Friday, 17 June 2022

SURAH AN NISSA (WANITA) Muka Surat: 102

ASSALAMUALAIKUM

SALAM JUMAAT MULIA



SURAH AN NISSA (WANITA)
Muka Surat: 102


 Jumaat petang 10 Jun 2022. Allah jentik dengan sedikit ujian. Aku jatuh tertiarap, kaki kiri terseliuh, tapak tangan dan lututku berdarah luka . Telefon bimbit jatuh terhempas.

Hari ni Selasa petang, 14 Jun 2022. Alhamdulillah kesakitanku telah sembuh walau tidak sepenuhnya. Kugagahkan diri hadir ke Pusat Tarbiah Muhammadi Kampung Pak Wong (desaku) untuk berkongsi ilmu. Mengajar tafsir / tadabbur, sambungan surah An Nissa.
PERKONGSIAN ILMU:
SURAH AN NISSA (WANITA)
Muka Surat: 102
Ayat: 148 - 154.
PENGENALAN: Dalam surah An-Nissa, Allah membongkar sifat-sifat Munafik.
Dalam surah Al-Baqarah, Allah membongkar sifat-sifat Israel (Yahudi) dan
Dalam surah Ali Imran, Allah membongkar sifat-sifat Nasoro (Keristian). Orang-orang Munafik adalah orang Islam, tetapi hatinya munafik. Hanya Allah yang tahu. Iaitu golongan orang Muslim tetapi kefahamannya bercanggah dengan wahyu (al-Quran). Fahaman dalam kalangan orang Islam, mungkin ada yang betul, ada yang salah. Maka ukurannya mana yang betul, mestilah berpandukan wahyu Allah (al-Quran). Allah seksa kamu bukan kerana kamu kufur, tetapi kerana kamu bercanggah dengan arahan Allah.
Ayat 148 - 152: Jangan Sebar Kisah Buruk Orang.
Ayat 148: Allah tidak suka, seseorang yang bersuara lantang menyebut perkara-perkara buruk. Tidak boleh sangka buruk atau mencela. Tidak boleh menuduh orang lain, tanpa bukti atau mengumpat. Tidak boleh memfitnah. Jangan jadi macam munafik, dengar sahaja berita terus sebar. Kecuali jika kita dizalimi, bawa kepada hakim atau penguasa tentang keburukan-keburukan orang yang menzalimi. Hanya Allah yang mengetahui kezaliman itu, betul atau tidak. Sesungguhnya Allah itu SYAMIAN Yang Maha Mendengar dan Allah itu ALIMAN Yang Maha Mengetahui.
Ayat 149: Hiduplah dengan kebaikan, tiada kebaikan sehebat wahyu! Begitulah kehidupan para sahabat, manusia-manusia yang Allah pilih untuk sebarkan wahyu. Boleh zahirkan kebaikan tetapi menyembunyikan kebaikan itu lebih afdhal. Tentang dosa, jangan cerita kepada orang. Memaafkan kesalahan orang lain. Tutup keburukannya. Jika kita maafkan kesalahan orang lain, Allah maafkan kita. Sesungguhnya Allah itu Affuwan, Yang Maha Pemaaf dan Qodiran, Yang Maha Kuasa.
Ayat 150: Ini adalah ayat teguran kepada ahli kitab. Mereka kononya beriman kepada Allah, tetapi tidak beriman kepada rasul-rasul. Tidak ikut kitab al-Quran, contoh menyatakan Allah ada sifat makhluk, ini adalah SYIRIK. Golongan Israel (Yahudi) beriman dengan Nabi Musa as, menolak Nabi Isa as dan Nabi Muhammad saw. Golongan Nasoro (Keristian) beriman kepada Nabi Isa as, menolak nabi-nabi lain terutama Nabi Muhammad saw. Ambik sebahagian, tolak sebahagian. Antara keduanya lahirlah berbagai fahaman dan mengada-adakan sesuatu.
Ayat 151: Mereka yang mempunyai fahaman seperti ayat di atas, di sisi Allah, mereka kafir. Orang yang menolak satu sahaja ayat Allah, mereka sudah menjadi kafir. Allah sediakan azab yang menghinakan di neraka kekal. Allah tidak memaafkan orang yang syirik. Semoga Allah lindungi kita.
Ayat 152: Sifat mukmin tulin, terima Nabi Muhammad saw dan nabi-nabi lain. Ikut al-Quran sepenuhnya dan percaya kitab-kitab lain; Injil, Taurat dan Zabur. Iman seperti itu Allah beri pahala. Sesungguhnya Allah itu GHOFURAN, Yang Maha Pengampun dan Allah itu ROHIMAN, Yang Maha Penyayang. Orang yang mati dalam iman dan menjaga akidah, masuk syurga. Semoga Allah pilih kita.
Ayat 153 - 154: Balasan Allah Terhadap Kedegilan Golongan Yahudi.
Ayat 153: Mereka yang tidak mahu beriman, menggunakan alasan supaya Quran turun sekali gus seperti Taurat. Allah beritahu Nabi Muhammad saw, jangan pelik. Mereka tidak beradab kepada Nabi Musa as dan tidak beradab kepada Allah. Mahu melihat Allah. Jadikan anak lembu sebagai illah (tuhan). Minta keberkatan daripada anak lembu. Mereka telah terima tauhid dan melihat Firaun tenggelam tetapi tidak meninggalkan kesan. Mereka menyembah patong anak lembu yang diperbuat daripada emas. Mereka disambar petir, tetapi Allah tidak matikan semua. Allah maafkan, dan Allah berikan kepada Nabi Musa as kekuasaan yang nyata.
Ayat 154: Oleh kerana mereka golongan yang degil dan tidak menyempurnakan janji. Allah telah mengangkat Bukit Thursina ke atas kepala mereka untuk menguatkan perjanjian, jika mereka tidak menerima perjanjian bukit itu akan menghempap mereka. Mereka terdongak ke atas kerana takut bukit tersebut. Waktu itu mereka terima. Tetapi kemudian mereka derhaka. Allah perintahkan mereka supaya masuk ke dalam Baitulmaqdis – dengan sujud. Mereka langgar. Allah menjadikan hari Sabtu hari khusus untuk beribadah. Tidak boleh tangkap ikan. Mereka langgar. Kerana kedegilan itu, kedudukan mereka sebagai orang Islam, Allah tarik balik. Pengajaran kepada kita, supaya menjaga amanah agama Islam yang telah diberi kepada kita dengan sebaiknya.

3 comments:

  1. syukran Kak PI...berkongsi ilmu..

    ReplyDelete
  2. terima kasih kpd kak PI atas perkongsian ilmu pd hari Jumaat yg mulia ini...

    ReplyDelete
  3. Moga Kak PI sudah sembuh sepenuhnya.
    Terima kasih atas perkongsian ilmunya.

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist