

kecil seperti saya lihat semalam. Saya hanya hendak bermain-main sekejap. Kemudian Atuk

.lepaskanlah semula.”

“Suka hati kamulah Arif. Sungguh mulia hati kamu. Sentiasa prihatin terhadap nasib

makhluk Allah.” sahut Atuk sambil mengusap-ngusap kepalaku

TAMAT


No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist