DRAMATIS 2
Majmin meneruskan kebiasaannya setiap hari. Selesai solat Isyak
dia akan berbaring di depan TV. Sambil menonton sempat juga membaca
majalah apabila siaran iklan memenuhi slot. Sering juga menulis diari
yang dicatat tentang beberapa peristiwa besar yang berlaku di dalam mahupun di
luar negara. Dan yang menyangkut kehidupannya seharian.
17 Jun 01, Ahad.
Pramoudiya Anantatoer, penulis yang dianggap setanding dengan
penulis terkemuka dunia memberi komen yang positif tentang ekonomi, sosial dan
sikap mandiri rakyat Malaysia di bawah pucuk pimpinan PMnya berjaya menangani
tangan-tangan asing yang amat berminat hendak mencampuri urusan negara dan
membentuknya mengikut acuan ciptaan mereka.
Beliau membandingkan nasib sebaliknya yang menggeluti
Indonesia sendiri yang di sifatkan sudah hilang kewibawaan dan
keterlaluan lemah jati diri dari segenap aspek. Penulis Pro Sukarno dan aktif
era Sukarno ini membandingkan tindakan Dr. M menyamai tindak-tanduk Sukarno
yang telah berjaya memerdekakan Indonesia dari penjajahan Belanda dengan
pelbagai cara. Dan memakmurkan negara itu setelahnya.
Semua akhbar arus perdana hari ini memetik pandangannya hasil
temuramah RTM (Radio Televisyen Malaysia) di Bogor. Novelnya Keluarga Gerilya
memang ketara nilai sasteranya. Namun aku tidak berminat untuk menghabiskan
pembacaannya. Lebih selesa pula membaca novel hasil novelis tempatan seperti
Abdullah Hussain atau Azizi Hj. Abdullah.
17 Dis 02, Selasa;
Berita TV menyatakan keputusan penghakiman di The Hague. Belanda
berkenaan kedudukan Pulau Ligitan dan Sipadan yang direbutkan Malaysia dan
Indonesia, rupanya memihak kepada Malaysia. Agaknya lega sungguh hati Dr. M
kerana sebelum persaraannya dari jawatan PM dia telah mengembalikan banyak
harta Malaysia yang telah diambil dan hendak diambil orang. Itulah
kebijaksanaannya dengan izinNya jua.
Tetapi dia tidak rajin menulis setiap hari. Diarinya juga
sarat dengan pantun pantun karyanya. Baginya seni pantun Melayu sangat indah
dan halus.
Kelapa matang timpa celagi,
daku tesentak undur perlahan;
kenapa datang kenapa pergi
rinduku tak berkesudahan.
Tiang bendera terdiri kini,
rangkan di rusuk dirempa sanya.
riang gembira di hari ini,
entahkan esok apa jadinya.
Hendak dilurut ranti, selasih,
gugup terbeban lewa di tangga;
hendak diturut hati nan kasih,
sanggup berkorban jiwa
dan raga.
Shaari berada di sisinya dan menghenyakan ponggongnya di
atas sofa. Majmin terkejut melihat suaminya hanya berbaju Melayu Telok Belanga
dan berkain pelikat tenun tangan yang dibelinya dari pusat Karyaneka.
Kata gadis yang menjualnya kain pelikat itu hasil tenunan tangan
perusahaan orang-orang kampung di Pulau Keladi, Pekan Pahang.
‘Orang tua ni sudah buang tabiat ke?’ getus hatinya. Pena
ditangannya diletakan di dalam diari yang berkulit tebal itu.
“Abang tidak keluar ke malam ni?”
“Tak. Saya tunggu Rizal balik.” Ujarnya bersahaja.
“Tunggu Rizal? Oh ya…baru saja dia telefon beritahu saya tadi,
sekarang ni dia berada di resort RSJ.” Wajah Shaari segera terpanggung.
Terkejut sungguh. Mencerlang sinar matanya menerjah wajah lembut isterinya.
Majmin sudah bersedia hendak menerima sergahan yang menyakitkan
telinganya. Sekaligus menjentik tangkai hatinya. Tapi dia hanya akan bersabar
menjadi seorang isteri yang disenangi suami. Isteri mithali.
“Hah! Dia buat apa di sana?” Tanya Shaari dengan tona yang
keras.
“Kata Rizal dia hendak uruskan resort tu sebab Azmi pun sudah
berhenti.” Dia membalasnya dengan lirih lunak kerana tidak mahu mewujudkan
suasana yang tegang dan tidak terkawal.
Shaari tenggelam dalam kekalutannya. Dia memegang dahinya.
Memicit-micitnya. Tentulah tidak wajar sekiranya dia memarahi isterinya kerana
perilaku anaknya yang seorang itu.
Dia juga ingin menjadi seorang suami yang sentiasa dianggap baik
oleh isterinya. Sentiasa bersopan santun dan menjaga adab sebagai lelaki
budiman di dalam keadaan apapun.
“Berapa lama tu?” suaranya lirih lunak perlahan tapi kehampaan.
“Entahlah bang. Kenapa bang? Bukankah elok dia di situ.
Senanglah saya kalau hendak bercuti ke sana. Abang pun sentiasa sibuk. Sehari
dua lagi kabarnya abang hendak ke Tokyo selama beberapa minggu menguruskan
kontrak pengangkutan cip komputer dengan kapal-kapal syarikat kita. Kalau saya
rasa bosan di rumah bolehlah saya ke sana.” Tukas isterinya lirih dan jughus.
Di benaknya tidak ada maksud yang bersimpang perenang. Lurus dan tulus. Jujur
dan ikhlas.
“Kenapalah dia ke sana pula!” dia mendesis perlahan.
“Apa dia bang? Min tak dengar.” Serba salah Shaari menatap wajah
polos isterinya dengan anak mata yang bening merenungnya.
“Hah? Oh aku kata kenapalah dia degil sangat hendak pergi
berkerja ke pulau terpencil tempat jin bertendang tu. Di sini pun apa
kurangnya.” Shaari mengatur rekayasanya dengan teliti dan meyakinkan.
“Dia sudah bosan dengan hiruk-pikuk New York agaknya. Sebab lama
belajar di sana. Pulang ke sini hendak mencari ketenangan jiwa. Sebab tulah dia
ke RSJ.” Majmin menguap beberapa kali. Barangkali seluruh tubuhnya mulai
diresapi keletihan kerana petang tadi dia dan Datin Maimon juga beberapa
rakannya yang lain berlenggeng tangan bermandi peluh di gelanggang tennis.
Usianya yang hampir menjejaki 50-an itu barangkali tidak
melayakkannya untuk beraktiviti lasak seperti bermain tennis. Walaupun itulah
sukan kegemaranya suatu ketika dulu. Sukan itu pernah menjulang namanya sebagai
pemain terbaik kolejnya. Dan sentiasa mewakili kolej hingga ke peringkat
kejohanan tennis antara kolej ternama se Asia. Cerita yang telah berkubur
puluhan tahun dahulu.
“Min dah mengantuk ni…Min masuk tidur dulu bang.”
Datuk Shaari tercongok sendirian di ruang yang kelam dan hanya
disinari pantulan cahaya TV. Menjadi pengganti Majmin pula melayani kerusuhan
hatinya. Dia berteleku memandang skrin TV yang memaparkan berita pergolakan
dunia semasa.
Berita tentang kemusnahan dunia angkara kekejaman manusia Israel
di Pelastin dan Lebanon hanya berlalu ditatapan matanya. Tidak mencuit jiwa
kemanusiaannya. Dia leka memikirkan hatinya yang ralat kerana Rizal.
“Hai…rosak program aku! Dua hari lagi Anita dan Sarina ke sana.
Sebulan pulak tu. Aku di sini melopong gigit jarilah nampaknya.” Kesal sungguh
hatinya kerana rancangan yang diaturnya untuk menemani Anita membuat
penggambaran di Pulau Tioman tergendala.
Dia sibuk memerah mindanya supaya diberi ilham untuk merencana
sesuatu yang akan memuaskan hatinya. Nampaknya sia-sia. Tidak ada lorong yang
terang dilihat boleh dilaluinya. Tidak ada cahaya di hujung terowong. Dia buntu
dan bungkam. Menahan geram.
menarik :)
ReplyDeletewaalaikumussalam. Allahu. terus terbayang seolah2 dalam tv :D
ReplyDeleteDulu2 pernah juga baca novel Keluarga Gerilya ni.
ReplyDeleteTKSH EJULTZ INSYAA ALLAH
ReplyDeleteTKSH UMI NAZRAH YEKE HEH..HEH..ASALNYA SKRIP TV KARYA JEE KAK OLAH JADI CERPEN DGN IZINNYA
ReplyDeleteTKSH WP KELUARGA GERILYA NOVEL SUBJEK SASTERA FORM SIX DULU
ReplyDeleteMenarik juga menjadi bacaan kelapangan petang2 ni.. alhamdulillah.
ReplyDeleteYKSH DIK KK BACAAN SANTAI HEH..HEH.
ReplyDelete