Saturday, 29 March 2025

SALAM AIDILFITRI

 ASSALAMUALAIKUM

ESOK LUSA DAH NAK RAYA...PI IKUT ANAK-ANAK BALIK KAMPUNG DI PAHANG N TERENGGANU...SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN SAHABAT BLOGGERS N VIEWERS...PI BIASALA KALAU BERCUTI TINGGALKAN PC TIADALAH N3..NAK GUNA HP UPDATE BLOG MEMANG TAK RETI. LAGIPUN MENAIP DI HP NI LAMBAT ...ASYIK SALAH JA.



Video Prof Salmah Amir terima kasih Sal


SALAM AIDILFITRI

(Terza rima)


Bergema  takbir serata alam

purnama Syawal sinarnya serlah

celah gemintang di langit malam

.

Rukyah dan hisab tiada salah

menjelanglah sudah Aidilfitri

sambutan rai segera olah

.

Suasana  nyaman berseri

ukhuwah kasih eratkan kemas

mohon maaf kesilapan diri

.

Di  Akademi Sanggar Nurimas

ruang sahabat berkenal mesra

santun salaman bertaut kemas

.

Aneka  genre karya sastera

ilham Penulis pena menulis

hasilan mutu indah ketara

.

Aidilfitri sungguhlah bermakna

hari mulia bersama cakna



PARIDAH ISHAK

DMS

28/3/025

Friday, 28 March 2025

RAYA ZAMAN DULU

 ASSALAMUALAIKUM

RAYA ZAMAN DULU

 



Mengenang masa beraya zaman kanak-kanak membuatku tersengih memanjang. Terutama tentang baju raya yang sedondon dipakai kami tiga beradik perempuan yang hampir sebaya hasil jahitan tangan emak.

Ketika tu kami sekeluarga tinggal di sebuah rumah kecil beratap nipah. Rumah jiran-jiran yang lain besar agam semuanya dan berdekatan antara satu sama lain. Kalau nak berziarah raya memang senang.

Pagi-pagi lagi sudah bangun berlari ke perigi untuk mandi sunat hari raya. Bukan main dingin lagi air yang ditimba naik menyiram tubuh kecil. Menggeletar bibir menahan kesejukan tapi mandi sunat hari raya fitri mesti dilakukan. Kelak selepas mandi bolehlah bergaya dengan baju baru dan kasut baru.

Siap berpakaian cantik akan bersarapan dulu dengan ketupat pulut dicicah gulai daging berserta kuih-kuih  tradisi yang disediakan emak. Kemudiannya bergerak ke masjid dan ke tanah perkuburan. Masjid dan tanah perkuburan jadi tumpuan anak-anak di hari raya kerana ramai yang sudi menghullur sedekah kepada anak-anak di situ.

Beraya ke rumah jiran-jiran hanya dijamu ketupat dan kuih muih saja dan kalau nak mengharapkan duit raya memang tak dapat. Duit raya hanya diberi emak ayah sendiri di hari raya. Berbeza sungguh cara raya anak-anak dulu dengan kini yang dengan mudah mengumpul duit raya dalam jumlahnya yang banyak.

Zaman aku beraya dulu kalau dapat kumpul seringgit pun sudah terlalu banyak rasanya. Kaya sangat dah tu heh..heh..


Thursday, 27 March 2025

KEMANUSIAAN

 ASSALAMUALAIKUM



KEMANUSIAAN

 

Kumerenung kertas kosong

kalam kutulis kabur kasmaran

keliling-kelalang kuintai

kemanusiaan ketara kelompongannya

ketandusan ketiadaan kasih

kerana keegoan kendiri

.

Keangkuhan kalangan kasta kayangan

kata kasar kesat kiasan kesukaan

keluhan kelompok kecil kampung ketawakan

kenapakah keputusannya  kelabu

keliru

 

.

Khalik  kurnia kelebihan kepada kalian

kadang kemewahan keterlaluan

kongsikanlah kasihan keprihatinan

kesombongan kesampingkan

.

Kedamaian kehidupan ketenangannya

kudamba kewujudannya

kita kan kelak ke kubur kesemua

kiam kematian


Wednesday, 26 March 2025

INGATAN KEPADA SEORANG ILHAMI HISHAM

 ASSALAMUALAIKUM




Dua naskhah terbaru terbitan NUHA BOOKS 025 berjudul INGATAN KEPADA SEORANG ILHAMI HISHAM telah selamat kepenerimaan PI kiriman penerbitnya Tuan Mohamed Nasser Mohamed Alhamdulillah! Terima kasih banyak Tuan kesudiannya. Cenderamata amat istimewa berharga berserta sampul duit raya lagi.. Naskhah apresiasi tribute mengenang sasterawan Ismail Hashim atau nama penanya Ilhami Hisham yang berpulang ke Rahmatullah Januari lalu, selenggaran penulis mapan AHKARIM, PUZI HADI, ABU HASSAN MORAD, ZAIDIN ABADI, PUTRAERY USSIN. Kandungannya berupa 43 untai sajak kenangan ukhuwah penulis rakan taulan kenalan juga sejumlah artikel berkenaan. Kakpidah menulis artikel SASTERAWAN ILHAMI HISYAM KENANGAN ABADI dalam antologi ini. Memang sasterawan ini baik budinya tiasa dalam ingatan. Al-fatihah semoga Allah mencucuri rahmat atas rohnya. Aamiin. Terharu sekali penerbit sudi memilih nota kecil kakpidah berada di laman naskhah antara coretan penulis terkenal berwibawa sahabat akrab almarhum..
Sekiranya ingin memiliki naskhah ini sila hubungi penerbitnya #facebook sebagai tanda sokongan. Harganya sederhana dan mampu milik.

Tuesday, 25 March 2025

AIR

 ASSALAMUALAIKUM



AIR
.
Pair terhenyak meronda malam,
lugai siakap lada diramu,
berlegar-legar lesung carinya;
air beriak tanda tak dalam,
bagai bercakap tiada ilmu,
berdegar-degar kosong isinya.
.
Penyair rancang balada retus,
tergedik-gedik galau beranduh,
jeda di pangkin rakan gelisah;
air dicencang tiada putus,
adik beradik walau bergaduh,
tiada mungkin akan berpisah.
.
Mujair legam waspada hiris,
terhenti-henti jila sahaja,
di para ara suar dikuit;
air digenggam tiada tiris,
berhati-hati kala belanja,
berkira-kira keluar duit.
.
Khair meranum markisa suri,
sisi tanamkan kelisa, rokam,
redih bercermat gara berulang;
air diminum terasa duri,
nasi dimakan terasa sekam,
sedih teramat selera hilang.
.
Mohair aneh ciak tersadai,
terlantun bedil terpaku nanar,
padah tatkala meniti sena;
air yang jernih sayak yang landai,
sepantun adil berlaku benar,
mudah segala pasti sempurna.

Sunday, 23 March 2025

BANGKIT ENGKAU BELUM REBAH

 ASSALAMUALAIKUM



BANGKIT ENGKAU BELUM REBAH

Alhamdulillah naskhah hadiah selamat kepenerimaan kakpidah kiriman penulis terkenal mapan Puan Sri Diah Shaharudin. Beliau juga merupakan mantan wartawan kanan sebuah akhbar tempatan juga penerbit Writers Write. Terima kasih banyak Puan Sri Diah Sharudin kesudiannya.

Naskhah BANGKIT ENGKAU BELUM REBAH terbitan Writers Write merupakan artikel motivasi pelbagai tajuk karya Puan Sri Diah Shaharudin yang telah terlibat dalam penulisan kesusasteraan dan arif dalam bidangnya di samping sebagai penerbit buku.
Beliau menulis bagaimana cara merawat jiwa yang rusuh gelisah tika menghadapi gangguan dugaan hidup dengan susunan naratif menyentuh situasi didepani.

Memetik seperenggan kata hikmah tulisan beliau; buku ini dicipta khusus untuk kalian yang sedang, berasa penat dalam hidup, berharap terlalu tinggi, selalu cemas, rasa tidak selamat, depresi, kerap panic, berasa sedih, selalu kecewa, mahu marah.

Pembaca mampu menafsirkan maksudnya dengan mudah kerana frasanya tidak terlalu rumit untuk difahami. Penggunaan laras bahasa sederhana dan teknik garapan penceritaan bersesuaian dengan citra paparan sesuatu judul. Namun nilai estetika diksi pilihan, ketara,Tahniah Puan Sri Diah Shaharudin, hasilan karya terbaik.

Sekiranya ingin memiliki naskhah istimewa ini sila hubungi penulisnya atau penerrbitnya @faxebook. Harganya sederhana dan mampu milik. 

Friday, 21 March 2025

BAGAI KERA DAPAT BUNGA

 ASSALAMUALAIKUM






BAGAI KERA DAPAT BUNGA

.

Peribahasa jelas maksudnya

kisah sebenar cerminan laku

dapat suatu untung nasibnya

geram sekali pandang terpaku

.

Bunga nan indah uja teliti

kelopak lerai satu persatu

carik kenanga, melur, melati

habislah punah tidak menentu

.

Mekar mewangi aroma segar

menarik minat ingin dipetik

ke mana-mana kera berlegar

hajat miliki semua cantik

.

Gerakan langkah dengan kawanan

rakus garanya merajalela

membawa watak dengan peranan

segenap ceruk rata melela

.

Jenuh dihambat tapi tak lari

tersengih dia wajah selamba

menambah dura bersimpul ngeri

segala tiada tiba-tiba

Wednesday, 19 March 2025

JELANG AIDILFITRI

ASSALAMUALAIKUM





 JELANG AIDILFITRI
 (Soneta) 

Ramadan Kareem beransur pergi 
menggamit Syawal mulakan kisah 
semoga kelak bertemu lagi 
sedihnya hati hendak berpisah 

Berzakat fitrah usah dilupa 
sebelum menjelang Aidilfitri 
bersama kita bertegur sapa 
rahmat Ramadan membawa seri 

Kunjung-mengunjung jalin ukhuwah 
busana indah menyalut diri 
jamu selera hidangan mewah 
riang gembira meniti hari 

Silaturahim santun lestari 
euphoria di Aidilfitri 


PARIDAH ISHAK 
Desa Melor Serendah 
19/3/025

Tuesday, 18 March 2025

ZAKAT FITRAH

ASSALAMUALAIKUM
ZAKAT FITRAH Tokwanku adalah seorang amil zakat fitrah. Beliau juga merupakan siak di kampungku. Setiap kali menjelang Syawal, penduduk kampung akan membawa beras untuk membayar zakat fitrah mengikut bilangan ahli keluarga masing-masing. Ruang tamu rumahnya akan penuh dengan beras yang dibungkus rapi dalam karung kertas dengan sukatan gantang. Penduduk kampungku kebanyakannya adalah pesawah padi. Oleh itu, mereka membayar zakat fitrah menggunakan beras hasil tuaian sendiri. Sebelum padi bertukar menjadi beras, mereka perlu menumbuk padi terlebih dahulu secara tradisional. Namun, suasana seperti itu kini tidak lagi kelihatan. Pada zaman ini, beras untuk dimasak menjadi nasi pun terpaksa dibeli, apatah lagi untuk digunakan bagi membayar zakat fitrah. fitrah Ramadan – bungkusan karung kertas serahan wajib

Monday, 17 March 2025

TASDIK IKTIKAD

 ASSALAMUALAIKUM


Salam Senayan Ramadan mulia moga bahagia rezeki pun lumayan.
Alhamdulillah sajak; TASDIK IKTIKAD karya PI disiar SUARA SARAWAK 16 Mac 2025 ....terima kasih banyak kesudian Editor...terima kasih banyak dik Eiza Nashwa @GRUP ALUMNI ASN berkongsi info....tahniah dik Noor izam dan penulis tertera turut berkongsi ruang karya.



Sunday, 16 March 2025

GULAI SIPUT SEDUT

 ASSALAMUALAIKUM






GULAI SIPUT SEDUT

(Limerik)


Baru bercadang berangan-angan

buka puasa jadi kenangan

pergi ke warung

leka memborong

siput sedut antara barangan

.

Dimasak gulai enak nampaknya

nasi sedia dengan banyaknya

segera makan

terkilan sakan

siput sedut tiada isinya

.

Sedarlah kini ada tak kena

penjual hanya hendak mengena

cara mengolah

sudah tersalah 

gelojoh beli nasib terkena

.

Kuah sahaja boleh diharap

akhirnya habis mangkuk tiarap

geramnya rasa

menyiram bisa

merahlah wajah darah menyirap


Sebab teringin mencari lagi

beli di pasar  tatkala pagi

siput nan segar

jenuh berlegar

dapat sekilo kikih meranggi 



PARIDAH ISHAK

Desa Melor Serendah

16/3/25


Saturday, 15 March 2025

HENING MALAM RAMADAN MUBARAK

 ASSALAMUALAIKUM





HENING MALAM RAMADAN MUBARAK

 

Berbahagia  bersama detik rahmat berkat sempurna

mutiara ganjaran amal ibadah usaha kutip

berpuasa dengan sahur sebelum imsak

kariah selesai iftar setelah maghrib

jemaah takzim menurut imam

tertib adab upaya daya

solat tarawih kusyuk

awal malam

Ramadan

.

Ramadan

awal malam

solat tarawih kusyuk

tertib  adab upaya daya

jemaah takzim meburuti imam

kariah selesai iftar setelah maghrib

berpuasa dengan bersahur sebelum imsak

mutiara ganjaran amal ibadah usaha kutip

berbahagia bersama detik rahmat berkat sempurna


Friday, 14 March 2025

ELEGI JELANG LEBARAN

 ASSALAMUALAIKUM






ELEGI JELANG LEBARAN

.

Jelang lebaran menghulur salam

bergenang tangis ketara basah

senja berakhir bermula malam

kala begini nyata berpisah

.

Genggaman tangan terlerai sudah

melepaskanmu berat sekali

renungan sayu tiada madah

takdir tersurat sejak azali

.

Berladung sayu menghiris sukma

gerimis duka luruh merenyai

sekian musim telah bersama

dibungkus hiba segala lunyai

.

Cinta Ilahi amat sempurna

hamba yang soleh undang bertamu

ke alam barzah tinggalkan fana

tiba waktunya bisa ketemu


Semoga  tabah  semangat jiwa

pertemuan jua perpisahan

hadap ujian tarbiah rawa

seka tangisan perlahan-lahan

Wednesday, 12 March 2025

MESIN TAIP

 ASSALAMUALAIKUM

MESIN TAIP

 


PIC GOOGLE IMAGES (C)

Suami membeli sebuah mesin taip jenama “Olivetti Lettera”  untuk kegunaanku menaip karya penulisanku. Lantaran kesibukanku mengurus rumahtangga, aku tidak langsung dapat menggunakannya. Tersadailah mesin taip itu di atas almari. Akhirnya usang dan rosak. Akupun bertekad melupakan minatku menulis. Tidak mahu menulis lagi. Mesin taip kuanggap tidak berguna dalam kehidupanku. Lalu kucampak saja dalam kolam ikan tilapia di belakang rumahku. Tapi takdirku tidak berlaku begitu. Tika usia senja aku kena menulis kerana keperluan kehidupanku.


Hari Wanita –

“Olivetti Lettera”

rahsia takdir  


Tuesday, 11 March 2025

MELODI RAMADAN

 ASSALAMUALAIKUM



MELODI RAMADAN



.
Hening malam.Selimut dingin ulit tubuh. Berbuai melambung sekujur diri di atas buaian dini hari sebelum fajar tasdiq merona lembayung siang. Ritma atma berlagu melodi sendu mengalun diksi puitis karya seni, ayat cinta Ilahi. Syahdu menghimpun sendu mengait pilu membuak duka mengaji risalah suci. Sebak meranum merejam kalbu; renyai gerimis hiba.
Diatas buaian gelita, ralit berayun masih.
Mengharap susun doa diraup sepasang tangan kurus mohon ampun dosa, reda Ilahi rahmat Ramadan mulia. Denyut nadi mengisi hayat berayunan membuai perasaan. Tahajud kusyuk. Mengusir lelah merusuh resah gelisah gentayang lamun. Lelap lena. Tugu tawakal sangga mata luyu. Istiqamah beriman
Dia penentu segala. Janji-Nya pasti. Esok mungkin tiada untuk mengutip mutiara ganjar amal mengisi rantang bekal akhirat.

Sunday, 9 March 2025

KECURIAN SAWIT

 ASSALAMUALAIKUM



KECURIAN SAWIT

 

Pegawai ladang skim FELDA  kampungku mengirim penyata hasil pendapatan dan kos pengurusan penuaiannya. Beliau memberitahu anakku, buah sawit di kebunku mutakhir ini sangat sedikit kerana ada yang mencurinya. Pendapatan untuk bulan Januari dan Februari cuma 800 RM. Agaknya hanya beberapa kilogram saja yang sampai di kilang proses sawit sedangkan keluasan kebun sawit melebihi 10 ekar. Aku mengagak tentu pihak pengurusan FELDA Wilayah Pahang Tengah mempersoalkan tentang itu. Dan terpaksalah pegawai FELDA di kampungku mencari solusinya. Mereka bercadang menyerahkan kontrak penuaian sawit kubunku pada pihak lain. Sejak dari dahulu lagi aku hanya menerima hasilan sangat sedikit berbanding peneroka lain yang menerima hasil jualan sawit 3K hingga 10K setiap kali tuaian. Aku berpada saja dengan rezekiku perolehi. Dan berdiam diri tanpa mempersoalkannya.

 

bil pengurusan

hasilan kebun sawit -

gangguan durja


Saturday, 8 March 2025

SENSITIF

 ASSALAMUALAIKUM


PIC SIFU TA (C)


 

 

SENSITIF

 

Isu

Malaysia

bahang bagai api

semarak membakar hangus

akal

.

Akta

adab tertib

dibentang segera

justeru gaya menghina

nista

.

Gara

usik cuma

terasa sensitif

sombong diri nyata

terlupa mana berjejak

kaki

.

langit

awan biru

berkongsi semua

harmoni singkir sengketa

dingin


Friday, 7 March 2025

ANEKDOT ABU NAWAS

 ASSALAMUALAIKUM


SALAM JUMAAT MULIA RAMADAN MINGGU KEDUA


PROKLAMASI KELAHIRAN...
HUU.. PANAS! PANAS! BARU KELUAR DARI KETUHAR!
Salah sebuah buku daripada Siri Kisah Teladan Kanak-kanak ASN telah lahir memeriahkan lagi dunia perbukuan negara. Karya penulis istimewa, Puan Paridah Ishak yang sememangnya kaya dengan cerita-cerita klasik, pengajaran dan pengetahuan untuk kanak-kanak.
Kisah berbentuk anekdot menceritakan perihal kebijaksanaan Abu Nawas dalam menyelesaikan masalah. 20 buah kisah anekdot yang nyata memberi banyak pengajaran dan pendidikan kepada kanak-kanak, wajar dibaca untuk pembugaran sahsiah dan minda mereka. Bahaan bacaan mendidik jiwa dan memberi sumber idea ditulis dengan bahasa santai yang menyeronokan.
Dapatkan sekarang daripada Unit Pemasaran Sanggar Nurimas Enterprise atau penulisnya sendiri dan admin ASN. Bantulah produk mandiri kerana kami guna dana sendiri. Dunia buku tidak akan mati!
CNP/NURIMAS







Alhamdulillah terima kasih along sudi terbitkan karya olahan bebas kisah klasik Abu Nawas seorang ilmuan sufi bijaksana pada zamannya....beliau watak istimewa tiasa dapat selesaikan masalah di lingkungannya secara bersahaja dan lucu....naskhah sesuai dibaca semua demi peroleh ilmu dan ibrah....jom segera jadikan sebagai khazanah sastera bermanfaat daripada penerbitnya NURIMAS SN. Harganya 20RM ja...

Thursday, 6 March 2025

TERKUNCI GAPURA HATI

 ASSALAMUALAIKUM



TERKUNCI GAPURA HATI

Genre : Kumpulan Cerpen

Penulis : NURIMAS SN

Penerbit : DBP

Nombor ISBN : 978-983-49 -  4668-5 ( Sastera Kehidupan)

Bilangan mukasurat : 237

Harga: 25 RM

Pengulas : Paridah Ishak

 

TERKUNCI GAPURA HATI terbitan DBP merupakan naskhah kompilasi dua puluh cerpen pelbagai tajuk karya NURIMAS SN,  penulis mapan yang sering menerima anugerah sastera peringkat negeri dan kebangsaan. Beberapa cerpen dalam naskhah ini pernah disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, Tamadun Islam, Dewan Budaya. Jendela Timur dan cerpen baru belum pernah diterbitkan.

SURAU LAMA TEPI LADANG, KAK NGAH, WARUNG PUTERI MENANGIS, LANGKISAU DAN PAKSINA, AIR MATA DAKSINA, TERKUNCI GAPURA HATI, MIMPI UNTUK DIJUAL, MENGULIT KENANGAN, WALA SUJI DI RUMAH JEMBAR, DOLLAH MASIH HIDUP, MITOS KECUBUNG DAN LELAKI BERSUMBI GIGI, GMIP, ANGKARA RM 500, PERANTI APA PADA TALI PUSATNYA, DOLLAH GENIUS, NERACA RAYYAN, SEORANG WANITA YANG TERLUCUT BAJU SENYAWA KUNINGNYA, BALONG, BALADA SEORANG WARDEN TUA, SECANGKIR ROBUSTA SEPINGGAN TAPIOCA ialah tajuk menarik pilihan penulisnya.

Temanya nilai murni kehidupan dan sosio budaya masyarakat. Isu berbeza dikemukakan pada setiap cerpen mampu pembaca menafsirkan maksudnya dengan mudah kerana naratifnya tidak terlalu rumit untuk difahami. Penggunaan laras bahasa sederhana dan teknik garapan penceritaan bersesuaian dengan citra paparan sesuatu judul cerpen.


Wednesday, 5 March 2025

BERAS PERANG

 ASSALAMUALAIKUM




BERAS PERANG
.
Beras perang memiliki kualiti yang tinggi, kaya dengan khasiat berbanding beras putih. Kandungan serat dan antioksidan juga lapisan bran yang masih menyelimutinya, menjadikannya pilihan utama bagi penghidap diabetes sebagai makanan harian. Namun, tidak ramai yang menggemarinya.
Di kampungku, pengguna beras perang sering dipandang sinis, dianggap sebagai golongan yang serba kekurangan. Rasanya yang sedikit kasar selepas dimasak membuatkan ia kurang digemari. Kini, harga beras tempatan telah menyamai harga beras import, hanya kerana pembungkusnya melabelkannya sebagai beras luar negara.
Ketika aku pulang ke kampung hujung tahun lalu, aku mendapati ibu saudaraku memasak nasi menggunakan beras perang. Apakah beliau kini menyedari khasiatnya, atau sekadar tidak mampu lagi membeli beras tempatan yang telah "bertukar wajah" menjadi beras import dengan harga yang lebih mahal?
beras tempatan
citra label bungkusan –
soalan nilai

MyBloglist