ASSALAMUALAIKUM
SYAIR MAT KILAU
#1
Bermula syair kisah
pahlawan,
pejuang bangsa gagah melawan,
salah silahnya jalur bangsawan,
citra riwayat seorang ikhwan.
#2
Pada lapan belas enam lima,
di pulau Tawar tahun yang
lama,
lahirlah waris wira utama,
akan Mat Kilau diberi nama.
#3
Imam Rasu ataupun Tok Gajah,
nasab warisan berseri wajah,
akan ayahanda jauh jelajah,
bijak orangnya pintar
berhujah.
#4
Bondanya pula ialah Mahda,
Tok Kaut Burau namanya nenda,
di dalam kampung sama berada
hidup gembira bergurau senda.
#5
Telah dewasa anak remaja,
membantu ayah bonda bekerja,
seawal pagi sehingga senja,
cari rezeki buat belanja.
#6
Mahir sekali ilmu mengaji,
berdikir maulud suka berzanji,
merdu bersyair bakat teruji,
santun budaya sifat terpuji.
#7
Berminat juga bermain
gasing,
cekap melilit pangkah
berpusing,
bentuknya cantik terukir
asing,
tatkala menang senyum
kerising.
#8
Kekar sekali bangun tubuhnya,
ramai terpikat
ketampanannya,
telah bertemu pula jodohnya,
Yang Chik jadi suri hatinya.
#9
Hai Imam Daud guru agama,
di Pulau Tawar termahsyur
nama,
bapa mentua juga ulama,
ajar menantu mensuci atma.
#10
Allah kurnia cahaya mata,
penyeri hidup sinar permata,
mencerlang terang suluh
gelita,
mengerat kasih sisih derita.
#11
Saing sahabat menimba ilmu,
Pawang Nong, Teh Ibrahim
tiada jemu,
Mat Ali Awang turut bertamu,
Mat Kelubi juga Mat Tahir temu.
#12
Disamping itu belajar silat,
mengguna keris, parang berkilat,
ilmu batinnya sempurna solat,
langgas langkahnya sepantas kilat.
#13
Menuntut ilmu alim gurunya,
dengan Tok Gajah juga ayahnya,
Haji Uthman bin Senik di antaranya,
Mufti Pahang jawatan tadbirnya.
#14
Di dalam Gua Kota Gelanggi,
Mat Kilau cekal melangkah pergi,
diam bertapa malam ke pagi,
menyerap akil tahap yang tinggi.
#15
Gua Gelanggi di dalam hutan,
penghubung Pahang dengan Kelantan,
Terengganu sisi berdekatan,
menurut kisah ada kaitan.
#16
Tika Tok Gajah pergi ke
Pekan,
datang Hugh Clifford berhujah sakan.
petah Mat Kilau seolah rakan,
pendapat jitu telah khabarkan.
#17
Residen British dalam sejarah,
Pahang dikawal tiap daerah,
Mat Kilau rasa terlalu marah,
sanggup berjuang bertumpah darah.
#18
Negeri Pahang mula bergolak,
rakyat semua tak dapat elak,
tindakan British riuh tempelak,
mengutip cukai sungguhlah galak.
#19
Di kampung Budu British menyerang,
tabah Mat Kilau melawan garang,
rakan setia menangkis serang,
bersilang keris melibas parang.
#20
Beratus orang askar upahan,
hanya mengikut kata arahan,
pejuang Pahang hendak ditahan,
namun semua kekal bertahan.
#21
British semakin rasa terdesak,
merata sudut mereka asak,
lincah mat kilau tidak terpasak,
jerangkap samar tingkahnya lasak.
#22
Tok gajah, Dato Bahaman berpadu
British tewas di kampung Budu,
sifat durjana syaitan memandu,
berakhir dengan kisah yang sendu,
#23
Kampung nan indah menjadi mangsa,
dibakar marak tiada sisa,
terkorban insan tidak berdosa,
kejam penjajah rampas kuasa.
#24
Mat Kilau rasa amat berduka,
saudara-mara nahas celaka,
British isytihar si penderhaka,
sedih berundur ke Ulu Cheka.
#25
Berpindah-randah sembunyi geri,
di dalam hutan rentas negeri,
British memburu tercari-cari,
berbagai nama samaran diri.
#26
Akhbar The Free Press siar berita,
di Singapura menyusun kata,
Mat Kilau mati terbujur leta
kala di Siam tembus senjata.
#27
Tatkala muncul sekurun hilang,
kisah sebenar lantas diulang,
berjuang hingga berputih tulang,
di Pulau Tawar tempatnya pulang,
#28
Di dalam masjid hari Jumaat,
lidah berzikir setiap saat,
buka rahsia terlalu cermat,
jelas Mat Kilau sehingga tamat.
#29
Pesan Mat Kilau pahlawan bangsa,
cintakan nusa luar biasa,
dendangan syair teguhkan asa,
andai terjajah hancur binasa.
Panjang syairnya Kak PI.
ReplyDeleteBangga sangat dengan usaha kreatif Kak PI menukil Syair Mat Kilau!
tksh amie biasanya kisah syair dgn kronologinya panjang sikit
Deletewah....menariklah stir ini kak PI
ReplyDeleteTKSH TN HANAFI CUBA SYAIRKAN KISAH SEJARAH
Deletetahniah,,,indah sekali,saya gunakan untuk pelajar saya mendendangkannya ya
ReplyDelete