ASSALAMUALAIKUM
ASA
SILAM
.
Tidak sama dahulu dengan sekarang. Kalau nak dibuat
perbandingan bagai langit dengan bumi. Zaman yang sempatku lalui akhir tahun
60-an. Berada di kampung halaman di Kedah Darulaman yang indah permai
dikelilingi sawah padi penyejuk jiwa seluas mata memandang. Cara hidup
bergantung seluruhnya pada kemampuan diri tanpa ada kemudahan yang
menyenangkan.
Kebanyakannya
masih mendiami rumah-rumah kecil beratap nipah dan berdinding nipah yang
disemat. Ada juga rumah agam yang tersergam di tengah kelompok rumah-rumah
kecil, menunjukan kemajuan kehidupan mereka atau telah diwarisi daripada
keturunan mereka sejak lama.
Aku tinggal dengan Atuk dan
Tukwanku setelah ibubapaku berhijrah ke
Pahang menyertai skim FELDA. Rumah Atukku sederhana saja buat menampung
keluarga. Semua keperluan untuk kehidupan diadakan sendiri.
Maksudnya
kalau hendak makan nasi kenalah tanam pokok padi. Bendang kan ada. Tanamlah
padi jawi atau padi pulut. Setelah masak dituai secara berderau. Padi ini
dipukul di tong pemukul padi untuk memisahkan padi dari jeraminya, kemudian
dijemur, dianginkan, ditampi pula untuk memisahkan padi hampa dengan yang
bernas.
Setelah itu ditumbuk pula
untuk dapatkan beras yang putih. Ketika menjemur padi kerjaku ialah menghambat
ayam daripada makan padi. Kalau dibiarkan alamatnya habis padi dan tak dapat
dijadikan beras lagi. Ketika padi sedang ditumbuk kerjanya pula menyapu lesung
pula agar padi tidak tumpah dari lesung.
Hendak makan sepinggan nasi
pun beberapa fasa perlu dilalui. Takkan nak makan nasi putih saja kan. Mestilah
seimbang nilai pemakanannya. Lengkap dengan lauk, sayur, buah-buahan yang
diperlukan tubuh. Nak makan sayur kenalah rajin menanamnya di sekitar
rumah. Tentang lauk,ikan, sotong, udang, ketam, kerang, siput tak perlu dibeli untuk dapatkannya.
Rajinkan gerak saja mengatur langkah kaki ke tepi laut atau ke laut. Banyak
sekali sumber protin itu di sana. Malas nak ke tepi laut boleh pancing saja
ikan di bendang. Ikan haruan, keli, puyu cepat saja makan umpan di hujung mata
pancing.
Sudah dapat ikannya bolehlah
digulai atau dimasak asam pedas. Tapi terasa nak menggoreng pula. Mana pula
minyaknya? Sebelum berfikir nak menggoreng segala makanan, proses menyediakan
minyak masak mulakan lebih awal. Kelapa matang dikoyak kulit dan disagat
isinya. Santannya diperah dan dibiarkan semalaman sebelum dikaut santan yang
beku lalu dimasakkan dalam kuali atas dapur kayu. Sekian lama diatas api
terhasillah minyak daripada santan kelapa.
Minyak kelapa buatan sendiri
bukan main harum aromanya dan amat sedap digunakan dalam pelbagai jenis
makanan. Boleh juga digunakan sebagai minyak rambut dengan terlebih dahulu
dicampur bunga melur, tanjung atau cempaka. Selain itu dibuat minyak urut untuk
mengurut tubuh yang lenguh membetulkan simpulan urat dengan campuran aneka herba.
Untuk memasinkan makanan
garamnya tidaklah dibuat. Harganya sekupang saja dan tahan lama penggunaannya
jadi beli saja di kedai. Tapi untuk dapatkan rasa manis dalam kuih-muih yang
dibuat Atukku akan membuat nisan/manisan daripada buah nipah. Buah nipah ini
dibiarkan hingga tua sambil mayangnya dilurut agar elok tunduknya dan senang
disadap menggunakan pisau potong padi yang tajam. Daripada mayang nipah akan
mengalir nira ke dalam tuke buluh yang digantung di hujungnya.
Hasil pengumpulan nira yang
hampir seperiuk besar dimasak pula diatas api sehingga kuning keemasan dan
likat. Bukan main sedap lagi rasanya dimakan dengan lempeng kelapa, cendol atau
apom kukus.
Untuk mengalas tidur
anyamlah tikar daripada tumbuhan mengkuang dan bantal yang dibuat meletak
kepala berisi kekabu putih yang dkutip untuk dijadikan bantal.
Begitulah cara kehidupan
dulu dulu yang sederhana tetapi amat perlukan kerajinan tahap tinggi
dalam mengendalikannya. Jikalau asyik berpangku tangan alamatnya susahlah
hidup. Nasib tak baik kebuluran
Aku terkenangkan kata-kata arwah Atukku bahawa
hidup orang sekarang terlalu mudah kerana negara kita sudah kaya raya dan maju.
Benarkah? Entahlah!
Sesuatu untuk difikirkan
ReplyDeletetksh syaz ya semangat hidup reda bersyukur
DeleteLebih kurang sama corak kehidupan kita zaman kanak2 pada awal tahun 60an.
ReplyDeleteMasa tu ibu bapa wak pun menanam padi dan menoreh getah. Cuma sekarang sawah bendang tu dah jadi kebun kelapa sawit
oh yaka kita bermain-main dgn tanah kerana itulah kehidupan tksh WP
DeleteSaya jadi ingat cerita kakek dahulu. Bagaimana mereka berjuang hidup. Mulai dari menanam tanaman yg dapat dimakan, seperti jagung, ubi, beras. Lalu tanaman buah pula.
ReplyDeletePernah juga diceritakan cara mereka mencari ikan di laut, apalagi dulu kampung saya dekat laut.
Baca ttg minyak kelapa asli, jadi teringat kalau nenek memasak. Wanginya memang menyebar kemana2. Susaaaah sangat cari minyak kelapa asli Skr kak. Semuanya dah dibuat pabrik. Tak seharum yg asli
matlamat org dulu bkn mengumpul harta. tp hidup selesa seadanya...biar rumah buruk asalkan perut anak2 penuh. biar baju tak berganti asalkan anak2 dpt belajar...kuncinya bersyukur.
ReplyDelete