Friday, 23 December 2016

JALAN-JALAN KE KOREA...

ASSALAMUALAIKUM....

BUKAN PI YANG KE SANA....TAPI ANAK PI BERSAMA ANAKNYA YANG KE KOREA ATAS PERBELANJAAN SYARIKAT PAKATAN ARKITEK SEMPENA HARI KELUARGA...SYARIKAT SWASTA INI SETIAP TAHUN AKAN MEMBAWA STAFFNYA BERCUTI KE LUAR NEGARA.........KADANG KE BALI, AUSTRALIA, VIETNAM  DLL TEMPAT LAGI....KOS PERCUTIAN YANG DITAJA TENTULAH TAK MEMBEBANKAN SANGAT PERBELANJAANNYA....TAPI HARGA BARANG YANG TERLALU MAHAL BERBANDING RINGGIT KITA MEMBUATKAN TERPAKSA BERKIRA-KIRA UNTUK MEMBELI SESUATU....SUDAHNYA BERJALAN-JALAN SAJALAH NIKMATI KEINDAHAN ALAM CIPTAAN ALLAH DI NEGARA YANG BERMUSIM SALJI KINI..

KATA ANAK PI HARGA SEKETUL AISKERIM BERKUN  HALAL PUN 18 RM...








SONIAN QIAMULAIL...

ASSALAMALAIKUM...

SALAM JUMAAT  MULIA

Qiamullail adalah memakmurkan dan menghidupkan waktu malam dengan ibadat. Pahalanya berganda-ganda..apatah lagi jika istiqamah mengerjakannya di bulan Ramdhan. Sabda Baginda SAW: 

“Sesiapa yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” 

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Thursday, 22 December 2016

KENANGAN INDAH 5.....

ASSALAMUALAIKUM....



CORETAN PAK ENGKU
SECEBIS KENANGAN MASA LALU (BAB 5)
(Parit 13, Sg. Nibong, Sg. Besar)

Dalam tiga tahun aku mengajar di SK Parit 13, hanya dua tahun sahaja yang aku tinggal di Kuartes Guru. Tahun 1970 dan 1971. Tahun 1972 aku tinggal menyewa sebuah rumah dengan rakan-rakanku di Sungai Besar. Bercerita balik kisah aku tinggal di Kuarters Guru memang penuh dengan warna-warni. Terlalu banyak pahit maung dan lucunya. Tinggal dengan kawan-kawan yang kaki ganja ni. Mereka pula jenis yang hard-core pula tu. Walaupun hard-core ganja kami bukanlah penagih. Namun diri aku, ikhlas aku katakan aku bukan kaki ganja. Hisap hanya suka-suka sahaja. Ikut ragam kawan-kawan. Ada ganja jadi tidak ada pun tidak mengapa. Aku tak mati pun. Adakalanya kami pergi sampai ke Sabak Bernam untuk menghisap ganja. Di sana sudah menunggu kawan-kawan kami. Ada yang bekerja sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor. Ada yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah. penolong Pegawai Pertanian pun ada. Ini geng hisap ganja elit.
Tetapi yang tidak sedapnya kawan-kawan aku ini bila duit hanya ada empat atau lima ringgit lauk yang hendak dimasak dan dimakan tiada, dia lebihkan kepada membeli ganja dulu. Prinsip dia orang duit tak ada atau tidak ada apa benda yang hendak dimakan tidak mengapa. Prinsip hidup mereka, "Ulat dalam batu pun boleh hidup". Sakit hati aku dibuatnya. Aku nak beli lauk sendiri pula duit aku pun tak ada. Berlaparlah aku. Patutnya duit yang ada itu dibeli ikan atau sayur untuk dibuat lauk. Beli ikan sardin dalam tin pun memadai. Ini tidak... asyik nak berdengung je. Semua duit habis dibelikan ganja. Memang teruk perangai kawan-kawan aku ini.
Bersebelahan Kuarters Guru aku ada sebuah rumah. Rumah seorang nenek. Dia tinggal berseorangan. Itu pun kalau aku tak silap ingat. Di kawasan rumah nenek ini ada banyak ditanam pokok buah-buahan seperti mangga dan lain-lain. Pokok nenas pun ada. Pada ketika itu nenasnya sedang berbuah tetapi masih belum masak lagi. Jadi bila perut kami lapar selepas menghisap ganja, kalau nenek tidak ada di rumah, kami akan curi nenas muda nenek ini untuk dimakan bagi mengalas perut.
Kuarters Guru ini jenis rumah atas. Ada tiang dan berlantaikan papan. Bahagian belakang sebelah dapur, di bawah menuruni tangga ada kawasan tempat membasuh painggan mangkuk dan membasuh pakaian. Ia berlantaikan simin dan berdindingkan zing. Jadi pada suatu hari di hujung minggu itu adalah kawan kami yang duduk di luar datang. Tiba-tiba kami teringat nak makan ayam. Nak beli duit tidak ada. Jadi kita orang pakat-pakatlah curi ayam nenek yang banyak makan di kawasan belakang rumah kami. Cara kami hendak tangkap ayam itu ialah dengan menaburkan beras di atas lantai simin belakang rumah tempat membasuh itu. Lepas tu buka pintu besar-besar. Bila sudah ada dua tiga ekor ayam yang masuk makan beras itu aku cepat-cepat menutup pintu. Maka terkurunglah ayam-ayam tersebut. Sesudah terperangkap, apa lagi, kami pun tangkaplah ayam-ayam itu dan terus menyembelihnnya. Kami tak cubut bulu ayam itu pun. Kami koyakkan kulitnya. Kami buat goreng kunyit je. Tengah hari itu kami makan berlaukkan ayam goreng. Itulah semata-mata lauknya. Pun langsai nasi satu periuk.
Tinggal di Parit 13 ini, pada musim mempelam memang mewah makan mempelam. Rata-rata ditiap-tiap keliling rumah ada ditanam pokok mempelam. Kalau tidak pun ditanam di batas-batas sawah. Kalau di kampung aku, aku tidak panggil mempelam. Orang kampung aku panggil mangga. Berbagai jenis mempelam yang ada. Mempelam telur, mempelam bubur, mempelam kuini, mempelam Siam dan berbagai nama lagilah yang aku dah lupa nak menyebutnya. Dan sewaktu buah mempelam hampir tua ramailah peraih dari kalangan orang Cina yang masuk ke kampung membeli mempelam tersebut. Jadi bila musim buah ini masak puaslah makan mempelam. Kadang aku suruh bawa mempelam yang jenis besar-besar. Mempelam telur tak laku sebab kecil sangat buahnya. Kalau sudah masak aku petik dan kecup sahaja sebiji-sebiji sebegitu.
Aku nak cerita balik tentang Tukang Kebun sekolah aku yang aku panggil dia Wak Kasan tu. Wak ini ada seorang anak dara Namanya Halijah kalau tidak silap aku. Dia berkerja di sebuah sekolah yang aku tidak pasti di mana. Anak gadis Wak Kasan ini pernah aku cuba kenen. Aku cuba mengurat dia. Bila dia balik dari kerja dia mesti lalu di hadapan rumah aku. Aku sering tegur-tegur dia. Dia tak jawab pun. Hanya senyum mengerling sahaja. Tapi yang tak sedapnya kawan-kawan serumahku ni. Bukan nak beri sokongan tapi mengeluarkan kata-kata yang melemahkan semangat aku. Dia kata si Lijah kulit penuh panaulah. Kudis butalah. Dan macam-macam kata yang lain. Apa lagi aku pun hilang seleralah jadinya. Aku ni pun memang jenis yang sangat memilih. Aku hendak yang lawa-lawa dan jambu sahaja. Kalau kurang sikit, tak jambu tak mahu. Sejak sekolah menengah lagi begitulah sikap aku. Yang mana jejaka lain tak boleh dapat, aku pasti boleh dapat. Ada orang tuduh dan kata aku pakai mandrum. Mana ada? Mandrum kepala hotak dia. Yang sebenarnya orang tertarik kat aku sebab aku selau bersikap gentleman. Bukan nak cakap sombonglah, semua kekasih aku sebelum datang ke Parit 13 semua jambu-jambu belaka. Girlfriend aku yang meninggal kerana kemalangan jalanraya itu pun lawa. Ayu. Jambu Kulit putih melepak..Ratu Freshielah katakan. Berapa ramai pelajar senior yang cuba hendak mendekatinya. Semuanya melapas. Tak sangkut. Akhirnya yang dapat aku yang tak sehandsome mana ni. Maaflah kalau "Aku dah masuk bakul angkat sendiri"..

(Bersambung ke... BAB 6)

Wednesday, 21 December 2016

HAIKU HALIA BARA...

ASSALAMUALAIKUM...



Pic google images

HAIKU

Halia bara –
pupukan perut kembung
ilmu temurun




Faedah halia merah dan madu telah diakui sejak lama. Pada jaman dahulu banyak orang pengambilan halia dan madu untuk mengubati gejala influenza. Kepada dua jenis bahan minuman ini dapat meringankan rasa pusing serta mual. Halia merah mempunyai pelbagai jenis kandungan bahan semula jadi yang boleh membuat tubuh jadi lebih segar.
Disamping itu madu mempunyai kandungan berbagai zat yang diperlukan oleh badan seperti gula, energy, karbohidrat, lemak, protein, asam Pantotenat, Vitamin B, Vitamin C serta pelbagai kandungan mineral lain. Dalam sebuah jurnal yang dimuat dalam healthyeating. sfgate. com tersingkap bahawa pengambilan halia merah serta madu dengan cara yang sama dapat mewujudkan kesan santai pada fikiran serta menjaga system kekebalan tubuh. Hal inilah yang membuat faedah halia dan madu sangat baik untuk mengatasi pelbagai masalah kesihatan.
Potensi Halia Merah dan Madu untuk Mengatasi Penyakit Jantung
Dalam suatu kajian yang dilakukan di Maryland Medical Center diungkapkan bahawa halia merah mempunyai kandungan zat kuat yang berfungsi untuk mencegah penumpukan cholesterol dalam darah dan juga mencegah penggumpalan darah. Penyakit jantung yang disebabkan kerana masalah cholesterol dan penyumbatan pembuluh dalam darah ternyata boleh dirawat dengan mengambil halia merah serta madu secara teratur.

Tuesday, 20 December 2016

KENANGAN INDAH 3

ASSALAMUALAIKUM....


PS: NOHAS TANYA TENTANG SIRI 3 KENANGAN INDAH PAK ENGKU YANG PI TDAK PUBLISH DI KARYAKU TAPI TERUS PUBLISH SIRI 4...SEBENARNYA PI DAH TERLEPAS SIRI 3 TU LALU PI PUN MERISIK TANYA PAK ENGKU DAN PAK ENGKU MINTA PI SCROLL WALL FABNYA DAN INILAH YANG PI JUMPA...SELAMAT MEMBACA CORETAN KENANGAN PAK ENGKU YANG SANGAT MENARIK NI.
CORETAN PAK ENGKU
Sambungan....
SECEBIS KENANGAN MASA LALU
(Parit 13, Sg. Nibong, Sg. Besar)

Setelah beberapa bulan tinggal di sini aku sudah biasa dengan keadaan. Mandi air parit dan minum serta memasak guna air hujan sudah jadi biasa. Tidur malam pakai pelita sudah jadi lazim. Biasalah kalau pagi-pagi bangun tidur lubang hidung hitam oleh sebab jelaga asap pelita. Tidur dalam kelambu adalah perlu. Itu pun banyak nyamuk yang masuk dalam kelambu dan setelah kenyang menghisap darah aku, mati terhimpit dek badan aku. Yang jadi masalah sedikit bila nak keluar ke pekan kena jalan kaki sampai ke Sg Nibong. Hendak ke Sg. Besar atau Sabak Bernam kenalah naik teksi atau bas. Kalau tak, tompang motor kawan-kawan.
Kadang-kadang bila keluar ke kedai untuk membeli barangan dapur atau rokok di kedai biasalah ternampak anak-anak kecil, anak bujang dan dara mandi di parit. Aku ini nakal sikit. Bila di rumah aku sering menyanyikan lagu 'Timang Burung". Sebuah lagu Melayu Asli lama. Tapi aku ubah senikatanya. Aku nyanyikan dengan suara yang kuat hanya dua baris lirik ni, "Timang.... Timang Banjar anak Jawa mandi telanjang.. Ha.ha.. ha..hai.." Tapi yang sebenarnya mana ada dia orang mandi telanjang. Kalau anak dara mandi pun berkemban. Yang bujangnya berseluar.
Selama tiga tahun aku mengajar di SK Parit 13 itu, bermacam-macam pengalaman yang aku rasakan. Gaji aku masa itu hanya RM 215.00 sebulan. Aku ingat lagi apabila masuk minggu ketiga setiap bulan poket aku dah kering. Ke mana lagi aku hendak minta tolong. Kenalah mengadap Guru Besar. Pinjam duit petty-cash sekolah sebanyak RM 50.00. Cukup bulan dapat gaji aku bayarlah balik.
Sebelum aku datang ke Parit 13 ini aku sudah punya skuter Vespa. Tetapi ayah aku tak izinkan aku bawa skuter tu. Ini adalah disebabkan 6 bulan sebelum keluar dari Pusat Latihan Harian (DTC) aku kemalangan jalanraya. Buah hati aku, yang juga bakal tunang aku, yang membonceng skuter aku telah terkorban. Aku seperti orang gila atau mamai. Saban hari, sampai berpuluh kali aku mainkan lagu "Di Manakan Ku Cari Ganti' dendangan P.Ramlee melalui alat pemain piring hitam aku. Hampir enam bulan aku begitu. Ayah dan ibu aku sangat risau dan susah hati melihatkan keadaan aku yang sebegitu dimasa itu.Setelah ayahku membawa aku berubat dengan seorang Tuan Guru barulah aku kembali normal dan dapat menerima hakikat bahawa semuanya itu adalah takdir Allah. Dan aku reda atas pemergiannya. Sampai sekarang pun, walau sudah 47 tahun berlalu, aku masih menzirahi kubur arwah di Tanah Perkuburan Makam Tuan Haji Said, Seremban.
Tanpa kenderaan hidup di tengah sawah, jauh dari jalan raya adalah merumitkan. Nak keluar kena tompang orang Itu pun kalau ada penduduk yang bermotor keluar. Kalau tidak menapaklah
aku jalan kaki. Selepas lebih kurang setengah tahun menginap di sini, aku pujuk ayakku agar mengizinkan aku bawa skuter aku itu balik ke Parit 13. Aku beri alasan susah hendak ke pekan atau ke mana-mana. Lepas dipujuk barulah ayah aku izinkan.
Masa tahun pertama aku mengajar dan tinggal dengan kawan-kawan aku, hari-hari kami hisap ganja. Ada ganja yang kawan beri percuma. Satu bag sandang. Tiga bulan, setiap hari, kami hisap ganja tak habis-habis. Waktu rehat di sekolah pun kami hisap ganja. Aku ingat Guru Besar ada bertanya pada kawan aku Cikgu Tahir tu, "Macam mana rasanya ke Cikgu Tahir?" Selamba je Cikgu Tahir jawab, "Best.. barulah ringan sedikit kepala Cikgu."
Guru Besar dan semua guru lain tersengeh ketawa. Lepas hisap ganja, dengan mata yang merah bagai udang dibakar, aku dan cikgu Tahir masuk ke kelas untuk mengajar.
Apabila ganja yang satu bag sandang itu habis kami pergi ke pekan Teluk Anson. Tempat pot kami. Sekarang ini nama nya Teluk Intan. Masa itu nak lintas Sungai Bernam kena naik feri. Di Teluk Anson kami beli ganja dari pembekal dengan harga 60 sen satu kartus. Satu kartus lebih kurang sebesar ibu jari tangan dan panjangnya tiga ruas jari telunjuk aku. Kadang-kadang kami beli sampai 100 kartus. Kononnya hendak berniaga. Jual dengan kawan-kawan dengan harga RM 1.00 satu kartus. Dari 100 kartus hanya 40 kartus sahaja yang dapat dijual. Lagi 60 kartus kami hisap sendiri. Mana ada untung berniaga macam itu. Tak pulang modal pun. Berniaga buluh kasap jadinya.
Pada tahun 1971 aku nekad tak mahu hisap ganja lagi. Masa itu kalau ditangkap oleh polis atas kesalahan memiliki ganja hanya penjara tiga bulan. Walau banyak mana pun ganjanya. Tapi aku
tetap jadi takut. Takut kalau-kalau ditangkap polis. Kerana memiliki dan menghisap boleh di penjarakan. Kalau itu yang terjadi pastilah aku akan dibuang kerja. Aku terkenang akan ibu dan ayahku di kampung. Kami dari keluarga yang miskin. Nanti kalau sudah kena buang kerja, apakah kerja yang aku boleh dapat lagi. Jadi mulai hari itu aku nekad untuk terus berhenti membeli ganja atau menghisap ganja. Namun kawan-kawanku terus juga dengan tabiat mereka menghisap ganja itu.
Semasa di Parit 13 ni aku bercampur gaul dan berkawan dengan ramai orang kampung. TermasuklahTok Sidang sekali. Salah seorang kawan aku yang masih aku ingat ialah arwah abang Hassan. Anaknya yang benama Salasiah aku yang ajar. Bila musim padi masak dan setelah dijual selalu juga dia orang, termasuklah Tok Sidang datang ke rumah aku. Tempat potlah jadinya. Kadang-kadang sampai ke subuh baru mereka balik. Aku juga selalu lepak-lepak kat gerai atau kedai minum di muka masuk jalan ke sekolah Parit 13 tu. Jadinya aku memang ramailah kawan selain rakan-rakan guru dari sekolah-sekolah lain seperti SK Simpang Lima, SK Sg Hj Dorani dan banyak lagi.

(Bersambung....)

SONIAN KEBENARAN...

ASSALAMUALAIKUM...

SONIAN

KEBENARAN

Hakikat sebenar
walaupun pahit
palsu sahih
pilihan



Kebenaran itu berada di tempat yang benar dan haq meskipun berada di tempat yang gelap. Ia tidak lenyap kerana kegelapan dan tidak silau kerana cahaya yang terang
Allah berfirman:
Kebenaran itu dari Tuhanmu
Maka janganlah kamu temasuk orang yang ragu


Ustazah Siti Nurbaya

Monday, 19 December 2016

KENANGAN INDAH 4

ASSALAMUALAIKUM



CORETAN PAK ENGKU
SECEBIS KENANGAN MASA LALU (BHG 4)
(Parit 13, Sg. Nibong, Sg. Besar}

Sekolah Kebangsaan Parit 13 tempat aku mengajar ini adalah sebuah sekolah yang kecil. Jumlah muridnya tidak sampai pun 200 orang. Terdapat dua buah bangunan. Sebuah, bangunan batu dan sebuah lagi bangunan papan. Bangunan papan itu sudah agak uzur. Bangunan batu ada dua kelas. Satu untuk murid-murid darjah 5 dan satu lagi untuk murid darjah 6. Di bahagian tengah adalah pejabat Guru Besar yang merangkumi juga bilik rehat guru. Bangunan papan diadakan sekatan untuk menempatkan murid-murid darjah 1 hingga 4. Guru yang hanya seramai 9 orang
termasuk seorang Guru Besar dan seorang ustaz. Aku masih ingat lagi akan nama ustaz itu iaitu Ustaz Salleh. Tak ada kerani atau budak pejabat pun pada masa aku mula masuk mengajar di situ. Kerja perkeranian semuanya Guru Besar yang buat.Hujung bulan kalau nak buat slip tuntutan gaji ada seorang guru senior yang sukarela buatkan. Aku sudah lupa akan nama cikgu itu. Hanya setalah setahun aku mengajar baru ada budak pejabat di sekolah aku.
Oleh sebab sekolah ini sekolah kecil dan jauh di tengah sawah padi, kantin sekolah pun sekadar ada sahaja. Bagunan main pacak-pacak sahaja. Dekat tepi ban. Aku ingat lagi yang berjaja di kantin itu. Aku panggil dia Wak Jais. Dia dibanyu oleh isterinya. Harga makanan
yang dijual murah-murah je. Masa itu pecal yang dijual oleh Wak Jais berharga 5 sen sahaja. Sekarang duit 5 sen orang tak pandang lagi dah. Kami yang guru-gurunya pula, di waktu rehat makanlah di dalam bilik guru. Masing-masing membawa bekalan masing-masing. Tetapi selalunya Ustaz Salleh ada bawakan guru-guru beberapa bungkus lontong untuk dijual. Lontong itu sebenarnya kami sudah buat tempahan awal-awal pada hari sebelumnya. Kami beli dengan harga seringgit sebungkus. Aku je yang kata itu lontong. Entah betul atau tidak namanya lontong, aku pun tak pasti. Ada pula orang kata itu pecal. Walau apa pun namanya makanan itu ianya memang sedap. Dalam bungkusan itu ada nasi himpit, sayur kangkung, tauge dan jantung pisang yang telah direbus. Lepas itu di atasnya dibubuh kuah kacang. Macam kuah satay tu. Aku rasa itu masakan orang Jawa kot. Tapi yang penting rasanya enak sekali. Kalau aku makan biasanya sampai licin. Hingga menjilat jari. Maklumlah selera orang muda. Tekak pun tekak ular.Semua habis dilulur. Boleh kata hari-hari aku makan lontong. Lepas makan, aku dan kawan aku Cikgu Tahir mulalah balut ganja. Dah habis hisap seculin, kami berdua dengan mata yang sudah merah bagai udang dibakar terus masuk ke kelas untuk mengajar. Dah kena ganja itulah yang membuatkan kita orang rajin sangat mengajar. Mood mengajar pun memanglah sentiasa ada.Dah kena ganjalah katakan. Murid-murid pun suka sebab cikgu dia orang girang dan asyik bergurau dan tertawa sahaja. Murid-murid itu semua mana tahu bahawa cikgu mereka sebenarnya dah kena ganja.Semuanya masih berhingus lagi. Bau asap ganja yang dihisap pun dia orang tak tahu dan tak kenal.
Pada tahun kedua aku mengajar di sini aku pun cuba-cubalah mengurat anak-anak Jawa dan Banjar di Parit 13 tu. Kenen punya kenen dapatlah aku seorang anak gadis berketurunan Banjar.
Kulitnya putih melepak. Rupanya manis. Kurus lampai orangnya. Memang cantik. Tapi sayang pada saat ini aku dah lupa namanya. Ialah macam mana nak ingat, dah 40 tahun lebih kisah ini
terjadi. Gadis ini pada masa itu sedang bersekolah dalam Tingkatan Empat. Bertempat di Sekolah Menengah Dato'Mustafa, Pasir Panjang Dekat dengan pekan Sekincan. Kadang-kadang di waktu petang gadis ini akan datang ke sekolah tempat aku mengajar untuk bertemu dengan aku. Rumahnya pun dekat dengan sekolah. Hanya lebih kurang 400 ke 500 meter sahaja.
Bila berjumpa kami tak buat apa-apa. Hanya berbual-bual kosong sahaja. Habis-habis pun kalau ada aku pegang tangan dia. Aku ini memang jenis yang gentleman dalam bab bercinta. Slow-slow bila jual minyak tu. Penuh disiplin dan sopan santun. Hehehe!!! Pada suatu hari aku ada buat program rombongan berkelah ke Port Dickson. Aku sewa bas dari syarikat bas yang berpengkalan di
Tanjung Karang. Jadi aku bawalah anak gadis ini bersama pergi berkelah. Bukan main bangga aku dapat bawa anak dara Banjar ni. Namun begitu aku tak pernah sekali pun pergi ke rumahnya. Ini
adalah disebabkan kawan aku, Cikgu Tahir dah pesan awal-awal, kalau mengurat anak Banjar ini jangan sampai pergi ke rumah. Kalau kita pergi juga ke rumah mereka, mula-mula kita akan berbual
dengan emak dan ayah gadis serta gadis itu sekali bersama.Tak lama nanti emak dan ayah si gadis akan tinggalkan anak gadis mereka tinggal berdua sahaja. Jawabnya kena perangkap tangkap basah le. Tetapi aku tak tahulah kesahihannya sebab aku tak pernah buat. Tak tahulah kalau kawan aku hendak menaku-nakutkan aku. Aku pun takut juga kalau perkara macam ini betul-betul terjadi macam tu. Malulah aku nanti bila gempar satu kampung cikgu ditangkap basah. Kalau orang Banjar tahu cerita
aku ini pasti ramai yang naik angin dan marah dengan aku. Tapi terus teranglah aku katakan aku bukan buat-buat cerita ni.
Lagi satu yang aku ingat kalau nak senang bawa anak Jawa atau Banjar ini keluar berjalan-jalan ke pekan, buat pinangan dan hantar cincin bertunang. Lepas itu kendonglah ke hulu ke hilir. Tidak
mengapa. Tiada masalah. Ada seorang kawan aku buat cara ini. Selepas puas di kendong ke sana ke sini dia pun hantar wakil putuskan tali pertunangan itu. Maka tinggallah gadis itu dalam
kekecewaan. Bagi aku cara yang sebegini tidaklah baik. Kita menghampakan harapan orang. Kalau kita hampakan harapan orang, suatu hari kelak akan datang giliran Allah hampakan harapan kita. Aku takut buat perkara sebegini. Jadi pada masa itu aku nekad tak akan buat perkara yang semacam ini. Kita menipu dan menghancurkan harapan orang.
(Bersambung ke.... BAB 5)

Sunday, 18 December 2016

SAMBAL MASAK TIMUN..

ASSALAMUALAIKUM...

Saya share satu lagi resepi warisan bonda ni. Namanya SAMBAL MASAK TIMUN. Gandingan terbaik, ikan masin. Molek makan dgn nasi putih, nasi goreng kampung dn pulut. Roti pun kalau ada, jalan terus...


Resepi Sambal Masak Timun
Bawang kecil ikut keperluan. Bawang putih ikut keperluan. Lada kecil Belacan Ikan bilis

Cara
Timun potong dadu, kecil-kecil. Bawang besar dihiris. Tumbuk bawang kecil, bawang putih, lada kecil bersama belacan. Tumis sampai garing. Masuk timun dn hirisan lada besar. Sambal sedap kalau berkuah sedikit


Image may contain: food

RESEPI DIKONGSI DARI FB PENULIS DIKNA

MyBloglist