Tuesday, 30 September 2025

RUMPUN NIPAH TUK

 ASSALAMUALAIKUM


RUMPUN NIPAH TUK



Hari semakin senja.Kelihatan tompokan awan jingga di kaki langit. Aku masih leka dengan

kerjaku. Padi kutabur kepada ayam dan itik di reban. Amat menyeronokanku melakukannya.

Melihat itik menyudu makanan dan ayam mematuk tanpa henti membuatku ralit.

Banyak juga ayam dan itik peliharaanTuk. .Ada itik serati, itik jawa dan angsa.Warna

bulu mereka dan bentuknya berbeza.Kecil dan besar.Anak-anak itik dan anak-anak ayam yang

baru menetas pun ada.

“Buat apa tu Amar? Naik ke rumah mandi.Hari pun dah nak senja ni!”

“Sekejap lagiTuk!”

Tuk sudah berada disisiku. Aku melihat di tangannya ada pisau kecil.

“Tuk nak ke mana pula dengan pisau tu?

“Kamu kan baru sampai dari Kuala Lumpur, tentulah nak merasa air nira.ItulahTuk nak

pergi sadap nipah dan tadah niranya.”

“Oh. Nak ikut Tuk!”

“Tak payah ikutlah! Kat dalam rumpun nipah tu banyak nyamuk.Tentu kamu tak tahan

gatal digigitnya.”

“Tak apaTuk.Nak ikut juga!”

“Hmm…degil juga kamu ni! Kalau nak ikut juga kamu kena pakai baju lengan panjang

dan tutup kepala kamu dengan kopiah untuk mengelak gigitan nyamuk.”

“Tuk tunggu ya! Amar pergi cari baju lengan panjang dan kopiah.”

“Yalah.Cepat sikit!” Aku berlari masuk ke rumah.Cepat saja aku menyarung baju

berlengan panjang ke tubuhku dan mencapai kopiah putih yang tersangkut di sudut ruang

bersolat.

Segera aku berlari mendapatkanTuk yang kini berada di bangsal. Bangsal itu tempat Tuk

menyimpan segala peralatan kerja yang digunakannya seharian.Tuk mengilik beberapa bekas

pelastik putih.

“Biar Amar bawa separuh bekas-bekas tu.” Kataku dengan tujuan membantuTuk.

“Apa nak dibuat dengan bekas-bekas niTuk?”

“Tuke-tuke ni gunanya untuk tadah nira.”

“Tuke! Bukan bekas pelastik?”aku bertanya sangsi.

“Yalah bekas pelastik.Tapi orang di sini sejak berzaman memanggilnya“tuke”.Dulu tuke

untuk menadah titisan nira digunakan buluh saja.Sekarang dah ditukar dengan menggunakan

bekas pelastik pula.”

Tuk mulai terbongkok-bongkok menghiris tipis kulit mayang buah nipah.Buah nipahnya

sudah tiada apabila dibuang kerana hendak mengambil niranya. Kata Tuk kepadaku tatkala aku

bertanya. Aku perhatikan banyak juga mayang nipah yang berbuah.

Tuk meletakkan bekas pelastik di hujung mayang nipah untuk menadah nira yang mulai

menitis. Bekas itu direka dengan penutupnya untuk mengelak serangga atau sesuatu terjatuh ke

dalamnya.Dan mencemari kebersihannya.

“KenapaTuk tak potong buah nipah tu untuk ditadah niranya?”

“Belum masanya. Kena tunggu buah nipahnya berisi dulu.”

“Oh begitu pula!”aku terpaksa menepis gerombolan nyamuk yang mengerumuni

tubuhku.Tapi kulihat Tuk biasa saja.Langsung tidak peduli dengan nyamuk yang berdengung di

sekelilingnya.

Tersenyum Tuk memandang telatahku.

“Itulah kanTuk dah kata tadi, jangan ikut! Kat sini memang banyak nyamuk. Maklum

kawasan ni sekelilingnya bendang. Tambah pula sedang musim padi baru di tanam. Masih

banyak airnya di dalam bendang.”

“TapiTuk biasa saja.Tak kisah pun dengan nyamuk!”

“Tuk dah kebal dengan gigitan nyamuk ni. Sebab sejakTuk sebaya kamu lagiTuk dah

selalu tolong Moyang kamu menyadap nira.”

“Bukankah gigitan nyamuk boleh membawa penyakit? Terutama nyamuk aedes yang

menyebarkan penyakit denggi.Kena berhati-hati jugaTuk.”

“Betullah tu.Kamu kalau takut digigit nyamuk aedes lain kali jangan ikut Tuk menyadap

nira.” Tuk menasihatiku.

Tuk membongkok lagi untuk menyadap mayang nipah seterusnya. Aku menghulurkan

“tuke” yang berada di tanganku kepadaTuk setelahTuk selesaikan kerjanya.

“Dah pun siap kerja kita.Kalau kamu nak merasa nira segar, malam ni boleh Tuk turun

kutip.”

“Tak apalahTuk. Bahaya juga mengambil nira malam hari kan.Entahkan ada ular yang

bersembunyi di sebalik rumpun pokok nipah tu, nantiTuk dipatuknya..”

“Ye lah.Sayang juga Amar padaTuk ya!” Tuk tersenyum manis sambil mengusap lembut

kepalaku.



“Esok pagiTuk kutip nira ni, bolehlah Amar minum. Nanti Amar tolong Tuk bungkus

untukTuk jual kepada pembelinya.SelebihnyaTuk akan masak untuk jadikan “nisan”. Dan

simpan sedikit untuk dijadikan cuka.”

Dan pada pagi itu, aku menolong Tuk menyelesaikan kerja berkaitan nira bersama Papa dan

Mama..

“Wah banyak juga kerjaTukdengan nira ni ya!”

“Yalah Amar. Dengan itu dapatlahTuk menambah sedikit rezeki. Hidup di sini mesti

rajin menggunakan tulang empat kerat untuk bekerja.Tambah kalau tiada pelajaran tinggi macam

Tuk.Sebab tu kamu kena belajar rajin-rajin sampai masuk universiti, macam Mama dan Papa

kamu.Nanti tidaklah kamu terpaksa berkerja keras macamTuk untuk mencari rezeki.”

Aku membayangkan kerja yang dilakukanTuk seharian selama berada di sini untuk

mengisi masa cuti sekolah bersama Mama dan Papa. Setelah menyiapkan sarapan pagi dengan

memasak nasi lemak, pulut tanak, cekodok atau lain-lain juadah, Tuk akan turun ke tanah untuk

memberi makan ayam dan itik.

Cergas pula langkahTuk menuju rumpunan nipah; mengutip nira nipah. Mengumpulnya

di dalam periuk besar.nira diasingkan mengikut bahagiannya. Ada yang dijual secara segar.

Sedikit disimpan untuk dijadikan cuka.Selebihnya dimasak dengan api di dapur kayu hingga nira

 



berwarna perang pekat. Manisan atau “nisan” pada sebutan Tuk akan dibotolkan dan dijual pula

kepada pembelinya.

Selesai saja kerja memperoses niraTuk akan bergegas pula melalui batas bendang untuk

melihat anak pokok padi yang baru ditanamnya sama ada subur atau sebaliknya. Sambil itu Tuk

akan turun ke dalam bendang untuk mencabut rumput liar yang mengganggu tumbesaran padi.

Pada sebelah malamnya aku melihat Tuk menjahit baju mereka yang sukakan jahitannya.

Rajin sungguhTuk.Setelah lewat malam baruTuk tidur.

Tidak lama lagiTuk akan menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah. Aku bersama

Papa dan Mama akan menghantarTuk ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan MAS.

“Banyak duit Tuk nak ke Mekah?”

“Adalah rezeki Allah hasil jual nira, upah jahit baju, hasil jual ayam itik dan padi yang

ditanam.”

“KalauTuk ke Mekah, siapa agaknya yang akan meneruskan kerja-kerjaTuk? Terutama

menyadap nira nipah?” tanyaku gusar.

“Amar doakan Tuk selamat beribadah haji. Memperolehi haji mabrur dan pulang dengan

selamat ke sini. Nanti dapatlah Tuk menyadap nira lagi. Amar kan suka mium air nira! Ujar Tuk

seakan dapat membaca fikiranku.

Aku menadah tangan mendoakan kesejahteraan Tuk beribadah haji dan melupakan

fikiran yang membuatku keliru.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


1 comment:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist