Tuesday, 23 July 2024

PERMATA BUDI

 ASSALAMUALAIKUM



RANCANGAN: PURBAWARA.
PENERBIT: .
TAJUK: PERMATA BUDI.
PENULIS: PARIDAH BINTI ISHAK.
ALAMAT: NO.7, JLN 7F, DESA MELOR, SERENDAH, SELANGOR.
K/P:
HP/ E-MEL:
AKAUN BANK:
PELAKON: 1. ………………………….......... sebagai DARMATASIAH.
2. ………………………….......... sebagai IBU.
3. ………………………….......... sebagai AYAH.
4. ………………………….......... sebagai UTUSAN
5. …………………………............sebagai MAKHRUF.
EFEK: 1. CURAHAN AIR
2. SUARA TANGISAN BAYI.
3. PUKULAN BERTUBI-TUBI
4. DERU ANGIN
SINOPSIS:
Darmatasiah seorang isteri yang sangat taat kepada suaminya, setiap kali suaminya pulang dia akan menyambut suami dengan membasuh kaki suaminya. Setelah itu dia akan mengeringkan kaki suaminya dengan rambutnya yang panjang sambil memohon suaminya mengampuni dosa kesalahannya. Perilaku yang menjadi amalannya. Dia bersyukur ke hazrat yang Esa setelah menyedari dirinya hamil. begitu juga dengan suaminya. Darmatasiah melahirkan seorang anak perempuan. Suaminya menamakannya Chenderadewi. Pada suatu malam tika suaminya sedang makan hidangan yang disediakan, Darmatasiah melihat pelita hendak terpadam nyalaan. Dia bimbangkan suami dan anaknya kegelapan dan menyebabkan mudarat. Segera digantikan sumbu pelita itu dengan tujuh helai rambutnya. Cahaya pelita kembali terang. Suamiya tiba-tiba memarahinya kerana melakukan itu tanpa izinnya. Dia tidak mahu lagi melihat isterunya dan menghalaunya. Darmatasiah memohon maaf tapi suaminya memukulnya hingga pengsan. Dia ingin berlindung dengan ibu dan ayahnya tapi mereka menuduh dia telah bersalahkepada suaminya dan tidak mahu turut berdosa kerana menolongnya. Darmatasiah membawa diri ke dalam hutan. Dia berdoa kepada Yang Esa agar mengampuninya. Hajatnya tertunai. Mahligai emas wujud disisinya. Utusan yang Esa membawakan persalinan dari syurga. Wajahnya berubah cantik berseri. Ibu, ayah dan suaminya tidak kenalinya kala dia pulang temui mereka.
GRAM: MUZIK PENGENALAN.
JURUHEBAH: Wahana citra warisan bangsa, dipersembahkan dalam Purbawara. (PAUSE) Purbawara dengan kisah “PERMATA BUDI” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor. “PERMATA BUDI”.
SYAIR:
Darmatasiah syair berkisah,
menabur bakti tak kira susah,
agar suami tidak gelisah,
ingin bersama bukan berpisah.
Suci hatinya sukar selami,
taat setia kasih bersemi,
baik budinya batas tanami,
takut berdosa pada suami.
GRAM: MUZIK.
D.TASIAH: (GEMBIRA) Kekanda Sheikh sudah pulang! Alhamdulillah syukur adinda ke hadzrat Allah kerana memelihara kekanda daripada mara bahaya. Biar adinda basuhkan kaki kekanda agar bersih segala noda. (PAUSE) Biar adinda keringkannya dengan rambut adinda ini. (PAUSE) (LUNAK) sebelum kekanda menjamah hidangan yang dinda sediakan, terlebih dahulu adinda memohon ampun akan kesalahan dinda sekiranya ada… dari hujung rambut hingga huujung kaki aduhai kekanda. Silakan santap hidangan seadanya yang dinda hidangkan ini kekanda Sheikh.
GRAM: MUZIK.
SMAKHRUF: Alhamdulillah (TERBELAHAK) masakan dinda ini teramatlah lazat kanda nikmati. Berulang kali menambahnya. Tidak cukup sepinggan saja. Pandai sungguh adinda membuka selera kanda.
DTASIAH: (TERUJA) Begitukah? Terima kasih kerana kekanda menyukai masakan dinda. (PAUSE) Dinda Cuma memasak segala bahan telah kanda adakan sahaja. Tidak menambah atau mengurangkannya. Dinda takut kemurkaan Allah kalau tidak amanah dengan urusan rumah tangga dan juga kemurkaan kanda suami adinda..
SMAKHRUF: (TERUJA) Alhamdulillah! Suka benar hati kekanda mendengar bicara adinda. Bersyukur kanda bertemu jodoh dengan isteri solehah seperti dinda.berakhlak sempurna, pekerti mulia. Dan sangat setia.
DTASIAH: (TERSIPU) Usahlah berkata begitu kanda! Dinda hanya seorang manusia biasa yang teramat banyak kekurangannya. Pujian kekanda itu tidak layak untuk dinda terima. (PAUSE) Usahlah kanda bicara lagi. Segeralah kanda ke kamar peraduan, beradu merehatkan raga. Kanda tentu teramat lelah setelah berdagang di pesara.
SMAKHRUF: (MELENGUH) Uhh benarlah bicara dinda itu! Terasa seluruh raga amat keletihan dan mata semakin lemah berkelip. Biarlah kanda beradu di kamar peraduan. (SUARA LUNAK) Marilah dinda temankan agar kanda tidak kesepian.
GRAM: MUZIK.
SMAKHRUF: Assalamualaikum!
DTASIAH: (TERUJA) Waalaikummussalam! Alhamdulillah kanda sudah pulang! Biar dinda basuhkan kaki kekanda daripada cemaran noda dan keringkannya dengan rambut adinda ini. Silakanlah kanda naik ke rumah dan maafkan semua kesalahan dan dosa dinda dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.(PAUSE) Silakanlah kanda menjamah hidangan dinda yang tidak sepertinya ini.
SMAKHRUF: Marilah santap bersama kekanda ya adinda. (PAUSE) Kanda perhatikan wajah adinda semakin cantik berseri dan tersenyum manis sentiasa. Apakah ada sesuatu yang hendak adinda khabarkan kepada kekanda? Usahlah sembunyikannya dinda.
DTASIAH: (SERBA SALAH) Ampunkan dinda wahai kekanda. Tadi… ibu dan ayah telah singgah sebentar di sini kala menuju ke hulu. Ibu memberitahu dinda bahawasanya dinda ini telah hamil menurut permerhatian ibu akan keadaan diri adinda.
SMAKHRUF: (GEMBIRA) Alhamdulillah! Kekanda menjangka khabarnya benar kerana ibu adalah bidan terbilang. Bersyukur kekanda akan anugerah Yang Esa. (TERUJA) Kanda akan namakan anakanda kita Ahmad kalau putera. Andai puteri kanda namakan Cenderadewi.
GRAM: MUZIK.
IBU: (KALUT) Cepat jerangkan air anakanda Sheikk Makhruf! Sebentar lagi anakanda Darmatasiah akan melahirkan. Ibu sudah siapkan semua kelengkapan membidan. Kasihan… Darmatasiah sedang menahan kesakitan.
DTASIAH: Astaghfirullah! Aastaghfirullah! Aastaghfirullah! (SUARA SEBAK) Hamba mohon ampunkan semua kesalahan hamba kepada ayah… ibu dan halalkan susu ibu dan semua baik budi ayah ibu kepada hamba selama hidup.
AYAH: (SUARA LEMBUT) Usahlah banyak bicara anakanda. Tabahkan hati hadapi kesakitan. Ibu anakanda sudah sedia hendak menyambut cahaya mata anakanda. Biarlah ayah dan anakanda Sheikh beredar menunggu di serambi.
DTASIAH: (MENAHAN SAKIT) Astghfirullah! Kekanda Sheikh…ampunkan semua kesalahan dinda daripada hujung tambut sampai hujung kaki duhai kekanda.
IBU: Usah banyak bicara lagi nanda. Sebentar lagi putera atau puteri akan nanda lahirkan ke alam dunia. Bersabarlah menahan sakitnya.
AYAH: Banyakkan zikir, berselawat dan doa kepada Yang Esa semoga mudah anakanda melahirkan cahaya mata tanpa gendala mendurja…amiin.
SMAKHRUF: Ya adinda. Kanda maafkan kesalahan dinda walau sebenarnya dinda tiada apa-apa kesalahan.
AYAH: Ayuh anakanda Sheikh kita ke serambi bersolat hajat memohon pertolongan Yang Esa agar melindungi Darmatasiah dari segala mara bahaya dan mudah melahirkan cahaya mata.
GRAM: MUZIK.
EFEK: SUARA BAYI MENANGIS
AYAH: (TERKEJUT) Barangkali Darmatasiah telah melahirkan cucunda ayah. Ayuh anakanda kita segera ke dalam sana, bertanya akan khabarnya!
SMAKHRUF: (TERUJA) Ayuhlah ayah. Anakanda juga tiada sabar lagi hendak mengetahui apa yang terjadi.
GRAM MUZIK:
SMAKHRUF: Anakanda Cenderadewi! Ayahanda belikan anak-anakan ini buat mainan anakanda.
DTASIAH: Indah sekali anak-anakan ini kekanda. Tapi puteri Cenderadewi masih terlalu kecil hendak bermain dengannya.
SMAKHRUF: Tidak mengapa dinda. Anak-anakan ini boleh jadi temannya beradu.
DTASIAH: Kalau demikian maksud kekanda, tiadalah bersalahan. Dinda setuju sahaja. (PAUSE) Silakanlah kanda santap hidangan yang telah dinda sediakan itu.
SMAKHRUF: Marilah temani kanda santap bersama.
DTASIAH: Ampuni dinda ya kanda kerana adinda terpaksa meriba anakanda Cenderadewi agar tidak mengganggu kekanda santap dengan lakunya. (MONOLOG) Nampaknya api pelita seakan mahu terpadam. Sedangkan kekanda Sheikh masih bersantapan. Apakah yang patut hamba lakukan? Kalau hamba biarkan terpadam tentu akan kelam. Kalau hamba tinggalkan anakanda di sini khendak mencari pelita ganti tentu anakanda akan menangis dan besar dosanya sekiranya meninggalkan suami kala begini. Baiklah hamba kerat tujuh helai rambut hamba ini untuk dijadikan sumbu pelita. (PAUSE) Alhamdulillah pelita sudah terang bercahaya dan kanda Sheikh meneruskan santapannya.
SMAKHRUF: (MARAH) Apa yang dinda lakukan ini?. Mengerat rambut sendiri untuk jadikan sumbu pelita tanpa minta izin dari kekanda! Kelaku dinda ini tidak boleh kanda terima lantaran tidak taat akan perentah kekanda. Perbuat sesuatu sesuka hati sahaja.
DTASIAH: (MERAYU) Ampunilah dinda yang bebal ini. Janganlah kekanda murka akan perbuatan dinda yang tiada dinda sengaja itu. Dinda tahu akan dosa kerana tiada terlebih dahulu meminta izin kekanda. Tapi pelita hendak terpadam dan akan kelam gelita… sedangkan kanda bersantapan. Dinda hanya melakukan apa sepatutnya
SMAKHRUF: (SUARA TINGGI) Sudah! Kita tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Pergi kamu dari sini. Kamu tidak layak kita jadikan isteri.
DTASIAH: (MENANGIS) Ampunilah akan kesalahan hamba. Ke manalah hamba hendak membawa diri di malam hari meninggalkan anakanda Cenderadewi.
SMAKHRUF: (SUARA TINGGI) Sudah! Berambus kamu dari sini. Tahulah kita menjaga puteri. Pergilah kamu sebelum mendapat cela! (PAUSE) Kamu berdegil ya! Terimalah ini! Nah!
EFEK: PUKULAN BERTUB-TUBI
GRAM MUZIK
SYAIR:
Tujuh helai rambutnya digunting,
jadikan sumbu tatkala genting,
limpah cahaya perkara penting.
namun suami pula melenting.
Darmatasiah disergah marah,
lantaran laku tidak diarah,
hatinya luka parah berdarah,
diusir pergi dia berpasrah.
GRAM: MUZIK.
DTASIAH: (SEDIH) Sampai hati suami hamba memukul hamba sehingga tidak sedarkan diri gara kesalahan yang tidak hamba sengajakan. Aduh sakit dan ngilu kepala dan tubuh hamba dipukul bertalu-talu dengan rotan! Kemanalah hamba hendak melangkah pergi dini hari begini.
GRAM MUZIK
DTASIAH: Assalamualaikum! Ayah! Ibu!
AYAH: Waalaikummussalam. (TERKEJUT) Anakanda Darmatasiah! Kenapa anakanda ke sini tanpa suami dan anak menemani?
DTASIAH: (SEDIH) Suami hamba menggasar hamba dan mengusir hamba ayah!
IBU: Kenapa jadi begitu? Terangkanlah kepada ayah dan ibu.
DTASIAH: Hamba hanya mengerat tujuh helai rambut hamba untuk mengganti sumbu pelita yang hampir padam tatkala suami sedang bersantapan. Tapi kanda suami murka akan hamba kerana tidak minta izin terlebih dahulu.
AYAH: Besar sekali kesalahan anakanda itu!.
DTASIAH: (TERKEJUT) Benarkah? Tapi hamba hanya melakukan apa yang sepatutya sahaja. Berdosa jugakah?
IBU: Iya anakanda, reda dan izin suami itu penting sekali agar isteri tidak berdosa.
DTASIAH: Ayah, ibu, hamba telah berkali-kali memohon diampuni akan dosa hamba tapi kanda Sheikh tidak pedulikannya.
AYAH: Mohonlah kepada Yang Esa sekiranya anakanda benar pasti terbuka jalannya. Yang Esa itu maha Mengetahui segalanya anakanda.
DTASIAH: Bolehkah hamba tinggal bersama ayah dan ibu di sini?
AYAH: (SUARA LEMBUT) Tidak boleh anakanda! Ayah dan ibu kasih akan anakanda.tapi ayah ibu juga takut akan kemurkaan Yang Esa kerana bersatu dengan anakanda berbuat dosa. Pergilah anakanda ke mana sahaja seraya memohon keampunan-Nya. Kalau anakanda tidak berdosa nescaya Yang Esa lagi pengasih dan penyayang menunjukkan jalan kebenarannya.
DTASIAH: Baiklah ayah ibu! Tapi berikanlah hamba segelok air kerana hamba ini teramat dahaga setelah sekian hari berkelana.
AYAH: (SUARA LEMBUT) Ayah ibu memang ingin memberi anakanda makan dan minum. Tapi tidak boleh anakanda. Kami takut kemurkaan Yang Esa kerana menolong anakanda yang berdosa.
GRAM: MUZIK.
DTASIAH: Ya Allah Yang Maha Esa lagi pengasih dan penyayang! Ampuni akan segala dosa hamba kecil atau besar. Ampuni jua dosa ayah ibu dan suami hamba. Lembutkanlah hatinya agar mengampuni kesalahan hamba yang hina. (PAUSE) Biarlah hamba membuang diri ke dalam rimba berkhalwat kepada-Nya semata. (PAUSE) Sudah lama hamba berkelana ke tengah rimba…matahari pun semakin condong. Barangkali waktu Asar sudah tiba…hamba ingin segera sembahyang mengadap Yang Esa. Tapi keadaan diri hamba tidak sempurna. Pakaian hamba sudah koyak rabak semua. Apakah ibadat hamba diterima Yang Esa?
EFEK: DERUAN ANGIN
DTASIAH: (TERKEJUT) Apa pula yang berlaku ini? Deruan angin kuat sekali. Lindungi hamba-Mu ini dari bencana Yang Esa. Hanya kepada-Mu hamba memohon pertolongan. (PAUSE) Alhamdulillah sudah kembali sediakala suasana. (TERKEJUT) Eh…istana emas! Wujudnya tiba-tiba. Hairannya hamba! Tapi istana siapa?
UTUSAN: (ECHO) Masuklah tuan hamba ke dalam istana. Bermandi-manda dan berwuduklah di pancuran emas itu. Setelah itu pakailah pakaian syurga yang hamba bawakan. Bersembahyanglah penuh tawaduk mengadap Yang Esa.
DTASIAH: (KETAKUTAN) Tapi… siapa tuan hamba?
UTUSAN: (ECHO) Hamba utusan Yang Esa yang menganugerahi keampunan-Nya kepada tuan hamba dan memakbulkan doa tuan hamba kerana tuan hamba isteri yang solehah lagi beriman.
DTASIAH: (MENANGIS) Alhamdulillah! Hamba bersyukur akan nikmat kurnia-Mu kepada hamba ya Allah!
UTUSAN: (ECHO) Berkhalwatlah tuan hamba di sini selamanya berlindung dengan rahmat Yang Esa. Bersembahyanglah sunat dua rokaat dan lihatlah wajah tuan hamba dalam cermin perak itu.
DTASIAH: (TERKEJUT) Subhanallah! Wajah hamba jauh berubah. Berseri amat rupawan sekali. (MONOLOG) Alhamdulillah bersyukur hamba akan karunia-Nya. Istana emas ini teramat indah. Segala perkakasannya emas dan perak. Tapi hamba teramat rindu akan anakanda Cenderadewi dan suami hamba juga ibu ayah hamba!
UTUSAN: (ECHO) Andai begitu hasrat tuan hamba…bersiaplah hamba terbangkan tuan hamba ke rumah suami tuan hamba.
DTASIAH: (TERKEJUT) Eh..tuan hamba mendengar suara hati hamba? (PAUSE) Baiklah kalau begitu bicara tuan hamba. Terima kasih kerana menolong hamba. Hamba ingin singgah ke rumah ayah ibu hamba terlebih dahulu.
EFEK DERUAN ANGIN
UTUSAN: (ECHO) Aduhai angin terbangkan hamba berdua ke arah tujuan dengan izin-Nya.
GRAM: MUZIK.
DTASIAH: Assalamualaikum!
IBU: Waalaikummussalam! Siapakah tuan hamba ini? Apa hajatnya singgah di sini?
AYAH: (SUARA JAUH) Siapakah yang datang itu?
IBU: Entahlah siapa dia tiadalah hamba kenalinya. Wajahnya teramat cantik rupawan tiada bandingan.
DTASIAH: (MONOLOG) Ibu tidak kenali hamba anakandanya? (PAUSE) Maafkan hamba singgah mengganggu. Sebenarnya hamba ini membawa pesan dan hendak disampaikan kepada tuan Sheikh Makhruf. Hamba tidak tahu ke mana arah halanya. Itulah hamba singgah bertanya.
IBU: Oh begitukah hajatnya! Err… Eh, rumah anakanda tuan Sheikh itu menghala matahari naik. Kalau berjalan kaki tiga hari akan tiba ke sana.
DTASIAH: Oh…jauh juga! Biarlah hamba beredar dahulu, meneruskan perjalanan hamba…..terima kasih atas kesudian menunjuk arah.
GRAM MUZIK
UTUSAN: (ECHO) Biar hamba meminta angin dengan izin-Nya menerbangkan tuan hamba ke tempat tujuan.
DTASIAH: (TERKEJUT) Tuan hamba masih di sini memperhatikan hamba? Alhamdulillah. Terima kasih atas kesudian memudahkan perjalanan hamba ke arah tujuan.
EFEK DERU ANGIN
GRAM MUZIK
DTASIAH: (TERHARU) Akhirnya sampai jua hamba ke rumah yang hamba rindukan ini. Tidak sabar lagi rasanya hendak menemui anakanda Cenderadewi dan kekanda suami.(PAUSE) Assalamualaikum!
