Thursday, 4 August 2022

TUAN ARIFF

 ASSLAMUALAIKUM


 




Setelah aku alami patah pada bahagian pinggul akibat jatuh terhentak dan tidak berdaya berjalan lagi, anak sulungku membawaku tinggal bersama suami dan dua orang anak lelakinya di Selayang. Aku menduga sakitku ini tentu tidak lama dan akan segera sembuh sediakala. Setelah itu dapatlah aku pulang meneruskan rutin kehidupanku seperti dahulu.

Sebaliknya tidak berlaku begitu. Sakitnya berpanjangan hingga sukar melelapkan mata menahan kesakitan. Selalu urat tersentak menyebabkan aku menangis tersedu.

“Jangan nangis tok!” pujuk Ariff, cucuku yang kedua. Tika itu usia Ariff baru tiga tahun. Abangnya Aqil berusia enam tahun. Cucu-cucu comel itu dan anak-menantu terpaksa berterusan merawati dan membantu susah-payahku tiasa. Hari berganti hari pantas masa berlalu.

Ariff menjadi abang dengan kelahiran Abqori. Kemudian setelah usianya lima tahun menjadi abang pula pada adiknya Mia Maisara. Aku masih berada dalam ruang kesakitanku. Dan anak-cucu terpaksa menguruskan semua kesulitanku. Terhutang budi sungguh dengan kprihatinan anak-cucu melayan kebajikanku.

Ariff tiasa ringan tulang tanpa berkira berusaha memenuhi keperluanku. Setiap pagi dia akan meletakkan aku ke kerusi roda dan menolakku untuk mandi atau sebagainya. Menyediakan makan minumku di atas meja. Dia menolong papa dan mamanya meringankan kesibukan mereka di awal pagi ke sekolah. Mia ke sekolah TADIKA di Selayang. Ariff dan Abqori  di sekolah Intan Baiduri berhampiran situ. Mamanya juga mengajar di sekolah ini. Aqil pula dalam tingkatan tiga SABP Al-Mahsyhur. Seringkali pula mewakili sekolahnya dalam kejohanan rugby merata tempat.

Sukan rugby ini agak kasar cara permainannya. Risau pula aku memikirkan keselamatannya. Didoakan semoga selamat semuanya dan beroleh kejayaan dalam apa saja bidang diceburi sama ada pelajaran atau sukan. Tika dia kecil dulu aku selalu menemaninya bermain bowling di computer.

Ariff pula mewakili sekolahnya dalam sukan baling peluru dan johan peringkat WP. Kini bergiat pula sebagai goal-keeper pasukan bola sepak sekolahnya. Nampaknya fasa endemik kegiatan sukan di sekolah kembali berjalan seperti biasa. Sebab sudah lama tidak aktif bersukan lantaran PKP gara pandemik, Ariff termengah-mengah dan terpaksa diberi rawatan pernafasan. Demam pula sehari.   

Sejak mula persekolahan 022 Ariff dilantik sebagai Ketua Pengawas Sekolah Intan Baiduri dan Abqori juga pengawas. Tahun hadapan Ariff akan memasuki sekolah berasrama pula mengikuti jejak abangnya. Hilang lagi seorang peneman sunyi dan tongkat upayaku.

Heh di dalam kubur sendiri juga kan!


Wednesday, 3 August 2022

TOKOH PUISI PERAK

 ASSALAMUALAIKUM


Tahniah Tuan Haji Onn Abdullah dan Chai Loon Guan TOKOH PUISI PERAK 022 



Hari Puisi –

‘Tokoh Puisi Perak’

pilihan tepat

#2

Awal Muharam –

tamu pentas utama

ustaz Mas Onn

 

 

#3

minggu pertama –

sahabat Graha Karya

aura gemilang


Tuesday, 2 August 2022

PERJALANAN 1

ASSALAMUALAIKUM

 


PERJALANAN 1

.
Seketika di sini
tanah tumpah darahku pasca merdeka
bertatih atas batas menangkap belalang
terjatuh dalam bendang
anak-anak ruan bertempiaran
menghambat ciak raya
pipit uban berterbangan
melurut padi limpahan rezeki
Di sini kampung halaman menyirat pengalaman
melangkah lagi berjalan jauh seluruh negeri
dari Dulang Kechil melewati Sedaka
Sungai Daun, Sungai Limau, Sala hingga Alor Star
Harum mawar di muzium negeri mempesona
Membaca sejarah
Istana Anak Bukit tersergam
Taman inderaloka merias sekitar
terus ke Jitra
Patah balik lalu terusan Mat Saman
sawah padi saujana sejauh pandang
Pendang, Simpang Empat Kangkong
Berhenti di Guar Chempedak kaki gunung Jerai
buahan bermusim melambak di gerai
teruja mencapai
Singgah di Gurun sebelum ke Baling
dusun di Kupang merimbun hingga Sik
semalaman di kampung Pauh keletihan
Beransur pulang melawat muzium Merbok tapak arkeologi
Tinggalan sejarah. Terkenang di sinilah seorang sahabat berada. Roda kereta baru bergulir melalui Tanjung Dawai, teruja jualan penganan, ikan kering, belacan segala hasil lautan
Beli apa teringin sepanjang jalan ke Singkir Laut
Persisir pantai indah nyaman
senja menyerkup rona menghampiri Yan negeri Langkasuka
kerajaan Mahawangsa
jengah Pantai Murni deretan pulau Songsong, pulau Bidan pulau Bunting tinggalan sumpahan mitos sang kelembai melambai
air terjun Perigi ngeri pergi
bahana kepala air terjun dari gunung tinggi
sirna indah serata
Pekan Yan Kechil ruangnya tetap kecil
namun meriah ‘pekan senayan’ pagi
Terus meronda sebelum maghrib jatuhkan layar
Melalui Teroi
Sampai di rumah inap
bermalam lagi


Paridah Ishak
DMS
0208022

Monday, 1 August 2022

KALUT

 

ASSALAMUALAIKUM



ULASAN BUKU

Judul: KALUT

Genre : novel

Penulis : Rohani Din

Penerbit : Kosa Kata Kita Jakarta

ISBN 978-602-6447-12-8

UU RI No.19/2003  

Bilangan mukasurat : 315

Pengulas : Paridah Ishak

 

Novel KALUT karya sasterawan mapan Singapura, Rohani Din dan diterbitkan oleh Kosa Kata Kita, sebuah rumah penerbitan di Jakarta, Indonesia. Novel berwajah lukisan wanita jelita bertudung merah menyimpan rahsia pada renungan matanya yang sayu pada latar layar kulit seolah menggamit peminat karya sastera novel untuk menulusuri setiap aksara hingga helaiaannya yang terakhir.

Seolah pembaca juga turut kalut dan teruja mengetahui bagaimana kekalutan Ani sebagai watak utama pilihan Penulis ini menyelesaikan situasi serba kalut yang dihadapinya. Ani bergelut dengan masalah kehidupan sebagai seorang isteri di samping suaminya yang masih sakit walau telah terima rawatan hospital di Singapura. Tiba-tiba Siti, anak bongsunya terpaksa pula berada dalam wad hospital kerana diserang penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.

Penulis melukis watak Ani sebagai protogonis yang tabah dan solehah tetapi tetap menyerlahkan sisi kebiadaban kerana kendiri emosi celaru tika berhadapan watak antigonis. Watak antigonis yang ternyata dimusuhi ialah kakak iparnya Miskiah yang menurut firasatnyanya melepaskan ilmu sihir kepada Siti menyebabkan Siti sakit dan mengalami pelbagai masalah kesihatan dan diganggu makhluk halus kerana di antara mereka ada masalah kekeluargaan. Sani sebagai antigonis kedua merupakan watak penting dalam novel ini.

Walau kehadirannya tidak disenangi Ani, suaminya, anak-anaknya, ibu bapanya dan semua sahabatnya kerana sering berada dalam wad mengganggu keselesaan Ani menjaga anaknya Siti dengan sikap buruknya. Ani juga merasakan Sani, pembantu hospital di situ, mengamalkan ilmu hitam yang mencurigakan. Namun  kelemahan dirinya yang terpikat dengan Ani dimanfaatkan pula.

Bilangan watak sampingan dipaparkan terlalu ramai mengikut situasi dengan sedikit gambaran kisah berkaitan.  Penggunaan diksi ayat yang mudah tidak lewah, meleret. Dan fokus pada penceritaan dengan sedikit imbas balik.

Latar kisahnya diambil dalam wad di mana Ani menjaga anaknya dipaparkan sebaiknya seolah pembaca melihat semua yang terjadi di situ.

Penulis menamatkan KALUT dengan menenangkan Ani kerana kesihatan Siti beransur pulih dan gangguan ilmu sihir yang menguasai Siti semakin lemah berkat Ani berdoa mengaji dan beramal soleh selalu. Juga dibantu perawat alternatif yang Ani percayai. Keadaan Siti semakin dan akan dipindahkan ke hospital Ang Mo Kio untuk diberikan rawatan selanjutnya. Tapi siapa yang menyebabkan Siti terlantar sakit dan sering bertindak di luar kawalan tidak didedahkan.

Sani pula merasa gelisah kerana perpindahan Siti ke hospital itu. Kenapa? Apakah dia yang menyihir Siti atau Miskiah kakak ipar Ani? Boleh dibaca sambungan novel ini seterusnya menurut penulisnya.  

Tahniah Rohani Din yang lebih dikenali sebagai Bunda Anie justeru berjaya menghasilkan novel KALUT yang sarat dengan kisah ngeri dan seram meremangkan roma.

Jikalau ada yang ingin miliki novel ini dll novel karya novelis ini jangan segan hubungi Bunda Anie @facebook.

Saturday, 30 July 2022

SALAM MAAL HIJRAH

ASSALAMUALAIKUM


MAAL HIJRAH
Takwim Islam
sejak silam
tarikh mula
susun aula
.
Doa baca
jernih kaca
lepas asar
kusyuk sasar
,
Masuk maghrib
erat karib
doa mohon
awal tahun
.
Langkah hijrah
tuju arah
teguh iman
nyaman aman

PARIDAH ISHAK
DMS
3007022

Wednesday, 27 July 2022

BALADA BUAT SN TONGKAT WARRANT

ASSALAMUALAIKUM


 BALADA BUAT SN TONGKAT WARRANT



Adakah jika kukatakan
sahabatku figura ternama
lewat lembar warkah yang dikirim padaku kelmarin dulu
Kau ketawa tidak yakin konon ilusi
angan bermimpi siang hari tapi itu
adalah kebenaran usah menafikannya
bukan sekadar dakwa dakwi reka cipta
semata
Akhirnya kau terkesima
kala kulayangkan warkah istimewa itu ke mukamu
dan kita bersama menatapi wajah tampan sasterawan lunak perawakan
kembaran foto kiriman
sambil berusaha meraih markah tertinggi sastera tahap SPM kala yang lain sibuk menyurati artis femes
sedang aku tertunggu-tunggu kunjungan balasan warkahku kepada sasterawan yang dikirim berminggu lalu
Berkat dorongan sasterawan terbilang
melonjak genre karya dianugerah sekolah pencapaian terbaik sastera 75
TONGKAT WARRANT membimbingku menulis ulasan tentang antologi sajak DURI DAN API menelaah karya novelnya TULANG TULANG BERSERAKAN lewat surat serta buku rujukan karya sasterawan itu
Sayangnya kenanganku hanya milikku
akuanku diceberkan aku peduli apa
rakaman sekelumit nostalgia indah bersejarah seorang penggemar sastera bersama figura idolanya kala masih anak sekolah
Dengan izin Allah bertemu seketika bertukar senyum ramah dalam acara sastera tidak terduga
Usai persekolahan terputus hubungan dengan kawan kawan sealiran bertebaran membawa nasib diri
Puluhan tahun berpisah kau masih mengungkit warkah sahabat pena itu di sisi pertemuan semula sekolah kita
Terjeda malaikat lalu diiring doa dan lafaz suci al-Fatihah semoga dilimpahi karunia-Nya Sasterawan Negara Usman Awang yang berjasa menyantuni rumpun sastera berada di sisi-Nya di kalangan solehin yang dicintai-Nya berbahagia dilimpahi rahmat-Nya
Tika kehilangan Sasterawan Negara kenangan lalu terawang air mata pun bergenang


PARIDAH ISHAK
DMS
2707022

Saturday, 23 July 2022

MAT KILAU

 ASSALAMUALAIKUM


PIC GOOGLE IMAGES (C)


SYAIR MAT KILAU

#1

Bermula syair kisah pahlawan,

pejuang bangsa gagah melawan,

salah silahnya jalur bangsawan,

citra riwayat seorang ikhwan.

#2

Pada lapan belas enam lima,

di pulau Tawar tahun yang lama,

lahirlah waris wira utama,

akan Mat Kilau diberi nama.

#3

Imam Rasu ataupun Tok Gajah,

nasab warisan berseri wajah,

akan ayahanda jauh jelajah,

bijak orangnya pintar berhujah.

 #4

 

Bondanya pula ialah Mahda,

Tok Kaut Burau namanya nenda,

di dalam kampung sama berada

hidup gembira bergurau senda.

#5

Telah dewasa anak remaja,

membantu ayah bonda bekerja,

seawal pagi sehingga senja,

cari rezeki buat belanja.

#6

Mahir sekali ilmu mengaji,

berdikir maulud  suka berzanji,

merdu bersyair bakat teruji,

santun budaya sifat terpuji.

#7

Berminat juga bermain gasing,

cekap melilit pangkah berpusing,

bentuknya cantik terukir asing,

tatkala menang senyum kerising.

#8

Kekar  sekali bangun tubuhnya,

ramai terpikat ketampanannya,

telah bertemu pula jodohnya,

Yang  Chik jadi  suri hatinya.

#9

Hai Imam Daud guru agama,

di Pulau Tawar termahsyur nama,

bapa mentua juga ulama,

ajar menantu mensuci atma.

#10

Allah kurnia cahaya mata,

penyeri hidup sinar permata,

mencerlang terang suluh gelita,

mengerat kasih sisih derita.

#11

Saing  sahabat menimba ilmu,

Pawang Nong, Teh Ibrahim tiada jemu,

Mat Ali Awang turut bertamu,

Mat  Kelubi juga Mat Tahir temu.

#12

 

Disamping itu belajar silat,

mengguna keris, parang berkilat,

ilmu batinnya sempurna solat,

langgas langkahnya sepantas kilat.

#13

Menuntut ilmu alim gurunya,

dengan Tok Gajah juga ayahnya,

Haji Uthman bin Senik di antaranya,

Mufti Pahang jawatan tadbirnya.

#14

Di dalam Gua Kota Gelanggi,

Mat Kilau cekal melangkah pergi,

diam bertapa malam ke pagi,

menyerap akil tahap yang tinggi.

 

#15

Gua Gelanggi di dalam hutan,

penghubung Pahang dengan Kelantan,

Terengganu sisi berdekatan,

menurut kisah ada kaitan.

#16

Tika  Tok Gajah pergi ke Pekan,

datang Hugh Clifford berhujah sakan.

petah Mat Kilau seolah rakan,

pendapat jitu telah khabarkan.

#17

Residen British dalam sejarah,

Pahang dikawal tiap daerah,

Mat Kilau rasa terlalu marah,

sanggup berjuang bertumpah darah.

#18

Negeri Pahang mula bergolak,

 

rakyat semua tak dapat elak,

tindakan British riuh tempelak,

mengutip cukai sungguhlah galak.

#19

Di kampung Budu British menyerang,

tabah Mat Kilau melawan garang,

rakan setia menangkis serang,

bersilang keris melibas parang.

 

#20

Beratus orang askar upahan,

hanya mengikut kata arahan,

pejuang Pahang hendak ditahan,

namun semua kekal bertahan.

#21

British semakin rasa terdesak,

merata sudut mereka asak,

lincah mat kilau tidak terpasak,

jerangkap samar tingkahnya lasak.

#22

Tok gajah, Dato Bahaman berpadu

British tewas di kampung Budu,

sifat durjana syaitan memandu,

berakhir dengan kisah yang sendu,

#23

Kampung nan indah menjadi mangsa,

dibakar marak tiada sisa,

terkorban insan tidak berdosa,

kejam penjajah rampas kuasa.

#24

Mat Kilau rasa amat berduka,

saudara-mara  nahas celaka,

British isytihar si penderhaka,

sedih berundur ke Ulu Cheka.

#25

Berpindah-randah sembunyi geri,

di dalam hutan rentas negeri,

British memburu tercari-cari,

berbagai nama samaran diri.

#26

Akhbar The Free Press siar berita,

di Singapura menyusun kata,

Mat Kilau mati terbujur leta

kala di Siam tembus senjata.

#27

Tatkala muncul sekurun hilang,

kisah sebenar lantas diulang,

berjuang hingga berputih tulang,

di Pulau Tawar tempatnya pulang,

#28

Di dalam masjid hari Jumaat,

lidah berzikir setiap saat,

buka rahsia terlalu cermat,

jelas Mat Kilau sehingga tamat.

#29

Pesan Mat Kilau pahlawan bangsa,

cintakan nusa luar biasa,

dendangan syair teguhkan asa,

andai terjajah hancur binasa.

 

 


MyBloglist