CORETAN PAK ENGKU
SEPANJANG JALAN KENANGAN
BAB 17 - PENDERITAAN SI MISKIN
Selepas beberapa hari anakku Idrus meninggal dunia aku pun baliklah ke rumah mertuaku di Kuala Sawah. Pada suatu hari bapa mertuaku telah membuka rumah yang kami tinggal di Batu 9, Kuala Sawah itu. Semua tiang, papan lantai dan dinding rumah serta atapnya telah dibawa ke Kampung Ulu Sawah. Kampung Ulu Sawah itu tidak berapa jauh dari tempat rumah yang asal. Maka tinggallah hanya rumah dapur empat tiang. Di rumah dapur itulah aku, isteri dan anak-anakku tinggal.
Keadaan hidupku masa itu teramatlah susah. Ini adalah disebabkan oleh kakiku yang cacat dan tidak mampu untuk membuat kerja-kerja berat lagi. Namun begitu aku pergi juga menoreh getah di Bukit Jelutung. Jauhnya kebun getah itu dari rumahku lebih kurang tiga batu. Aku pergi menoreh dengan berjalan kaki. Anakku yang sulung, Shaari, menemani aku.
Bila aku kenangkan peristiwa ini maka akan terbukalah lipatan sejarah pahit hidupku. Lipatan sejarah hatiku yang luka dan masih berparut hingga ke hari ini. Oleh sebab aku tidak mempunyai wang maka aku mintalah pada ayahku akan rumah kedai di Batu 7, Kampung Belangkan yang pernah aku duduki dahulu. Apabila telah mendapat kebenaran dari ayahku, aku bukalah rumah itu. Segala tiang, papan lantai dan dinding serta atapnya aku bawa balik ke Kuala Sawah. Dengan kakiku yang sudah tidak kuat lagi aku dirikanlah rumah enam batang tiang. Siap dengan ruang serambinya sekali. Aku dirikan rumah ini bersama anakku Shaari sahaja. Bila siap didirikan barulah ada rupa rumah tempat tinggal orang berkeluarga.
Saudara-saudaraku dan ibuku juga tidak mahu datang ke rumahku disebabkan kemiskinanku. Mereka lebih suka pergi ke rumah anak saudaraku Abdullah iaitu anak Kak Long Maznahku. Ini kerana anak buahku itu berkerja sebagai guru. Mereka semua hanya lalu di hadapan rumahku tanpa mahu singgah walau sebentar pun. Maka aku layarkanlah biduk kehidupanku di lautan kemiskinan. Ianya kini menjadi sejarah yang tidak dapat aku lupakan di sepanjang hayatku.
Setiap hari aku akan pergi menoreh getah bersama isteriku di kebun getah Batu 7 Bukit Jelutung itu. Pada suatu hari, sedang aku mengangkat susu getah bersama isteriku, aku terdengar bunyi kapal terbang yang sangat berat. Ia disertai dengan bau minyak benzin. Sejurus selepas itu kedengaranlah bunyi bagaikan petir berdentum membelah bumi. Rupa-rupanya Seremban telah dibom oleh kapal terbang tentera Jepun. Tanah Melayu atau Malaya telah diserang oleh tentera Jepun.
Selepas hari itu aku tidak pergi menoreh lagi. Kami asyik dalam ketakutan. Di sana sini bom telah digugurkan. Kereta dan trak pihak tentera berikat ke hulu dan ke hilir. Tidak mengira waktu siang atau malam. Oleh sebab sentiasa dalam ketakutan maka kami pun berpindahlah ke Kampung Ulu Sawah. Tinggal bersama mertuaku. Kebetulan pada masa itu bapa mertuaku sedang sakit dan berada di Paya Rumput, Melaka. Dia tinggal bersama adiknya yang bernama Jamil. Isteriku pula pada masa itu sedang mengandungkan anak kami yang kelima.
Disebabkan sentiasa dalam ketakutan, semua penduduk di Kampung Ulu Sawah telah melarikan diri ke sebuah ladang getah. Ladang getah yang terletak hampir di kaki Bukit Ribu. Ladang ini dimiliki oleh seorang doktor. Akhirnya pada hujung tahun 1941 Malaya telah jatuh ke tangan pihak Jepun. Bila tentera Jepun telah sampai ke Seremban, aku bersama seorang kawan baikku yang bernama Hassan Rhumba telah pergi ke Seremban. Kami pergi untuk mencari barang-barang yang ditinggalkan oleh tentera British.
Pada masa itu orang ramai berebut-rebut pergi ke pekan Seremban. Ada yang memecahkan rumah kedai dan ada yang memecahkan gerabak kereta api barang. Berbagai ragam manusia dapat dilihat pada ketika itu. Tanpa segan silu memecahkan itu dan memecahkan ini untuk mencari barang-barang yang bernilai dan berguna untuk dibawa pulang. Aku dan Hasan Rhumba terus ke bangunan gudang di hadapan Setesen Kereta Api Seremban. Kami berdua memecah-naik sebuah gerabak keretapi. Di dalam gerabak itu penuh dengan kasut-kasut getah. Pada mulanya aku telah mengambil seberapa banyak kasut. Namun selepas itu aku terfikir pula bagaimana pula hendak kubawa pulang kasut-kasut itu. Pada ketika itu jambatan di jalan Rasah sudah runtuh dibom oleh tentera Jepun. Sesiapa yang hendak melintasi sungai di situ perlu memikul basikal masing-masing.
Setelah mengambil serba sedikit barang yang berguna, kami berdua pun pergilah ke dalam bangunan Setesen Kereta Api. Sesampai di situ kelihatanlah orang ramai sedang memecahkan tempat atau stor tempat menyimpan barang-barang yang orang ramai kirimkan melalui kereta api. Aku pun turutlah sama mengambil barang-barang di dalam stor tersebut. Aku ambil beg-beg askar serta baju-baju yang masih baik. Aku masukkan ke dalam karung yang telah aku sediakan. Aku juga terjumpa berbagai barang kepunyaan tentera yang telah meninggal dunia dalam perperangan itu.
Dari situ Hasan Rhumba telah mengajak aku pergi ke pekan Seremban. Apabila sampai di hadapan sebuah kedai namanya Li Kee di Jalan Birch kelihatanlah seorang Ketua askar Jepun sedang tidur di atas pangkin. Di atas pangkuannya terbuka sehelai peta. Kami meneruskan perjalanan ke arah pasar. Sebaik sampai di hadapan Kedai Emas Tong Yik, seorang askar Jepun telah meminta parang bersarung yang aku bawa. Hasan Rhumba menyuruh aku memberikannya. Lepas itu kami berjalan lagi hinggalah sampai di hadapan kedai Hai Chua Berhad. Kami bertembung dengan seorang pegawai tentera Jepun lengkap dengan pedang panjangnya. Dari isyaratnya dia menyuruh aku memandu lori trak Town Board yang ada di situ. Di dalam lori itu penuh dengan tentera Jepun. Pegawai tentera Jepun ini tidak pandai berbahasa Melayu. Dia hanya menggunakan bahasa isyarat supaya aku memandu lori trak tersebut. Hanya sepatah sahaja perkataan Melayu yang disebutnya Singapura… Singapura.. berulang-ulang kali. Hasan berkata kepadaku, ”Katakanlah kau tak tahu memandu sudahlah.”
Aku pun berasa takut untuk bersuara dengan pegawai askar Jepun itu. Dalam keadaan tak menentu itu seorang India lalu. Pegawai tentera Jepun itu pun menyuruh orang India itu memandu trak tersebut. Maka trak itu dipandulah oleh orang India itu ke arah Selatan menuju ke Singapura. Dengar khabarnya trak itu hanya sampai ke Gemas sahaja. Semua askar di dalam trak bersama pemandunya telah terbunuh kerana dibedil dengan meriam katak oleh tentera Punjab.
Aku pun berasa takut untuk bersuara dengan pegawai askar Jepun itu. Dalam keadaan tak menentu itu seorang India lalu. Pegawai tentera Jepun itu pun menyuruh orang India itu memandu trak tersebut. Maka trak itu dipandulah oleh orang India itu ke arah Selatan menuju ke Singapura. Dengar khabarnya trak itu hanya sampai ke Gemas sahaja. Semua askar di dalam trak bersama pemandunya telah terbunuh kerana dibedil dengan meriam katak oleh tentera Punjab.
Selepas itu aku pun baliklah ke Kuala Sawah bersama Hasan Rhumba. Aku membawa serba sedikit barang-barang yang aku ambil di Setesen Kereta Api Seremban tadi. Kami melintasi sungai di Jalan Rasah. Jambatan di Jalan Rasah yang telah runtuh dibom oleh tentera Jepun itu. Diseberang jalan menuju ke Kuala Sawah aku bertemu dengan seorang kenalan juga. Seorang Benggali roti yang bernama Shukur. Dia sedang membawa kain selimut askar yang berbulu binatang. Aku membeli sebanyak dua helai darinya. Aku bayar seringgit sehelai. Sampai ke tahun 1971 gebar ini masih ada aku pakai.
Bersambung… ke BAB 18 – KEPERITAN HIDUP DI ZAMAN JEPUN.
Lama tunggu siri ni.
ReplyDeleteSiri 18 kan PI.
TKSH WP..WAH MINAT JUGA KISAH LAMA YA
ReplyDeletesorry lama tak singgah sini kak. Tenet rosak kat rumah. continue baca.
ReplyDeleteTKSH HANA ..XDE ITNET LA NI SUSAH JUGA KAN..
ReplyDeleteagk kucar kacir ya suasana ms tu..x dpt nk dibayangkan
ReplyDeleteTKSH ANIES...ZAMAN PERANG ITULAH KISAHNYA...DULU2 KITA BACA DLM BUKU SEJARAH SAJA TAPI AYAH PAK ENGKU BERUSAHA MENCATATNYA DPTLH KITA MEGONGSI CERITANYA.
ReplyDeletemenjawab salam kak pi - waalaikumusalam kak. hihi
ReplyDeleteTKSH DP
Deletetak dapat nak bayangkan macam mana kehidupan zaman perang
ReplyDeletep/s dah terima surat sy?
ReplyDeleteTKSH ANIES DH TERIMA HADIAH FM ANIES
ReplyDeleteNama-nama tempat dan jalan kat tu masih sama lagi K.PI.
ReplyDeleteMrs. A duduk Seremban tahulah tempat-tempat tu
Kisah lama ni kalau dihayati mmg lebih mendalam sentuhan kesannya... sesuatu yg sememangnya perlu dihargai.
ReplyDeleteNanti ada masa, boleh baca ini :)
ReplyDeleteTKSH FIDAH ZAMN PRG SUKAR SEKALI HIDUPNYA
ReplyDeleteTKSH MMRSA..YEKE PAK ENGKU PUN ORG SEREMBAN JUGA.
ReplyDeleteTKSH DIK KK YA MSKRIP LAMA NI ADA NILAI SEJARAHNYA.
ReplyDeleteTKSH CARLRASE PATRIK BACALAH BILA LAPANG
ReplyDeletetekun saya membaca kisah lama ini kak
ReplyDeleteTKSH YAN...BACA DLM BUKU SEJARAH UMUM SAJA KISAHNYA KAN..INIADA CERITANYA N LBH MENARIK
Delete