SMAKHRUF: Waalaikummussalam! (TERPESONA) Siapakah tuan hamba ini? (MONOLOG) Jelita sekali perempuan ini. Wajahnya seperti bidadari. Terpaut hati kita memandangnya.Barangkali kita sudah jatuh hati kepadanya,
DTASIAH: (TERKEJUT) (MONOLOG) Suami hamba juga tidak kenali hamba! Err hamba ke mari membawa kiriman pesan daripada Darmatasiah, isteri tuan Sheikh itu.
GRAM: MUZIK.
SMAKHRUF: (TERKEJUT) Apakah pesannya itu tidak sabar kita hendak ketahuinya.
DTASIAH: (MENARIK NAFAS) Darmatasiah sedang sakarat... dia ingin sekali bertemu dengan anakandanya Cenderadewi dan suaminya tuan Sheikh yang amat dirindui.
SMAKHRUF: (BERSEDIH) Kasihan sungguh isteri kita…membuang diri entah ke mana kerana kita menggasarinya.
DTASIAH: Apakah sebenarnya kesalahannya?
FLASHBACK BABAK SHEIKH MAKHRUF MEMUKUL DARMATASIAH
DTASIAH: Pada firasat hamba, Darmatasiah itu tiada berbuat salah kerana dia ikhlas perbuat apa saja demi kasihkan suami dan anakandanya.
SMAKRUF: Benarlah bicara tuan hamba itu. Setelah Darmatasiah tiada, kita merasa kehilangan dan menyesali akan perbuatan kita,
DTASIAH: Pesan telah pun hamba sampaikan…hamba mohon diri beredar dahulu.
SMAKHRUF: (MENEGAH) Eh..tunggulah dahulu sebentar. Kita sediakan santapan ala-kadar. Sudi-sudikanlah tuan hamba santap bersama kita. (MONOLOG) Kita ini asyik memandang dia sahaja sehinggakan sayuran yang dihiris, akhirnya menghiris jari kita. Aduh sakitnya!
EFEK: SUARA BAYI MENANGIS
SMAKHRUF: Barangkali anakanda kita Cenderadewi telah terjaga dari tidurnya! Biar kita melihatnya sebentar. (PAUSE) Inilah anakanda kita Cenderadewi.
DTASIAH: Berikan kepada hamba…biar hamba mendokongnya. (PAUSE) (SEBAK) Aduhai anakanda puteri Cenderadewi, maafkan ibu kerana meninggalkanmu sekian lama. Rindu ibu kepadamu tidak terkira!
SMAKHRUF: (SUARA TINGGI) Kenapa tuan hamba bicara demikian? Siapakah tuan hamba?
DTASIAH: Hambalah ibu Cenderadewi! Darmatasiah isteri tuan yang telah tuan gasari kerana mengerat tujuh helai rambutnya untuk dibuat sumbu pelita!
SMAKHRUF: (TERKEJUT) Benarkah? Adinda ini Darmatasiah? (MENANGIS) Ampunilah akan dosa kita menggasari adinda yang tiada bersalahan apa. Sebenarnya syaitan durjana yang menghasut kekanda hingga adinda melara jiwa..membuang diri entah kemana. Kembalilah pada kekanda. Demi Allah kanda tidak mahu lagi bercerai dengan dinda sehingga hilang nyawa kekanda
Syair:
Darmatasiah debar mengaku,
ungkap cerita apa berlaku,
tidak tertinggal walaupun suku,
suami dengar terdiam kaku.
Syair dikarang hikayat lama,
citera suri taat agama,
pada suami kasih selama,
walau berpisah akhir bersama.
GRAM: MUZIK PENUTUP.
JURUHEBAH: Demikian Purbawara dengan kisah “PERMATA BUDI” karya Paridah Ishak, Serendah, Selangor.
PELAKON:
1. ……………………………...………………………………………..
2. ……………………………...………………………………………..
3. ……………………………...………………………………………..
4. ……………………………...………………………………………..
. 5.……………………………...………………………………………..
PENYAIR: …………………………………………………………….
Purbawara khazanah seni warisan bangsa, diterbitkan oleh …………..

6 comments:

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist