Sunday, 7 September 2025

PUJANGGA SYAIR

 ASSALAMUALAIKUM


 


PUJANGGA SYAIR
Genre: Syair
Penulis: Abdullah Abd Rahman / Tabir Alam
Penerbit: SPTA
Nombor ISBN: 789-672-994565 (Sastera Puisi)
Bilangan Muka Surat: 114
Tahun Terbitan: 2025
Harga: RM20
Pengulas: Paridah Ishak

Naskhah PUJANGGA SYAIR menghimpunkan 26 buah syair karya Abdullah Abd Rahman yang menggunakan nama pena Tabir Alam. Beliau merupakan seorang penulis yang telah lama berkecimpung dalam penulisan puisi tradisi syair. Banyak karyanya diterbitkan dalam pelbagai antologi terbitan SPTA dan penerbitan lain, selain hadir dalam bentuk buku persendirian. Majalah seperti Dewan Sastera, Dewan Agama dan Falsafah, Jendela Utara DBP, serta Buletin Karya BeTA turut menyiarkan syair beliau. Lebih membanggakan, beliau pernah meraih tempat pertama dalam Pertandingan Mencipta Syair Figura Sastera Klasik Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pemilihan judul Pujangga Syair amat bertepatan kerana penulis benar-benar arif dan tekun mengangkat genre klasik ini.

Syair merupakan puisi tradisi yang berasal dari Parsi, tersusun dalam empat larik serangkap, dengan jumlah suku kata tidak melebihi tiga belas, dan rima akhirnya seragam. Temanya pelbagai  kisah sejarah, mitos, tokoh, praja, kerohanian, hingga acara tertentu.

Dalam naskhah ini, syair bertema sejarah seperti Darul Ridzuan, Lagenda Mat Kilau, Negeri Melaka, Razia Sultan, dan Tun Teja pasti menarik perhatian pembaca. Manakala syair bertema mitos seperti Ikan Terubuk, Ikan Koi, Memdam Berahi Bahtera Agung, serta Memdam Berahi Lupa Daratan Kerana Cinta pula naratifnya mengujakan.

Tema patriotik turut diketengahkan melalui syair bertajuk Tuju Merdeka, Malaya Merdeka, dan Bunga Raya. Tidak ketinggalan syair bertemakan acara dengan judul Majlis Nikah Kahwin serta Penutup Seminar.

Selain itu, penulis juga memberi apresiasi kepada tokoh-tokoh penting seperti Bapa Malaysia, Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Nurul Fithri, Sharifah Aini, dan Aminah Assilimi. Meskipun ruang lingkup bahasa syair agak terhad, penulis tetap berjaya menyampaikan fakta sebenar dalam bentuk puisi yang indah. Untuk tema praja pula, beliau mengangkat kisah Kuala Kangsar dan Ipoh.

Aspek kerohanian tidak ketinggalan, dengan syair seperti Sepuluh Zulhijah, Kembara Malam Isra’ Mikraj, Nabi Shuaib, dan Nabi Syamwil yang sarat dengan pengajaran bermanfaat.

Diksi yang digunakan penulis indah, puitis, dan tepat pada maksud. Susunan rima hujungnya pula kemas dan serasi. Lebih penting, penulis merujuk pelbagai sumber sebelum menggubah setiap syair, agar fakta yang diketengahkan benar-benar sahih.

Tahniah diucapkan kepada penulis kerana berjaya melahirkan naskhah ini dengan penuh kesungguhan. Kehadiran PUJANGGA SYAIR bukan sahaja memperkayakan khazanah sastera puisi tradisi, malah wajar dimiliki setiap pencinta sastera tanah air.


2 comments:

  1. Pasti syair syair yang dicipta menarik semuanya

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.
    Masih ada usaha mengekaljan dan mengetengahkan puisi tradisional Melayu.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist