Saturday, 4 June 2022

EMAKKU

 ASSALAMUALAIKUM


EMAKKU



Emakku Hajah Siti Rokiah Arshad, berkulit putih, berambut kerinting halus. Cantik rupa parasnya. Awal persekolahannya di sekolah perempuan Yan. Aku tidak tahu bagaimana emak boleh bersekolah begitu jauh dari kampungnya di Pauh. Mungkin emak saudaraku, mak jang Tom yang menghantarnya berbasikal ke situ. Jaraknya sejauh 15 kilometer. Tika itu akhir tahun 40-an. Emakku pelajar yang pintar. Kata guru nazir yang menyelia sekolah di situ, emakku akan dijadikan guru setelah tamat persekolahan di situ. Tapi tidak terjadi begitu. Emakku berkahwin dengan bapaku dan terkubur cita-citanya hendak menjadi guru. Bapaku tidak mengizinkannya walau sekadar menjadi guru sekolah dewasa di kampungnya. Maklum tika itu kadar celik huruf sangat rendah. Sedang emakku telah menguasainya.
Aku bercerita kepada kawanku bahawa emakku dulu pernah bersekolah di sekolah perempuan Yan yang letaknya bersebelahan dengan rumahnya. Hasnah pula menyampaikan cerita itu pada guru yang mengajar kami. Sibuk pula cikgu Fazidah, cikgu Rabiatul, cikgu Hanisah bertanya tentang emakku. Cikgu bertiga itu rupanya sekelas dengan emakku. Tika itu aku bersekolah di SMY. Kata cikgu Fazidah emakku garang orangnya.
Emakku dan kami anak-anaknya mengikut bapaku berpindah menyertai skim FELDA pada tahun 1967. Hidup secara sederhana demi merubah tahap kehidupan agar bertambah baik. Emak bekerja di kilang sawit untuk menambah rezeki. Kadang terpaksa bekerja sebelah malam mengikut gilirannya. Kata emak sedih hatinya melihat anak-anaknya yang masih kecil tidur dalam kelambu dengan disinari cahaya pelita.
Kalau emak tidak bekerja pada sebelah malam, emak akan menemani kami menjadi penglipur lara bercerita pelbagai riwayat lama. Aku sudah terlupa pula. Cuma aku ingat kisah Melor Dan Ular Sawa yang kujadikan skrip purbawara dan disiarkan Radio Klasik. Apabila kutanyakan pada emak tentang kisah yang pernah diceritakan dulu, emak menggelengkan kepala. Sudah terlupa, katanya.
Emak berulang ke kilang sawit dengan motorsikal yang dibeli tika ekonomi semakin baik. Ditunggangnya seorang diri sehingga usia tamat perkhidmatannya. Dan kami anak-anaknya telah dewasa. Pelbagai cabaran hidup ditempuhinya bersama bapaku demi membesarkan kami anak-anaknya. Kini emak semakin uzur diserang stroke tika terjatuh di bilik air. Semua keperluan dibantu adikku. Kesal hatiku berbongkol kerana aku langsung tidak berdaya membantu apa-apa selain hanya mengirim doa setiap hari.
Adik-adikku bergilir-gilir menjaga emak, turut membantu kak ngah mereka menguruskan emakku sesempurna mungkin. Kami empat beradik saja. Aku anak yang sulung, kakak mereka langsung tidak boleh diharap.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist