Sunday, 8 August 2021

RATU KEBAYA

 ASSALAMUALAIKUM


RATU KEBAYA

 

Aku masuk belajar di sekolah menengah Maran setelah permohonan untuk tinggal di asrama dibenarkan Guru Besar SMKM. Lama juga aku tidak bersekolah setelah aku bertukar sekolah dari sekolah menengah Yan kerana masalah penempatan di asrama.

Tingkatan 2C menjadi kelasku. Kawan-kawan sekelas menerimaku dengan baik. Jalilah antara yang paling rapat denganku. dan beliau tidak tinggal di asrama. Tapi tinggal bersama keluarganya di kampung Bintang, berhampiran bandar Maran   setiap hari beliau berjalan kaki sahaja ke sekolah.

 

Pihak perbandaran Maran mengadakan acara pementasan pada suatu malam dengan mengundang penyanyi terkenal iaitu Datin Rafeah Buang. Guru Besar SMKM memberi izin penghuni asrama untuk turut menyaksikan pementasan itu. Memang seronok tak terkata kami penghuni asrama dapat keluar asrama pada malam hari pula. Apalagi dapat menyaksikan acara hiburan walau masanya dihadkan. Semua penghuni asrama mesti kembali ke asrama sebelum pukul 10.00 malam.

Sempatlah juga menikmati kemerduan suara Datin Rafeah Buang mengalunkan beberapa lagunya yang disukai ramai tahun 72. Terpegun mengagumi kejelitan wajah biduanita itu. Putih selepuk.

Lain-lain acara yang dipersembahkan selepas itu tidak kuketahui.

Keesokannya hari Isnin. Ada perhimpunan sebelah pagi semua murid-murid SMKM. Aku berdiri belakang Jalilah. Guru Besar berucap dengan tegas menekan disiplin pelajar dan melarang pelajar-pelajar SMKM terlibat dengan sebarang acara budaya di luar sekolah.

Sekali Jalilah jatuh terjelepuk. Terkejut aku. “Ko ni dah kenape Lilah?.” Aku cuba mengangkatnya. Mujur  dia mampu berdiri. Aku mengiringya ke asrama. Dia berbaring di katilku sebentar sebelum kesegaran tubuhnya kembali pulih. Aku tidak bertanya apa-apa pun. Mungkin panas pagi menyebabkannya keletihan berdiri lama.

Jalilllah kembali ke rumahnya selepas itu dengan izin guru kelas. Kawan-kawanku di kelas bercerita bahawa ucapan GB tadi ditujukan pada Jalilah kerana beliau mengambil bahagian dalam acara malam tadi dan telah dimahkotakan sebagai  Ratu Kebaya mengalahkan peserta lain termasuk kakaknya. Terlopong aku mendengarnya. Tapi Jalillah memang seorang gadis sunti yang cantik. Aku berbangga dengan kejayaannya. Walau baru berusia 14 tahun tapi sudah bergelar ratu.     

Tika naik tingkatan 3 kami berpisah kelas. Aku masuk kelas 3A. Jalilah masih kekal sahabat baikku walau kami berpisah kelas.

Jalilah menyambung persekolahannya di VOK KUANTAN...aku di SMART KUANTAN. Asrama sekolah kami bersebelahan saja tapi tidak pernah berkesempatan bersua....berpisah sudah...daripada seorang sahabat aku diberitahu Jalillah berkahwin dengan seorang inspektor polis...Alhamdulillah...lebih memilukan hatiku pabila tahu sahabatku itu telah meninggal dunia lantaran kanser...MasyaAllah..innalillahiwainnailaihirojiun...al fatihah...semoga sahabatku sejahtera di sisi-Nya di kalangan para solehin kekasih-Nya...amiin... langkahmu mendahuluiku pasti kususuli jua.





6 comments:

  1. Innalillah wainna ilaihi rojiun. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal solih. Salam takziah buat keluarganya.

    ReplyDelete
  2. Membaca kisah ini sambil cuba membayangkan suasana di tahun 72. Al-fatihah untuk sahabat kak PI. kenangan dan persahabatan zaman remaja memang susah dilupa

    ReplyDelete
  3. inalillah dan alfatihah buat arwah kak Jalilah...

    sedih lak baca kes yang GB tegur tu... aduhai, tersentap kalau kita pun ya kak

    ReplyDelete

Terima kasih bersama Karyaku...Paridah Ishak. Komen anda amat dihargai... “Semoga Allah SWT akan membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas dengan balasan yang terbaik.”

MyBloglist